Tuesday, November 16, 2010

Mabit di Mudzalifah

Sebelum pergi mengerjakan haji, selalu dengar orang kata "Mabit di Mudzalifah" , masa sekolah dulu pun dalam pelajaran agama ada belajar rukun dan wajib haji...tapi selepas habis sekolah dah tak ingat.  Apabila mendapat rezeki menjadi tetamu Allah, mula ikuti kursus-kursus haji...teringatlah semula rukun dan wajib haji yang telah dipelajari dahulu. 
Tetapi kata ustaz, walau sebanyak mana pun kita berkursus dan pelajari teorinya, kita masih belum dapat gambaran 100% lagi bagaimana haji ini dilakukan, melainkan dengan kita melakukan ibadah itu sendiri, mendapat pengalamannya sendiri. 

Selepas berwukuf di Arafah, kami pun di arahkan supaya bersiap-siap untuk ke Mina, dan akan berhenti sebentar di Mudzalifah. Ini dinamakan "mabit" di Mudzalifah. 
Sedang beratur menunggu bas yang akan membawa kami ke Mudzalifah dari Arafah.
Apakah makna "mabit"? "mabit" bermaksud "bermalam" Oleh itu apabila kita kata "mabit" di Mudzalifah, maka kita akan bermalam di Mudzalifah. Iaitu pengertian kita mesti berada di bumi Mudzalifah sepanjang malam hingga pagi ATAU berada seketika di bumi Mudzalifah selepas tengah malam.
(kelihatan kerusi roda yang kami gunakan untuk menolak Allahyarhamah ibu mertuaku)

Bila? 
Pada malam 10 Zulhijjah.

Alhamdulillah, bas kami sampai awal di Mudzalifah. Keadaan di bumi Mudzalifah masih lengang dan agak terkawal. 

Sejak tahun kami menunai haji, kerajaan Arab Saudi telah membahagikan jemaah haji mengikut zon, iaitu kita dari Malaysia dikumpulkan sekali dalam zon ASIA, bersama-sama jemaah dari Indonesia, Thailand, Singapura, Brunei dan Filipina. 
Ada kebaikannya kerana kebanyakan jemaah haji dari ASIA adalah lebih kecil dari segi fizikal berbanding jemaah haji dari Eropah, Amerika  dan Afrika. Ini adalah untuk mengelakkan pertembungan dan juga demi menjaga keselamatan jemaah haji itu sendiri. 


 Tidak lama kemudian bumi Mudzalifah sudah mula dipenuhi dengan jemaah-jemaah haji. 
Apabila saya melihat gambar ini, saya terkenang kembali keadaan pada malam tersebut. Di sini, tiada khemah atau sebagainya yang disediakan, hanya bumi Mudzalifah terbentang luas, dipenuhi dengan lautan manusia yang hanya dibaluti oleh 2 helai kain ihram (bagi jemaah haji lelaki) manakala jemaah haji wanita berjubah dan bertelekung/bertudung putih. 

Tiada tempat VIP atau VVIP, tiada yang mempersoalkan siapa anda, apa pangkat anda, samada anda seorang boss besar, datuk, datin puan sri, tan sri, VC, dekan, pensyarah, kerani, hatta walau anda seorang tukang kebun, petani , nelayan tukang kasut, 
anda seorang blogger terkenal, blogger baru...etc,....
SEMUA orang kelihatan sama, serupa sahaja... 
apa yang membezakan antara sesama jemaah haji? hanyalah amalan yang mereka lakukan...

Keadaan ini seolah-olah kita berada di Padang Masyar! menunggu waktu utnuk dihisab segala amal perbuatan kita! (MasyaAllah...semasa menaip ini tegak bulu roma saya apabila mengenangkan suasana ini..) memang sungguh menginsafkan ! 

Dengan berbekalkan tikar plastik yang diberi oleh Lembaga Tabung Haji (LTH), kami bentang di atas padang tersebut yang hanya berlantaikan pasir dan batu-batu kecil..tiada pokok-pokok untuk berlindung, duduklah kami berempat, saya , suami, allahyarhamah ibu mertua saya, dan BIL...
Semakin menghampiri waktu tengah malam, cuaca menjadi semakin sejuk! Aku selimutkan MIL dengan beberapa lapis baju tebal agar dia tidak merasa sejuk, apatah lagi dengan keadaan beliau yang tidak sihat, suhu yang sejuk semakin menambahkan lagi penyakit lelahnya.
 Amalan-amalan sunat yang patut dilakukan ialah, berzikir, berdoa, solat sunat dan mengutip batu (batu kecil utk tujuan melontar di Jamrah)
Alhamdulillah, Allah itu Maha Besar. Sekali lagi bas yang akan membawa kami ke Mina adalah di antara bas-bas yang awal bertolak. Ini mengurangkan kerisauan kami akan keadaan MIL yang semakin tidak sihat kerana suhu semakin sejuk. Allah Maha Besar!
(selepas itu kami menerima berita ada juga jemaah haji - kebanyakannya jemaah yang tua dan uzur- yang jatuh sakit tidak tahan cuaca sejuk kerana bas yang membawa mereka lambat sampai disebabkan kesesakan, dan mereka perlu menunggu lama di Mudzalifah hingga ke dinihari) 
(sedang beratur menunggu bas yang akan membawa kami ke Mina)
(waktu ini juga kita akan melihat berbagai ragam manusia - memang semuanya jemaah haji - tetapi di sini ujian dan dugaan Allah, samada kita dapat bersabar. 
Kadangkala kami mengucap panjang juga melihat jemaah haji ini berebut-rebut hendak menaiki bas, bukannya mereka ini budak-budak, malahan hampir kesemuanya sudah dewasa, malahan ada yang sudah bercucu! 

Ya Allah Ya TUhanku..jauhilah kami dari sifat-sifat kurang elok ini ...apatah lagi kami ini membawa MIL yang sudah tua dengan kerusi roda...kadang kala terfikir saya, sepatutnya jemaah haji yang muda-muda, sihat walafiat ini memberi laluan kepada kami dahulu memandangkan kami membawa orang tua yang uzur, tetapi nampaknya masing-masing hendak mendahulukan diri sendiri.

Mulutku tidak henti-henti beristifar dan sentiasa berdoa, Rabbi Yassir walatu'assir, Ya ALlah permudahkan segala urusan kami, Ya Allah Engkau Permudahkanlah!

 Bermula tengah malam, satu demi satu bas yang membawa jemaah haji ke Mina memulakan perjalanan mereka. Namun bayangkan, keadaan masa itu mengumpulkan hampir 7 JUTA jemaah haji dari seluruh dunia ... maka keadaan memang sesak ... bas-bas beratur, kebanyakan jemaah haji dari negara lain hanya berjalan kaki ke Mina. 
- bersambung di lain entri -
- Mina-Melontar di ketiga-tiga Jamrah- 

2 comments:

  1. salam norazah...


    masyaAllah , meremang bulu roma ummi bila baca baris2 kisah mabit di sana...

    salam eidul adha dari ummi

    ReplyDelete

Berikan sumbangan terbaik anda! Teruskan menyumbang ke Tabung Aqsa2Gaza Emergency Relief sekarang!!! Akaun Maybank Islamic: 5515 7500 4299 Akaun Bank islam : 12 092 01 003490 4 Kemudian sila maklumkan kepada: admin@aqsasyarif.org.my

Nak Baca Entri Lain? Klik Sini....