Friday, December 26, 2008

LA ALHAMBRA


Selepas kali pertama (tahun 2007) membaca novel sejarah Islam oleh Abdul Latip Talib, TARIQ menang ataupun Syahid, hati ini sungguh teringin hendak melawat negara Sepanyol atau Spain atau dahulunya semasa zaman penaklukan Islam lebih dikenali sebagai ANDALUSIA. Apatah lagi selepas mendengar nasyid dendangan Far East ini. Teringin sungguh hendak menjejakkan kaki ke Pulau Gibraltar, atau dahulunya dikenali dengan nama Jabal Tariq (sempena sahabah Tariq bin Ziyad - agaknya orang Eropah dahulu tidak tahu hendak menyebut Jabal Tariq, lalu jadilah Gibraltar).

Selat Gibraltar, adalah laluan terpenting kapal dagang yg berulang alik antara Laut Atlantik dan Laut Mediterranean. Di sini lah, pada Mei 711 Masihi, Panglima Tariq bin Ziyad mendaratkan seramai 12 ribu orang tentera Islam. Peristiwa itulah permulaan Islam bertapak di Andalusia selama hampir 500 tahun. (di petik dari novel Tariq menang ataupun syahid).


Selepas kejatuhan empayar Islam di Andalusia, tentera2 Salib berusaha memadamkan saki-baki atau jejak2 Islam di Sepanyol. Semua kitab2 Islam yang dijumpai telah dibuang atau dibakar, mesjid2 ditukar menjadi gereja dsbnya kecuali istana Al-Hambra yang masih kekal hingga zaman ini sebagai bukti bahawa Islam pernah bertapak di bumi Sepanyol suatu masa dahulu.

Satu hari di minggu lepas, tiba2 mendapat sepucuk poskad yang berstem Espana !!! Apalagi apabila membaca, Salam ummi dan abi, this postcard is specially for you from Granada, Spain ....... Salam Andalusia, Miss You. (signed by Asma'). Jealous...jealous.... InsyaAllah jika ada rezeki dan umur panjang ummi dan abi akan sampai juga ke situ suatu hari nanti......

Sebenarnya
cuti winter 2 minggu lepas, anakku Asma' telah bercuti merentasi 3 benua, dari Jordan, di Asia, ke Morrocco di Afrika, dan menyeberangi Selat Gibraltar ke Spain(Andalusia) di Eropah. Baca pengalaman Asma' di sini.
dan boleh lihat gambar-gambar di sini.


Al Hambra - Far East

Al-Hambra
Album : Cinta Pertama
Munsyid : Far East
http://liriknasyid.com


Di tengah kesibukan kota Granada
Kini terbina indah sebuah menara
Setelah lima ratus tahun menunggu
Akhirnya azan terdengar di situ

Suara itu kembali bergema
Mengajak sujud pada Yang Esa
Bersihkan segala debu dan noda
Yang terpalit di kubah Al-Hambra

c/o
Al-Hambra
Singgahsanamu pernah bersinar
Al-Hambra
Indralokamu merah bercahaya
Dengan cahaya iman dan taqwa

Terdengar azan di kota lama
Gemersik di seluruh buana
Nyalakan cinta yang membara
Perjuangan yang tiada sudahnya

Sejarah seringkali bertandang
Tamadun silam kembali gemilang
Bangun Granada dan Kordova
Teguhkan istana Al-Hambra

Al-Hambra
Singgahsanamu pernah bersinar
Al-Hambra
Indralokamu merah bercahaya
Umat silam membina empayar
Kegemilangan

Al-Hambra ..Al-Hambra
Andalusia oh Al-Hambra

Al-Hambra
Singgahsanamu pernah bersinar
Al-Hambra
Indralokamu merah bercahaya
Bagunlah Granada berdirilah Kordova
Teguhkan kembali istana Al-Hambra
Ssuburkan semangat Andalusia
Subur semula Al-Hambra

--------------------------------------------

Thursday, December 11, 2008

Abu Ubaidah


Tanggal 25 November 2008 yang lalu saya telah menerima sebuah bungkusan pos laju dari seorang penulis prolifik negara yang tidak asing lagi, iaitu Abdul Latip Talib. Beliau telah menghadiahkan novel sejarah Islam berjudul "Abu Ubaidah Penakluk Parsi"

Apa yang membuatkan saya sangat teruja untuk membaca novel sejarah islam ini adalah kerana mengenangkan kembali perjalanan saya "menjejak para sahabah" di bumi para anbiya, Jordan pada awal tahun 2007. Salah satu makam para sahabah yang telah saya ziarah adalah makam sahabah Abu Ubaidah Ibnu Al-Jarrah. Terkenang kembali saat-saat saya bersama anak saya Asma' dan rakan Nad beserta pemandu teksi yang sangat baik hati iaitu Hisyam menziarah makam tersebut. (Boleh baca entri tersebut di sini)

Mengikut kata Hisyam, makam tersebut berbau sangat wangi, bukan di sembur minyak wangi tetapi bau wangi semulajadi, yang keluar dari makam tersebut (tetapi semasa saya melawat makam tersebut, makam itu telah di tutup dengan cermin, mungkin untuk mengelakkan perbuatan tidak bertanggungjawab orang2 yang sangat taasub dan perbuatan memuja-muja makam).Hisyam si pemandu teksi sedang menerangkan sesuatu tentang makam Abu Ubaidah

Itulah petanda makam orang yang soleh...(teringat semasa saya menziarah makam Muadz Bin Jabal...wangi yang sangat harum tiada tandingnya dengan bau minyak wangi buatan manusia...)

Beliau adalah salah seorang dari 10 sahabah yang telah dijamin menjadi ahli syurga, seorang gabenor Islam yang unggul dan sangat amanah, sehingga
Saiyidina Umar Al-Khattab juga pernah berkata iaitu : "Abu Ubaidah adalah pemegang amanah umat ini." Ini membuktikan betapa tingginya penghormatan Rasulullah s.a.w dan para sahabat terhadap Abu Ubaidah Bin al- Jarrah.

Di bawah adalah sinopsis novel tersebut yang saya ambil dari blog Pak Latip:

Nama sebenarnya Amir bin Abdullah bin al Jarrah bin Hilal al Fihri Al Quraisy.
Beliau lahir di Mekah daripada sebuah keluarga Quraisy yang terhormat.
Termasuk orang yang awal masuk Islam selepas Abu Bakar as Siddiq.
Beliau salah seorang yang dijamin masuk syurga.
Berperawakan tinggi, kurus, berwibawa, bermuka ceria, selalu merendah diri, dan amat pemalu. Kerana itu beliau disenangi oleh mereka yang mengenalinya.
Selepas menjadi pengikut Nabi Muhammad SAW, Abu Ubaidah al-Jarrah sanggup menghadapi kesulitan dan bersifat berani ketika berada di medan perang.
Beliau mengikuti semua peperangan bersama Rasulullah SAW.

Dalam Perang Badar, Abu Ubaidah al-Jarrah cuba mengelak daripada bertembung dengan ayahnya yang berada dalam pasukan Quraisy yang menentang Rasulullah SAW. Tetapi ayahnya bersumpah hendak membunuh anaknya sendiri kerana menjadi pengikut Muhammad. Abdullah terus memburu anaknya hingga suatu ketika Abu Ubaidah al-Jarrah terpaksa berdepan dengan ayah sendiri. Dalam pertarungan itu Abu Ubaidah al-Jarrah membunuh ayahnya.
Beliau berasa amat sedih sehingga turun ayat Al-Quran Surah al-Mujadalah ayat 22 yang membenarkan tindakannya itu.

Semasa berlakunya Perang Uhud, Rasulullah SAW terkena anak panah lalu tersangkut pada rahang baginda. Abu Ubaidah al-Jarrah mencabut anak panah itu dengan giginya sehingga giginya tercabut.

Rasulullah SAW memberinya gelaran ‘Gagah dan Jujur’.

Sewaktu berlaku perbalahan di balai Bani Saadah mengenai perlantikan khalifah maka Abu Ubaidah al Jarrah berkata. “Wahai orang-orang Ansar. Kamu yang mula-mula menyokong perjuangan Islam. Saya harap janganlah pula kamu yang mula-mula menentangnya.

”Khalid al Walid yang bergelar pahlawan pedang Allah berasa hormat kepada Abu Ubaidah al Jarrah apabila menyertai pasukan tentera Islam di bawah pimpinannya.
Khalid berkata. “Wahai Abu Ubaidah, kamu yang lebih layak memimpin pasukan ini. Tetapi saya patuh dengan perintah khalifah.”

Hercules bertanya kepada salah seorang tenteranya yang dibebaskan oleh Abu Uabidah al Jarrah. “Sila engkau terangkan mengenai orang itu?”
Jawab tenteranya. “Sebenarnya dia menjadi pahlawan pada siang hari dan menjadi pendeta di malam hari. Dia tidak memakan sesuatu makanan melainkan setelah jelas halalnya. Tidak masuk ke dalam rumah melainkan mengucapkan salam. Apabila bertemu kawan-kawannya dia yang dulu mengucapkan salam. Dia menunggu musuhnya menyerang dulu baru dia datang memeranginya.”

Seorang penduduk Syam berkata. “Kami telah mengadu kesusahan kami kepada Herculis tetapi tidak diendahkannya. Maka Tuhan menyelamatkan kami dari kekejaman Rom dengan menghantar orang Arab. Sungguh besar nikmat yang dilimpahkan kepada kami.”

Setelah berjaya menakluk Parsi Abu Ubaidah al Jarrah dilantik menjadi Gabenor di Syam.

Apabila berlaku wabak taun dan Abu Ubaidah al Jarrah menjadi salah seorang mangsanya.

Beliau dikebumikan di Jordan.

Monday, November 24, 2008

KAU TETAP DI HATI

MENANGI HADIAH MENARIK

Ulasan pembaca (tuan empunya blog):

Pada mulanya apabila melihat tajuk novel ini, saya berpendapat bahawa novel ini sama seperti novel-novel berkonsep CINTA seperti yang lain, lalu memasang niat tidak mahu membuang masa membacanya, tetapi saya tersilap. Niat di hati hanya ingin membaca awal cerita, tengah dan pengakhiran SAHAJA, tetapi usai membaca beberapa helai yang pertama, mataku terus terlekap membaca novel tersebut, jari-jemari ku terus menyelak sehelai demi sehelai lembar mukasuratnya. Perasaanku makin tenggelam menghayati cerita dalam novel tersebut seakan-akan aku juga berada bersama-sama watak-watak tersebut. Mahukah anda mengetahui dengan lebih lanjut...???


Sempena pelancaran novel terbaru Liza Zahira iaitu, KAU TETAP DI HATI, maka satu peraduan kuiz di adakan untuk memberi peluang kepada anda semua memenangi hadiah-hadiah yang sangat menarik.

Cepat hantarkan penyertaan anda ke email yang tertera!

20 penyertaan paling awal akan menerima Baju T Liza Zahira

Hadiah Pertama: Wang Tunai RM300
Hadiah Kedua : Wang Tunai RM200
Hadiah Ketiga : Wang Tunai RM100
10 Hadiah Saguhati: Senaskah novel Liza Zahira (Pemenang boleh memilih salah satu novel Liza Zahira)

SOALAN-SOALANNYA:

1. Novel Kau Tetap Di Hati (KTH) merupakan novel Liza Zahira yang ke berapa?

2. Selain Malaysia, negara manakah yang menjadi latar cerita KTH?

3. Berikan nama anak-anak saudara Sophia dalam Kau tetap Di hati?

4. Bahtera Kasih (BK) merupakan novel ketiga Liza Zahira. Apakah nama kapal lanun yang menculik Carra Lina dalam novel tersebut?

5. Siapakah lelaki yang akhirnya menjadi pilihan Carra Lina dalam BK?

Lengkapkan kata-kata berikut (tidak lebih dari 20 patah perkataan).
Saya gemarkan novel-novel Liza Zahira kerana ……………………………..

Tuliskan Nama, No.kad pengenalan, Telefon dan Alamat berserta jawapan lengkap anda ke:


liza_ktd@yahoo.com dan cc ke
lizaali@karangkraf.com atau liza_zahira2@yahoo.com.my




TARIKH TUTUP PENYERTAAN ADALAH PADA: 31 DISEMBER 2008

CEPAT! JANGAN LEPASKAN PELUANG ANDA!!!

Thursday, November 20, 2008

19 November 2008

19 November 2008

Hari ini ada 2 perkara penting yang berlaku....

satu perkara sedih dan satu lagi perkara gembira....mana satu nak cerita dahulu?

Cerita Gembira/Kesyukuran

Hari ini adalah hari lahir anak ke-2 iaitu Zaid yang ke-20. Pada 19 November 1988, 20 tahun dahulu di sebuah bandar kecil bernama Athens, Ohio, USA... lahirlah seorang anak lelaki yang comel...sekarang ini dialah yang paling tinggi dalam keluarga... lebih tinggi dari abi. Peminat bolasepak dan suka main futsal...aktiviti utama semasa cuti sekolah, main futsal dan pergi berkelah bersama kawan-kawan...



Cerita Sedih

Dah malam, eh dah pagi sebenarnya... sedang chatting dengan Kak Long di Jordan... (dia kat sana baru pukul 9 malam) tiba-tiba Kak Long memberitahu berita bahawa emak kepada salah seorang rakan yang sama-sama bertolak dari Malaysia semasa mula-mula melanjutkan pelajaran ke Jordan dahulu (satu flight satu bandar tetapi lain pengkhususan dan lain universiti), telah meninggal dunia pagi tadi (disebabkan barah kolon dan telah merebak ke hati )... sebenarnya saya baik dan rapat dengan arwah, tetapi dek kesibukan kerja, memang semenjak Ramadhan dan Raya tidak dapat menghubungi beliau... Ya Allah, perasaan bersalah terasa menghantui hati ini... mengapa aku tidak berusaha menalipon beliau selepas cuti Raya... namun aku yakin bahawa ini adalah qada' dan qadar Allah, takdir yang Allah telah tetapkan, sememangnya sudah tertulis di Lauh Mahfuz, ajal maut di tangan Allah SWT. Lalu aku panjatkan doa buat beliau, semoga roh beliau dicucuri Rahmat dan Hidayah dan ditempatkan bersama-sama orang yang soleh.

Monday, November 17, 2008

A Good Samaritan

Salam...Ya ALlah ...semalam dan hari ini sungguh terharu dan bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana tidak ku menyangka masih ada orang yang berhati mulia dan baik di kala ekonomi dunia semakin merudum dan ramai orang mengambil kesempatan di atas kelemahan dan kesusahan orang lain.

Al-kisah pada hari sabtu yang lalu, anakku Ammar balik dari asrama, singgah sebentar di rumah untuk makan tengahari. Selepas solat zohor, semasa hendak menghantar Wafa' dan Anas ke stensen komuter, Ammar juga hendak mengikut, katanya hendak ke rumah kawan di Subang Jaya. lalu aku terus menghantar mereka bertiga menaiki komuter.

Semalam Ahad tghr, dapat sms dari Ammar, mengatakan dompet beliau hilang, tertinggal dalam teksi, dan bila sedar sudah lambat... bila patah balik teksi dah tak ada. sebenarnya Ammar baru sahaja membeli kad sim yg baru (prepaid) dan terdapat RM50.00 dalam dompet itu. Kad sim yg baharu itu masih disimpan dalam dompet tersebut.

Sebenarnya aku tak kisah sangat jika kehilangan wang tersebut, tetapi yang aku paling runsing ialah kad pengenalan Ammar yang ada di dalam dompet... banyaknya kerenah yang perlu dilalui jika hilang kad pengenalan... kena buat report polis terlebih dahulu. Kemudian kena pergi Penajabt pendafataran.. etc...

dipendekkan cerita, apabila Ammar menalipon nombor kad simnya yang baharu itu, pemandu teksi itu mengangkat... maka beliau pun memberitahu, selepas itu beliau cuba berpatah balik mencari anakku Ammar tapi tak berjumpa, lalu beliau memasang kad sim itu dengan harapan ada sesiapa yang akan menalipon nombor tersebut...

lalu tengahari sebentar tadi beliau telah datang ke rumahku memulangkan dompet tersebut bersama-sama kad pengenalan Ammar...ALHAMDULILLAH....

Syukur sangat-sangat....

Thursday, November 13, 2008

Cuti Sekolah

Saat-saat yang dinantikan oleh semua pelajar sekolah...............

yea...yea..... cuti sekolah dah bermula ........ apalagi cuti sekolah hujung tahun ...lama ni.... hampir 2 bulan.........

yang hendak menghadapi peperiksaan besar SPM..... berdebar-debar! Diucapkan SELAMAT MAJU JAYA, semoga tenang menghadapi peperiksaan dan dapat menjawab dengan lancar dan baik dan mendapat keputusan cemerlang.

Saat-saat yang memeningkan semua ibu-bapa.....

Apa nak masak hari ni? ...jangan tak tahu...cuti sekolah makanan kat rumah kena stok banyak-banyak.... bila masak cepat betul habis...macam biskut...sekejap ada...sekejap dah tak ada....

Nak pergi bercuti di mana? ...dah mula selak-selak atau surfing kat internet tempat-tempat percutian yang sesuai dengan budget dan masa... kalau banyak duit boleh gi cuti kat oversea... kalau tak bercuti dalam Malaysia aje..tapi tempat percutian dalam Malaysia pun apa kurang nya... rasanya tak semua tempat dalam malaysia dah habis jalan dan tengok.... Any idea kat mana tempat peranginan/percutian yang best kat Malaysia ni?

Hana dah sibuk dari minggu lepas lagi nak ajak pergi mandi di Wet World... bukan jauh pun...di Shah Alam juga...tapi itupun tak sempat-sempat nak pergi...

Apa program yang ada masa cuti ni nak suruh anak2 hadiri?
takkan nak berjalan aje sepanjang 2 bulan ni ye tak? paling lama bercuti pun seminggu.... lepas tu waktu lain? .... cepat...tengok flyers atau apa2 ....kat rumah tu dah banyak flyers dapat, bermacam-macam program .... tapi yang tak tahannya ongkosnya buk! ... satu program paling murah Rm70 - Rm150 .... darab dengan 4 atau 5 orang anak....aduish.... tapi takpe...takpe... bila pikir balik.... program ni semua untuk pembangunan insan, pendidikan anak2 .... mesti sanggup berkorban demi pendidikan anak2.... (hish...kalau nak beli barang perhiasan atau lain2 sanggup keluar duit...nak beli gadget2 elektronik beribu-ribu sanggup...tapi nak hantar anak program RM100 pun berkira!!! ...)

Wafa' dan Ammar dah ada program setiap hari Sabtu... mereka sudah mendaftar untuk mengikuti kelas TARANNUM BERSAMA RABBANI yang akan diadakan di Muzium Kesenian Islan, KL.
Mu'adz pula sudah mendafatar utk join program perkhemahan di Bukit Cerakah minggu hadapan = RM110
Zubair sedang memilih mana program perkhemahan yang sesuai utk dia.
Anas...sudah merancang mengambil kelas tuisyen... tahun hadapan dia akan naik Form 5...perlu bersedia awal utk SPM...terutama kelas2 sains yang dia masih lemah...

Balik kampung?
Yaaa.... ini sudah mesti..... kena selalu balik kampung, jadi anak2 kenal saudara-mara..... dan anak2 tahu erti kehidupan kampung selain dari hidup di kota... kat kampung boleh main kejar-kejar ayam, kena kejar angsa!! boleh panjat pokok manggis, pokok rambutan....tangkap pepatung ... terpijak tahi ayam!!! ... pengalaman yang tidak boleh didapati di bandar....kat kampung lah kenal apa sebenar 'ayam' tu...kalau tak kat kota tengok ayam dah togel, dah siap masak atas meja... jangan nanti suatu hari anak2 tengok ayam, kata itu 'kambing'

Persiapan untuk sekolah tahun depan?

haaaa....yang ini belum siap apa-apa lagi........... nanti nak kena sort out baju2 sekolah tu, mana yang boleh dipakai lagi, mana yang boleh di'pass down' ke adik2 dan yang mana dah koyak2 kat kocek, kat lutut etc... kasut sekolah? ...entah dah berapa puluh pasang kasut sekolah dibeli sepanjang tahun... awal tahun tak payah lah beli banyak2 sebab kaki budak cepat membesar... nanti selang beberapa bulan dah mintak kasut baru, sebab kasut dah ketat...atau dah jadi mulut buaya! atau yang paling selalu terjadi.... kasut hilang ...haa.. ini yang pening kepala...

Apa-apa pun, SELAMAT BERCUTI kepada semua pelajar-pelajar sekolah rendah dan menengah. Pelajar U pula mungkin ada yang sudah habis exam atau sedang menghadapi peperiksaan akhir semester...
Kepada ibu-bapa semua, SELAMAT SEMUANYA dalam menghadapi hari-hari yang mendatang ... ingatlah anak-anak adalah AMANAH ALLAH kepada kita, kitalah yang mencorakkan mereka yang dilahirkan ibarat kain putih bersih...

Tuesday, November 11, 2008

TDMHE

Sekembalinya dari pejabat petang tadi agak lewat dari biasa kerana perlu berjumpa seorang sahabat dari Universiti Malaya. Masuk sahaja ke rumah terpandang sebuah bungkusan "Pos Laju" di atas meja...dalam hati berkata-kata, "Eh...cepatnya sampai buku yang kupesan???" Efisien betul penulis buku ini yang sememangnya sudah tidak asing lagi bagi pembaca setia buku-buku dari PTS, dan buku pertama beliau Travelog Haji: Mengubah Sempadan Iman (THMSI) telah mencapai jumlah jualan yang tertinggi dalam masa beberapa bulan sahaja selepas dilancarkan pada tahun lepas.

Sememangnya sudah terdetik dalam hati siapakah pengirimnya apabila melihat tulisan tangan dan tandatangan di sampul 'Pos Laju' tersebut. Tersenyum lebar, hilang segala penat dan terus mencapai dan membuka bungkusan tersebut. Selepas solat Maghrib dan berdoa, terus mengadap komputer untuk membayar buku tersebut secara online (...bayar dahulu sebelum membaca!)
"Nurazzah, Moga ada menafaat, Ingat Allah, DIA sangat hampir. Salam."
Ditandatangan oleh: Prof Dr Muhd Kamil Hj Ibrahim.
(Prof terlupa nak tambah angka '8' dihujung nama saya ... atau mungkin terlalu banyak banyak buku yang hendak di tandatangan sehingga Prof terlupa)

Selesai solat Isya' pembacaan pun dimulakan, bermula dari kulit depan hingga ke kulit belakang. lebih kurang 2 jam sahaja! Pukul 10:30malam sudah selesai .... ini memang dapat diagak kerana buku ini agak nipis berbanding buku THMSI, hanya mempunyai 142 halaman sahaja dan beberapa bab di dalamnya telah pun dibaca dalam blog penulis sebelum ini . (nota: ini dapat dilakukan kerana anak-anak sudah faham bahawa mereka tidak boleh mengganggu ummi jika ummi sedang membaca, dan Alhamdulillah suami tiada di rumah kerana ada perjumpaan dengan sahabat beliau selepas pulang dari menunaikan solat Isya' di surau berdekatan )

Perkara pertama yang paling mengujakan ialah apabila membaca halaman dedikasi. Di bawah halaman tersebut tertera perkataan :

Terjemahan ayat-ayat Al-Quran dan hadis dipetik daripada tiga sumber utama iaitu:

http://quran.alislam.com
http://www.tmsk.uitm.edu.my/~ir/sumberutama.php
http://www.tmsk.uitm.edu.my/~ir/webhadis/

ALhamdulillah, syukur ke hadrat Allah SWT kerana usaha saya dan rakan untuk membantu umat Islam khususnya yang boleh membaca dalam bahasa Melayu menyediakan sebuah enjin carian Al-Quran dan Hadis berbahasa Melayu telah dapat dimenafaatkan (walaupun rasanya masih banyak lagi perkara yang perlu diperbaiki pada enjin carian tersebut). Pada masa kami memulakan projek tersebut, tidak terdapat satupun kitab rujukan hadis BERBAHASA MELAYU yang ada dijual dipasaran!!! semuanya berbahasa Indonesia. Lalu di awal perojek, kami perlu mendigitalkan semua hadis-hadis tersebut dan mengalihbahasa ke Bahasa melayu, dengan panduan pakar(ustaz) dalam hadis, kerana kami tidak mahu apabila ditukar ke Bahasa melayu akan berubah maksud hadis tersebut. Sekurang-kurangnya apabila Prof. Muhd Kamil meletakkan rujukan URL tersebut di dalam buku beliau, lebih ramai lagi orang boleh merujuk kepada enjin carian Al-Quran dan Hadis tersebut... Apabila disemak, tertera sudah 11638 kali enjin carian tersebut dirujuk! ALHAMDULILLAH, SYUKUR KE HADRAT ALLAH.

Sebagai seorang ahli akademik dan juga PENGARAH salah sebuah cawangan UiTM di Malaysia, Prof. Dr Hj Muhd Kamil bin Hj Ibrahim telah sanggup mengenepikan ego dan perasaan beliau sendiri demi untuk berdakwah secara penulisan atau perkataan dan dibuktikan dengan amalan beliau sendiri. Jika diikutkan hati, mana mungkin seorang PENGARAH hendak mengaku kejahilan beliau sendiri, tidak tahu membaca Al-Quran hatta mengenal huruf-huruf Al-Quran sehingga usia sudah hampir separuh abad. Namun beliau berjaya memperbaiki diri sehingga boleh membaca Al-Quran berserta terjemahan sewaktu menunaikan ibadah haji dalam masa yang singkat. Inilah yang mesti dilakukan oleh setiap umat Islam, iaitu sentiasa berdoa agar pengakhiran hidup kita akan sentiasa berada dalam Husnul Khatimah, bukannya Suul Khatimah.

Semua ini adalah kerana Allah masih sayangkan hambaNya, tiada istilah sudah terlambat dalam kamus Allah. Walau setua mana usia kita, masih belum terlambat untuk kita menginsafi dan kembali kepada Allah dengan melakukan segala perintahNya dan menjauhi semua laranganNya. Allah lah yang memberi Hidayah kepada hambaNya, kita sebagai hamba Allah hanya perlu berusaha dan berDO'A. Itulah intipati buku TDMHE... segala-galanya bermula dengan DO'A... itulah yang hendak disampaikan oleh penulis buku ini, iaitu dalam apa jua keadaan, kita jangan lupa dan jangan putus untuk berdoa kepada Allah, sesungguhnya Allah itu sangat dekat. Hampir setiap bab mengandungi do'a-do'a yang diucapkan oleh penulis kepada Allah dengan penuh khusyuk dan mengharap.

Sebagai seorang Pengarah kampus, usaha beliau berdakwah secara halus dengan menunjukkan contoh teladan dan amal perbuatan beliau sendiri, mengundang pelbagai persepsi masyarakat, samada masyarakat kampus mahupun masyarakat sekeliling. Ramai yang menyokong, dan tidak kurang juga mungkin ada segelintir yang menyangka bahawa beliau mahu menonjolkan diri sendiri sebagi insan yang lebih mulia dan baik daripada orang lain. Mungkin ada dikalangan mereka yang digelar 'ustaz' juga mengatakan bahawa beliau hanya hendak tunjuk pandai, tunjuk alim, sedangkan ilmu baru sekelumit, baru sekali pergi haji sudah mahu berdakwah! Cabaran yang perlu beliau hadapi bukannya mudah, walaupun hendak mengajak orang melakukan perkara yang sudah diketahui dan sudah dipelajari sejak kecil, yang merupakan salah satu rukun Islam yang lima, yang wajib dilakukan oleh setiap umat Islam iaitu bersolat, apatah lagi bersolat lima waktu berjemaah di mesjid.

Sepanjang penulisan beliau berulang-kali menyatakan tentang kejahilan diri sendiri, tentang ilmu yang sedikit, tentang takut dikatakan riya' , sombong dan angkuh. Namun perasaan itu tidak menghalang beliau untuk terus berdakwah dengan cara beliau sendiri. Dengan membaca buku ini, pembaca seakan dibawa menyelami diri sendiri, melihat ke dalam hati nurani, menilai amal ibadat yang dilakukan samada melakukan secara ikutan, atau sememangnya sebagai ibadah ritual sahaja, tanpa penghayatan sebenar ataupun dengan memahami apa erti ibadat itu sendiri. Apa yang penting sebenarnya setiap amalan kita mestilah dilakukan secara bersungguh-sungguh dan istiqamah, iaitu berterusan sehingga ke akhir hayat di dunia ini diiringi dengan berdo'a kepada Allah SWT.

Astaghfirullah Al-Azim. Subhanallah. Allahuakbar.

Wallahu'alam.

p/s: Selamat Membaca kepada mereka yang belum membaca.

Sunday, November 9, 2008

Bersabarlah

Lewat malam tadi mendapat panggilan dari seseorang yang kukenali dialam maya. Terkejut juga mendapat panggilan dari beliau di malam hari. "Mesti ada sesuatu yang penting hendak diberitakan kepadaku", bisikku di dalam hati.

Lalu aku menjadi pendengar setia, itulah yang mampu kulakukan saat ini. Hati sungguh merasa sedih kerana tidak dapat menolong dengan sepenuhnya. Hendak berkata banyak, takut dikata, " dia tak kena, tak rasa...bolehlah cakap macam tu... "

Namun aku hendak dia faham bahawa aku sentiasa mendoakan dirinya dan keluarga sentiasa berada di bawah lindungan Allah SWT, dan semoga dia terlepas dari sengsara itu dengan segera.
InsyaAllah, doaku sentiasa untukmu di dalam tahajjudku.

Thursday, November 6, 2008

Apabila Madinah hujan

Apabila membaca cerita mengenai bandar Madinah banjir, serta merta fikiranku teringat saat-saat kami berada di sana sewaktu musim haji 2007. YaAllah...rinduku serta-merta memuncak, air-air jernih mula bertakung dimataku. Rindu kepada Madinah, rindu kepada Mesjid Nabawi, rindukan Raudhah, berada hampir dengan makam Rasulullah SAW... Ya Allah...mahu rasanya saat ini terbang ke sana, perasaan ini tidak dapat ditahan-tahan.

Suasana hening dinihari di dalam Mesjid Nabawi...Ya Allah.......rindunya....Ya Allah Engkau murahkan rezekiku, panjangkan umurku agar aku dapat lagi menjadi tetamuMu Ya Allah, menjejakkan kaki ke Madinah, ke Mesjid Nabawi dan Mesjidil Haram untuk menunaikan ibadah Ya Allah..........

Kami tidak dapat mengalami pengalaman hujan sewaktu di sana, sewaktu kami hampir bertolak ke Madinah, berita didengar bahawa satu hari Madinah mengalami hujan, apabila kami ke Madinah, bandar Mekah pula mengalami hujan. Sepanjang masa di Mekah dan Madinah, ada beberapa kali solat sunat memohon hujan dilakukan...

Tahun lalu, hotel tempat kami menginap di Madinah sangat hampir dengan pagar Mesjid Nabawi, namun begitu satu pembinaan pengubahsuaian besar-besaran sedang dilakukan untuk membesarkan lagi lapangan mesjid, di mana dibawah lapangan tersebut satu pembinaan sedang dijalankan untuk membuat tempat parking kereta di bawah tanah. Saya anggarkan sudah semestinya pembinaan tersebut sudah siap sekarang, dan apabila mendengar berita bahawa bandar Madinah banjir selepas hujan selama 30 minit, saya terbayangkan tempat parking bawah tanah tersebut. Jika sudah siap pada tahun ini dan kejadian hujan tempohari, adakah kereta2 yang diparking di bawah tanah tersebut akan tenggelam, atau sudah ada sistem saluran air keluar??? Bandar Madinah bukan seperti bandar di Malaysia...di mana terdapat banyak parit atau longkang untuk mengalirkan air kerana keadaan negara kita yang selalu hujan (kita pun tahu walaupun terdapat parit dan longkang/sistem saliran air, namun banjir kilat selalu juga berlaku di Malaysia) Inikan pula di bandar Madinah yang hanya turun hujan setahun sekali, memang tiada parit atau longkang di kiri kanan jalan...walaubagaimanapun mengikut laporan berita semalam, pihak bandar Madinah berjaya menyedut air yang bertakung dijalan2 dengan cepat sekali... maklumlah waktu sekarang jemaah haji yang bertolak awal sudah berbondong-bondong memenuhi bandar Madinah Al-Munawarrah...

Labbaikallahumalabaik..........

Baca berita di sini.

Sunday, November 2, 2008

Nuh's Ark Graduation Day

Nuh's Ark Graduation Day - 2nd November 2008

Wah...bergaya sungguh anak2 cilik ini...bergaya dengan jubah graduasi..
mengalahkan abang-abang dan kakak-kakak yang konvo di Universiti..!!!

Alhamdulillah, selesai sudah majlis Hari Konvokesyen untuk Nuh's Ark Montessori Islamic kindergarden hari ini. Ini adalah majlis seumpama ini yang dihadiri oleh diriku dan suami buat kali terakhir, InsyaAllah, untuk anakku yang ke-8 dan bongsu, Hana'.

Hana mendapat sijil "Honors" kerana menjadi salah seorang dari 10 orang
pelajar paling cemerlang di tadika Nuh's Ark.


Pelbagai perasaan yang kurasa, gembira dan lega... kerana selepas ini tiada lagi majlis untuk tadika yang perlu kami hadiri... bayangkan sejak tahun 1991, apabila anakku yang sulung, Asma' , memasuki tadika, sehingga kini ... setiap kali menjelang hujung tahun kami perlu menghadiri majlis seumpama ini.Recitation of Quranic Verses

Sedih juga kerana selepas ini tiada lagi anak yang bersekolah tadika... semuanya telah memasuki era persekolahan, yang perlu dihadapi dan ditangani kerenah mereka dengan kaedah yang berlainan....The Pilgrimage

Bayangkan rasanya pagi tadi kami adalah pasangan yang paling berusia!!! hehehe... Semua ibu-bapa yang lain masih muda belaka.... masing2 memegang dan mendukung anak kecil... anak2 mereka yang menghadiri tadika samada anak pertama, kedua atau ketiga...
Apabila tanya pasangan disebelah kanan, itu adalah satu satunya anak mereka. Tanya pula pasangan disebelah kiri, itu adalah anak mereka yang kedua.

Dalam hati berdoa, "Jangan lah mereka tanya anakku ini anak ke berapa!"..

tetapi mereka bertanya juga... sambil tersenyum-senyum malu aku menjawab, "Hana' adalah anak akak yang ke-8 dan bongsu sekali !!!!"

Jawab pasangan tersebut, "MasyaAllah.... bestnya... ramainya anak akak....bertuah akak ada anak ramai!"

hehehe... bangga pula rasanya... kemudian tersedar kembali... aku tak sepatutnya riak...
sepatutnya aku mengucapkan SYUKUR kehadrat ALlah kerana dengan limpah KurniaNya lah rezekiku (anak) ramai.

Tema pada tahun ini ialah "Truly Asia". Mempersembahkan acara2 yang mewakili adat dan budaya negara2 di benua Asia.

Sebelum acara terakhir dan kemuncak iaitu acara penganugerahan Sijil Persekolahan dan tamat Persekolahan Tadika, setiap kelas membuat persembahan masing-masing.
Hana' berada di kelas Al-Pharabins pada tahun ini. Kelas Hana' membuat persembahan untuk negara Malaysia iaitu "Planting Rice and Coconut Dance".

Akhir sekali mereka beramai-ramai menyanyikan lagu "Children of Yesterday's Dream" - Saya tidak tahu siapa penyanyi sebenar ....

Lirik lagunya seperti berikut:


We are the children of yesterday's dream
We are the promise of the future we bring
Waving the banners of love to all
To every nation, the rich and the poor

Refrain:
We are the world of the restless and young
And we need a hand to guide us
Helping each other Build each other
As long as we"re together you and me

Chorus:
For together we stand, divided we fall
Together we climb to the top of the world
We can be what we want for the world to see
We are the children of yesterday"s dream

We have the yearning to do what is best
Be someone special from all the rest
Nation and brothers in unity
Building tomorrow for you and for me

Repeat refrain
Repeat chorus (2x)

Wednesday, October 29, 2008

Johan

Satu jamuan Hari Raya telah diadakan di fakulti ku pada minggu lepas. Sempena jamuan tersebut, satu majlis penyampaian hadiah untuk pertandingan keceriaan fakulti TMSK telah diadakan. Pelbagai kategori telah dipertandingkan seperti Pusat Pengajian Paling Ceria, SIG Paling Ceria, Bilik Pensyarah Paling Ceria (Lelaki dan Perempuan) dsbnya.

Tanpa kusangka rupanya bilik ku telah memenangi kategori Bilik Pensyarah(Perempuan) Paling Ceria Bangunan CS (Computer Science) ...

Alhamdulillah....rezeki di bulan Syawal.

Wednesday, October 22, 2008

Syawal Masih Ada

Perkara biasa di kota, hujung minggu dipenuhi dengan jemputan "Raya Open House "
dan juga jemputan kahwin! hurm...bukan musim cuti sekolah pun ada jemputan kahwin jugak...
Ramai warga kota mengambil kesempatan cuti hujung minggu untuk menjemput dan mengunjungi rumah sahabat handai dan rakan taulan sempena Syawal masih lagi berbaki beberapa hari. Maklumlah pada hari biasa warga kota sibuk bekerja dan keletihan jika pulang lewat malam, mana kan sempat hendak beraya....

Tiada "Open House Raya" di rumah ku... tapi sentiasa mengingatkan kawan2 dll bahawa rumah ku sentiasa terbuka untuk kunjungan Hari Raya dari kawan2 walaupun kami tidak membuat "Open House Raya" yg spesifik.

Namun apabila mempunyai anak-anak yang ramai dan julat umur dari tadika hingga ke universiti, rumah sentiasa menerima kunjungan rakan-rakan anak2 ku... masa ini baru terasa ..."alamak...rasa dah tua...!!!" sebab rakan2 anak-akanku akan sentiasa memanggil ku ..."makcik...makcik...." (hahaha! ... No more 'kakak' lah......!!!)

Kenangan semasa Raya 2008

Minggu lepas satu gerombolan rakan Ammar dari MTAQH (Maahad Tahfiz Hira') datang berhari-raya... 23 orang! sampai tak cukup kerusi.....terpaksalah tunggu giliran...

sabar...sabar..... Mee Hailam yang ku masak seperti biskut...
sekejap ada....sekejap dah tak ada....


Menikmati kuih-muih sementara menanti giliran nak makan Mee Hailam

Penuh ruang tamu rumah ku dengan 23 orang anak2 tahfiz
(sshhh.... mereka ini nama aje anak2, tapi badan masing2...mak datuk...
dah macam bapak budak!... ialah masing-masing kan dah anak teruna...
semuanya dah 17 tahun kan...)


Anak murid ku (pelajar Sarjanamuda Sains Komputer)
hehehe..tak termasuk anak dara kenit yg kanan sekali tuh....


Anak murid ku juga (pelajar Sarjanamuda Sains Komputer)
Yang berbaju merah ialah suami kepada anak muridku yang baru kahwin
pada 3 Syawal baru lepas
(kesian...terpaksa makan dalam gelap di bawah cahaya lilin... blackout..!)

Ex-classmates Zaid di SMI Hira' dahulu, sekarang masing2 sdg menuntut di IPTA/IPTS

Ex-classmates Zaid di SMI Hira' , yang pakai tudung hitam kedua dari kanan ialah adik kepada penyanyi nasyid kontemporari Mu'adz

Terpaksa bergelap sekejap, romantik pulak pasang lilin kerana black-out (hujan tersangat lebat dan kilat sabung-menyabung beserta guruh berdentum-dentam)

Ini pula kawan Wafa'

Di antara rakan-rakan Mu'adz yg datang ke rumah. (Sebenarnya ramai lagi rombongan yg lain tapi tak sempat ambil gambar)

Sabtu lepas jiranku mengahwinkan anak gadis beliau...

Hari yang sama, jiran sebelah rumah juga menjemput Open House Raya

Sambutan Raya untuk kumpulan usrahku.....

Alahai.... terkenang kak Long (Asma') yg berada di Jordan... kalau Kak Long ada, mesti lagi ramai rakan2 Kak Long yg datang....entah berapa kumpulan... sbb ikut sekolah... kumpulan sekolah Hira;, kumpulan sekolah SAMBEST, kumpulan rakan sama menuntut di Jordan.... Kak Long tak ada di sini, tiada lah rakan2 beliau yg datang bertandang... namun rindu terubat juga mendapat kiriman gambar Raya dari kak long di Jordan.Asma' bersama Alia (anak makcik blogger MakTeh) semasa jamuan Hari Raya di Jordan, 2008

Friday, October 17, 2008

Bersemangat semula

Semalam mendapat khabar berita bahawa seorang lagi sahabatku telah lulus VIVA Phd beliau dengan minor correction.... Alhamdulillah aku tumpang gembira dan bersyukur bagi pihak sahabatku. Sekejap diri ini seperti terpukul pula... diri aku bila pula??? Berita ini menaikkan lagi semangat ku untuk bekerja lebih keras lagi.... berkata-kata sendirian.." come-on Nurazzah... you can do it... finish writing you thesis and you are at the end of the pathway... "

Setiap kali usai solat aku tidak putus berdoa ke hadrat ALlah SWT.... semoga cahaya di hujung jalan akan semakin menyinar diriku...Amin.

Thursday, October 9, 2008

Cerita Raya 2008

Cerita Raya 2008

1) Malas
Entah kenapa aku diserang angin malas untuk meng'update' blog. Hanya sesekali jenguk utk lihat samada ada orang tinggalkan komen dan bloghopping beberapa blog yang selalu aku kunjungi. Rasa macam semua orang tulis cerita sama, Ramadhan ...... Syawal....... Raya .............
Dalam kepala satu senarai panjang 'to do list...'

2) Abah @ Wan @ Pak Chaq
Minggu terakhir Ramadhan, kami dikhabarkan abahku tiada selera makan dan kurang sihat.
Jumaat malam Sabtu, 26 September 2008, kami diberitahu oleh anak saudaraku bahawa abahku dibawa ke hospital besar Pontian oleh Ayah Ngah(abangku yang duduk di JB). ... dan malamnya dikhabarkan lagi bahawa abahku di tahan di wad, dehydrated dan lemah2....
hatiku tidak keruan mengenangkan abahku yang sudah tua dan uzur (abahku sudah berumur 86 tahun)... apatah lagi hanya tinggal beberapa hari lagi hendak menyambut Syawal..... hati melonjak-lonjak ingin balik saat itu juga , tapi esok pagi Sabtu aku kena mengajar, ada kelas Master dan suami pula bekerja. Malam itu kupanjatkan doa ke hadrat Ilahi semasa solat tahajjud agar abah kembali sihat ....

Berbincang dgn suami bgmn plan terkini.... suami tidak ada cuti, kalau ikutkan kena kerja hari Isnin dan Selasa sebelum 1 Syawal pada hari Rabu, sedangkan aku sudah pun mengambil cuti seminggu. Aku meminta izin dgn suami agar membenarkan aku dan anak2 pulang terlebih dahulu menjenguk bapaku di hospital, lagi pun anak ke-2 ku Zaid sudah boleh memandu, kalau aku penat boleh gilir-gilir suruh dia drive sepanjang perjalanan pulang ke Johor.
Akhirnya, pagi Ahad kami semua sudah bertolak balik ke kampung termasuk suamiku (dia ambil cuti juga - unpaid leave- hari Isnin dan Selasa) ..

Alhamdulillah highway ke selatan tidak jam sepanjang perjalanan balik...sampai di Pontian lebih kurang jam 4 ptg, terus ke hospital utk menjenguk abah. Alhamdulillah keadaan abah sudah semakin stabil. Faizah anak saudaraku ada menjaga abah pada waktu itu. Khabarnya Firdaus, anak kak long ku menjaga abah semasa waktu malam kerana wad itu wad lelaki, kurang elok sekiranya Faizah yang menjaga pada waktu malam. Alhamdulillah cucu-cucu abah sudah besar utk menjaga abah di hospital.

Isnin pagi aku sudah menalipon ke pejabat di Shah Alam utk memohon mereka mengeluarkan GL utk diberikan kpd pihak hospital, ALHAMDULILLAH staff di pejabat pendaftar memberikan kerjasama yg baik apabila diminta utk faks GL terus ke hospital...

Ptg Isnin abah dibenarkan balik kerana keadaan sudah kelihatan stabil.

Selasa abah cuba utk berpuasa walaupun ditegah oleh kami semua... menjelang tghr keadaan abah sudah semakin lemah, lalu kami menyuruh abah buka puasa dgn meminum air kerana bimbang dehydration. Dgn perasaan terpaksa abah buka puasa. Kami faham perasaan abah yg hendak berpuasa walaupun keadaan dirinya yg tidak sihat. (ini mengingatkan ku kpd satu rancangan TV yg aku tonton menunjukkan betapa orang2 yg muda belia sihat gagah perkasa ditangkap tidak berpuasa kerana makan di warung2...alasan tak tahan, gastrik dan sebagainya... itulah bahananya jika iman tidak di dada, wallahualam)

Selasa (30 Ramadhan) - Riuh rumah atok dan Wan dengan 17 - 1(Asma' di Jordan) orang cucu dan anak2 (4 orang). menjelang berbuka puasa, sudah penuh meja dengan juadah ketupat, rendang, lodeh etc pemberian jiran sekeliling (semua jiran adalah saudara-mara ku juga...)
Dalam hati terasa sedih juga mengenangkan anak sulung ku Asma' yg beraya di Jordan bersama sahabat demi perjuangan menuntut ilmu. Berita diterima sebenarnya Asma' sudah pun menyambut Eid Fitri pada hari ini (kebanyakan negara di Timur Tengah menyambut Syawal awal sehari dari Malaysia) Msg dan panggilan telefon pengganti diri, hendak skype atau YM tapi line internet TERSANGATLAH Lembabnya....

3) 1 Syawal

Pagi-pagi lagi kami sudah bersiap sedia utk sembahyang sunat Raya...
balik dari solat, semua anak cucu beratur mengikut giliran bersalaman dgn atok dan wan, ibu bapa, mak dan pak saudara dan sesama sepupu ... sesi mengambil gambar pun bermula...

selepas itu kami memulakan trip mengunjungi sanak-saudara di kampung.... sehingga jam 2 ptg kami semua sudah kembali ke rumah atok dan wan keletihan yang teramat sangat...apataknya dikira dicongak 10 buah rumah saudara telah kami kunjungi....

dapat sms dari Ida dan keluarga hendak datang jam 3 ptg... ku kira ada lebih kurang 1 jam utk berehat, solat dan bersiap sedia menanti Ida dan keluarga berkunjung.

4) 2 dan 3 Syawal
selepas bersiap2 kami bertolak ke JB utk menziarahi sepupu abi, kemudian terus ke Mersing. Lamanya kami tidak ke Mersing... kali terakhir pada tahun 2003 semasa melawat arwah bapa mertua ku di sana. sampai di Mersing lebih kurang pukul 3 ptg...terus ke Suara's Chalet.

Rancangan kami sejak awal tahun ialah hendak berkumpul adik-beradik suami semenjak ibu mertua ku tiada, supaya hubungan silaturahim antara adik-beradik terus kukuh. Namun perancangan Allah lebih mengetahui. 2 orang abng dan adik suami serta keluarga tidak dapat hadir kerana mereka perlu bekerja dan menjalankan tugas masing-masing pada Raya kedua dan ketiga. Seorang di Melaka dan seorang lagi perlu ke offshore...di Terangganu.

4 Syawal
Bertolak balik semula ke Pontian. Singgah di Parit Raja dan Broleh di Batu Pahat menziarahi kakak dan makcik pakcik suami. Sekembali ke Pontian, hatiku lega melihat abah sudah stabil..ada selera makan dan kelihatan ceria bersama-sama anak cucu. Tidak boleh bayangkan anti selepas kami semua kembali ke kota, abah dan mak akan tinggal berdua kembali. Ya Allah, semoga Engkau pelihara kebajikan ibu bapaku sepanjang masa. Amin.

5 Syawal
bertolak balik ke Shah ALam. On d way singgah di Melaka rumah Ida dan Angah (kawan kami semasa menuntut di USA dahulu). Sampai di Shah ALam sudah maghrib. Hurm.... hati mengucapkan syukur kerana keadaan rumah kami selamat sepanjang masa kami di kampung. Tiada perkara yang tidak diingini berlaku... Alhamdulillah ikan2 di akuarium juga telah diberi makan oleh anak2 jiranku yg tidak pulang ke kampung sehingg ahari raya pertama.

Wednesday, September 24, 2008

Rebutlah peluang 10 malam terakhir

Semoga 10 malam terakhir Ramadhan membawa penuh erti bagi diri kita.

Bukan bersuka ria kerana Raya hampir menjelang, bukan sibuk membeli-belah, memasak kuih-muih dsb, tetapi terlalu sedih kerana Ramadhan yang Mulia ini, yang penuh keberkatan dan Rahmat dari Allah swt semakin menghampiri ke hujungnya, semakin hampir meninggalkan kita...

dan nanti kita harus menunggu setahun lagi utk kedatangan Ramadhan berikutnya,

di mana, kita sendiri pun tidak tahu samada kita masih di sini, di bumi Allah ini,

samada umur kita masih panjang lagi untuk berjumpa lagi Ramadhan yang berikutnya...

Marilah kita memperbanyakkan amal-ibadat kita di 10 malam terakhir Ramadhan ini...

banyakkanlah sujud menyembah Allah .....

banyakkan lah membaca ayat-ayat Allah ....

banyakkanlah berdoa kepada Allah ....

semoga segala amal ibadat kita yang kerdil ini diterima olehNya...

Amin.

Friday, September 12, 2008

Kalahiran & kematian

Salam Ramadhan. 12 Ramadhan.

Pagi ini semasa hendak menghantar Hana ke tadika, anakku itu bertanya beberapa soalan yang membuatku kaget dan akhirnya memaksaku memikirkan persoalan tersebut, iaitu tentang kelahiran dan kematian.

"Ummi, baby masa lahir ada nyawa tak ummi, dia hidupkan?" tanya Hana'.

" Nanti bila Hana' dah besar macam ummi, ummi dan abi dah matilah ye?" tanya anakku lagi.

Sambil memandu kereta ke tadika Hana', otakku ligat memikirkan apakah jawapan yang hendak ku jawab dalam bentuk yang sangat mudah untuk seorang anak berumur 6 tahun memahaminya.

..... (sambungan....)

Assalamu'alaikum semua,
Atas permintaan pembaca bloggers sekelian, saya kembali menulis untuk menyambung entri yang tertangguh sekian lama.

Sesungguhnya masa amat mencemburui ku. Sebenarnya bercadang untuk menangguhkan menulis buat sementara waktu, terlalu banyak kerja yang perlu disiapkan, dan juga entah kenapa mood untuk menulis di blog seakan-akan semakin hilang...

ok...kembali semula kepada persoalan yang Hana' utarakan kpd ku ...mengenai kelahiran dan kematian...

Untuk soalan yang pertama:
Jawapan yang aku berikan ialah " Ya Hana', baby ada nyawa semasa dalam perut ibu lagi, sebelum dilahirkan lagi baby dah boleh gerak dlm perut ibu dia" Selepas itu aku mengingatkan dia tentang satu cerita yang kami pernah menonton di TV - documentary mengenai fetus in the womb - suatu masa dulu.

Untuk soalan yang kedua:
Jawapanku: " Ya, Mungkin ummi dan abi sudah meninggal ataupun mungkin belum lagi. "

Hana' bertanya lagi: "Macamana tu ummi?"

Ummi , " Sebab kita tak tahu bila kita akan meninggal (mati) kerana semua tu Allah yang tentukan"

sambungku lagi, " Siapa mak dan abah ummi?"

Hana jawab, " atok dan wan "

"Atok dan Wan hidup lagi ke dah meninggal?" tanya ku.

Hana Jawab, "laaa...atok dan wan kan ada kat kampong .."

"ok...jadi... ummi dah besar tapi mak dengan abah ummi hidup lagikan?" sambungku lagi.

Hana jawab, "ha...ah"

sambungku lagi, " Siapa mak dan abah abi?"

Hana jawab, " nenek, tapi siapa abah abi ya? " (Hana tidak pernah berjumpa arwah bapa suamiku kerana beliau sudah meninggal sebelum Hana dilahirkan lagi)

"Abah abi dah meninggal lama dulu" jawab ku.

"Nenek mana?" tanyaku lagi.

"Nenek...(sambil kelihatan spt sedang berfikir)...eh..kan nenek dulu ikut ummi dgn abi pergi haji, tapi nenek tak ada ikut balik. Ummi kata nenek dah mati kat Mekah.." teragak-agak Hana' mengingati semula peristiwa lalu.

"Meninggal..... untuk orang Islam kita cakap meninggal, bukan mati" kataku lagi.

"Jadi ... abi dah besar tapi mak dengan abah abi dah tak ada lagikan?" kataku lagi.

"Ha...ah" jawab Hana'

"Hana pernah baca dalam suratkhabarkan, ada cerita baby meninggal?" kataku lagi.

"Ha..ah" jawab Hana' pendek.

" Jadi kita tak tahu bila kita akan meninggal dunia, ada orang tua meninggal, ada baby tu pun meninggal juga. Semuanya Allah yang tentukan..." jawab ku.

"Ok...Hana' ... dah sampai sekolah Hana'...nanti kita cerita lagi ya... bye... Assalamu'alaikum" kataku sambil mencium pipi Hana' dan melambai-lambaikan tangan kepadanya yang sudahpun memasuki pagar sekolah tadika Nuh's Ark.



Thursday, September 4, 2008

Berpuasa di perantauan

Sesekali nostalgia berpuasa di perantauan menjelma dalam fikiran. Kali pertama berpuasa di perantauan adalah pada tahun 1984. Ogos 1983 kami berempat (ya, hanya 4 orang dan semuanya perempuan!!!) selamat menjejakkan kaki kami ke bumi USA. Satu tempat yang memang sangat asing bagi kami, remaja hingusan lepasan SPM dan kesemuanya berasal dari kampung.
Entah bagaimana kami tercampak ke situ, sememangnya itu semua adalah perancangan dari Allah swt.
Bandar tersebut dinamakan Tiffin, dalam negeri Ohio. Sebuah bandar yang kecil di baratdaya Ohio. Penduduknya sangat ramah dan baik walaupun pada mulanya memang kami menjadi perhatian mereka di situ. Al-maklumlah rupa kami yang memang tidak berkulit 'putih' seperti mereka.

Kedatangan kami disambut oleh musim luruh di sana. Suasana dan udara begitu nyaman dan kadangkala apabila angin kencang bertiup, menggigil-gigil kami dibuatnya. Kehairanan kerana melihat 'mat saleh dan minah saleh' begitu bersahaja berseluar pendek dan berkemeja-T berjalan-jalan diluar, sedangkan kami sudah mula memakai jaket yang agak tebal.
Kedatatangan musim sejuk bersama salji lebat yang turun menyebabkan kami sangat-sangat rindukan suasana di Malaysia yang sentiasa panas dan hujan.

Beberapa bulan berlalu, datanglah musim panas pada tahun berikutnya. Ditakdirkan bulan Ramadhan juga jatuh pada pertengahan tahun sekitar bulan Jun dan Julai, iaitu ketika musim panas sedang berada di kemuncaknya. Itulah pengalaman pertama kami berpuasa di perantauan dan ia menjadi pengalaman yang sangat menguji tahap keimanan kami.

Apa tidaknya, waktu subuh sekitar jam 4 pagi dan waktu maghrib, iaitu waktu berbuka ialah pada jam 9 - 10 malam. Bayangkan kami berpuasa selama 18 jam sehari!!! Pada waktu yang sama kami terpaksa menghadiri kelas pada semester musim panas. Itulah pengalaman berpuasa yang tidak dapat kulupakan... selepas berbuka kami bersolat dan menunggu waktu isya' untuk sama-sama bersolat berjemaah dan bersolat sunat tarawikh bersama-sama. Selalunya kami habis bersolat apabila hampir tengah malam. Tidur sejam-dua dan bangun pula untuk memasak dan bersahur.... sememangnya kami ketika itu yang pertama kali berpuasa di perantauan, mula merindui keluarga dan kampung halaman masing-masing. Ada yang menangis teresak-esak rindukan masakan emak semasa berbuka dan bersahur, ada yang hanya bersedih tetapi tidak mahu menunjukkan perasaan kepada kawan yang lain.

Namun begitu pengalaman mematangkan kami. Apabila berjauhan dari keluarga, apatah lagi jauh dari suasana masyarakat yang kita biasa, yang seagama dan sebangsa, kami menjadi semakin rapat sesama sendiri. kami berempat sudah menjadi seperti adik-beradik, apatah lagi kami tinggal satu apartment. Kami juga menjadi rapat dengan 'mak Arab' dan pelajar dari Indonesia yang seagama. Terdapat juga beberapa orang pelajar muslim dari benua Afrika seperti Sudan dan Mesir, dan seorang dua dari Pakistan dan Bangladesh. Kadangkala kami menjemput mereka ke apartment kami utk berbuka bersama, kadangkala kami berbuka di rumah mereka pula. Memang benarlah agama Islam agama yang syumul, ia mengikat hati-hati kami walaupun kami dari negara yang berbeza dan bertutur berlainan bahasa.

Walaupun begitu, di sana juga kami melihat mereka-mereka yang mengaku Islam tetapi tidak berpuasa. Mereka mengambil jalan mudah dengan mengatakan bahawa mereka dalam musafir, dibolehkan berbuka, dan ada yang terang-terang meneguk air kencing syaitan itu. Wallahu'alam.

Keadaan sekeliling juga sangat-sangat menguji keimanan kami (nasib baik kami ni perempuan kesemuanya, kalau lah pelajar lelaki, tak tahulah kami.) Musim panas yang panas dan kering, menyebabkan tekak sentiasa haus dan dahaga. Tetapi berkat dan hikmah bulan Ramadhan, kami tidak terasa begitu, cuma kami perlu menjaga hijab pandangan mata kami. Di sana sini, di tengah padang dan di bawah-bawah pokok di sekeliling kawasan kampus universiti, kelihatan bersepah-sepah 'minah-minah saleh' yang hanya berseluar pendek atau berbikini, berbaring di bawah sinar terik matahari. Tujuan mereka ialah supaya kulit mereka menjadi 'tan' atau berwarna coklat sawo matang, seperti warna kulit kita dari benua Asia.

Ya Allah, Engkau peliharalah pandangan kami dari mereka-mereka yang memudaratkan ini, Engkau peliharalah kami semoga sentiasa berada di jalanMu yang lurus dan benar ini.

Bagaimana Menyambut dan Menjalani Ibadat Ramadhan?

Dalam diam sudah masuk hari ke-4 kita menjalani ibadah berpuasa di bulan Ramadhan.
Saya tertarik apabila membaca satu artikel di blog Prof Madya Dr Fauzi Deraman mengenai cara2 kita sepatutnya menyambut dan menjalani ibadat Ramadhan.
Oleh itu saya ingin berkongsi maklumat ini dengan semua pengunjung blog ini, semoga kita sama-sama dapat ingat-mengingati sesama kita dalam mengharungi ibadah puasa sepanjang bulan Ramadhan yang mulia ini.

Dipetik dari http://drfauzee.blogspot.com/

Ramadhan datang lagi. Selamat datang diucapkan kepada tetamu istimewa yang tetap akan berlalu meninggalkan kita. Bulan Ramadhan yang menjanjikan pahala yang berlipat kali ganda. Syaitan dirantai dan dibuka pintu Syorga dan ditutup pintu Neraka. Sesungguhnya Ramadhan adalah bulan kebaikan dan keberkatan.

Selayaknya sebagai Muslim kita bersedia menyambut kedatangannya. Seorang musafir biasanya bersedia sebelum memulakan perjalanan, seorang pekerja bersedia untuk menjalani kursus dan latihan yang berkaitan dengan tugasnya, sebagaimana Syaitan juga – sebelum dirantai – telah mengerah bala tenteranya untuk mempedaya setiap Muslim dengan berbagai cara dan pendekatan.

Dengan itu setiap Muslim sewajarnya berlumba-lumba untuk merebut semua peluang yang tersedia di sepanjang Bulan Ramadhan ini. (Untuk yang demikian itu hendaknya orang berlumba-lumba) (Surah al-Mutaffifin: 26).

Diperturunkan cara yang terbaik bagi menyambut dan menjalani ibadat di bulan Ramadhan.

Pertama: Berdoa supaya berpeluang berada di bulan Ramadhan dalam keadaan yang baik dan dapat melakukan ibadat, dari berpuasa, qiam dan zikir. Anas meriwayatkan yang Rasulullah (s.a.w.) bila memasuki bulan Rejab berkata: Ya Allah berkatilah kami pada bulan Rejab dan Sya`ban dan sampaikanlah kami ke bulan Ramadhan - HR Ahmad dan al-Tabarani).

Para salaf al-salih berdoa agar mereka dapat berada di bulan Ramadhan dan memohon supaya segala amalan yang dikerjakan akan diterima oleh Allah SWT.

Apabila mereka berjaya menjejakkan kaki di bulan Ramadhan dan anak bulan Ramadhan telah kelihatan, mereka berdoa: Allah Maha Besar! Ya Allah! Muncul dan nampakkanlah kepada kami (anak bulan) dengan aman, iman, selamat, sejahtera dan taufik bagi perkara yang Kamu suka dan redha. Tuhan kami dan Tuhanmu adalah Allah - HR Tirmidhi, al-Darimi dan disahihkan oleh Ibn Hibban).

Kedua: Puji dan syukur akan ketibaan Ramadhan. Imam al-Nawawi ada menyebut dalam al-Adhkar: Sesungguhnya sangat digalakkan bagi sesiapa yang berulang ni`mat yang zahir atau tertolak bencana yang zahir untuk bersujud syukur kepada Allah.

Sesungguhnya adalah suatu ni`mat yang besar bagi seseorang hamba jika mendapat petunjuk untuk melakukan ketaatan dan ibadat. Hanya dengan memasuki bulan Ramadhan dalam keadaan yang baik adalah suatu ni`mat yang besar yang melayakkannya bersyukur kepada Allah SWT.

Ketiga: Bergembira dengan kedatangan Ramadhan. Rasulullah (s.a.w.). Rasulullah (s.a.w.) memberikan berita gembira kepada para sahabat dengan kedatangan Ramadhan. Katanya: Telah datang kepada kamu Bulan Ramadhan, Bulan Ramadhan adalah bulan yang penuh keberkatan, Allah memfardhukan kamu berpuasa dan dibuka pintu-pintu syorga dan ditutup pintu-pintu neraka... HR Ahmad.

Para salaf al-salih dari kalangan sahabat dan tabiin cukup mengambilberat dengan bulan Ramadhan. Mereka sangat bergembira dengan kedatangannya. Apakah lagi kegembiraan lebih besar dari perkhabaran hampirnya Ramadhan yang merupakan musim keberkatan dan turunnya berbagai rahmat!!

Keempat: Berazam dan melakukan perancangan awal untuk memanfaatkan Ramadhan. Ramai di kalangan Muslim yang membuat perancangan yang kemas untuk urusan dunia tetapi tidak merancang apa-apa untuk akhirat. Ini berpunca dari sikap memandang sepi akan urusan akhirat dan lupa akan kepentingan kehidupan hari ini untuk bekalan bagi kehidupan yang kekal abadi di akhirat.

Kelima: Menanam azam yang kuat bagi merebut semua peluang dan memakmurkan setiap waktu dengan amal saleh.

Keenam: Mempelajari hukum-hukum yang berkaitan dengan Ramadhan. Selayaknya setiap Muslim beribadat kepada Allah berdasarkan ilmu. Dengan itu, mereka hendaklah mengetahui serba serbi mengenai puasa, agar ia dapat mengerjakannya dengan betul. Ia tidak segan untuk bertanya kepada mereka yang berkelayakan. Firman Allah: (Maka tanyakanlah olehmu kepada orang-orang yang berillmu, jika kamu tidak mengetahuinya.)(Surah al-Anbiya`, 7).

Ketujuh: Menyambut Ramadhan dengan azam untuk meninggalkan dosa dan kejahatan dan bertaubat dari segala dosa dan kejahatan yang lalu. Bulan Ramadhan adalah bulan taubat, jika tidak bertaubat pada bulan ini. Bila lagi mau bertaubat?
Firman Allah: (Dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, agar kamu mendapat kejayaan.)(Surah al-Nur, 31).

Kelapan: Persiapan jiwa dan rohani dengan membaca buku, risalah dan mendengar ceramah dan menghadiri pengajian dan berdiskusi berkaitan Ramadhan supaya setiap orang bersedia dari aspek kejiwaannnya untuk melaksanakan kewajipan yang bakal tiba.

Kesembilan: Menjalankan tugas dakwah dan mengajak kearah kebaikan. Ia boleh dilakukan dengan peringatan (tazkirah) rengkas untuk jamaah di masjid atau surau, membahagikan risalah mengenai Islam, mengagihkan hadiah Ramadhan (Ramadhan Gift) samada dalam bentuk buku, risalah, vcd dan seumpamanya dan sumbangan untuk fakir miskin dan golongan yang memerlukan. Peruntukkanlah dari pendapatan bulanan untuk projek kebajikan Ramadhan.

Kesepuluh: Menyambut Ramadhan dengan lebaran baru.
* Bersama Allah dengan Taubat yang benar.
* Bersama Rasulullah (s.a.w.) dengan mentaati apa yang diperintah dan menjauhi apa yang dilarang.
* Bersama kedua ibubapa, isteri atau suami dan anak-anak, kaum kerabat dengan kebaktian dan hubungan yang baik.
* Bersama masyarakat dengan aktiviti yang baik dan bermanfaat.


Jadual Harian bagi Muslim yang berpuasa:

Sebelum subuh:

1.Tahajjud. Firman Allah: (Apakah kamu wahai orang musyrik yang lebih beruntung) atau orang yang beribadat di waktu malam dengan sujud dan berdiri, sedang ia takut kepada (azab) akhirat dan mengharapkan rahmat Tuhannya? (Surah al-Zumar, 9).
2.Bersahur. Sabda Rasulullah (s.a.w.): Bersahurlah sesungguhnya pada sahur itu ada keberkatannya – HR Bukhari dan Muslim.
3.Beristighfar sehingga azan subuh. Firman Allah: (Dan di akhir-akhir malam mereka beristighfar (memohon keampunan kepada Allah). (Surah Al-Dhariyat: 18).
4.Solat sunat Fajar. Sabda Rasulullah (s.a.w.): Dua rakaat fajar itu lebih baik dari dunia dan seisinya – HR Muslim.

Selepas terbit fajar:

1. Bersegera untuk menunaikan solat subuh berjamaah. Sabda Rasulullah (s.a.w.): Andainya mereka tahu (kelebihan) solat Isya` dan Subuh, nescaya mereka akan datang walaupun merangkak – HR Bukhari dan Muslim.
2. Berzikir dan berdoa sehinggalah iqamat untuk solat Subuh. Sabda Rasulullah (s.a.w.): Doa yang tidak ditolak antara azan dan iqamat – HR Ahmad, Tirmidhi dan Abu Dawud.
3. Duduk di masjid untuk zikir dan membaca al-Quran sehingga terbit matahari. Rasulullah (s.a.w.) terus berada ditempat duduknya sehingga terbit matahari – HR Muslim.
4. Solat sunat dua rekaat. Sabda Rasulullah (s.a.w.): Sesiapa yang melakukan solat subuh berjamaah kemudian duduk berzikir (mengingati Allah) sehingga terbit matahari, kemudian ia bersolat dua rekaat baginya pahala laksana menunaikan haji dan umrah selengkapnya – HR Tirmidhi.
5. Berdoa supaya diberkati sepanjang hari. Sabda Rasulullah (s.a.w.): Ya Allah sesungguhnya aku bermohon darimu kebaikan bagi hari ini, permulaannya, pertolongannya, cahayanya, keberkatannya dan petunjuknya dan aku berlindung dari keburukan yang terdapat padanya dan keburukan sesudahnya – HR Abu Dawud.
6. Keluar untuk belajar atau bekerja. Sabda Rasulullah (s.a.w.): Tidaklah bagi seseorang itu makanan yang lebih baik baginya kecuali dari hasil kerjanya sendiri kerana Nabi Allah Dawud makan hasil kerja tulang empat keratnya – HR Bukhari.
7. Memperbanyakkan zikir untuk sepanjang hari.
8. Infaq atau sedekah harian dengan menghayati doa malaikat: Wahai Tuhan! Kurniakan kepada mereka yang bersedekah itu gantian dari sedekahnya itu.

Dhohor:

1. Solat Dhohor berjemaah pada waktunya dan bersegera padanya. Ibn Mas’ud berkata: Bahawa Rasulullah (s.a.w.) mengajar kami Sunan al-Huda ( sunnah-sunah petunjuk) dan di antara sunan al-huda itu ialah solat di Masjid yang digumandangkan azan padanya – HR Muslim.
2. Berehat seketika dengan niat yang baik. Rasulullah (s.a.w.) bersabda: Bagi badan kamu juga ada haknya.

’Asar:

1. Solat ’Asar berjamaah dan didahului dengan solat sunat empat rekaat sebelumnya. Sabda Rasulullah (s.a.w.) : Allah merahmati orang yang bersolat empat rekaat sebelum solat fardhu ’Asar – HR Abu Dawud dan Tirmidhi.
2. Mendengar tazkirah di Masjid. Sabda Rasulullah (s.a.w.): Sesiapa yang ke masjid tiada niat lain kecuali untuk mempelajari kebaikan atau mengajar orang lain baginya laksana pahala haji yang sempurna pahalanya – HR al-Tabarani.
3. Duduk di masjid. Sabda Rasulullah (s.a.w.): Sesiapa yang berwudu` di rumahnya dan diperelakkan wudu`nya kemudian ke masjid, ia adalah tetamu Allah menjadi hak tuan rumah memuliakan tamunya – HR al-Tabarani.

Maghrib:

1. Berdoa sebelum masuknya waktu solat Maghrib. Sabda Rasulullah (s.a.w.): Tiga golongan yang tidak ditolak doa mereka – antaranya - : Orang yang berpuasa sehingga berbuka.
2. Berbuka dengan juadah berbuka berserta doa.
3. Solat Maghrib berjamaah di rumah atau di masjid.
4. Wirid petang.
5. Bersama keluarga dan melakukan aktiviti yang bermanfaat.
6. Bersedia untuk solat ’Isya` dan solat sunat Terawih.

’Isya`:

1. Solat ’Isya` berjamaah.
2. Solat Terawih sepenuhnya bersama imam. Sabda Rasulullah (s.a.w.): Sesiapa yang melakukan qiam Ramadhan dengan penuh keimanan dan mengharapkan pahala dari Allah akan diampunkan dosanya yang lalu – HR Bukhari dan Muslim.
3. Melewatkan solat witir hingga ke akhir malam. Sabda Rasulullah (s.a.w.): Jadikan witir solat kamu yang terakhir pada waktu malam – Muttafaq ’alayh.


Program terbuka:

- Ziarah kaum kerabat, rakan dan jiran.
- Diskusi (keluarga atau terbuka).
- Hadir program kejiranan.

Tuesday, September 2, 2008

Ramadhan

SELAMAT MENYAMBUT BULAN YANG MULIA
BULAN PENUH RAHMAT DAN KEAMPUNAN DARI ALLAH SWT

RAMADHAN AL-MUBARAK
SEMOGA KITA SAMA-SAMA BERLUMBA-LUMBA
UNTUK MEMPERBANYAKKAN LAGI
AMALAN MULIA

Saturday, August 23, 2008

Equinoks

Azizi Ali - penulis novel Equinoks


Karya: Azizi Ali
Tebal: 405 muka surat
Penerbit: Anggun Publishing
Harga: RM29.90
Bintang: ****


Semalam semasa membaca Berita Harian Online, satu artikel mengenai novel EQUINOKS karya Azizi Ali diberi ulasan penuh (rujuk di sini). Nama Azizi Ali selalu ku terbaca di media cetak... beliau yang lebih dikenali sebagai penulis buku kewangan peribadi yang laris di pasaran Malaysia dan berjaya menembusi pasaran Brunei Darussalam serta Singapura, mula mengorak langkah dalam dunia penulisan kreatif dengan novel pertamanya, Ekuinoks.


Novel ini telah ku beli bulan lepas lagi semasa berkunjung ke MPH SACC Mall dengan diskaun 20%, tapi belum berkesempatan untuk membacanya lagi. Dari sinopsis dan artikel dalam Berita Harian itu, dapat ku simpulkan bahawa novel ini adalah novel jenis thriller, terlibat konflik cinta antara berlainan bangsa, pembunuhan, jenayah dan sebagainya.


Pengarang ini mengajak pembaca untuk menjawab teka-teki siapakah pembunuh Henry dan apakah tindakan Lee terhadap Brenda dan anaknya dalam percubaannya membunuh Iskandar yang dilihat sebagai penghalang kepada rancangannya untuk memilik isteri sahabat baiknya itu.


Thursday, August 21, 2008

Balik Kampung - siri 1

Balik Kampung - siri 1

Alhamdulillah, rindu kepada kampung halaman terubat jua. Kami sekeluarga pulang ke kampung halaman ku di Pontian, Johor pada hari Ahad sehingga Rabu di awal minggu cuti sekolah minggu lepas. Puas hati sungguh kerana dapt duduk-duduk sahaja mengingat kembali nostalgia semasa kecil dengan mengambil angin dan berjalan-jalan di sekeliling rumah ibubapa ku.

Rasa puas kerana tidak perlu melayan ramai orang (selalunya pulang semasa Hari Raya, kena layan ramai saudara-mara yang bertandang ke rumah) dan dapat meluangkan masa bersama-sama kedua ibu bapaku yang tercinta...

Hatiku sayu melihat bapaku yang sudah semakin tua dan uzur... berjalan perlu memakai tongkat dan berpapah ... kerana mengenangkan tangan itulah yang berusaha keras suatu masa dahulu membanting tulang mencari sesuap rezeki untuk kami adik-beradik... ibu ku juga yang sudah semakin tua dimamah usia...walaupun masih ligat ke sana ke mari menguruskan hal-hal keluarga

Tatkala duduk merenung, airmataku tanpa disedari mengalir laju di pipi...Sedih kerana aku tidak dapat bersama mereka setiap waktu di akhir-akhir usia tua mereka... Pernah aku menyuarakan kepada abah, untuk duduk bersamaku di rumahku di kota..tetapi jawapan abah sudah kuduga, "Tak apalah, abah lebih senang dikampung , dirumah ini"
Aku faham perasaan abah, duduk di kota di rumah teres yang dindingnya batu dari bawah hingga atas, dengan pagar depan dan belakang. Tanah hanya sekangkang kera, hendak dibuat mencangkul pun rasanya tidak cukup nak buat batas, walaupun aku tahu tenaga abah, kudrat abah sudah tidak sekuat dulu.
Terkenang di waktu dulu, siapa yang tidak kenal abah, yang rajin berbakti kepada tanah, tidak kira di mana jua kami tinggal. Kawasan tanah sekeliling rumah penuh dengan pelbagai pokok dan tumbuh-tumbuhan, batas2 sayur2an berbaris, apabila tiba masanya hasil dituai... sayur-sayuran tidak menjadi masalah kepada kami sekeluarga, kerana tidak perlu membeli di pasar, hanya memetiknya dari kebun belakang rumah apabila tiba waktu memasak. Aku masih ingat lagi, betapa segarnya sayur-sayuran abah tanam. Sedap dan manis kerana sayur dipetik dari kebun terus dimasak, apatah lagi tiada bahan-bahan kimia dalam pembajaan dan juga penjagaan.
Waktu itu, aku masih ingat lagi, tidak perlu daging, atau ayam, cukuplah sekadar nasi panas, sambal belacan dan sayur-sayuran dari kebun abah. Boleh bertambah sehingga dua tiga pinggan aku makan! (sememangnya daging atau ayam ialah juadah istimewa sewaktu musim perayaan sahaja, keadaan tidak mengizinkan kami makan mewah seperti sekarang yang selalu dapat merasai masakan daging atau ayam)
Pernah pada suatu waktu semasa musim Raya semakin hampir, sayur-sayuran abah memang menjadi, hendak makan kami sekeluarga memang lebih dari cukup, itupun sudah diagih-agihkan kepada jiran-tetangga. Lalu aku mengikat kacang panjang menjadi seikat-seikat, lalu menjualnya kepada jiran-jiran yang tinggal jauh, mula-mula memang rasa malu, tetapi lama-kelamaan aku seronok kerana jualanku laku dan apatah lagi abah menyuruhku menyimpan hasil jualan tersebut...!

Tetapi sekarang, aku merenung tanah kosong dibelakang rumah ku, yang dipenuhi rumput yang sudah semakin tinggi sama tinggi dengan betisku.. meleleh lagi airmataku... Terbayang-bayang dimata, "Mak, hari ni nak masak sayur apa?" tanyaku kepada emak.

"Petiklah sayur apa yang Uda nak makan", kata emak.

lalu aku pun berjalan dari satu batas ke batas yang lain... sambil mataku melilau-lilau melihat sekeliling dan berkata-kata, " semalam dah makan sayur bendi, hari ni nak makan sawi lah pulak" lalu mencabut beberapa batang pokok sawi. Hari tu emak masak sayur bening saja, tapi itulah masakan kegemaranku. Habis semangkuk kuahnya kuhirup...berpeluh-peluh di dahi..!

Aku berjalan lagi menyusuri denai dicelah-celah pohon-pohon manggis yang tinggal beberapa batang sahaja. Dahulunya terdapat lebih sepuluh batang pokok manggis dibelakang rumahku. Itupun aku lihat buah-buahnya jatuh berguguran tanpa ada sesiapa yang hendak memanjat dan mengait buah nya. Aku mendongak ke atas, "Ah.. ranting-rantingnya sudah terlalu tinggi hendak ku panjat..."

"Wahh...ada hati nak panjat, janganlah berangan, umur kau dan keadaan fizikal engkau bukan lagi seperti dulu, 25 tahun, 30 tahun dahulu", bisik hati ku... tersedar aku dari lamunanku...
Tanpa ku sedari, bibirku menguntum senyum... Siapa tidak kenal Uda? jaguh memanjat pokok manggis dikalangan sepupu-sepupuku... Nostalgia dahulu kembali menerpa ke kepalaku..

Waktu itu musim buah manggis... "mak, tahun ini semua pokok manggis tu Uda punya!"
"Hai... larat ke engkau sorang nak panjat pokok manggis tu semua dan kait buahnya?" tanya emak.
"tak apa mak, Uda nak kumpul duit tahun ni..." sahut ku.
Lalu setiap hari selepas pulang dari sekolah aku pun terus menyalin seluar dan t-shirt dan terus ke belakang rumah mencapai galah dan menunjukkan kemahiran memanjatku...
dup... dup... dap.... dup.... sebiji-sebiji buah manggis yang masak dan hampir masak jatuh ke tanah ...
selepas satu pokok ke satu pokok yang lain ... apabila penat, aku turun dan mula mengumpulkan buah-buah manggis itu ke dalam guni.
Petangnya, "apek, apek.... tu kat belakang ada 2 guni saya sudah kait itu manggis, Lu timbang itu cepat!"
beberapa ketika selepas itu... tersengih memanjang memegang not-not merah di tangan...

(bersambung .............)
Berikan sumbangan terbaik anda! Teruskan menyumbang ke Tabung Aqsa2Gaza Emergency Relief sekarang!!! Akaun Maybank Islamic: 5515 7500 4299 Akaun Bank islam : 12 092 01 003490 4 Kemudian sila maklumkan kepada: admin@aqsasyarif.org.my

Nak Baca Entri Lain? Klik Sini....