Wednesday, June 24, 2009

Take a break

I need to take a break from blogging for a while...


untuk meneroka lautan ilmu Allah yang Maha Luas .....


Friday, June 19, 2009

SELAMAT HARI BAPA

SELAMAT HARI BAPA

kepada semua lelaki yang bergelar bapa, ayah, bapak, abah, abi, abuya, papa atau apa saja gelaran yang anda panggil....

Saya tujukan khas utk abah saya , Abd Rahman Bin Jurau.
1952 -------------- 1970 -------------- 2008


dan tidak lupa ayah kepada anak-anak saya...

~~My beloved~~

Sunday, June 14, 2009

Ustaz Fathi Yakan kembali ke Rahmatullah


Fathi Yakan. Nama ini mula saya kenali di pertengahan tahun 80an...apabila saya membeli dan membaca buku beliau bertajuk "Apa Erti Saya Menganut Islam" sewaktu menuntut di USA. Buku itu yang sudah kekuningan warna kertasnya masih saya simpan hingga hari ini. Alhamdulillah saya sangat bersyukur kerana dapat membaca buku tersebut sewaktu diri ini dalam pencarian mencari jati diri dan arah tujuan hidup ini.

Al-fadhil ustaz Dr. Fathi Yakan telah meninggalkan kita pagi semalam... Lahir pada tahun 1933 dan wafat pd hari ini berumor 76 tahun... Sungguh besar jasanya dalam mewarnai dunia harakah islamiyyah.. Sila lihat web ikhwan jordan utk kesahihan berita tersebut.. Semoga beliau ditempatkan bersama para syuhada' : http://www.ikhwan-jor.com/.

Pemergiannya meninggalkan satu sumbangan yang sangat besar dalam dunia pentarbiyahan pejuang Islam. Antara bukunya, 'Maza Yakni Intima'i Lil Islam' ( Apa Erti Saya Menganut Islam ) dan 'Almutasaqitun 'ala toriqidda'wah' (Golongan yg tercicir di jalan dakwah) menjadi antara sumber rujukan utama usrah di pelbagai peringkat masyarakat.

Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan orang2 yg beriman.Al-fatihah...

Friday, June 5, 2009

Lesen Memandu

Semalam mengemas-mengemas purse yang dah tebal dan berat...bukannya banyak duit, tapi penuh dengan segala macam resit, bil dan ntah apa-apa kad... duit adalah sikit, tapi bila tengok balik..laa...sekarang ni semuanya pakai kad... selain dari kad yang asas (IC, lesen memandu dan satu dua kad kredit), ada kad MPH (satu kad yang general, satu kad MPH Kid) ... ada kad Bonuslink, ada kad mesra, ada kad Insurance Perubatan(diri sendiri dan seorang anak...ni nasib baik tak bawa untuk semua... actually ada 10 kad medical insurance utk setiap seorang ahli keluarga...!), ada kad ahli Al-Wahida Marketing.. ni sebab beli barang HPA, ada kad Ria ...ni sebab selalu sangat beli seluar etc di Pusat Pakaian Hari-hari...ada kad kedai buku Sri Tanjong di seksyen 9 .. ni sebab selalu beli buku teks/rujukan sekolah, ada kad AAM dan dan dan.....

.... sedang belek2 kad-kad tersebut, terbelek lah lesen memanduku... sekali baca..biar betul, baca kali kedua, baca kali ketiga..eh, betul lah...tarikh luput..... 18/01/2009!!! Lepas tu cari dalam semua compartment purse tu, kot kot adalah terselit kad tambahan lesen memandu yg telah diperbaharui... tak ada... Ya Allah...selama 5 bulan ni ( Ya...sila baca ..5 BULAN ya...bukan 5 hari!!!) saya memandu dengan lesen memandu yang telah mati! ALhamdulillah tak kena tahan semasa operasi JPJ atau dek polis trafik ke.... Hurm... memang tak teringat langsung nak membelek-belek lesen tu....ingat lama lagi .... ialah kita renew selalu 5 tahun sekali!

Akhirnya pagi tadi pergi ke Pejabat Pos Besar Shah Alam...minta tolong adik kat kaunter tu cek dah pernah renew tak... adik tu senyum-senyum cakap..."akak tak pernah renew lagi ni..."
.....huhuhu.... terus renew dan dan tu jugak....

....Hurm..tak pernah dibuat macam ni...selama 25 tahun ku memandu....!!

Tuesday, June 2, 2009

HAPPY BIRTHDAY TO ME

HAPPY BIRTHDAY TO ME !!

Syukur Alhamdulillah kerana mengurniakan kesihatan yang baik dan segalanya dalam kehidupanku! Sesungguhnya semoga bertambah lagi setahun umurku akan meningkatkan lagi kesedaranku dan menambahkan lagi keinsafanku ke hadrat Allah SWT. Betapa segalanya adalah kepunyaan Allah semata hatta walau sedetik waktu, sesaat nafas yang dihembus hendaklah membuatkan diri ini semakin tunduk dan tawadduk kepada Allah SWT.

AMIN.



Wednesday, May 27, 2009

Menulis

Ya Allah, sesungguhnya memang satu ujian untuk menguji kesabaranku. Namun mungkin ada hikmahnya..think positive...

Isnin minggu lepas telah menalipon ke Hospital Putrajaya untuk membuat appointment bertemu doktor, tetapi telah diberitahu melalui telefon bahawa kena datang juga...Jumaat lepas telah datang ke hospital bersama suami, selepas menunggu 2 jam, rupa-rupanya bukan dapat bertemu doktor tetapi hanya diberi tarikh dan waktu untuk temujanji, iaitu Rabu 27 May, pukul 11 pagi. Hari ini Rabu, bertolak dari Shah Alam pukul 10:15pg, sampai lebih kurang 10:45 pagi. Wah..kena daftar juga walau sudah ada temujanji... sedang mendaftar..sistem 'hang' lah pulak... berkali2 petugas terpaksa masukkan data ke dalam komputer, akhirnya sudah jam 11pg baru berjaya..hanya hendak print no giliran... diarah pergi ke kaunter A bhgn gynae pula...ingatkan boleh terus masuk jumpa doktor since kata appt jam 11pg.. rupa2 kena tunggu juga... nak tahu jam berapa saya dapat masuk jumpa doktor? Ya... appt pukul 11 pg tapi akhirnya giliran saya bertemu doktor jam 2:45ptg!!!! wahhh...... 3 jam 45 minit saya menunggu.... macam ni tak payah buat appointment lah.... baik walk-in je...

Alhamdulillah saya membawa bersama sebuah buku hasil nukilan seorang penulis dan pendakwah yang juga seorang blogger, Kak Ummi Kalthum Ngah, yang baharu saja diterima semalam. Buku tersebut bertajuk, "Jadi, Anda Mahu Menulis?" Alhamdulillah saya dapat menghabiskan membaca buku tersebut selama saya menunggu...

Banyak perkara menarik yang saya pelajari dari buku tersebut... kebetulan beberapa bab dalam buku tersebut juga saya sendiri telah mengikutinya dari bengkel penulisan yang dikendalikan oleh sifu PTS yang tidak asing lagi iaitu Puan Ainon di Taman Permata.
Di antaranya ialah menulis mengikut teknik Surah Yusuf dari kalamullah itu sendiri. Sungguh kagum bagaimana beliau telah mengkaji dengan mendalam tentang surah ini dan menggunakan teknik tersebut dalam melatih penulis-penulis menulis novel atau penulisan yang lain. Salah satu point nya ialah hampir 90% ayat Al-Quran dalam surah Yusuf adalah berbentuk dialog. Penyampaian dalam bentuk dialog lebih berkesan daripada penyampaian secara pasif.

Salah seorang penulis tersohor tanahair , iaitu penulis sejarah Islam, yang mendapat bimbingan dari Puan Ainon ialah Abdul Latip Talib atau Pak Latip. Pak Latip menggunakan teknik Surah Yusuf ini dalam kesemua novel sejarah Islam yang ditulis oleh beliau.

Kaedah KJ dan lain-lain lagi....yang penting setelah selesai, semangat saya untuk menulis telah naik kembali...terimakasih Kak Ummi Kalthum kerana mengirimkan kepada saya buku tersebut...(dah habis baca tapi belum bayar ;-))....

tapi yang paling penting...


sekarang saya perlu menulis ....



satu tuntutan menulis yang sangat penting dalam hidup saya!

Ya Allah Ya Tuhanku...aku hambaMu yang lemah. Ampunilah daku, jika aku ada berbuat dosa walau sedetik waktu, dengan sengaja atau tidak sengaja. Berilah daku kekuatan untuk meneruskan tugas menulis ini...permudahkan segala urusanku...Ya Allah, Engkau tunjukilah jalan penyelesaian bagi segala permasalahan yang timbul...Hanya kepadaMulah aku berserah... Engkaulah yang Maha Berkuasa. KepunyaanMu lah segala sesuatu yang berada di langit dan di bumi dan di antara keduanya.

Tuesday, May 12, 2009

Hari Ibu

Hurm...selalu update terlewat... minggu lepas teramat sibuk hingga tak sempat nak jenguk blog...
tapi tak apalah... just nak cerita berkenaan Hari Ibu.

Sebenarnya kami tak pernah pun celebrate Hari Ibu secara rasmi ..begitu juga dgn sambutan Hari Jadi atau apa2...Pada saya Hari Ibu sepatutnya disambut setiap hari...betul tak semua ibu-ibu sekelian? Jika mengenangkan jasa ibu kita, memang tak terlulis dan tak tersambut...apatah lagi jika diri sendiri sudah menjadi ibu...maka akan terasalah bgmn pengembaraan seorang ibu bermula dari terbit matahari sehinggalah kepala mencecah bantal... semasa tidur juga memainkan peranan yg besar sebagai seorang ibu..bak kata 24 jam sehari 7 hari seminggu.

Secara rasminya Hari Ibu disambut pada 10 Mei setiap tahun. 7 Mei yang lalu, semasa pulang dari menghantar abang Anas ke tuisyen, Hana, anak kelapan dan bongsu ku yang duduk di kerusi belakang bertanya,

"Ummi, Hari Ibu bila?"

Hurm..masa tu saya tak ingat pun berkenaan Hari Ibu... terdiam sejenak, kemudian menyambung, " Bulan Mei ni lah...rasanya 10 Mei hari Ahad ni"

Hana berkata," Kalau Hana nak bagi hadiah kat ummi awal dari Ahad boleh tak?"

Bibirku tersenyumm tidak menyangka Hana yang baru darjah 1 dah beriya-iya nak beri hadiah sempena Hari Ibu. Lagipun mana dia ada duit nak beli hadiah..sangkaku.
Lalu memberitahunya, "Hana..ummi tak kisah pun kalau tak ada hadiah, asalkan Hana jadi anak yang baik dan solehah, dengar cakap ummi, abi dan orang2 yg lebih tua dari Hana. Ummi nak Hana sayang Ummi dan Abi dan adik-beradik semua"

Tiba-tiba dia menghulurkan 3 kuntum bunga plastik yg diikat dengan reben, sangat cantik...
" Ni Hana nak bagi Ummi bunga ni. Selamat Hari Ibu, Ummi!"

Alamak...terharunya...sambil memegang stering kereta dgn tangan kiri, aku mengambil bunga yang dihulurkan oleh Hana... "Terimakasih Hana...Thank You...Syukran ..." masa tu terasa mataku sudah mula mengumpulkan titik-titik jernih dikelopak mata.

Hana menjawab, " Sama-sama, You're Welcome and Afwan...Ummi" sambil mencium pipiku..

Tanyaku lagi, " Mana Hana dapat bunga ni? Hana beli sendiri ke?"

"Hana beli kat kedai sekolah." jawab Hana lagi.

"Mana Hana dapat duit beli?" tanyaku lagi...

"Hana pakai duit yang ummi bagi belanja tu lah..."

"Mahal tak bunga ni?"

"Satu ringgit" .



*** Kak Long Asma' dari Jordan juga tidak lupa menghantar sms mengucapkan Selamat Hari Ibu. *** Terimakasih Kak Long.

Friday, May 8, 2009

Geng's Corner


Balik dari PBAKL, kami singgah di restoren Geng's Corner yang terletak di seksyen 13, Shah Alam. Ini adalah kali pertama kami makan di sini. Ianya terletak berhadapan dengan pejabat / studio Les Copaque production. Boleh tahan sedap juga makanan kat sini.

Tuesday, April 28, 2009

Pesta Buku Antarabangsa KL

Alahai... Lamanya blog ini terbiar... banyak perkara yang hendak diupdate, tapi apakan daya tidak tercapai... kesian blog ini... biarlah saya update dgn sedikit cerita tentang PBAKL yang rata-rata kebanyakan bloggers dah update berkenaan nya.
Setiap hujung minggu kebelakangan ini penuh dengan agenda-agenda tertentu... bermula dengan mesyuarat PIBG, kemudian sukan, Hari Ihtifal (Hari penyampaian hadiah utk murid cemerlang), maka hari Sabtu hujung minggu yang lepas diusahakan juga meluangkan masa utk pergi ke PBAKL di PWTC, walaupun sebuah kertas kerja perlu disiapkan selewat-lewatnya hari Ahad untuk dihantar ke Konferensi Antarabangsa.

Kami mengambil keputusan untuk pergi awal pagi untuk mengelakkan kesesakan orang-ramai.. jam 9 pagi sudah bertolak dari rumah... alahai..sampai sekitar jam 10 pagi di PWTC kelihatan bas-bas sekolah dan rombongan sudah berderetan di tepi jalan...ini mesti sudah ramai para pelajar dan orang ramai dari serata Malaysia.....

Kami masuk dari tingkat atas..lalu melihat buku-buku rujukan sekolah yang banyak dijual terutama bagi para pelajar yg hendak mengambil peperiksaan penting (UPSR, PMR dan SPM)
setelah membeli beberapa buku rujukan utk wafa dan Hana, maka aku melilau mencari buku pesanan Kak Long. Kak Long di Jordan menghantar sms menyuruh membeli buku terbaru Ust Hasrizal, .. puas tanya salesgirl tu..salah seorang memberitahu di tingkat bawah. Lalu kami beredar ke tingkat bawah pula... orang sudah mula ramai...
Dalam perjalanan itu, tersinggah pula di booth TV3 .. melihat ada menjual set bersiri Jejak Rasul yang selalu ditayangkan di kaca TV semasa bulan Ramadhan. Mengenangkan beberapa tahun kebelakangan ini mmg jarang dapat duduk di depan TV semasa rancangan ini ke udara (selalu balik lewat dan kadang2 sibuk menyediakan hidangan utk berbuka puasa) lalu mengambil keputusan membeli set tersebut 9 kerana di jual murah... beli 3 set (Muhammad The Last Messenger~ 8 VCD + Ibnu Batuta~2 DVD + Sahabat As-Salam~2 DVD) ..semuanya hanya RM100/... harap2 selepas ini boleh duduk menengok jika ada kelapangan...
VCD & DVD Jejak Rasul
Sampai di bawah, alamak..ramainya orang...macam semut punya ramai... masuk di dewan bawah (hurm..tak ingat pula nama dewan tu) mula2 masuk nampak booth PTS... kelihatan sifuPTS (Puan Ainon) dgn memakai head band spt telinga Mickey Mouse yang berkelip-kelip ada lampu..sedang melayan orang ramai dan peminat... terus membelek-belek buku di situ.. Nampaknya kebanyakan buku yang ada telah kami beli di MPH SACC Shah Alam sebelumnya... tinggalkan Wafa' dan abi serta Hana' di situ... puas pusing dewan cari buku ust Hasrizal... tidak juga berjumpa... bila tanya semua tak tahu apa penerbitnya, sms Kak Long pun tak cakap penerbit apa... kepala dah pening sbb pusing2 dicelah-celah orang yang semakin sesak... adoii..tak bernafas rasa... on the way hendak keluar dewan tel abi, tanya abi kat mana... ternampak pula ada booth menjual buku "Benarkah Iskandar Bukan Zulkarnain: Membongkar rahsia sebenar seorang pejuang agong" dan " Yakjuj & Makjuj: Rahsia di sebalik Gunung" .. on sale, beli 2 cuma RM40.00 ... dah ambil nak beli ..teringat nak tel abi... Alhamdulillah..nasib baik belum bayar..rupa-rupanya abi pun dah beli... (bila jumpa Wafa semula..rupa-rupanya tengok Wafa pun dah beli kedua-dua buku yang sama!!!) so sekarang kami ada dua salinan setiap buku tersebut...


masih belum berjumpa buku pesanan kak Long... dalam hati berkata, "alamak..kat mana nak cari ni..".. keluar dewan di hadapan dewan ada sebuah pentas utk pelancaran buku oleh penulis..dan banyak kerusi.. jadi ambik keputusan duduk sekejap melepaskan penat... then baru tahu rupanya buku ust Hasrizal adalah diterbitkan oleh Galeri Ilmu, dan booth GI terletak di sebelah luar berhampiran pintu masuk utama... lalu saya pergi bersama Hana mencari buku tersebut... sampai sahaja di booth GI, juga ramai orang... jalan kalau tidak berlaga bahu tak sah...masa ni dah tak larat nak tgk buku lain, terus tanya salesman mana buku Ust Hasrizal..ada pulak offer.. beli 3 buah hanya RM50.00... so beli 'Aku terima Nikahnya..' ~ actually buku dah lama..tapi tak pernah beli lagi.. + 'Bercinta sampai ke Syurga' ~ ini sambungan buku Aku Terima Nikahnya + 'Rindu Bau Pohon Tin'...sebuah travelog perjalanan menuntut ilmu Ust Hasrizal di Jordan.
Bila balik semula ke kerusi di hadapan pentas, kelihatan Ust Hasrizal dan Tuan Haji Abu Hasan Morad sedang memberi ulasan buku ...... Wafa minta beli buku Ust Zul Ramli~ "U Turn ke Jalan Lurus!' ...

Ustaz Hasrizal & Tn Hj Abu Hasan Morad(bos no 1 Galeri Ilmu)


Sedang mendengar ustaz memberi sinopsis buku, kelihatan kelibat seseorang yang sangat dikenali di dunia penulisan, siapa lagi jika bukan Sasterawan Negara Pak Samad Said... rupa-rupanya giliran beliau (bersama Faisal Tehrani) selepas giliran ustaz Hasrizal..


Akhirnya kami mengambil keputusan untuk pulang..kerana dewan semakin sesak dengan orang ramai... rupa-rupanya diluar juga ada booth di sepanjang jalan... lalu kami singgah membeli buku dari Pak Utih, "Suami Memimpin , Isteri Mengurus"... buat panduan kami (walaupun sudah 23 tahun berkahwin!) kebetulan Pak Utih juga ada di situ ..lalu tidak melepaskan peluang utk mendapatkan tandatangan dan bergambar dgn Pak Utih..
Sebenarnya kami pernah menghadiri kursus pasca-perkahwinan kelolaan Pak Utih di UiTM pada tahun lepas..ada menulis tentangnya di sini.
Bersama Pak Utih
Kemudian Wafa pula mengambil buku tulisan Hamdy untuk remaja, " Rancang Hidup Rancang Wang Remaja" dan bergambar dan mengambil autograf dari penulisnya...

Wafa' dan Pakcik Hamdy
Harap2nya sempatlah hendak menghabiskan membaca buku2 yang dibeli ini...
Sebenarnya kalau tunggu sampai petang InsyaAllah dapat berjumpa Kang Habib...siapa lagi jika bukan penulis buku bestseller di Indonesia dan Malaysia... Ayat-ayat Cinta. Anakku Ammar dapat lah jumpa live, sebab dia datang sebelah petang dengan kawan-kawan dia...

Sunday, April 19, 2009

Temanya Merah Hitam


Venue : Marche Movenpick, The Curve
Date : 18th April
Time : 4pm

Theme : Red and Black

Dalam kesibukanku sempat juga mencelah untuk satu acara ini. Acara yang memang ditunggu-tunggu dan dinanti-nantikan, kerana minggu lepas tidak dapat datang. Apalagi kalau bukan pertemuan Makcik-makcik Bloggers (+ 1 pakcik blogger~ Zino)! Sebenarnya pertemuan ini diatur sempena kedatangan Kak Elle dari Singapura.

Bersama Kak Elle (gambar ihsan dari blog pB)
Kali ini kedatangan Kak Elle adalah sempena Pesta Buku Antarabangsa yang diadakan di PWTC, satu acara tahunan yang memang dinanti-nanti oleh anak-anakku setiap tahun.

Hasil kraf tangan Dodie yang tersangat cantik halus dan berseni...
sesiapa nak tempah kad atau anything untuk birthday etc bolehlah contact Dodie ya....(Dodie...ni promosi percuma utk you ni.... kenyit mata sikit! kot kot la boleh dapat hadiah percuma dari Dodie pulak! hehehe.......)


Apabila mendapat emel dari ummi365 minggu lepas, aku termenung juga, kerana tidak pernah menjejakkan kaki di The Curve... macamana nak pergi? aduh pening kepala... tetapi apabila tengok senarai nama makcik bloggers yang akan hadir... ada nama kak aNie@kak Lady... dan juga pB.. cuma dua orang ini sahaja yang pernah aku jumpa dan kenal di alam realiti. Yang lain semuanya belum pernah bertemu dan ada juga yang tak pernah meninggalkan jejak di blog mereka. Namun aku merasakan inilah peluang untuk dapat bertemu dan berkenalan dengan ramai makcik bloggers pada satu masa....

Sedang termenung, tiba-tiba pB talipon..."Kak Azzah dah baca emel ke?" tanya pB.
"Dah", jawab ku... "tapi akak tak tahu macamana nak pergi tempat tu lah, dekat dengan IKEA kan?" sambungku lagi. "tumpang pB boleh", pB menjawab, "Kak, saya dari Punchong terus sahaja lalu LDP" ... "ok lah..nanti akak tanya kak Lady pulak"
Bila tanya kak Lady, dia kata ok...dia akan drive... jadinya aku hanya perlu pergi ke rumah dia sahaja. Alhamdulillah... Sampai harinya, pukul 3ptg aku mula bertolak dari rumah menuju rumah kak Lady, sampai lebih kurang 3:30ptg.. dalam 3:45ptg kami bertolak dari rumah kak Lady...tiba di The Curve dalam pukul 4:15ptg. Ok jugak..tidaklah lewat sangat....selepas parking terus naik ke atas dan mencari restoran Marche (sebut Mar..Shay..)..nasib baik kak Lady tahu tempat ini...thanks Kak Lady...

4 makcik bloggers ! (cikMilah, me, kakLady@kakaNie dan ummi365)
Sewaktu masuk ke dining hall yang ditempah khas oleh ummi365 cum manager ini, kelihatan beberapa makcik bloggers sudahpun tiba. Dari jauh aku cam ummi365, pB dan kak Ezza, yang lain tidak kenal, lalu bersalaman dengan Kak Nong, Raden Galoh, Tulipurple.
Bersama cikMilah (gambar ihsan dr blog pB)
Kemudian aku diperkenalkan dengan seseorang, selepas bersalaman, dia suruh teka siapa dia. Aduish... puas sudah nama2 bloggers yang pernah aku lawati blog mereka kusebut, tapi semuanya salah. Rasa bersalah sungguh, tak ada clue langsung siapa dia!! Tapi dia berkata, "kita sudah kenal dan sangat mesra di alam maya!" Lagi membuat hatiku berdebar-debar dan rasa sangat bersalah.... dia terus menggenggam erat tanganku... sedang kami berteka-teki itu... tiba-tiba tetamu kehormat sampai. Siapa lagi jika bukan Kak Elle dari nun jauh di selatan, bersama-sama dua escort iaitu Dodie dan Mas. Selepas bersalaman dan berpeluk-pelukan dengan Kak Elle, Dodie dan Mas, aku masih tertanya-tanya...siapa ya? dalam hati berkata, "tak apalah...tunggu nanti kak Elle mesti kenal..." Tiba-tiba terdengar Kak Elle bertanya, "Mana CikMilah?" Dengan spontan aku berpaling dan melihat kembali kepadanya dengan mata terbeliak, "laaaa....cikMilah ke?"... terus dia menganggukkan kepalanya dan kami berpelukan erat lama... tidak dapat ku tahan airmataku mengalir keluar... mungkin airmata gembira kerana sekian lama kami berkomunikasi di alam maya tetapi baru kini dapat bersua muka. Memang tidak kusangka ... baru teringat..."oohhhh...inilah yang ummi365 dok kata dalam emel beliau.....There will be a SURPRISE for all of you..... rupanya yang HANYA tahu kedatangan cikMilah dari Penang ialah ummi365 dan Kak Elle sahaja"

Gempak dan happening sungguh makcik-makcik bloggers ini... nasib baik Tulipurple dan Kak Nong membawa kanda masing-masing, jadi pakcik blogger Zino tidaklah 'sogan' sangat sorang-sorang kumbang dikelilingi oleh bunga-bunga! ...


Berdiri belakang(dari kiri): Tulipurple, Mas, Kak Nong dan Dodie
Berdiri tengah (dari kiri): Kak Lady@Kak aNie, CikMilah, Raden Galoh, pB, kak Ezza, Zino, Ummi365, me
Duduk di hadapan(dari kiri): Aeez (anak kak Lady), Queen Elle,

Dari pertemuan ini, sesungguhnya aku mempelajari banyak perkara. Salah satunya ialah bgmn melalui dunia IT sekarang berupaya untuk menyatukan hati-hati walaupun kami tidak pernah kenal dan tidak mempunyai sebarang pertalian darah sekalipun. Ini adalah kerana melalui internet dan blog, kami berkenalan, berkongsi pengalaman dsbnya.
Kami mengetahui perjalanan hidup masing-masing melalui blog. Contohnya ummi365, bgmn beliau menjalani kehidupan membesarkan anak2 berseorangan di sini kerana suami bekerja jauh nun di seberang lautan dan benua (seakan-akan kisah ku juga suatu masa dahulu), Raden Galoh (i'm a silent reader of her blog) yang berjuang dan bersemangat kental dan tabah mengharungi dan menghadapi penyakit no 1 yang paling ditakuti oleh setiap wanita! Dan sempena pertemuan ini, aku adalah pembeli pertama buku beliau yang akan di'launch' pada hari Isnin sempena Pesta Buku di PWTC..siap dengan tandatangan khas dari author! Buku beliau yang bertajuk "Kanser Payudaraku" menawarkan kepada pembaca pemahaman yang mendalam tentang diri pesakit dan cara meneruskan kehidupan dengan sakit kanser.
dan bloggers yang lain dengan kisah dan cerita masing-masing.

Cenderahati yang diterima dari makcik bloggers.....
Coklat yang tersangat sedap homemade dari cikMilah, jauh tu datang dari Penang... siap bagi 2 lagi satu lagi untuk anak dara ku Hana'... sehelai tudung lembut dan cantik, headband yg Kak Elle knit sendiri dan Buku Surah Yasin dari Kak Elle, bahulu bentuk ikan dari Kak Ezza, dan satu koleksi keluaran khas dan terhad duit syiling Malaysia 1990 dari Kak Nong(K Nong kerja di Bank Negara...promosi ini...sesiapa yang memang mengumpul duit syiling khas boleh berhubung dengan K Nong..), kipas dan purse comel dari Tulipurple. Buku tu ialah buku yang dibeli dari Raden Galoh.

Keluaran khas syiling Malaysia 1990 dari Kak Nong

Saturday, April 18, 2009

Rubik's Cube


Koleksi Rubik's Cube Mu'adz dan Anas

Blog sudah bersawang! huhuhu... Kebelakangan ini tugas-tugas hakiki yang semakin banyak dan perlu diselesaikan membuatkan ku tidak sempat hendak mengupdate blog. Sehinggakan hari lahir Muadz (Jan dahulu) dan Kak Long (pd 7 April) juga tidak sempat hendak ku tulis. Dalam kepala ini banyak perkara yang hendak dikongsi bersama rakan alam maya ini, tetapi draf tersebut hanya tinggal draf sahaja, tidak dapat ku tuliskan di sini. Namun ku cuba untuk mengingati kembali apakah yang hendak kutulis satu persatu...

Selain daripada Sudoku, anak-anakku terutamanya Mu'adz dan Anas sangat suka bermain Rubik's Cube. Sempena hari lahir Mu'adz yang ke 12 pada Jan lalu, hadiah yang dimintanya adalah Rubik's Cube! Bukannya dia tak mempunyai Rubik's Cube di rumah, tetapi dia meminta membelikan Rubik's Cube 4 X 4, kerana katanya Rubik's Cube 3 X 3 dia sudah terlalu mahir memainkannya... Masa terpantas untuk dia menyelesaikannya ialah 17 saat!! WOW!

dan WOW! harga satu Rubik's Cube ini bukanlah murah! (yang original lah... ) kalau yang tak ori tu boleh dapat bawah RM10 sahaja di kedai runcit biasa, tetapi selepas beberapa kali main sudah pasti akan ada yang tertanggal dan gerakannya tidak smooth....

Harga untuk 3 X 3 ialah RM39.90 (beli di Toy 'R' Us) dan untuk 4 X 4 ialah RM89.90!!!

Inilah tambahan koleksi Rubik's Cube yang Muadz dan Anas ada....

Thursday, April 2, 2009

Sudoku


Hujung minggu yang lalu Anas telah masuk peraduan Sudoku sempena hari menderma darah yang di adakan di Dataran Shah Alam... dan guess what? Anas menang tempat pertama! Alhamdulillah.....

Sebenarnya ramai anak-anakku yang memang suka bermain Sudoku. Apakah Sudoku? Rasanya ramai orang tahu apa itu permainan Sudoku. Saya memang menggalakkan anak-anak bermain Sudoku kerana ia memang menguji kepintaran akal. Untuk tahu bermain satu kemestian, apabila sudah tahu bermain Sudoku, masa terpantas menyudahkannya menjadi taruhan... Ia juga ada dalam pelbagai peringkat: mudah (beginner), sederhana (amatur) dan Susah (expert).

Zaid suka bermain Sudoku online, menguji kepantasan menyudahkannya. Wafa suka bermain Sudoku dengan membeli buku-buku Sudoku. Tahun lalu Wafa' telah memasuki pertandingan "Sudoku Samurai" ..tetapi tiada rezeki menang kerana terlalu ramai peserta dan ramai yag handal-handal belaka.


Wafa' sedang memerah otak hendak menyelesaikan permainana Sudoku...

Wednesday, March 18, 2009

Cabut Gigi

Pagi ini buat kali kedua Hana berkunjung ke klinik gigi (bawa ke klinik gigi di Pusat Kesihatan UiTM).

Cuti hujung tahun yang lepas pertama kali memperkenalkan Hana ke klinik gigi...hanya untuk buat scaling sahaja...Alhamdulillah dia okay...tak menangis.

kali ini Hana memang kena cabut dua gigi susu bawah depan kerana gigi kekal sudah tumbuh di belakang. Untuk mengelakkan gigi kekal itu tumbuh senget, gigi susunya perlu dicabut.

Sewaktu menunggu, Hana relaks sahaja, siap boleh main-main dan nyanyi-nyanyi di ruang menunggu. Sewaktu giliran Abang Zubair nak cabut gigi, Hana masih boleh senyum dan ketawa lagi... tetapi apabila sampai sahaja giliran Hana... dia mula merengek...apatah lagi bila baring di kerusi tu tengok semua alat-alat cabut gigi tu...tiba-tiba perasaan takut dia muncul..Hana mula menangis...alamak...puaslah ummi dan doktor nak pujuk....

Tapi bila doktor dah sapu gel kebas tu, dia dah tak rasa apa-apa ... dia mula relaks...sambil tu puaslah ummi dan doktor cakap macam-macam nak pujuk dia jangan takut.... siap suruh dia tutup mata...hehehe...tak mahu kasi dia tengok jarum doktor nak inject kasi kebas, sebab gigi susu tu masih kuat tak goyang lagi...

Alhamdulillah...the rest is history...Hana sudah boleh tersenyum sekarang... beritahu dia, "nanti boleh cerita kat kawan-kawan sekelas yang Hana cabut gigi tak menangis!"
Hurm..nanti petang kena beli ais-krim sebab tadi janji kalau dia tak menangis semasa cabut gigi ummi hadiah ais-krim... hehehe..

Monday, March 16, 2009

Legaaaaaa.............

ALhamdulillah.....legaaaaaaaaaaaa

Selepas maghrib tadi...terus tertidur..........letih sangat-sangat......

Hujung minggu ini orang lain semua sedang seronok hendak memulakan percutian mereka sempena cuti sekolah, tapi tidak dapat ke mana-mana...lagipun IPTA tempatku bekerja juga tidak bercuti...jadi memang tidak dapat membawa anak-anak ke mana-mana pun...
2 hari weekend ini (Sabtu dan Ahad) UiTM mengadakan EKSPO SELANGKAH KE UiTM 2009 untuk pelajar2 lepasan SPM dan STPM bertempat di Stadium Malawati, Shah Alam...(juga di kampus-kampus cawangan uitm di seluruh negara) semua fakulti diberikan booth masing-masing untuk memberi penerangan kepada calon2 yang hendak memohon masuk ke UiTM...dan saya? diberi tanggungjawab untuk mengendalikan booth untuk fakulti ku... dan perkara ini hanya diberitahu beberapa hari sebelum ekspo berlangsung! kelam-kabut juga jadinya hendak menyediakan beberapa perkara yang diperlukan semasa ekspo nanti... ditambah lagi nama fakulti juga baharu sahaja diluluskan untuk mengunapakai nama yang baru... oleh itu semua brosur, bunting dan back drop untuk pameran di booth perlu ditukar nama ke nama yang baru.... adoiiii...tinggal 2 hari lagi...Alhamdulillah syarikat printing yang selalu kami tempah sanggup mencetak brosur dan cenderahati (book mark) beberapa ribu salinan dalam masa itu...
Hendak mencari orang menjaga booth juga satu masalah.... sudah ditakdirkan ekspo ini berjalan serentak juga dengan satu konferens kebangsaan yang dianjurkan oleh Institut Penyelidekan UiTM di Melaka...maka ramailah AJK yang pergi ke sana untuk membentang kertas kerja...dan ramai juga yang sudah bercadang mengambil cuti untuk pulang ke kampung masing-masing samada untuk menghadiri majlis perkahwinan atau lain2... . Akhirnya dapat juga melantik beberapa orang pensyarah untuk bergilir menjaga booth sepanjang 2 hari ekspo ini dijalankan....

Alhamdulillah sambutan sangat mengalakkan....Ramai sungguh orang yang berkunjung ke ekspo ini...hari pertama sahaja, 1000 salinan brosur bagi setiap program diploma yang ditawarkan oleh fakulti hampir habis diedarkan kepada ibu-bapa dan calon2 lepasan SPM dan STPM...terpaksa pula menalipon ke sana ke mari mencari orang yang boleh membuka pejabat (maklumlah hari ni hari Ahad...orang bercuti) untuk mengambil brosur tambahan.
Para petugas booth tidak 'menang tangan' hendak melayang ibu bapa dan calon yang hendak bertanya mengenai program2 yang ditawarkan di fakulti...

Selesai sahaja, kami pun mengemas booth dan mula mengangkut barang ke kereta untuk dibawa pulang ke fakulti...sebaik sahaja kami beredar, hujan turun mencurah-curah dengan sangat lebatnya membasahi bumi Shah Alam...

Kepada para petugas Ekspo, ribuan terimakasih saya ucapkan, begitu juga hubby tersayang... kerana menolong membawa dan menghantar ku beberapa kali berulang-alik dari rumah-stadium-fakulti membawa barangan pameran.

Kepada calon-calon pelajar yang memohon masuk ke program2 di UiTM, tahniah di atas apa jua keputusan SPM/STPM yang telah diperolehi dan semoga permohonan anda berjaya. Anda bukan lagi di bangku sekolah, sebenarnya perjalanan kehidupan anda baru bermula. Bermulalah perjalanan anda kelak sebagai seorang bergelar mahasiswa/i dan semoga maju jaya dalam apa jua bidang yang anda ceburi.

Wednesday, March 11, 2009

Stamps from Canada

Stamps and stickers from Uncle Lee,Canada


Setem-setem tersebut masih terlekat di kertas sampul surat yang digunting




Bermulalah proses menanggalkan kertas sampul surat...
Mula-mula rendam dalam mangkuk berisi air,
kemudian apabila setem telah tertanggal dari kertas,
keringkan setem secara terbalik...
tunggu sehingga kering...



Haaa...setem dah kering...
ummi kena pergi beli stamp album yang baru
kerana stamp album yang ada sudah penuh...




Hana sedang menyusun setem-setem Canada yang sangat cantik ke dalam album setem...

...... "Terimakasih daun keladi...." Uncle Lee..........

From: Hana.....

Tuesday, March 10, 2009

Menjawab TAG

Ribuan terimakasih saya ucapkan kepada DalamDakapanIbu kerana telah menganugerahkan tag "Mom of the Year" seperti di bawah, tetapi ingin saya menyusun sepuluh jari memohon maaf kerana tidak dapat menjawab seperti yang dikehendaki. ....


begitu juga dengan abangLong, kerana menyuruh berkongsi pengalaman tentang WARKAH CINTA..... rasanya tidak dapat dipenuhi permintaan ini...


Walaubagaimanapun, terimakasih kerana mengingati saya.

Thursday, March 5, 2009

E-Business

Ingin mengambil kesempatan ini untuk mempromosi e-biznes anak saya bersama-sama rakannya, jubah-jubah cantik dari Timur Tengah. Sila layari http://hananonline.blogspot.com/

Allah SWT berfirman : " Wahai anak Adam, telah kami turunkan buat kamu pakaian yang boleh menutup aurat-aurat kamu dan untuk perhiasan"
(Al-A'raf : 26)

Dan jika anda memerlukan butang-butang eksklusif untuk pakaian anda atau kraf tangan (beg, dll), sila layari
http://www.buttonplanetent.blogspot.com

Monday, March 2, 2009

Anak tukang Jahit (2)

Satu lagi peristiwa sebagai anak tukang jahit yang masih ku ingat ialah sewaktu aku berumur 15 tahun, iaitu di tingkatan 3. Peristiwa ini juga berlaku sewaktu dalam bulan Ramadhan, iaitu kira-kira lagi seminggu hendak menyambut Syawal, Hari Raya Puasa.

Seperti biasa tempahan baju yang ibu terpaksa jahit masih banyak lagi walaupun Hari Raya hampir menjelang tiba. Tugas aku sekarang sudah naik taraf, kerana aku sudah pandai menjahit, maka ibu hanya akan menggunting kain-kain baju, sedangkan tugas aku ialah menjahit. Dengan ini banyak helai dapat disiapkan dalam masa sehari, paling banyak 4 hingga 5 helai. Kemudian aku juga akan menjahit kelim baju, butang etc. seronok sungguh kerana ibu bukan hanya menyuruh aku menjahit sahaja, tetapi akan mengupahku juga. Jika sehelai baju upahnya RM15, maka aku akan mendapat RM5. Pada waktu itu, RM5 membawa nilai yang sangat tinggi bagi seorang remaja berumur 15 tahun!. Jika aku dapat menjahit sepuluh helai baju, bermakna aku mendapat RM50! dan tempahan orang adalah berpuluh-puluh helai....Kiranya duit poket aku pada tahun itu memang lumayan....

Satu hari, selepas berbuka puasa dan solat terawih, aku seperti biasa menolong ibu menjahit...
sambil memegang kain baju untuk dijahit, aku menggerakkan kain ke hadapan, sambil kaki menggoyangkan gelendong mesin.....tiba-tiba mesin terhenti!....mula-mula tidak rasa apa...tapi apabila melihat ke mesin jahit, rupa-rupanya jarum mesin telah menembusi kuku jari telunjuk tangan kiriku hingga menembusi ke bawah!
Apalagi..... " Maaakkkkkkkk!" Jeritku....selepas beberapa ketika aku cuba menggerakkan jarum mesin tersebut agar keluar dari jari ku, Alhamdulillah berjaya. Tiba-tiba ibuku berkata,
"Eh... kenapa jarum ni tinggal separuh saja? Mana lagi separuh?"
Ibu cuba mencari disekeliling mesin itu jika ada ternampak hujung jarum yang patah itu, tapi tiada kelihatan.

Hatiku merasa ragu seketika, jari sebelah tangan kanan cuba memicit-micit tempat termasuk jarum tadi, "Mak....ada rasa keras sikit dalam jari ni...entah-entah hujung jarum yang patah tu ada kat dalam jari Uda ni? " kataku...sambil itu cuba untuk memicit keluar hujung jarum tersebut yang patah dalam jari ku...air mataku sudah meleleh membasahi pipi dan bajuku...

Setiap kali picit, yang tersembul keluar hanyalah isi daging jariku...bukannya hujung jarum itu. Nampaknya spt hujung jarum itu sudah melekat di daging jari tanganku...Ibuku lekas membalut jari dengan kain perca (kain lebih menjahit)..
"tak boleh jadi ni...kena bawa ke hospital jumpa doktor" Ibu berkata.
Waktu itu sudah malam, bapaku memanggil bapa saudaraku yang mempunyai kereta untuk menolong membawaku ke hospital. Aku sudah berhenti menangis...cuba bersikap tenang menghadapi situasi seperti itu.
Sampai di hospital, seperti biasa hospital awam, walaupun pergi ke bahagian 'emergency' tapi layanan nya seperti macam bukan untuk emergency...
Dipendekkan cerita...doktor telah membuat X-ray dan memang sah hujung jarum yang patah itu terlekat di dalam hujung jariku.Namun begitu doktor tidak mahu mengambil risiko, di khuatiri hujung jarum tersebut termasuk ke saluran darah, maka itu menjadi semakin merbahaya kerana ia boleh berjalan mengikuti saluran darah dan terus ke jantung!
Aduish....! mendengar penjelasan doktor tersebut membuatkan ibu-bapa semakin risau.
Doktor tersebut berkata tiada kemudahan untuk membuat operasi di hospital Pontian (pada tahun itulah...1980), kena bawa ke hospital Johor Bahru!

"Alamak! " Kataku dalam hati... " pergi hospital JB? Malam-malam buta ni? Haaaa...macamana nak sahur ni? Kena puasa ke tidak?" Pelbagai soalan bermain di kepalaku...

Akhirnya bertolaklah kami menaiki ambulan ke Hospital JB di tengah malam tersebut...
sampai di JB dalam pukul 2 pagi...mana ada doktor ...(sepatutnya ada doktor on-call, tapi masa tu kecik lagi..mana faham...nurse kata doktor tak ada, tak ada lah...) sudahlah bulan Ramadhan pula...
kenalah aku dimasukkan ke wad terlebih dahulu (satu perkara yang cuba dihindari oleh ku...)...untuk menunggu pemeriksaan doktor kesokkan harinya.

Esoknya sekali lagi jari ku di X-ray...dah memang sah hujung jarum mesin yang patah itu ada terlekat di hujung jari ku... doktor mengesahkan aku kena menjalani pembedahan. Wah! dengar sahaja perkataaan "pembedahan" sudah kecut perut ...tapi kena tunggu dulu mungkin minggu depan...
"Alamak.....jeritku dalam hati...kena berpuasa di hospital!....Kena makan makanan hospital! Kena tidur di hospital! tak nak!tak nak!...." ...tetapi siapalah yang sudi mendengar jeritan hatiku...dan yang paling aku risaukan "Kena sambut Hari Raya di hospital!!!!!" TAK NAKKKKK!!!!!

Paling tidak dilupakan, betapa bosannya aku duduk di wad tersebut, kerana disekeliling ku semuanya orang tua yang sakit macam-macam, sedangkan aku rasa aku sihat walafiat ...cuma sakit di hujung jariku sahaja....lalu bila ibu-bapa datang melawat, aku menyuruh mereka membawa sebanyak mungkin buku-buku sekolah untuk aku membaca dan mengulangkajinya...kerana selepas cuti Hari Raya akan adanya peperiksaan SRP (dulu SRP sekarang PMR)

Dua hari sebelum Hari Raya, apabila doktor datang melawatku, selepas membelek-belek hujung jari ku..doktor berkata, "okaylah Nurazzah, daripada x-ray tersebut, hujung jarum itu melekat di isi / daging jari awak, dan jauh daripada saluran darah. Mungkin kita tidak perlu melakukan pembedahan, kita tunggu beberapa hari lagi sehingga kita boleh keluarkan nya dengan perlahan..."
Mendengar sahaja doktor berkata, "beberapa hari lagi..." aku terus membuat muka kesian depan doktor, dan merayu... "Doktor...beberapa hari lagi nak Raya, saya tak nak sambut Raya di hospital, saya nak sambut Raya kat kampung, kat rumah saya...benarkan saya balik dulu doktor?"
Setelah mempertimbangkan permohonanku, doktor pun berkata, "okay..saya benarkan awak balik beberapa hari, tapi hari Raya ke-3 awak mesti datang semula ke hospital"

yea...!.yea....! Rasa macam nak melompat atas katil hospital tu! betapa gembiranya dapat sambut Raya di rumah, di kampung....

Dipendekkan cerita, selepas Hari Raya kami ke hospital semula, dan doktor berjaya mengeluarkan hujung jarum mesin yang patah itu dari hujung jari ku... Alhamdulillah tidak mendatangkan apa-apa yang mudarat...

Betapa pengalaman sebagai anak tukang jahit, yang berhempas-pulas mencari rezeki, memberi pengajaran dan pengalaman yang tidak terhingga kepada diriku.

Tuesday, February 24, 2009

Anak Tukang Jahit(1)

Sejak dari kecil ibuku mengambil upah menjahit untuk menambah pendapatan keluarga. Masihku ingat aku suka duduk di sebelah mesin jahit ibu melihat ibu menjahit...ralit sungguh melihat roda mesin berpusing. Waktu itu mesin jahit ibu adalah mesin jenis lama yang menggunakan goyangan kaki untuk menggerakkan gelendong mesin (bukan menggunakan motor elektrik). Ia mempunyai 4 laci kecil, 2 di sebelah kiri dan 2 di sebelah kanan. Aku selalu menolong ibu menyusun benang-benang dan pelbagai alatan jahitan di dalam laci-laci tersebut. Kadang-kala semasa ibu sedang berehat atau memasak, aku akan main pondok-pondok di bawah mesin jahit tersebut. Duduk di tempat goyangan kaki sambil goyang ke depan belakang seperti menaiki buaian. Seronok sungguh, sehingga apabila ibu nampak terus dimarahi ibu.
(Gambar ihsan Muhammad Khairi. 2006,SMK Bukit Jana. 34600 Kamunting, Perak.Nota Kemahiran Hidup
www.freewebs.com/khbsatu/jahitan.htm
)

Sehinggalah tahun 1975, sewaktu aku berada dalam darjah lima, pelanggan ibu sangat ramai. Ini adalah kerana kami duduk di dalam quarters dan ramai jiran tetangga dan rakan-taulan menempah baju dengan ibu.
Masih ku ingat, sehingga malam Hari Raya, ibu masih lagi menjahit menyudahkan jahitan tempahan baju.

Aku, "Mak, bila nak gunting baju Raya Uda?"

Mak, "Nantilah bila mak dah habis jahit baju makcik ni ya, mak gunting baju Uda." Ibu cuba memujukku.

Aku diam sambil memerhati goyangan kaki ibu di mesin jahit dan menggenggam kain untuk membuat baju kurung Hari Raya. Entah bila aku terlelap aku pun tidak sedar.
Esok pagi lagi kakakku sudah mengejutkan aku, "Bangun-bangun, hari ni Hari Raya...bangun mandi nanti boleh pakai baju baru dan pergi jalan rumah kawan" Semasa itu bukannya nak pergi solat sunat Hari Raya, tetapi Hari Raya nak jalan rumah jiran dan kawan untuk kutip duit Raya...

Yae...yae... boleh pakai baju baru...! tiba-tiba aku terdiam apabila teringat tentang baju kurung, lalu terus teringat...

"Ini mesti mak dah gunting dan jahit baju kurung Uda"...

Bila pergi ke bilik ibuku...aku melihat ibuku baharu hendak menggunting kain untuk membuat baju kurung Hari Raya ku...aku terdiam...

Mak berkata, " Tunggu sekejap ya, mak tengah gunting ni, sekejap lagi siaplah,,,Uda pergi mandi dulu wangi-wangi ya."

Al-kisahnya, pagi Raya tersebut, seorang budak sekolah darjah 5 (aku lah tuh..) dengan muka sedih duduk di tepi tingkap rumahku sambil memerhatikan rakan-rakan bergembira memakai baju baru dan berkunjung ke rumah jiran tetangga. Air-mataku meleleh membasahi pipi kerana tidak dapat memakai baju raya pagi-pagi dan bergembira bersama kawan-kawan berkunjung ke rumah jiran tetangga.
Akhirnya aku dapat memakai baju kurung Hari Raya ku sewaktu tengahari dan semua kawan-kawan sudah pulang ke rumah masing-masing...

Hari Raya yang paling tidak dapat ku lupakan sepanjang hidup ku!



Sejak Hari Raya tahun itu, aku menanam azam hendak belajar menjahit dan menjahit sendiri baju Raya ku... hari-hari seterusnya apabila ada masa kelapangan aku akan melihat bagaimana ibu mengambil ukuran badan, bagaimana ibu mengira formula untuk melukis pelan baju, melukis pelan baju di atas kertas, dan seterusnya mempelajari menggunting baju...

Akhirnya pada tahun 1976, aku menggunting dan menjahit sendiri baju kurung Hari Raya ku! Tidak perlu lagi menunggu ibuku menjahitkannya kerana aku tahu kalau hendak menunggu ibu menjahit, alamat peristiwa lama akan berulang kembali...

p/s: Itulah orang kata, tukang rumah, rumah sendiri tidak siap
tukang jahit, baju sendiri dan anak-anak juga tidak dapat dijahit sendiri!

Akhirnya, aku mempelajari melukis pelan dan menggunting pelbagai pattern baju...
Kemahiran menjahit ini aku gunakan sepenuhnya semasa aku melanjutkan pelajaran di USA... (dapat tambah duit poket!)... ramai rakan menempah baju kurung dan baju melayu semasa menjelang Hari Raya (ialah...kat sana mana ada tukang jahit pandai jahit baju kurung Malaysia kan...)
Begitu juga apabila telah berkahwin (jahit sendiri baju kahwinku) dan mempunyai anak (Kak Long lah tu..)... sungguh seronok menjahit baju-baju gown anak perempuan...dengan ruffles, frills, renda, buttons....
Sehinggakan kawan-kawan yang mempunyai anak perempuan juga turut menempah baju gown anak mereka...

Thursday, February 12, 2009

Inikah adab pelajar zaman sekarang?

Inikah adab pelajar zaman sekarang?

Apakah nilai adab seorang pelajar di zaman ini? Bukan budak sekolah rendah dan juga bukan budak sekolah menengah, tetapi pelajar institusi pengajian tinggi di negara ini, pelajar yang bergelar mahasiswa! Kita berusaha untuk mendidik (bukan sahaja mengajar) mereka, tetapi inikah balasan atau adab mereka terhadap seorang pendidik?

Kita diajar bukan sahaja mempelajari apa yang diajar oleh guru di sekolah/ pensyarah di universiti, tetapi mematuhi dan menghormati guru/pensyarah kita.

Menurut Imam al-Ghazali seseorang murid hendaklah:

• Memberikan sepenuh perhatian kepada gurunya.
• Mendiamkan diri sewaktu guru sedang menyampaikan pelajaran.
• Menunjukkan minat terhadap apa yang disampaikan oleh guru.
• Tidak meninggikan suara terhadap guru, sebaliknya memadailah berkata dengan suara yang didengari.
• Sekiranya perlu bertanya, pastikan guru bersedia memberikan jawapan.
Menghormati guru di hadapan dan belakangnya.
• Menutup kelemahan guru agar tidak didedahkan tanpa keperluan.
• Mendoakan kebaikan baginya.

Kisah 1:
Seorang rakan sekerja saya Dr. KM berkata: "Saya pernah tegur dgn baik pelajar
fakulti *tuuutttt* di parkir lot kita, tapi mereka ajak saya bertumbuk"
Pelajar tersebut berkata, "Encik cakap je bila dan kat mana"

Nampaknya ada segelintir pelajar yang bukan saja biadab tapi samseng.

Kisah 2:
Pada suatu hari di waktu tengahari, seorang mahasiswi (katanya dari Fakulti *tuutt*)
yang menaiki kereta Perodua Viva berwarna putih dengan nombor kereta C*V2**2 telah
berlaku biadap dengan bukan sahaja dengan meninggikan suaranya berkata,
"Where am I going to park my car?", "Why do you need all these parking places for
lecturers only?", malah lebih dari itu.

Lalu rakan saya, Dr. SAA nerkata, "Don't you know how to speak to lecturers?",
lalu beliau meminta kad matriks mahasiswi tersebut utk diambil maklumat peribadi
untuk dibuat laporan kepada Bahagian Keselamatan.
Mahasiswi tersebut tidak benarkan, maka rakan saya cuba mengambil gambarnya dengan
camera hp.
Mahasiswi tersebut menjerit--"This is harassment! I will call the police!"

Dr SAA mencatat nombor kereta dan beredar keluar dengan Mr N menggunakan kereta Mr N.

Ketika di simpang parkir dengan jalanraya, mahasiswi tersebut keluar dari kereta dan
memanggil rakan2nya. Entah apa dikatakan kpd mereka. Bila Dr SAA lalu didepannya,
dia berkata, "F*** OFF". Itulah hadiah agaknya mahasiswi ini boleh berikan kpd
pensyarah yang menegur mereka.

Sebelah petangnya pula semasa Mr N memandu keretanya, dia dapati salah satu
tayarnya bocor. Kebetulan? Ada kesan bocor di tayar tetapi tiada paku, besi, dsb.

Apa lagi, ya selepas ini?

Marilah kita menangani isu ini SESUAI dengan akhlak dan adab mahasiswa
kita. Setakat ini mereka cuma takut bila adanya pengawal keselamatan.
Di beberapa fakulti lain, staf dah serik menegur kerana kereta mereka
mendapat souvenir khas dari mahasiswa kita.

Wednesday, February 11, 2009

La Tahzan

La Tahzan Duhai Anakku

Duhai Anakku
Mengingati Masa Lalu
Bersedih di atas kedukaan dan Kegagalan
Adalah sesuatu tindakan
Yang sia-sia

Duhai Anakku
Kembali ke masa lalu
Ibarat Merasai kembali keresahan
Ibarat Menyalakan kembali
Api Yang Membakar

Duhai Anakku
Renungilah Masa Hadapan
Teruskan ayunan langkah kakimu
Dimulai dengan do'a dan harapan
Dengan berbekal keyakinan dan Semangat
Diiringi usaha dan tawakkal
Kelak ia akan mencorak Kehidupanmu
Akan terbit cahaya di hujung jalan
La Tahzan

"Tiada sesuatu bencana pun yang menimpa di bumi dan (tidak pula) pada dirimu sendiri melainkan telah tertulis di dalam kitab (Lauh Mahfudz) sebelum Kami menciptakannya. Sesungguhnya yang demikian itu adalah mudah bagi Allah. "
Al-Hadid: 22

Sunday, February 8, 2009

Setem

Beberapa hari lepas, menerima sepucuk surat dari Kanada, dengan 4 keping setem Ox CNY2009. ULee dari Kanada telah mengirimkan surat tersebut atas permintaanku, selepas membaca blog beliau yang ada menyertakan gambar setem Kanada sempena CNY. Thanks a lot ULee.

Sebenarnya ini adalah sebagai memenuhi kegemaran/hobi anak bongsu ku Hana. Hana sebagaimana kak long Asma' juga suka mengumpul setem. Hobi ini disukai oleh Hana' selepas melihat album-album setem kepunyaan Kak Long Asma'. Sejak Hana' berumur 5 tahun, setiap kali ada surat yang bersetem sampai ke rumahku, sudah pasti dia suruh simpan sampul surat setem tersebut. Malah Hana' turut serta dalam proses menanggalkan setem tersebut dari sampul surat. Caranya ialah mula-mula dengan menggunting sampul surat di bahagian yang ada setem tersebut. selepas itu perlu direndam dalam mangkuk berair (tujuan untuk menanggalkan setem tanpa terkoyak) selepas setem telah tertanggal dari kertas sampul surat, setem tersebut perlu dikeringkan terlebih dahulu. Apabila telah kering, setem-setem tersebut akan disusun di dalam buku setem.

Buku-buku setem kepunyaan kak Long Asma' yang kini diturunkan kepada Hana' pula....

Sebenarnya secara tidak langsung mungkin hobi ini diwarisi dari Tok Wan (ayahku) mereka. Sewaktu ayahku masih muda, beliau memang menjadikan hobi mengumpul setem sebagai satu hobi professional (dari cerita ibu dan juga dari album-album lama yang dilihat oleh ku). Ayahku menjadi ahli filateli dan mempunyai ramai pen-pals dari seluruh dunia. Oleh itu beliau akan bertukar-tukar setem dengan sahabat pena beliau dari seluruh dunia. Bayangkan semua surat-surat dan setem tersebut (sejak tahun 30an, 40an dan 50an etc, masih lagi tersimpan sehingga sekarang! dalam tong kayu yang dibuat sendiri oleh ayah ... semasa pulang ke kampung tempohari, ayah mewariskan semua isi kandungannya kepadaku,kerana dikhuatiri dimakan anai-anai.)

Ayahku memang seorang yang sangat teliti dalam kerja-kerja beliau... Ayah lahir pada tahun 1924, melalui zaman penjajahan Jepun, kemudian British ... memang banyak pengalaman beliau...Aku berhasrat untuk membuat satu blog khas untuk ayahanda tersayang...(semoga Allah memberikan kelapangan untuk berbuat demikian)

Ini pula setem hadiah dari Tok Wan kepada kak Long Asma' pada tahun 1995 (waktu itu Kak Long baru berumur 8 tahun)setem-setem zaman sebelum merdeka lagi! Setem tersebut masih lagi bercop MALAYA!!!

Saturday, February 7, 2009

Kuliah Maghrib oleh Prof MKI - Bhgn II

Alhamdulillah malam tadi kuliah maghrib oleh Prof Muhd Kamil berjalan dengan lancar. Mungkin Prof datang awal (kebiasaannya)...kerana saya datang ke surau selepas orang sudah solat maghrib (biasalah kita ni ibu, kenalah uruskan hal anak-anak kat rumah dulu baharu boleh ke surau).

Bersemangat sungguh mendengar Prof. membicarakan mengenai falsafah dan hikmah di sebalik ibadat haji, berdasarkan pengalaman beliau sendiri. Masa 1 jam yang diberi seakan-akan tidak cukup, baharu muqaddimah sahaja, berlarutan sehingga pukul 10 malam. 2 jam padat dengan pelbagai kisah menarik. Malah kisah-kisah yang diceritakan bukanlah sebagai halwa telinga sahaja, tetapi mengandungi pelbagai pengajaran tersirat disebaliknya. Pengajaran betapa Allah itu Maha Berkuasa, Maha Pengasih Maha Penyayang, semua yang berlaku adalah dengan kehendak Allah SWT sahaja, jika Allah berkehendak, apa sahaja mungkin berlaku. falsafah malaikat dan wali Allah. Sebenarnya saya rasa banyak lagi yang hendak diceritakan oleh Prof, mungkin jika dibenarkan sehingga larut malam pun belum habis lagi...hehehe....



bagi sesiapa yang belum lagi membaca buku Prof, saya sarankan pergilah beli... Travelog Haji: Mengubah Sempadan Iman, dan Travelog Dakwah: Meniti Hari Esok....dan satu lagi sedang dalam penulisan...(kan Prof...???) Travelog Cinta:.....???

Tuesday, February 3, 2009

Kuliah Maghrib oleh Prof MKI

Salam semua,

Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk menjemput semua yang berkesempatan untuk hadir ke sesi kuliah maghrib:

Tarikh : 6hb Feb 2009 (Jumaat )
Tempat: Surau At-Taqwa, Seksyen 7(PKNS), Shah Alam
Penceramah: Prof Muhammad Kamil Ibrahim , penulis best-seller Travelog Haji dan Travelog Dakwah.

update:
Disebab ramai yang bertanya di mana surau At-Taqwa, Seksyen 7 (PKNS).. di sini saya sertakan panduan...(nak draw map dah tak sempat...terimakasih aiyrie yang tulis dalam bahagian komen, tapi surau yang anda maksud bukan surau At-Taqwa)

Untuk pengetahuan, Seksyen 7 adalah seksyen yang terbesar di Shah Alam, dan ada LIMA(5) surau di sini : surau Mawaddah (area dekat Kompleks Belia), surau Al-Islah (area seksyen 7 Worldwide), surau At-Taqwa(area rumah Exco), surau Ar-Raiyan (area jalan Kristal - dekat kedai2 makan) dan surau Mustaqimah (dekat flat seksyen 7).

Surau At-Taqwa terletak di Jalan Jasper 7/15, bersebelahan dewan MBSA dan padang (terdapat tadika Nuh's Ark di situ), landmark yang jelas ialah perumahan EXCO kerajaan negeri Selangor (10 buah banglo di atas bukit).

Jika dari Federal Highway dari arah Klang, exit ke arah UiTM, traffic light yang pertama (kanan ke pintu masuk belakang UiTM) jalan terus, traffic light yang kedua pun jalan terus, traffic light yang ketiga (sebelah kanan nampak UNISEL dan program persediaan ke Jepun) ambil kanan. Selepas itu masuk simpang pertama ke kiri, jalan terus (nampak padang di sebelah kiri dan banglo EXCO di sebelah kanan), selepas padang simpang pertama ialah Jalan Jasper 7/15.

Jika dari bulatan di pintu masuk utama UiTM, terus sehingga jumpa traffic light, (sebelah kiri ada SHELL dan Unisel), buat U-turn, dan masuk simpang kiri yang pertama, terus dan jumpa padang sebelah kiri. selepas simpang pertama ialah Jalan Jasper 7/15.

Jika dari arah Hotel Concorde , sek 11, sek 10, sek 9 dan sek 8, terus sahaja sehingga berjumpa traffic light di sek 8 (ke kiri arah ke rumah rasmi MB), terus lagi (seperti naik bukit sikit) sehingga berjumpa traffic light, belok kiri, dan terus sehingga berjumpa jalan Jasper 7/15.

Semoga berjumpa lagi malam nanti.

Sesiapa yang berada di kawasan Shah Alam atau sekitarnya, dijemput dan dialu-alukan untuk hadir. Jangan lepaskan peluang ini, dari penulis best-seller buku Travelog Haji: Mengubah Sempadan Iman, dan Travelog Dakwah: Meniti Hari Esok.

Monday, February 2, 2009

Busy...busy....busy....

Busy.....Busy........Busy.............

sooooo many things need to be done at the same time.....

InsyaAllah.... akan update jika ada masa terluang.....

Friday, January 23, 2009

Confident

Ini kisah Hana'. Pertama kali selepas masuk ke sekolah darjah satu, semalam Hana' kena balik seorang (naik bas lah)...Kedua-dua orang abang Hana', iaitu Mu'adz dan Zubair kena stay-back kat sekolah sebab ada program ko-kurikulum... suspen juga ummi dia nih..

Ummi: "Hana' nanti balik Hana' balik seorang tau, abang Muadz dan abg Zubair balik lambat"
Hana' : "Hana dah tau, abang dah cakap tadi"
Ummi : "okay ke? Hana' tak nangis ke? "
Hana' : "taklah.." (menjawab dengan confident)
Ummi: "okay..nanti dah habis sekolah, Hana' terus pergi beratur kat tempat tunggu bas tau. Jangan merayau-rayau kat sekolah tu atau pergi kantin, nanti tak nampak bas dah datang. Nanti kena tinggal bas pulak" (bersungguh-sungguh ummi pesan)
Hana' : "ya..ya...Hana' tau..."

so, semasa bas datang, aku pun berpesan kepada pakcik bas tu, mintak tolong tengokkan si Hana' nih semasa balik nanti...risau juga kot pakcik bas tu tak perasankan dia. Al-maklumlah Hana' ni kecik sangat, bas tu pulak besar... bila naik bas tu rasa tak nampak pun dia...hehehe...

Sebelum pergi mengajar, aku berpesan kepada bibik,

Ummi: "bibik, pukul 3:30ptg nanti tunggu Hana' balik kat depan gate tu"
Bibik : "ok"
Ummi : " bik, tunggu Hana' turun bas tau..takut jatuh nanti.. dah lah tangga bas tu tinggi, si Hana' tu kecik, bawa beg sekolah lagik ..." (heee..risau betul ummi dia nih!)

Bila petang aku bertanya kepada Hana' :

Ummi: "Hana' tadi balik sekolah ok..? Tak nangis? "
Hana' menjawab dengan gaya yang meyakinkan: "Ummi...Hana' kan dah besar...(ewahhh)... buat apa nak nangis...kat dalam bas tu ramai lagi kawan Hana' yang lain.."

....begitulah ceritanya...dah besar rupanya anak bongsuku ini......

Tuesday, January 20, 2009

Jalinan Ukhwah

ALhamdulillah pada hari Ahad yang lalu, satu pertemuan antara bloggers telah selamat diadakan di sebuah premis restoren di Shah Alam...
Pada mulanya hati seperti berbelah-bahagi samada hendak pergi atau tidak kerana segan/malu yang teramat sangat. Ini adalah kerana diriku hanya mengenali seorang sahaja blogger yang akan hadir...yang lainnya memang tidak pernah pun masuk atau tinggalkan jejak di blog mereka. Namun akhirnya setelah mendapat keizinan dari hubby, maka bertolaklah daku dengan anak daraku, Wafa'. Bukan jauh sangatpun, cuma di sebelah museum negeri Shah Alam,di belakang Mesjid Negeri.
Kami sampai agak lewat, pB, kak Wear@Alex Lacey, Intan, Yan bersama anak-anak masing-masing sudahpun sampai. Pada mulanya agak kekok juga kerana malu, tapi lama-kelamaan masing-masing rancak berbual sambil menjamu selera...selepas beberapa ketika Ina @wss79 pula muncul dengan baby comelnya.........
Alhamdulillah akhirnya satu lagi jalinan ukhuwah yang bermula di alam cyber terjalin .....

Kepada pB: Terimakasih kerana berusaha menjadikan pertemuan ini satu kenyataan....

kepada Kak Wear@Alex Lacey : Lepas ni bolehlah selalu berbincang kerana bidang pekerjaan yang sama (kak Wear yang sebenarnya lebih muda dari saya)

kepada Intan: Nice knowing you ..lepas ni boleh selalu gi makan coklat...hehehe

kepada Yan : Insyaallah bertemu lagi di alam Cyber untuk berkenalan lebih lanjut...

kepada Ina@wss79 : Seorang yang peramah. Macam pernah jumpa somewhere else, masih lagi dok fikir kat mana ya...atau muka Ina sama seperti seseorang yang saya kenali...your baby is so cute....macam emaknya........juga bekerja dalam bidang yang sama dengan saya....


(duduk atas kerusi, dari kiri): Wafa', Nurazzah8, Alex Lacey, pB, Yan, Intan dan Ina
(gambar ni di ambil dari blog pB~camera saya dah habis bateri...
tak sempat nak tangkap banyak gambar)
Berikan sumbangan terbaik anda! Teruskan menyumbang ke Tabung Aqsa2Gaza Emergency Relief sekarang!!! Akaun Maybank Islamic: 5515 7500 4299 Akaun Bank islam : 12 092 01 003490 4 Kemudian sila maklumkan kepada: admin@aqsasyarif.org.my

Nak Baca Entri Lain? Klik Sini....