Friday, December 30, 2011

Bengkel Penulisan Kreatif

"Tett..tet..tet ...," bunyi hon motorsikal posmen mengejutkan lamunan ku.  

Berlari-lari anak ke pintu hadapan agar encik posmen tidak perlu menunggu lama.  Sebaik sahaja surat bertukar tangan, pantas kujeling cop yang tertera di sebelah kiri atas sampul surat tersebut.  

Surat yang diterima daripada Jabatan Perkhidmatan Awam itu kubuka dengan berhati-hati. Berdebar-debar rasa hati ..inilah surat yang kutunggu-tunggu.  Apabila dibuka sahaja, mataku terus menangkap baris-baris perkataan di dalamnya.  

"Tahniah.  Anda telah berjaya di dalam temuduga tempohari dan ditawarkan biasiswa JPA untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang Sains Komputer di U.S.A. selama enam tahun." 

Tidak dapat kugambarkan bagaimanakah perasaan ku ketika itu, tapi yang kutahu, gembira melebihi segala-galanya.  Inilah peluangku untuk melanjutkan pelajaran ke luar negara.  Luar negara? Ya! 

Ah..! Bagaimanakah rasanya menjejakkan kaki ke negara lain? Berada di tempat yang sangat asing bagiku?  Hatiku bercampur baur ....Seorang budak kampung yang tidak pernah menjejakkan kaki ke luar dari daerahnya kecuali ke Singapura melawat bapa saudaraku ...  


"Okay..masa dah tamat .! berhenti menulis .."  kedengaran suara Prof. Madya Dr Ummi Kalthum Ngah  memecah hening suasana.  Perasaan ku kembali ke masa kini..kembali ke bengkel penulisan yang aku hadiri bersama 15 orang peserta lain.

Kami diberi masa 5 minit untuk menulis apa sahaja yang terlintas di hati mengikut tajuk pilihan dalam sesi LARIAN MATA PENA. Tajuk yang kupilih pula adalah aku perlu menceritakan bagaimanakah perasaan ku ketika berada di tempat yang asing bagiku ...

Apa yang kutulis di atas adalah adalah bahagian pengenalannya, rentetan peristiwa bagaimana diriku akan berada di tempat atau bumi asing, yang sangat asing bagi ku iaitu Amerika Syarikat, untuk melanjutkan pelajaran.

Terdapat beberapa lagi aktiviti yang kami lakukan sepanjang bengkel penulisan kreatif selama 1 hari ini. Yang pasti, ia sangat bermakna dan penuh informasi. 

Sebenarnya saya telah mengenali Kak Ummi beberapa tahun lalu di alam maya ini menerusi blog beliau BIASAN EMBUN.  Namun disebabkan kesibukan masa dan pelbagai tanggungjawab lain, di samping beliau sedang menulis beberapa buah buku lain, blog beliau telah sepi sejak 10 bulan yang lalu..justeru itu sebaik sahaja mengetahui beliau akan mengendalikan bengkel penulisan ini di tempatku, saya tidak melepaskan peluang keemasan untuk menghadirinya dan sebab utama sekali adalah untuk bertemu mata dengan Kak Ummi.

Kak Ummi juga telah menulis beberapa buah novel sebelum ini, di mana kesemua novel-novel beliau telah ku miliki.  Di antaranya SEUNGU LAVENDER,  SEINDAH DAFODIL, DAFODIL UNTUK INSYIRAH, SENTUHAN MUTTAQEEN, PUTERI SALSABILA  dan lain-lain lagi...

  Yang pasti, menghadiri bengkel ini telah menaikkan semangat ku untuk kembali menulis... boleh dikatakan menjadi penulis tidak pernah termasuk dalam cita-cita semasa kecil hinggalah dewasa.  Namun sifatku yang sangat suka membaca tidak kira waktu dan tempat ... bila terjumpa sahaja buku atau apa sahaja bahan bacaan, aku akan terus mengambil dan membacanya ..

Tidak dinafikan aku pernah menulis bersama-sama rakan sekerja tetapi buku-buku yang bersifat sangat teknikal dan akademik...kini, aku teringin hendak menulis novel pula .. semoga impianku menjadi kenyataan suatu hari nanti. Amin.

Wednesday, December 28, 2011

Thursday, December 22, 2011

2011 PMR

PMR 2011
Tahniah ..Setinggi -tinggi tahniah kepada anak-anak yang berjaya dengan cemerlang dalam peperiksaan PMR 2011.  Walaupun tahun ini saya tiada anak yang menduduki peperiksaan PMR, tetapi saya turut berasa gembira dengan kejayaan anak-anak rakan dan saudara terdekat....
Kepada yang tidak mendapat straight A's, jangan rasa rendah diri dan berdukacita. Anda telah buat sebaiknya dan itu rezeki yang Allah beri kepada anda semua. Percaya lah..PMR BUKAN penentu masa depan anda... satu lagi peperiksaan besar yang akan anda hadapi adalah SPM... dan berdasarkan kurikulum sekolah menengah sekarang, selepas PMR ini anda harus memikirkan apakah bidang yang hendak anda ceburi kelak. Samada hendak masuk ke aliran Sains Tulen, Sains Kejuruteraan, Sains Agama, dan sebagai nya...

Seperti kata seorang rakan blogger dan Fb saya (Pak Pin):

 Syabas...Ingatlah, it is not the A or B that will make the difference in life...it is our Values, Mindset, and Faith!

Sunday, December 11, 2011

Noble Laurette 2011: Tawakul KarmaN

Noble Laurette from Yemen, Tawakul KarmaN
 When asked about her Hijab by Journalists and how it is not proportionate with her level of intellect and education, she replied:

Man in the early times was almost naked, and as his intellect evolved he started wearing clothes. What I am today and what I’m wearing represents the highest level of thought and civilization that man has achieved, and is not regressive. It’s the removal of clothes again that is regressive back to ancient TIMES"

Noble Laurette 2011 from Yemen, Tawakul Karman
(source: Productive Muslim: Facebook)

Wednesday, December 7, 2011

Monday, December 5, 2011

Karnival Fiesta buku Karangkraf

Karnival Fiesta Buku Karangkraf 2011 telah berakhir semalam, 4hb Disember 2011.  Ianya telah berlangsung selama beberapa hari ... Alhamdulillah berkesempatan pergi ke sana di saat-saat akhir, tatkala tinggal 2 jam lagi hendak tutup. Membawa Wafa' dan Hana' ke sana untuk membeli novel2 yang boleh dibaca semasa cuti sekolah ini..


Rupa-rupanya ramainya penulis-penulis novel berada di sana di hari terakhir ini...di antaranya Herna Diana, Iris Ixora, Eyman Haikal dan yang paling Wafa seronok kerana telah bertemu novelis thriller yang sangat terkenal iaitu Ramlee Awang Murshid! Anak-anak saya sudah lama minat membaca novel-novel thriller RAM, malah boleh dikatakan SEMUA novel RAM sudah dibeli..dan semalam sudah di terbitkan sebuah lagi novel thriller yang paling terbaru di pasaran, iaitu Fiksyen 302.
 bersama Herna Diana

 bersama Eyman Haikal

Iris Ixora

 Ramlee Awang Murshid

Di sebelah kanan adalah seorang blogger yang terkenal dan orang kuat RAMFC (Ramlee Awang Murshid Fan Club), iaitu Abang Long ..

Apa novel2 yang kami beli? Ini lah dia..
dan sebuah novel yang kini telah diadaptasi ke filem yang sedang hangat di pasaran sekarang.... OMBAK RINDU!
 tak ada pula jumpa penulis novel ini...mungkin sudah balik agaknya..

Friday, December 2, 2011

Kraf tangan

Cuti sekolah sudah 2 minggu berlalu... apa yang anak-anak lakukan sepanjang cuti sekolah ini ... ? masing-masing dengan aktiviti masing-masing... Wafa akan naik ke Tingkatan 5 tahun hadapan..oleh itu kena bersedia dari sekarang... terutama subjek yang "kurang" faham ..seperti Fizik dan Matematik Tambahan ... kena minta tolong Abg Zaid ajar... Ammar sudah habis cuti semester selama 1 bulan..Ahad ini akan kembali ke USIM semula... Mu'adz pula tiada cuti..biasa lah pelajar tahfiz tidak dibenarkan bercuti lama..nanti takut lupa kembali hafazan mereka... perlu selalu mengulang bacaan Al-Quran...Zubair pula akan masuk Maahd Tahfiz tahun hadapan, jadi saya rasa tidak perlu menghantar beliau ke mana-mana program masa cuti ini... kerana apabila masuk sahaja tahfiz, beliau akan selalu sibuk... saya rasa saya perlu beri beliau peluang berehat dahulu... 

Hana anak bungsu saya pula..sekarang berada di kampung ..sudah seminggu mengikut Mak Long nya balik minggu lepas... tetapi minggu pertama cuti, beliau sudah memulakan aktiviti yang hendak beliau buat semasa cuti iaitu kraf-tangan ... beliau berminat untuk membuat kraf tangan menggunakan kain felt dan butang... nak lihat apa yang Hana sudah buat? 
Key-Chain dan purse dari kain felt dan dihiasi dengan butang-butang comel dan cantik!
Cantik tak? ok lah kan bagi seorang kanak-kanak berumur 9 tahun!
Ada sesiapa nak tempah key-chain dari Hana?

Tuesday, November 29, 2011

Kesihatan yang baik #1

Alhamdulillah, telah membeli buku ini di salah satu jualan yang diadakan di fakulti..sangat tertarik membaca judulnya, mesti isinya juga menarik dan penuh informasi.....
MENGAPA RASULULLAH TIDAK PERNAH SAKIT: MEMBONGKAR RAHSIA DAN FORMULA KESIHATAN RASULULLAH YANG HALAL, MUDAH, LUAR BIASA DAN HOLISTIK
penulis nya : Dr Adi Hashman

Ia menjelaskan :

* Formula penjagaan kesihatan fizikal, mental dan emosi yang diajarkan oleh Rasulullah SAW
* Teknik menjaga kebersihan yang terbaik serta dapat membantu meningkatkan daya tahan tubuh
* Tip-tip sihat yang mudah dan murah mengikut sunnah Rasulullah SAW
* Kriteria makanan sihat serta bermenafaat mengikut Al-Quran dan sunnah Rasulullah SAW
* Kesan berpuasa pada kesihatan tubuh manusia
* Rahsia kesihatan di sebalik gerakan dalam solat

~ bersambung di entri akan datang  ~

Sunday, November 27, 2011

Pak Haji berbasikal

Sejak 2 tahun yang lalu, abi telah memulakan hobi baru iaitu berbasikal ..abi telah naik basikal dari rumah ke stesyen komuter di Shah Alam, atau Padang Jawa... sudah 2 kali juga basikal abi hilang dicuri orang di stesyen komuter...(walaupun telah di kunci) ..tapi abi tidak putus asa... beli lagi basikal baru ...
sekarang semakin jauh abi berbasikal..bukan lagi ke stesyen Padang Jawa atau Shah Alam, tetapi hingga ke Batu 3, Subang Jaya dan hingga ke Asia Jaya...
paling jauh sekali tu abi pernah naik basikal hingga ke KUALA LUMPUR!!!!
Pak Haji nak pergi solat Aidil Adha naik basikal ..huhu

Di antara basikal-basikal abi: 

Dah tinggal rangka sahaja...
basikal ini lahyang dinaiki Zubair semasa Zubair kemalangan awal tahun ini...

Abi masih meneruskan hobinya ini, tidak kira panas atau hujan...
Alhamdulillah abi sangat fit...(TIADA Perut "boroi"!!! hehehe) berbanding ummi ...(hurmm..nampaknya kena pergi Gym semula lah macam ni... malu aje jalan sebelah abi, sebab perut nampak macam orang mengandung 5 bulan!!)

Salam Maal Hijrah 1433

SELAMAT TAHUN BARU HIJRAH 1433

Berakhirlah sudah satu tahun dalam kalendar Hijrah... Hari ini bermulanya tahun baru dan selalu orang-orang tua kata ... bermulanya 'buku baru' bagi diri kita... 'Buku lama' sudah ditutup dan akan disimpan sehinggalah kita dibangkitkan semula nanti ...

(Ini saya petik dari blog Ayah Zain
jika nak tahu lebih lagi silalah berkunjung ke blog beliau)
1 Muharram adalah permulaan bagi Taqwim Islam yang diwartakan oleh Khalifah Umar bin Affan dan semenjak tarikh ia digunakan sehingga ke hari ini. Selain daripada itu dalam bulan Muharam pelbagai peristiwa yang harus diingati terutamanya  pada 10 Muharam . Antarnya ialah
1.Nabi Adam bertaubat kepada Allah.
2.Nabi Idris diangkat oleh Allah ke langit.
3.Nabi Nuh diselamatkan Allah keluar dari perahunya sesudah bumi ditenggelamkan 40 hari
4.Nabi Ibrahim diselamatkan Allah dari pembakaran Raja Namrud.
5.Allah menurunkan kitab Taurat kepada Nabi Musa.
6.Nabi Yusuf dibebaskan dari penjara.
7.Penglihatan Nabi Yaakob yang kabur dipulihkkan Allah.
8.Nabi Ayub dipulihkan Allah dari penyakit kulit yang dideritainya.
9.Nabi Yunus selamat keluar dari perut ikan paus setelah berada di dalamnya selama 40 hari 40 malam.
10.Laut Merah terbelah dua untuk menyelamatkan Nabi Musa dan pengikutnya dari tentera Firaun.
11.Kesalahan Nabi Daud diampuni Allah.
12.Nabi Sulaiman dikurniakan Allah kerajaan yang besar.
13.Hari pertama Allah menciptakan alam.
14.Hari Pertama Allah menurunkan rahmat.
15.Hari pertama Allah menurunkan hujan..
16.Allah menjadikan 'Arasy.
17.Allah menjadikan Luh Mahfuz.
18.Allah menjadikan alam.
19.Allah menjadikan Malaikat JibrilNabi  Ibrahim terselamat daripada api yang dibakar oleh Namrud
20. Nabi Isa diangkat ke langit.

Saturday, November 26, 2011

Al-Fatihah buat Allahyarhamah Mak Su

Ajal maut semua adalah kuasa Allah SWT.  Selasa malam, kami mendapat berita Mak Su koma. Telah dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Star.  Khabarnya Mak Su jatuh di tangga 2-3 hari sebelum itu.. selepas itu mak Su mengadu pening dan sakit tengkuk... apabila Pak Su nak bawa Mak Su ke klinik, tiba-tiba tengok Mak Su sudah tersungkur ke lantai.. terus di bawa ke hospital.. dan koma.
Doktor memberitahu, otak Mak Su sudah dipenuhi darah, bengkak..mungkin kerana tekanan darah terlampau tinggi sehingga saluran darah pecah. Itu yang menyebabkan Mak Su koma.... Doktor sudah beritahu tiada apa yang boleh dibuat waktu itu kerana tidak boleh buat operasi kerana otak sudah bengkak dan dipenuhi darah... .
Jam 4:15pagi Khamis, handphone saya berbunyi ..menandakan masuk satu mesej. Hati saya sudah berdebar-debar..bila mesej dibuka, betullah berita yang saya agak ...Innalillahiwainnailaihiraajiun...
Dari Allah kita datang dan kepada Allah sahaja lah kita kembali..
Kami lantas bersiap dan selepas solat Subuh kami bertolak ke Kedah.. dalam jam 12 tghr kami sudah sampai ke rumah Mak Su...kelihatan sudah ramai orang memenuhi rumah Mak Su.. kami lantas bersalam dgn saudara-mara yang ada... rupanya jenazah sedang dimandikan... elok sahaja masuk Zohor, jenazah sudah berada di mesjid berdekatan..dan saya turut bersolat jenazah ..selepas itu jenazah di bawa ke Mesjid Al-Bukhari dan dikebumikan di kawasan perkuburan Mesjid Al-Bukhari..

Al-Fatihah buat roh MakSu, semoga roh Mak Su di tempatkan bersama-sama orang-orang yang soleh...
Arwah Mak Su adalah adik bongsu abah saya..abah saya sudah berumur 88 tahun ,, tiada siapa menduga takdir Allah bahawa Mak Su yang akan terlebih dahulu dijemput Allah SWT..kerana itulah kita selalu diingatkan agar sentiasa mengingati kematian, kerana itu akan sentiasa mendekatkan kita kepada Allah SWT...



Dari Abu Sa'id r.a katanya: (Pada suatu hari) Rasulullah s.a.w masuk ke tempat sembahyangnya, lalu dilihatnya beberapa orang sedang gelak ketawa, Baginda s.a.w pun menegur mereka dengan bersabda: "Ketahuilah! Sesungguhnya kalau kamu banyak menyebut dan mengingati perkara yang memusnah dan menghilangkan perasaan kesenangan tentulah peringatan mengenainya akan menghalang kamu daripada melakukan apa yang aku lihat ini, maka hendaklah kamu selalu mengingati dan menyebut perkara yang memusnah dan menghilangkan perasaan kesenangan, iaitulah maut, kerana sesungguhnya pada tiap-tiap hari kubur menyeru, katanya: "Akulah rumah dagang, akulah rumah yang sunyi sepi, akulah rumah yang penuh dengan tanah, akulah rumah yang penuh dengan ulat". Maka apabila hamba Allah yang mukmin dikebumikan, berkatalah kubur kepadanya: "Dipersilakan dengan segala hormatnya! Ketahuilah sebenarnya adalah engkau - kepada ku - sekasih-kasih orang yang berjalan atas ku, oleh itu apabila engkau sampai kepadaku dan diserahkan urusanmu kepadaku pada hari ini, maka engkau akan melihat layananku kepadamu'; Kubur itu pun menjadi lapang baginya seluas mata memandang, serta dibukakan baginya sebuah pintu ke Syurga, (lalu datang kepadanya sebahagian dari bau Syurga dan udaranya, serta ia dapat mencium dari baunya yang semerbak harum dan merasa senang hati dari segala yang dilihatnya dalam Syurga itu). Dan sebaliknya apabila oarang yang berdosa atau orang kafir dikebumikan, berkatalah kubur kepadanya: "Tidak layak engkau disambut dan dipersilakan; ketahuilah sebenarnya engkau - kepada ku - adalah sebenci-benci orang yang berjalan atasku; oleh itu apabila engkau sampai kepadaku dan diserahkan urusanmu kepada aku pada hari ini, maka engkau akan melihat apa yang aku buat kepadamu". Nabi s.a.w bersabda lagi: "Kubur itupun mengepitnya sehingga berselisih tulang-tulang rusuknya". Kata rawi hadis ini: Nabi s.a.w , (sambil bersabda menerangkan yang demikian, lalu Baginda s.a.w) memasukkan jari-jari sebelah tangannya dicelah jari-jari yang sebelah lagi, kemudian Baginda s.a.w bersabda lagi: "Dan dilepaskan kepada orang itu tujuh puluh ekor ular besar yang kalaulah seekor di antaranya menghembuskan nafasnya di bumi nescaya tidak akan tumbuh sesuatu pun dari tumbuh-tumbuhan atau tanaman selagi dunia ini masih wujud, kemudian ular-ular itu akan mematuk-matuknya dan meluka-lukakannya sehingga ia dibawa untuk dihisab (dan menerima balasan)". Kata rawi hadis ini: Nabi s.a.w bersabda lagi: "Bahawa sesungguhnya kubur itu adalah sebuah taman dari taman-taman Syurga atau sebuah gaung-gaung Neraka".

 
Abu Sa'id r.a

(sumber: e-hadith JAKIM)

Wednesday, November 23, 2011

Wordless Wednesday #9

(This photo was taken by my 14 years old son)

Tuesday, November 22, 2011

Bola Sepak @ Sepak Bola

Rata-rata sekarang mood rakyat Malaysia sedang bergembira kerana kemenangan Malaysia mendapat Pingat Emas dalam perlawanan bola sepak (atau di Indonesia di sebut - sepak bola) melawan Indonesia. Syabas diucapkan kepada semua pemain yang bersungguh-sungguh bermain dan mempertahankan semangat MALAYSIA BOLEH hingga ke saat akhir.  
Bukan senang hendak bermain di negara pasukan yang kita lawan, terutamanya Indonesia... kapasiti stadium yang memuatkan 100,000 penonton sudah pasti sedikit sebanyak berjaya menggoyah semangat para pemain, apatah lagi pasukan Indonesia berjaya menjaringkan gol seawal minit ke-5 permainan, namun semangat Harimau Muda Malaysia patut dipuji. 
TAHNIAH HARIMAU MUDA MALAYA!
   

Saturday, November 19, 2011

Cuti Sekolah dan Ihtifal

Hari ini bermulalah cuti persekolahan akhir tahun bagi anak-anak yang bersekolah rendah dan menengah (kecuali mereka yang sedang menduduki SPM) 
Rumah kembali riuh dengan suara anak-anak... dan hari ini juga pagi tadi diadakan Hari Ihtifal atau Hari Kecemerlangan sekolah bagi SRI Hira' di Klang...
Alhamdulillah anak bungsu ku Hana' telah mendapat hadiah kerana mendapat tempat kedua dalam kelas dan cemerlang matapelajaran 9A..

Tahniah Hana...teruskan berusaha ..
semoga terus cemerlang dalam dihidupmu dunia dan akhirat...Ameen.

Friday, November 18, 2011

UPSR Zubair

Semalam hari Khamis dengan rasminya keputusan peperiksaan UPSR telah diumumkan.  Alhamdulillah bagi anak ketujuh saya, Zubair beliau telah memperolehi 2A 3B.  SYUKUR.  Saya katakan kepada Zubair..ALhamdulillah...sekurang-kurangnya dia ada memperolehi 2A.  Sebenarnya saya tidak mengharap sangat agar beliau mendapat keputusan yang cemerlang, kerana seperti yang saya telah entri sebelum ini, Zubair telah mengalami kemalangan jalanraya pada awal tahun ini. Kemalangan itu agak serius kerana telah melibatkan luka di kepala beliau. Mengambil masa juga untuk memulihkan ingatan Zubair kepada sediakala. 
Namun dalam pelajaran saya tidak memaksa beliau untuk belajar sepanjang masa sehingga boleh membuat beliau stress.  Selepas kemalangan tersebut, apabila saya cuba memaksa beliau belajar dengan mengingati pelbagai perkara, beliau selalu berkata.. "penat lah ummi.. Adek tak boleh fikir banyak-banyak, kepala adek pening" ..Beliau membahasakan dirinya adek, walaupun telah mempunyai seorang adik... ini kerana jarak masa yang jauh di antara beliau dengan adik nya...Oleh itu, saya tidak akan memaksa beliau untuk belajar pelbagai perkara dalam satu masa...
Tambahan lagi, beliau telah pun mendapat tawaran dari Mahaad Tahfiz Al-Quran Hira' untuk tahun hadapan. Mudah-mudahan Zubair akan menjadi seorang hafiz mengikuti jejak langkah abang-abang beliau Ammar  dan Mu'adz...
Ameen.

Wednesday, November 16, 2011

Tuesday, November 15, 2011

Suami Romantis? Eeeiiiii....

Saya ingin berkongsi kisah artikel ini dgn pembaca sekelian..saya dapat link ini dari FB ..
(hurmm..tak ingat pula siapa yang share..tapi ini artikel dari ILuvislam.com, penulis artikel ini ialah Dr. Hishamuddin Alham,  beliau merupakan seorang pensyarah kejuruteraan mekanikal di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Johor. Lulusan PhD dalam bidang 'fire reseach' ini merupakan aktivis dakwah bersama IKRAM Johor.)

"Romantis... isy aku tak main lah romantis romantis ni. Yang penting aku beri cukup makan minum padanya setiap hari. Lagipun aku ni dah tua."
"Romantis.... Come on man!!!  Kita ni kan pejuang Islam. Orang kafir je yang promote romantis romantis ni. Pejuang Islam kena hidup dengan serious... kita nak tawan dunia tau?"
Realiti yang berlaku masa kini, ramai pasangan (secara umumnya) sudah agak bosan hidup sebumbung dengan pasangan masing-masing. Nampak gaya rakan sekerja yang berlainan jantina di pejabat lebih "interesting" dan "caring".
Saya termenung sejenak mengingatkan satu persoalan dari seorang wanita semasa ceramah saya di Melaka suatu ketika dulu.
"Dr., macamana nak buat dengan perangai suami saya ni. Saya teringin sangat nak bersembang sakan macam doktor kata tu dengan suami saya. Tapi dia ni... kalau dengan rakan sepejabat... bukan main ligat lagi. Tapi dengan saya.... hambar je. Pernah saya travel dengan kereta dari utara ke selatan... hampir basi air liur ni."
Cuba jawab soalan di bawah ini. Jika jawapannya YA ...Insya Allah anda makin dekat dengan istilah pasangan yang romantis.
1.    Bila berjauhan... sering menelefon antara satu sama lain?
2.    Kalau makan... teringat pasangan masing-masing?
3.    Sentiasa peka dengan permasalahan pasangan masing-masing?
4.    Jika bermasam muka – sentiasa mendoakan agar pasangan diampunkan Allah dan jangan lupa untuk mengampunkan pasangan masing-masing?
Of course masa 'kabel' tengah rosak susah sikit nak berkomunikasi. Tetapi kebiasaannya apabila baik kembali – kasih sayang akan bertambah.
Kaji punya kaji... rupanya ia adalah sifat naluri manusia... suka di belai dan suka membelai. Ia adalah fitrah. Tetapi dalam dunia yang serba moden ini, manusia makin lama makin jauh dari kehidupan yang selari dengan fitrah. Cuba kita kaji kehidupan manusia unggul di dunia ini. Kehidupan Rasulullah S.A.W. Adakah beliau seorang yang romantis bila berinteraksi dengan isterinya?
Aisyah dipanggil dengan nama "Humaira". Apabila Rasulullah minum air dalam cawan yang dikongsi bersama dengan isterinya, Baginda akan minum tempat mana Aisyah minum.
Beliau amat pelembut dengan isteri-isterinya dan sering membantu kerja-kerja isterinya di rumah.
 
Kita sering dengar Hassan Al-Banna sebagai seorang pendakwah hebat. Buku Cinta di Rumah Hassan Al-Banna sepatutnya di baca oleh setiap bapa yang hendak menggelarkan dirinya pejuang Islam. Begitu romantis sekali kehidupan mereka suami isteri. Pernah suatu ketika rakan-rakannya datang ke rumah pada waktu malam. Isterinya sedang tidur. Beliau menyediakan makan minum untuk rakan-rakannya kerana tidak mahu menyusahkan isterinya yang sedang tidur lena.
Pada hemat saya yang dhaif ini, jika kita pasangkan niat benar-benar berkahwin kerana hendak menyambung kerja-kerja dakwah yang sudah kita mulai semasa muda dan kita bernekad memastikan isteri kita itu berada dalam soff dakwah, InsyaAllah kita akan mampu untuk menjadikan medan di rumah itu sebagai medan amal dan dakwah.
Dengan izin Allah, isteri akan dijadikan sebagai rakan kongsi dalam menyelesaikan permasalahan dakwah kita. Dia akan menjadi sumber rujukan apabila kita kebuntuan dalam menjalan kerja-kerja dakwah kita. Akhirnya kerja-kerja dakwah kita akan menjadi ringan. Dan natijahnya kasih sayang yang berputik masa mula-mula mendirikan rumah tangga akan terus mekar sehingga akhir hayat kita.
Tetapi jika rumah tangga porak peranda, hubungan menjadi hambar, perjuangan isteri hanya tinggal di dapor sahaja bagi menyediakan makan minum kita dan anak beranak, perbincangan di rumah tidak lebih dari perkara-perkara duniawi sahaja. Kerja-kerja dakwah kita akan mudah terbantut dan silap silap gaya terkubur dengan masalah di rumah.
- Artikel iluvislam.com

Sunday, November 13, 2011

SPM 2011

Esok Isnin 14hb November 2011 akan bermulah peperiksaan besar dalam sistem akademik sekolah menengah iaitu SIJIL PELAJARAN MALAYSIA atau lebih dikenali dengan SPM sahaja.
Tahun ini saya tiada anak yang akan menduduki peperiksaan ini, namun saya tidak mahu ketinggalan untuk mengucapkan Salamat Maju Jaya kepada semua calon-calon SPM dan mendoakan agar mereka, terutamanya anak2 saudara-mara, sahabat-handai dan rakan bloggers yang mungkin juga ada yang terdiri dari kalangan pelajar Tingkatan Lima ...nasihat auntie, bacalah doa penerang hati, mohonlah kepada Allah kerana sekarang tiada masa lagi bagi anda untuk membuat persiapan, sekarang hanyalah masa untuk anda membuktikan segala persiapan yang telah dilakukan selama ini...
SEMOGA ALLAH SWT PERMUDAHKAN URUSAN MENJAWAB SOALAN DAN MELAPANGKAN DADA DAN FIKIRAN DARI PERASAAN KUSUT, DAN DAPAT MENJAWAB DENGAN TENANG DAN FIKIRAN YANG TERBUKA DAN LAPANG.SEMOGA ALLAH JUGA MELANCARKAN SEGALANYA.
AMEEN.

Thursday, November 10, 2011

Keputusan UPSR 2011

Berita terkini bahawa keputusan UPSR 2011 akan diumumkan pada 17hb November 2011 ...

InsyaAllah anak saya Zubair yang belajar dalam tahun enam juga berdebar-debar menunggu keputusan UPSR beliau...namun beliau sudah membuat keputusan utk memasuki Maahad Tahfiz AlQuran Hira' di Jeram...


Wednesday, November 9, 2011

Wordless Wednesday #7

(gambar ihsan dari emel yang diterima dari seorang kawan: gambar ini diambil di India)

Tawaran

Balik dari kampung semalam lihat ada satu surat dalam mail box.  

TAWARAN KEMASUKAN KE TAHUN SATU TAHFIZ AL-QURAN HIRA' SESI 2012.

SYUKUR SYUKUR ALHAMDULILLAH!!!

Anak ke-7 saya Zubair berjaya diterima masuk ke MTAQ Hira' bermula pada tahun hadapan.. Ini adalah anak ke-3 saya yang berjaya masuk selepas abang beliau Ammar dan Mu'adz.
Alhamdulillah, semoga Allah permudahkan segala urusan dan semoga Zubair berjaya menjadi seorang hafiz Al-Quran seperti abang-abang beliau..

Jika pembaca/follower blog saya masih ingat... awal tahun ini Zubair pernah mengalami kemalangan yang serius.. saya ada menulis mengenainya di sini, sini , sini, sini , sini.
Alhamdulillah, beliau sudah sembuh dengan cepat , juga berkat do'a dari sahabah2 sekelian ..
Ameen. 

Tuesday, November 8, 2011

Rezeki Masing-masing

Anak sulong saya Asma' sebaya dengan Faizah, anak kedua kakak saya.  Sejak kecil selalu bersama jika balik ke kampung dan semasa cuti sekolah. Semasa mereka kecil, menanti-nanti bila cuti sekolah..kerana mereka hendak balik ke kampung.. mereka suka balik kampung kerana atuk mereka (emak saya) rajin melayan cucu-cucunya ... walaupun orang-orang kata atuk mereka "bising" mulut ...tetapi hati beliau sangat baik ... tidak kedekut ilmu rajin memasak..Itu yang cucu-cucu suka pulang ke kampung..kerana atuk akan masak perlbagai jenis juadah untuk cucu2 . Cucu nak makan ini, atuk masak. Cucu nak makan itu, atuk masak... maklumlah di rumah sendiri tidak berpeluang nak makan itu ini..kerana kesibukan masa bonda-bonda mereka bekerja ...sambil masak atuk akan cerita kisah-kisah dulu ..yang penuh dengan pengajaran dan teladan.. pelbagai tunjuk ajar atuk berikan..tips-tips memasak, mengemas dan lain-lain... 
namun dalam pelajaran, anak saya Asma' lebih ke hadapan.. jadi sebagai atuk sudah semestinya berbangga dengan kejayaan cucu beliau.. tanpa disedari atuk selalu bercerita dengan saudara-mara tentang kepandaian Asma'.. lalu anak saudara saya Faizah selalu berkecil hati dengan sikap atuk.. beliau selalu merajuk dan kadang-kala menangis ..kerana merasa rendah diri dengan Asma'.  Namun saya selalu nasihatkan Asma' agar jangan memandang rendah kepada Faizah. Rezeki masing-masing, mungkin Faizah tidak pandai dalam pelajaran, tetapi rezeki beliau di bahagian lain.  
Selepas tamat SPM, dengan keputusan yang cemerlang Asma' dapat melanjutkan pelajaran ke luar negara dalam jurusan perubatan di jordan. manakala Faizah meneruskan mengambil diploma pengurusan perniagaan di sebuah IPT swasta di tanahair, kerana tidak mendapat tawaran dari mana-mana IPTA. beliau berjaya menamatkan pelajaran dalam masa 3 tahun.  Alhamdulillah..saya lihat itu satu kejayaan besar bagi beliau..
Selepas beberapa bulan graduate, atas nasihat atuk, kakak saya dan abang beliau, Faizah kembali ke kampung dan mengambil peluang mengusahakan kedai runcit peninggalan arwah atuk saya di kampung, selepas Pak Long saya dan anak-anak beliau tidak mahu lagi mengusahakannya.
Selepas 2 tahun bermula dari kosong, kini beliau pada umur 24 tahun, sudah bergelar usahawan muda dengan mempunyai kedai runcit di bawah nama beliau sendiri ...dan semalam, majlis kenduri di adakan di rumah atuk dengan tujuan membaca doa selamat untuk kedai NurFaizah dan juga menerima peminangan untuk dirinya dari seorang anak muda yang juga seorang usahawan...
Pada pandangan saya, ini adalah rezeki  beliau Alhamdulillah... sekarang beliau tidak patut lagi merasa rendah diri pada Asma' lagi... sepatutnya beliau patut merasa syukur kerana sudah berjaya sejauh ini pada umur hanya 24 tahun..

TAHNIAH NUR FAIZAH!!!

Monday, November 7, 2011

Bertunang

Alhamdulilah..hari ini mencatat sejarah dalam keluarga ayah bonda ku... kerana cucu mereka yang pertama bertemu jodoh dan  bertunang..mudah-mudahan berkekalan sehingga mendirikan rumahtangga dan seterusnya melayari bahtera hidup bersama sehingga ke anak cucu ... Semoga hidup kalian di Berkati dan di Rahmati Allah SWT.....
Syukur ALhamdulillah segalanya berjalan dengan lancar ...

Saturday, November 5, 2011

Hari Raya AidilAdha & Hari Raya Korban

Assalamu'alaikum semua pembaca PMA ...Sabtu 5 Nov 2011 bersamaan 9 Zulhijjah , waktu ini semua jemaah haji sedang berkumpul di Arafah ...dan kemudian mereka akan bergerak ke Mina untuk melakukan jamrah..
Semasa di Arafah, itulah waktu yang paling afdhal dan mustajab untuk berdoa.  Namun bagi umat Islam yang lain yang tidak mengerjakan haji,...kita boleh  mengambil kesempatan ini untuk sama-sama mengambil waktu yang sangat baik ini untuk sama-sama berdoa ke Hadrat Allah SWT ...
Tahun ini, kami mengambil keputusan untuk bersolat Hari Raya di Shah Alam terlebih dahulu... anak-anak sudah besar bujang semua mahu bersolat di Shah Alam bersama rakan2 di sini... selepas korban baru lah kami akan bertolak ke kampung di Johor. kerana anak saudara saya akan bertunang pada Hari Raya kedua pula ...Alhamdulillah Faizah adalah cucu pertama atok dan Wan untuk bertunang dan seterusnya berkahwin..InsyaAllah semoga panjang jodoh mereka...

Jadi saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan SELAMAT HARI RAYA AIDILADHA ATAU HARI RAYA KORBAN...


Wednesday, November 2, 2011

Tuesday, November 1, 2011

011111

As-Salam..Baru perasan tarikh hari ini ..
01/11/11

hurmm... ni mesti ramai orang buat kenduri pada tarikh lagi satu

11/11/11

Ada sesiapa yang nak jemput saya pada tarikh tersebut? hehehe...

atau sesiapa yang nak bersalin secara induce mungkin pilih tarikh yang ini ...
Birthday siapa jatuh pada tarikh ini?

Monday, October 31, 2011

DYMM SPB Yang DiPertuan Agong Tuanku Mizan

Sepanjang hidup saya tidak pernah berada dalam majlis yang dhadiri DYMM SPB Yang DiPertuan Agong Malaysia dan bertemu "live" . Namun semasa upacara konvokesyen ke-75 UiTM yang lalu, DYMM SPB Yang DiPertuan Agong selaku Canselor UiTM telah berkenan hadir menganugerahkan ijazah kepada para graduan Pasca-Siswazah pada sidang pertama.

Penyampaian ijazah doktor falsafah oleh DYMM SPB Yang DiPertuan Agong, Tuanku Mizan

Bergambar beramai-ramai..graduan Doktor Falsafah UiTM bersama DYMM SPB Yang diPertuan Agong bersama Permaisuri Agong dan barisan Pro-Canselor UiTM

Saturday, October 22, 2011

Phd

1989 setelah tamat pengajian Master of Science dari sebuah universiti di USA, kami pulang ke tanahair..
Waktu itu TIDAK pernah terlintas langsung dalam fikiranku bahawa suatu hari  nanti aku akan bergelar seorang Dr. Bukan doktor perubatan, tetapi doktor falsafah, atau lebih dikenali sebagai Phd ..apa yang terkeluar dari mulut ku ketika itu, aku beritahu rakan2 satu batch, this is it.. enough studying!!! FULLSTOP!!  Saya TIDAK akan belajar lagi..saya mahu balik ke Malaysia dan terus bekerja...

namun SIAPA lah kita hendak menentukan takdir diri kita,?? Sebagai seorang hamba Allah yang percaya kepada qada dan qadar dan hanya Allah SWT yang Mengetahui apa yang sudah tertulis untuk diri kita di masa hadapan...
Ditakdir setalah puas mencari kerja, akhirnya aku memilih kerja dalam bidang yang berkaitan dengan pengajaran dan pembelajaran, itu menjadi seorang pensyarah di salah sebuah unicersiti tempatan. Tahun demi tahun mengharungi kehidupan mencurahkan ilmu demi agama dan bangsa.. mendidik anak-anak agar terus mencari ilmu tanpa penat lelah...sentiasa bergelumang dengan buku, samada buku secara fizikal atau e-book...


Akhirnya dengan izin Allah jua...hatiku kembali terbuka untuk menyambung pelajaran di peringkat Phd.  Ia satu keputusan yang sangat sukar, walaupun tuntutan universiti memerlukan pensyarahnya sentiasa menaik-taraf diri sendiri...kerana waktu itu anak-anak sudah berjumlah 8 orang dan semuanya masih dalam peringkat umur yang sedang membesar dan memerlukan perhatian ku sebagai seorang ibu... pelbagai soalan bermain difikiran... dapatkah aku menumpukan perhatian kepada pelajaran? pada masa yang sama perlu juga memberi perhatian kpd anak2 ...dan suami juga?  Beberapa kali melakukan solat Istikharah... dan perbincangan demi perbincangan dengan suami di lakukan... maklum lah jika sudah mula belajar, maka besar kemungkinan ada kalanya perhatian ku kepada rumahtangga akan berkurangan..dan suami perlu pengorbanan besar ...
IA SUATU KEPUTUSAN YANG SUKAR..NAMUN AKHIRNYA  DENGAN TAKDIR ALLAH SWT, perjalanan Phd ku pun bermula..

Ia suatu perjalanan yang panjang...SANGATTT PANJANG! Saya tidak menjangkakannya begitu. Perancangan awal, pengajian ku mesti habis dalam linkungan 3-4 tahun sahaja, seperti lazimnya. Namun perancangan Allah lebih lagi...melepasi tahun 4, saya masih tidak dapat menghabiskan pengajian ku.. tamat tempoh cuti belajar, saya harus kembali bekerja. Lalu perjalanan semakin sukar, kerana pada masa yang sama, harus bekerja, menjaga rumahtangga, anak-anak ...
Emosi ku seperti roller-coaster....kadang-kala naik dan kadang-kala turun ... perjalanan semakin sukar...
2006 - suami mendapat tawaran bekerja di luar negara....ia satu peluang yang ditunggu-tunggu oleh suami...ia kemuncak kerjayanya sebagai seorang jurutera... kami berbincang lagi, namun dapat kulihat suami begitu teruja dan gembira dengan tawaran tersebut..ia tidak datang selalu, akhirnya...aku merelakan dia pergi ..walaupun di dalam hati begitu berat sekali...hendak ikut sekali tidak mungkin. Pengajian ku belum habis, anak2 ramai yang masih bersekolah dari peringkat tadika hinggalah ke peringkat universiti...2 tahun lamanya aku menghadapi kehidupan seorang diri di Malaysia ... suami hanya balik sekali dalam masa 4 bulan....jadi...pengajianku memang sukar sekali ... dengan tugas bekerja lagi..sememangnya pada masa itu dapat dikatakan sangat sedikit progres ..emosiku selalu berubah-rubah...malah boleh dikatakan berada pada tahap yang palinggg rendah! Waktu ini aku sudah rasa seperti sudah putus asa hendak meneruskan pengajian ku...malah sudah bagi hint kepada supervisor ku...mungkin aku tidak mahu lagi meneruskan pengajian ku... tetapi Alhamdulillah, Allah itu Maha Mengetahui...DIA telah memberikan kepadaku seorang supervisor yang sangat baik hati tetapi tegas dan konsisten... beliau katakan tak perlu putus asa, teruskan walaupun berdikit-dikit...
Selepas 2 tahun suami ku pulang ke Malaysia dan kembali bertugas di sini.. Syukur Alhamdulillah...lalu  dengan Izin Allah jua semangatku kembali pulih dan naik semula untuk meneruskan pengajian ku...
dan Alhamdulillah ..SYUKUR ....
Semalam 20hb oktober 2011 ..di upacara konvokesyen ke-75 di UiTM, Shah Alam...aku dianugerahkan Ijazah Kedoktoran Falsafah Sains Komputer...
Syukur Alhamdulillah...
Ibuku, Hana anak bungsuku dan suami ...anak ke-2, Zaid sedang mengambil gambar ini..

Hanya 2 orang dari 8 orang anak ku yang dapat hadir sewaktu konvo... Zaid anak ke-2 dan Hana anak bungsu..bersama-sama ibu dan suami tersayang...yang lain masing-masing sedang berada di universiti dan sekolah asrama.
Namun Kak Long Asma', anak sulung ku tidak lupa mengirimkan bunga walaupun beliau berada beribu-ribu batu jauh nya di negara orang...

Bunga dan kad ucapan dari Kak Long...

Sangat terharu!

Monday, October 17, 2011

Mu'tah


Perang Mu'tah

Gambar di atas ini ada gambar medan peperangan Mu'tah yang sebenar, yang terletak di sebuah bandar bernama Mu'tah di Jordan. 
 
Sejarah Perang Mu'tah.
Rasulullah SAW biasa mengirim surat kepada para raja untuk berdakwah dan bertabligh kepada mereka. Salah satu surat beliau telah dibawa oleh Harits bin Umair ra. yang akan diberikan kepada Raja Bushra. Ketika sampai di Mu'tah, maka Syarahbil Ghassani yang ketika itu menjadi salah seorang hakim Kaisar telah membunuh utusan Rasulullah SAW. Membunuh utusan, menurut aturan siapa saja, adalah suatu kesalahan besar. 
 Batu tanda yang menerangkan sejarahPerang Mu'tah, tapi malangnya sudah rosak separuh daripadanya sudah pecah...
Perang Mu'tah berlaku di sekitar tahun 629M

Rasulullah SAW sangat marah atas kejadian itu. Maka Rasulullah SAW menyiapkan pasukan sebanyak tiga ribu orang. Zaid bin Haritsah r.a. telah dipilih menjadi pemimpin pasukan tersebut. Rasulullah SAW bersabda, "Jika ia mati syahid dalam peperangan, maka Ja'afar bin Abi Thalib r.a.. menggantinya sebagai pemimpin pasukan. Jika ia juga mati syahid, maka pemimpin pasukan digantikan oleh Abdullah bin Rawahah r.a.. Jika ia juga mati syahid, selanjutnya bendera itu dipegang oleh salah seorang daripada pedang Allah (Khalid) sampai Allah memberikan kemenangan".
Di perkarangan kompleks masjid yang menempatkan makam para sahabah yang syuhada' di medan perang mu'tah, Zaid Bin Harithah r.a. dan Ja'afar Bin Abi Talib r.a. Makam syuhada' Abdullah Bin Rawwahah terletak di sebuah mesjid yang lain agak jauh sedikit dari mesjid ini.


Kemudian Rasulullah SAW memberikan bendera berwarna putih kepada Zaid bin Haritsah ra. Beliau sendiri ikut mengantar rombongan untuk melepas mereka. Di luar kota, ketika orang-orang yang mengantarkan pasukan tersebut akan kembali, maka beliau berdoa untuk para mujahidin ini dengan doa keselamatan, kejayaan, dan agar mereka dijauhkan dari semua perkara yang buruk sampai mereka kembali.

Do'a Rasulullah SAW ini dijawab oleh Abdullah bin Rawahah ra. dengan membaca tiga bait syair yang maksudnya:

    Engkau meminta ampunan dari Tuhanmu.
    Sedangkan kami menginginkan pedang yang akan memutuskan pembuluh-pembuluh darah atau tombak yang akan menusuk lambung dan hatiku
    Jika nanti, orang-orang melewati kuburan kami, mereka akan berkata:
    Inilah orang-orang yang telah berjuang untuk Allah. Sungguh, kalian betul-betul telah mendapat petunjuk dan kejayaan


Setelah itu, berangkatlah pasukan tersebut. Syarahbil pun telah mendengar tentang keberangkatan pasukan ini. Dia telah menyiapkan pasukan sebanyak seratus ribu tentara untuk melawan kaum muslimin. Dalam pada itu, para sahabat r.ahum. juga telah mendengar kabar bahwa Heraclius, raja Romawi, juga telah mengirim seratus ribu tentaranya untuk ikut menyerang kaum muslimin. Maka dengan jumlah musuh yang demikian banyak tersebut membuat sebagian sahabat ra. menjadi ragu: meneruskan bertempur melawan musuh, ataukah memberitahukan kepada Rasulullah SAW. Abdullah bin Rawahah ra. berkata,

    "Hai orang-orang. Apa yang kalian takuti?
    Untuk apa kalian keluar meninggalkan Romawiah kalian?
    Apakah kalian keluar ini bukan untuk mati syahid?
    Kami adalah orang-orang yang tidak memperhitungkan kekuatan ataupun banyaknya orang dalam pertempuran.
    Kami hanya berperang agar di suatu hari nanti, Allah s.wt. memuliakan kita.
    Majulah. Setidaknya salah satu di antara dua kemenangan mesti kita dapatkan. Mati syahid, atau menang dalam pertempuran ini".


Mendengar kata-kata tersebut, semangat kaum muslimin pun bangkit kembali. Mereka terus maju sehingga sampailah pasukan tersebut di Mut'ah dan mulailah pertempuran berlangsung antara mereka dengan pasukan musuh. 

Dalam permulaan pertempuran, bendera dibawa oleh Zaid bin Haritsah ra. Dengan bendera di tangan, ia telah menyerang ke tengah Pertempuran. Mulailah berlangsung pertempuran. Ketika itu saudara Syarahbil telah terbunuh sedangkan kawan-kawannya melarikan diri. Syarahbil sendiri telah lari ke sebuah benteng dan bersembunyi di dalamnya. 

Kemudian Raja Heraclius mengirimkan bala bantuan lagi kurang lebih sebanyak dua ratus ribu orang tentara. Pertempuran berlangsung dengan begitu dahsyatnya. Akhirnya, Zaid ra. gugur syahid. 



 Dikatakan di bawah pintu gerbang itu tertanamnya tangan sahabah Ja'afar Bin Abi talib r.a. yang terputus akibat ditetak oleh musuh.

Maka bendera kaum Muslimin segera diambil oleh Ja'far bin Abi Thalib ra., setelah itu ia memotong kaki kudanya agar tidak berpikiran lagi untuk kembali. Sambil menyerang musuh, ia membaca beberapa bait syair yang terjemahannya sebagai berikut:

    Hai orang-orang, apakah tidak baik surga itu
    Dan surga itu sudah dekat
    Betapa indahnya ia
    Dan betapa sejuknya air surga
    Telah dekat masa siksa bagi raja Romawi
    Dan saya mempunyai kewajiban untuk membunuhnya



Setelah membaca syair tersebut, dipotonglah kaki kudanya dengan tangannya sendiri. Agar hatinya tidak berpikir untuk kembali. la menghunus pedangnya dan terjun ke tengah pertempuran melawan orang-orang kafir tersebut. Karena ia adalah pimpinan pasukan, maka bendera itu tetap berada di tangannya. Pada mulanya, bendera tersebut dipegang dengan tangan kanannya. Tetapi salah seorang pasukan kafir telah memenggal tangan kanannya sehingga bendera pun terjatuh. Maka bendera tersebut segera diambil dengan tangan kirinya. Tetapi, orang kafir itu telah memotong kembali tangan kirinya. Maka ia segera mendekap bendera itu di dada dengan kedua lengannya yang masih tersisa dan digigitnya bendera itu dengan sekuat tenaga. Kemudian, seorang musuh dari arah belakang menebasnya dengan pedang sehingga tubuhnya terpotong menjadi dua. Ia pun roboh ke tanah, dan gugur dalam keadaan syahid. Pada saat itu, Ja'far bin Abi Thalib ra. baru berumur tiga puluh tiga tahun.

 
Abdullah bin Umar ra. berkata bahwa setelah Jafar ra. menjadi mayat, ketika mayat tersebut diangkat, di bagian muka tubuhnya terdapat sembilan puluh buah luka. Ketika Ja'far bin Abi Thalib ra. telah mati syahid, maka orang-orang memanggil Abdullah bin Rawahah ra. Ketika itu, ia sedang berada di sebuah sudut dengan beberapa tentera muslimin, sedang memakan sepotong daging kerana sudah tiga hari lamanya mereka tidak makan sesuatu pun. Mendengar suara yang memanggilnya, maka dilemparkanlah sisa daging itu. Ia berkata memarahi dirinya sendiri,

    "Hai lihatlah, Ja'far telah syahid, sedangkan kamu masih sibuk dengan keduniaanmu".

 Makam syuhada' Abdullah Bin Rawahhah r.a.


Maka ia segera maju menyerang ke depan dan mengambil bendera kaum muslimin. Tetapi, jari tangannya telah terluka berlumuran darah dan terkulai hampir putus. Kemudian jari itu diinjak dengan kakinya sendiri lalu ditarik tangannya sehingga terpotonglah jarinya tersebut. Kemudian, jari yang sudah terputus itu ia lemparkan, kemudian ia maju kembali ke medan pertempuran. Dalam keadaan susah dan payah seperti ini, ia merasa sedikit ragu di dalam hatinya karena hampir tidak ada semangat dan kekuataan lagi untuk berperang. Tetapi, keraguan tersebut hanya terlintas sebentar saja dalam hatinya. Ia segera berkata pada dirinya sendiri,

    "Wahai hati, apa yang masih kamu ragukan, apa yang menyebabkan kamu ragu-ragu? Istrikah? Ia sudah saya talak tiga. Atau hamba sahaya yang kamu miliki? Semuanya telah saya merdekakan. Ataukah kebun? Itu pun telah saya korbankan di jalan Allah".

Setelah itu, ia membaca syair berikut:

    "Wahai hati, kamu harus turun Meskipun dengan senang hati, ataupun dengan berat hati Kamu telah hidup dengan ketenangan beberapa lama. Berpikirlah, pada hakikatnya, kamu berasal dari setetes air mani Lihatlah orang-orang kafir telah menyerang orang-orang Islam Apakah kamu tidak menyukai surga jika kamu tidak mati sekarang suatu saat nanti, akhirnya kamu akan mati juga".

Setelah itu, ia turun dari kudanya. Seorang sepupunya, yaitu anak pamannya, telah memberi sekerat daging kepadanya sambil berkata, "Makanlah ini untuk meluruskan tulang punggungmu." Karena sudah berhari-hari ia tidak makan, maka daging tersebut diterimanya. Baru saja ia mengambil daging tersebut, terdengarlah suara kekalahan. Akhirnya, dilemparkanlah daging tersebut. Ia segera mengambil pedangnya dan menyerbu ke kancah pertempuran melawan orang-orang kafir. Ia terus bertempur hingga mati syahid.

Rujukan : http://sahabatnabi.0catch.com/mutah.htm


Berikan sumbangan terbaik anda! Teruskan menyumbang ke Tabung Aqsa2Gaza Emergency Relief sekarang!!! Akaun Maybank Islamic: 5515 7500 4299 Akaun Bank islam : 12 092 01 003490 4 Kemudian sila maklumkan kepada: admin@aqsasyarif.org.my

Nak Baca Entri Lain? Klik Sini....