Showing posts with label pts. Show all posts
Showing posts with label pts. Show all posts

Thursday, December 11, 2008

Abu Ubaidah


Tanggal 25 November 2008 yang lalu saya telah menerima sebuah bungkusan pos laju dari seorang penulis prolifik negara yang tidak asing lagi, iaitu Abdul Latip Talib. Beliau telah menghadiahkan novel sejarah Islam berjudul "Abu Ubaidah Penakluk Parsi"

Apa yang membuatkan saya sangat teruja untuk membaca novel sejarah islam ini adalah kerana mengenangkan kembali perjalanan saya "menjejak para sahabah" di bumi para anbiya, Jordan pada awal tahun 2007. Salah satu makam para sahabah yang telah saya ziarah adalah makam sahabah Abu Ubaidah Ibnu Al-Jarrah. Terkenang kembali saat-saat saya bersama anak saya Asma' dan rakan Nad beserta pemandu teksi yang sangat baik hati iaitu Hisyam menziarah makam tersebut. (Boleh baca entri tersebut di sini)

Mengikut kata Hisyam, makam tersebut berbau sangat wangi, bukan di sembur minyak wangi tetapi bau wangi semulajadi, yang keluar dari makam tersebut (tetapi semasa saya melawat makam tersebut, makam itu telah di tutup dengan cermin, mungkin untuk mengelakkan perbuatan tidak bertanggungjawab orang2 yang sangat taasub dan perbuatan memuja-muja makam).Hisyam si pemandu teksi sedang menerangkan sesuatu tentang makam Abu Ubaidah

Itulah petanda makam orang yang soleh...(teringat semasa saya menziarah makam Muadz Bin Jabal...wangi yang sangat harum tiada tandingnya dengan bau minyak wangi buatan manusia...)

Beliau adalah salah seorang dari 10 sahabah yang telah dijamin menjadi ahli syurga, seorang gabenor Islam yang unggul dan sangat amanah, sehingga
Saiyidina Umar Al-Khattab juga pernah berkata iaitu : "Abu Ubaidah adalah pemegang amanah umat ini." Ini membuktikan betapa tingginya penghormatan Rasulullah s.a.w dan para sahabat terhadap Abu Ubaidah Bin al- Jarrah.

Di bawah adalah sinopsis novel tersebut yang saya ambil dari blog Pak Latip:

Nama sebenarnya Amir bin Abdullah bin al Jarrah bin Hilal al Fihri Al Quraisy.
Beliau lahir di Mekah daripada sebuah keluarga Quraisy yang terhormat.
Termasuk orang yang awal masuk Islam selepas Abu Bakar as Siddiq.
Beliau salah seorang yang dijamin masuk syurga.
Berperawakan tinggi, kurus, berwibawa, bermuka ceria, selalu merendah diri, dan amat pemalu. Kerana itu beliau disenangi oleh mereka yang mengenalinya.
Selepas menjadi pengikut Nabi Muhammad SAW, Abu Ubaidah al-Jarrah sanggup menghadapi kesulitan dan bersifat berani ketika berada di medan perang.
Beliau mengikuti semua peperangan bersama Rasulullah SAW.

Dalam Perang Badar, Abu Ubaidah al-Jarrah cuba mengelak daripada bertembung dengan ayahnya yang berada dalam pasukan Quraisy yang menentang Rasulullah SAW. Tetapi ayahnya bersumpah hendak membunuh anaknya sendiri kerana menjadi pengikut Muhammad. Abdullah terus memburu anaknya hingga suatu ketika Abu Ubaidah al-Jarrah terpaksa berdepan dengan ayah sendiri. Dalam pertarungan itu Abu Ubaidah al-Jarrah membunuh ayahnya.
Beliau berasa amat sedih sehingga turun ayat Al-Quran Surah al-Mujadalah ayat 22 yang membenarkan tindakannya itu.

Semasa berlakunya Perang Uhud, Rasulullah SAW terkena anak panah lalu tersangkut pada rahang baginda. Abu Ubaidah al-Jarrah mencabut anak panah itu dengan giginya sehingga giginya tercabut.

Rasulullah SAW memberinya gelaran ‘Gagah dan Jujur’.

Sewaktu berlaku perbalahan di balai Bani Saadah mengenai perlantikan khalifah maka Abu Ubaidah al Jarrah berkata. “Wahai orang-orang Ansar. Kamu yang mula-mula menyokong perjuangan Islam. Saya harap janganlah pula kamu yang mula-mula menentangnya.

”Khalid al Walid yang bergelar pahlawan pedang Allah berasa hormat kepada Abu Ubaidah al Jarrah apabila menyertai pasukan tentera Islam di bawah pimpinannya.
Khalid berkata. “Wahai Abu Ubaidah, kamu yang lebih layak memimpin pasukan ini. Tetapi saya patuh dengan perintah khalifah.”

Hercules bertanya kepada salah seorang tenteranya yang dibebaskan oleh Abu Uabidah al Jarrah. “Sila engkau terangkan mengenai orang itu?”
Jawab tenteranya. “Sebenarnya dia menjadi pahlawan pada siang hari dan menjadi pendeta di malam hari. Dia tidak memakan sesuatu makanan melainkan setelah jelas halalnya. Tidak masuk ke dalam rumah melainkan mengucapkan salam. Apabila bertemu kawan-kawannya dia yang dulu mengucapkan salam. Dia menunggu musuhnya menyerang dulu baru dia datang memeranginya.”

Seorang penduduk Syam berkata. “Kami telah mengadu kesusahan kami kepada Herculis tetapi tidak diendahkannya. Maka Tuhan menyelamatkan kami dari kekejaman Rom dengan menghantar orang Arab. Sungguh besar nikmat yang dilimpahkan kepada kami.”

Setelah berjaya menakluk Parsi Abu Ubaidah al Jarrah dilantik menjadi Gabenor di Syam.

Apabila berlaku wabak taun dan Abu Ubaidah al Jarrah menjadi salah seorang mangsanya.

Beliau dikebumikan di Jordan.

Tuesday, November 11, 2008

TDMHE

Sekembalinya dari pejabat petang tadi agak lewat dari biasa kerana perlu berjumpa seorang sahabat dari Universiti Malaya. Masuk sahaja ke rumah terpandang sebuah bungkusan "Pos Laju" di atas meja...dalam hati berkata-kata, "Eh...cepatnya sampai buku yang kupesan???" Efisien betul penulis buku ini yang sememangnya sudah tidak asing lagi bagi pembaca setia buku-buku dari PTS, dan buku pertama beliau Travelog Haji: Mengubah Sempadan Iman (THMSI) telah mencapai jumlah jualan yang tertinggi dalam masa beberapa bulan sahaja selepas dilancarkan pada tahun lepas.

Sememangnya sudah terdetik dalam hati siapakah pengirimnya apabila melihat tulisan tangan dan tandatangan di sampul 'Pos Laju' tersebut. Tersenyum lebar, hilang segala penat dan terus mencapai dan membuka bungkusan tersebut. Selepas solat Maghrib dan berdoa, terus mengadap komputer untuk membayar buku tersebut secara online (...bayar dahulu sebelum membaca!)
"Nurazzah, Moga ada menafaat, Ingat Allah, DIA sangat hampir. Salam."
Ditandatangan oleh: Prof Dr Muhd Kamil Hj Ibrahim.
(Prof terlupa nak tambah angka '8' dihujung nama saya ... atau mungkin terlalu banyak banyak buku yang hendak di tandatangan sehingga Prof terlupa)

Selesai solat Isya' pembacaan pun dimulakan, bermula dari kulit depan hingga ke kulit belakang. lebih kurang 2 jam sahaja! Pukul 10:30malam sudah selesai .... ini memang dapat diagak kerana buku ini agak nipis berbanding buku THMSI, hanya mempunyai 142 halaman sahaja dan beberapa bab di dalamnya telah pun dibaca dalam blog penulis sebelum ini . (nota: ini dapat dilakukan kerana anak-anak sudah faham bahawa mereka tidak boleh mengganggu ummi jika ummi sedang membaca, dan Alhamdulillah suami tiada di rumah kerana ada perjumpaan dengan sahabat beliau selepas pulang dari menunaikan solat Isya' di surau berdekatan )

Perkara pertama yang paling mengujakan ialah apabila membaca halaman dedikasi. Di bawah halaman tersebut tertera perkataan :

Terjemahan ayat-ayat Al-Quran dan hadis dipetik daripada tiga sumber utama iaitu:

http://quran.alislam.com
http://www.tmsk.uitm.edu.my/~ir/sumberutama.php
http://www.tmsk.uitm.edu.my/~ir/webhadis/

ALhamdulillah, syukur ke hadrat Allah SWT kerana usaha saya dan rakan untuk membantu umat Islam khususnya yang boleh membaca dalam bahasa Melayu menyediakan sebuah enjin carian Al-Quran dan Hadis berbahasa Melayu telah dapat dimenafaatkan (walaupun rasanya masih banyak lagi perkara yang perlu diperbaiki pada enjin carian tersebut). Pada masa kami memulakan projek tersebut, tidak terdapat satupun kitab rujukan hadis BERBAHASA MELAYU yang ada dijual dipasaran!!! semuanya berbahasa Indonesia. Lalu di awal perojek, kami perlu mendigitalkan semua hadis-hadis tersebut dan mengalihbahasa ke Bahasa melayu, dengan panduan pakar(ustaz) dalam hadis, kerana kami tidak mahu apabila ditukar ke Bahasa melayu akan berubah maksud hadis tersebut. Sekurang-kurangnya apabila Prof. Muhd Kamil meletakkan rujukan URL tersebut di dalam buku beliau, lebih ramai lagi orang boleh merujuk kepada enjin carian Al-Quran dan Hadis tersebut... Apabila disemak, tertera sudah 11638 kali enjin carian tersebut dirujuk! ALHAMDULILLAH, SYUKUR KE HADRAT ALLAH.

Sebagai seorang ahli akademik dan juga PENGARAH salah sebuah cawangan UiTM di Malaysia, Prof. Dr Hj Muhd Kamil bin Hj Ibrahim telah sanggup mengenepikan ego dan perasaan beliau sendiri demi untuk berdakwah secara penulisan atau perkataan dan dibuktikan dengan amalan beliau sendiri. Jika diikutkan hati, mana mungkin seorang PENGARAH hendak mengaku kejahilan beliau sendiri, tidak tahu membaca Al-Quran hatta mengenal huruf-huruf Al-Quran sehingga usia sudah hampir separuh abad. Namun beliau berjaya memperbaiki diri sehingga boleh membaca Al-Quran berserta terjemahan sewaktu menunaikan ibadah haji dalam masa yang singkat. Inilah yang mesti dilakukan oleh setiap umat Islam, iaitu sentiasa berdoa agar pengakhiran hidup kita akan sentiasa berada dalam Husnul Khatimah, bukannya Suul Khatimah.

Semua ini adalah kerana Allah masih sayangkan hambaNya, tiada istilah sudah terlambat dalam kamus Allah. Walau setua mana usia kita, masih belum terlambat untuk kita menginsafi dan kembali kepada Allah dengan melakukan segala perintahNya dan menjauhi semua laranganNya. Allah lah yang memberi Hidayah kepada hambaNya, kita sebagai hamba Allah hanya perlu berusaha dan berDO'A. Itulah intipati buku TDMHE... segala-galanya bermula dengan DO'A... itulah yang hendak disampaikan oleh penulis buku ini, iaitu dalam apa jua keadaan, kita jangan lupa dan jangan putus untuk berdoa kepada Allah, sesungguhnya Allah itu sangat dekat. Hampir setiap bab mengandungi do'a-do'a yang diucapkan oleh penulis kepada Allah dengan penuh khusyuk dan mengharap.

Sebagai seorang Pengarah kampus, usaha beliau berdakwah secara halus dengan menunjukkan contoh teladan dan amal perbuatan beliau sendiri, mengundang pelbagai persepsi masyarakat, samada masyarakat kampus mahupun masyarakat sekeliling. Ramai yang menyokong, dan tidak kurang juga mungkin ada segelintir yang menyangka bahawa beliau mahu menonjolkan diri sendiri sebagi insan yang lebih mulia dan baik daripada orang lain. Mungkin ada dikalangan mereka yang digelar 'ustaz' juga mengatakan bahawa beliau hanya hendak tunjuk pandai, tunjuk alim, sedangkan ilmu baru sekelumit, baru sekali pergi haji sudah mahu berdakwah! Cabaran yang perlu beliau hadapi bukannya mudah, walaupun hendak mengajak orang melakukan perkara yang sudah diketahui dan sudah dipelajari sejak kecil, yang merupakan salah satu rukun Islam yang lima, yang wajib dilakukan oleh setiap umat Islam iaitu bersolat, apatah lagi bersolat lima waktu berjemaah di mesjid.

Sepanjang penulisan beliau berulang-kali menyatakan tentang kejahilan diri sendiri, tentang ilmu yang sedikit, tentang takut dikatakan riya' , sombong dan angkuh. Namun perasaan itu tidak menghalang beliau untuk terus berdakwah dengan cara beliau sendiri. Dengan membaca buku ini, pembaca seakan dibawa menyelami diri sendiri, melihat ke dalam hati nurani, menilai amal ibadat yang dilakukan samada melakukan secara ikutan, atau sememangnya sebagai ibadah ritual sahaja, tanpa penghayatan sebenar ataupun dengan memahami apa erti ibadat itu sendiri. Apa yang penting sebenarnya setiap amalan kita mestilah dilakukan secara bersungguh-sungguh dan istiqamah, iaitu berterusan sehingga ke akhir hayat di dunia ini diiringi dengan berdo'a kepada Allah SWT.

Astaghfirullah Al-Azim. Subhanallah. Allahuakbar.

Wallahu'alam.

p/s: Selamat Membaca kepada mereka yang belum membaca.
Berikan sumbangan terbaik anda! Teruskan menyumbang ke Tabung Aqsa2Gaza Emergency Relief sekarang!!! Akaun Maybank Islamic: 5515 7500 4299 Akaun Bank islam : 12 092 01 003490 4 Kemudian sila maklumkan kepada: admin@aqsasyarif.org.my

Nak Baca Entri Lain? Klik Sini....