Showing posts with label haji. Show all posts
Showing posts with label haji. Show all posts

Monday, October 22, 2012

Tetamu Allah

Malam Jumaat minggu lepas, akhawat surau At-Taqwa telah bersama-sama menziarahi jiran-jiran kami yang akan berangkat Ke Tanah Suci Mekah dan Madinah sebagai Tetamu Allah SWT ..

Pesanan Nabi Muhammad SAW menunjukkan bahawa kehidupan seseorang mukmin tidak akan  sempurna pada kaca mata Islam seandainya hubungan dengan jiran tetangga tidak dipelihara dengan baik serta hidup dalam harmoni.  Tambahan pula zaman sekarang menyebabkan masyarakat khususnya yang tinggal di bandar kurang berinteraksi dengan jiran. Masing-masing sibuk bekerja dengan waktu tidak menentu  telah mendorong melakukan hal masing-masing.

Sabda Baginda SAW bermaksud:
“Sesiapa beriman kepada Allah dan hari kiamat, maka hendaklah ia berbuat baik kepada jirannya. Dan sesiapa beriman kepada Allah dan hari kiamat, maka hendaklah ia menghormati tetamunya. Dan sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari kiamat, maka hendaklah ia berkata yang baik dan hendaklah ia diam.” (Hadis riwayat Muslim)

Insyaallah ..Semoga semua mereka akan mendapat haji yang mabrur ...
Ameen

Yang bertudung biru di tengah adalah jiran SEBELAH RUMAH saya...tetapi dek kesibukan kerja, saya pun jarang dapat berbual dengan beliau...tegur pun sambil keluar masuk rumah semasa hendak pergi dan balik dari kerja ... (hurrmmm.... ) jadi semasa majlis sebegini lah baru dapat duduk berbual bertanyakan khabar masing-masing dengan tenang dan aman ... dan dapat bersalam dan berpelukan untuk mengeratkan ukhuwwah ....

 Bersalaman dan bermaafan
 Semoga Allah memelihara ukhuwwah kami semua di kejiranan ini...
Ameen

Monday, September 17, 2012

KT1

Apabila tengok berita hari ni, baru perasan hari ini adalah hari pertama penerbangan jemaah haji KT1.  Doa kuiringi dari jauh buat para jemaah agar mereka selamat pergi dan selamat balik serta diPermudahkan oleh Allah segala urusan mereka sepanjang mereka berada di Tanah Suci Makkah Al-Mukarramah dan juga Madinah Munawarrah. 
Melihat satu-persatu wajah mereka, mengimbau kembali pengalaman ku sendiri sewaktu hendak pergi menunaikan haji buat pertama kali 5 tahun yang lalu, 2007. Ya Allah, rindu itu bertamu lagi disanubariku... mengamit-gamit melambai-lambai daku ke sana...Ya Allah , daku selalu bayangkan sewaktu sedang solat, seakan-akan sedang bersolat di hadapan rumahMU Ya Allah ... Engkau murahkan rezekiku, Permudahkan jalanku, berikan daku peluang sekali lagi untuk mengerjakan haji atau umrah ke rumahMU Ya Allah ...
Rindu itu mengundang deraian air mata jatuh satu persatu di pipi ku...

Saturday, November 27, 2010

Mina

Sekarang pukul 3:35pg...terkebil-kebil mata ini merenung skrin ini.. 

hajat hati ingin mencoret pengalaman di Mina selepas mabit di Mudzalifah...
namun .... tidak dapat meluahkannya di sini..

sedangkan di kepala ini bagaikan skrin besar di panggung wayang

menayangkan satu demi satu episod cerita yang di alami di sana...

terlalu banyak..ya terlalu banyak yang hendak ku kongsi bersama..

tetapi tanpa disedari air mata ini meleleh membasahi pipi

apabila 

wajah ALlahyarhamah ibu mertua 

melintas di depan mata...

(Al-Fatihah buat roh beliau - 
utk mereka yang baru mengenaliku di alam maya ini, 
Allahyarhamah MIL saya meninggal dunia di Mekah semasa bersama-sama menunaikan haji pada musim haji 2007-2008 ).

Mesjidil Haram dilanda Ribut Pasir

Salam sahabat semua, bila saya buka blog Pengalaman Di Kota Mekah (PDKM) , beliau melapurkan bahawa Mesjidil Haram, malahan seluruh Kota Mekah dilanda ribut pasir hari ini.

baca lebih lanjut di sini.

Wednesday, November 24, 2010

Selamat Kembali

Alhamdulillah kumpulan pertama jemaah haji telah selamat pulang dan tiba di KLIA.   

Semoga mendapat haji yang mabrur.

(sumber: MHI pagi ini )

Wednesday, November 17, 2010

Selamat Hari Raya Aidil Adha

Selamat Hari Raya Aidil Adha untuk semua umat Islam, terutamanya rakan bloggers di alam maya ini. 
Sejak kecil, saya melihat kita menyambut Hari Raya Aidil Adha sama meriah dengan menyambut Hari Raya Aidil Fitri. Semasa kecil dan bersekolah, sepasang baju baru mesti disediakan untuk menyambut Hari Raya, tidak kira hari raya apa. Cumanya semasa Hari Raya Aidil Adha tiada kuih muih yang banyak seperti Hari Raya Aidil Fitri. 
 Hari Raya Aidil Adha lebih dikenali dengan nama Hari Raya Korban.
Kadang kala bertanya juga kepada ibu, ibu akan menjawab Hari Raya ini untuk orang-orang yang pergi haji. 
Tanggapanku sebelum menunaikan haji, Hari Raya ini akan disambut oleh jemaah haji sama meriah sepertimana yang disambut di Malaysia.
Tetapi setelah aku sendiri pergi menunaikan haji, barulah jelas apa pengertian Hari Raya Aidil Adha ini. Malah, ketika kami di Mina, tiada pun sambutan Raya, kerana semua jemaah tinggal di dalam khemah yang kelihatan sama sahaja, makan nasi bungkus yang disediakan oleh pihak maktab di Mina. Masa hanya dipenuhi dengan zikir, membaca Al-Quran, berdoa, dan solat. di antara waktu-waktu melontar.

Mina

Kami sampai ke khemah kami di Mina dari Mudzalifah sebelum masuk waktu Subuh. Khemah jemaah haji juga di bahagikan mengikut zon... khemah-khemah haji Malaysia diletakkan berdekatan antara satu sama lain mengikut pakej-pakej tabung haji. Alhamdulilah khemah kami ditempatkan paling hampir dengan Terowong Muessim. Ini bermakna kami perlu merentasi terowong tersebut setiap kali kami hendak pergi melontar ke Jamrah.

Ya Allah, sayup mata memandang melihat khemah-khemah di Mina..


(Gambar-gambar ini diambil ketika kami melakukah ziarah ke Mina selepas waktu haji..)
 

Tuesday, November 16, 2010

Mabit di Mudzalifah

Sebelum pergi mengerjakan haji, selalu dengar orang kata "Mabit di Mudzalifah" , masa sekolah dulu pun dalam pelajaran agama ada belajar rukun dan wajib haji...tapi selepas habis sekolah dah tak ingat.  Apabila mendapat rezeki menjadi tetamu Allah, mula ikuti kursus-kursus haji...teringatlah semula rukun dan wajib haji yang telah dipelajari dahulu. 
Tetapi kata ustaz, walau sebanyak mana pun kita berkursus dan pelajari teorinya, kita masih belum dapat gambaran 100% lagi bagaimana haji ini dilakukan, melainkan dengan kita melakukan ibadah itu sendiri, mendapat pengalamannya sendiri. 

Selepas berwukuf di Arafah, kami pun di arahkan supaya bersiap-siap untuk ke Mina, dan akan berhenti sebentar di Mudzalifah. Ini dinamakan "mabit" di Mudzalifah. 
Sedang beratur menunggu bas yang akan membawa kami ke Mudzalifah dari Arafah.
Apakah makna "mabit"? "mabit" bermaksud "bermalam" Oleh itu apabila kita kata "mabit" di Mudzalifah, maka kita akan bermalam di Mudzalifah. Iaitu pengertian kita mesti berada di bumi Mudzalifah sepanjang malam hingga pagi ATAU berada seketika di bumi Mudzalifah selepas tengah malam.
(kelihatan kerusi roda yang kami gunakan untuk menolak Allahyarhamah ibu mertuaku)

Bila? 
Pada malam 10 Zulhijjah.

Alhamdulillah, bas kami sampai awal di Mudzalifah. Keadaan di bumi Mudzalifah masih lengang dan agak terkawal. 

Sejak tahun kami menunai haji, kerajaan Arab Saudi telah membahagikan jemaah haji mengikut zon, iaitu kita dari Malaysia dikumpulkan sekali dalam zon ASIA, bersama-sama jemaah dari Indonesia, Thailand, Singapura, Brunei dan Filipina. 
Ada kebaikannya kerana kebanyakan jemaah haji dari ASIA adalah lebih kecil dari segi fizikal berbanding jemaah haji dari Eropah, Amerika  dan Afrika. Ini adalah untuk mengelakkan pertembungan dan juga demi menjaga keselamatan jemaah haji itu sendiri. 


 Tidak lama kemudian bumi Mudzalifah sudah mula dipenuhi dengan jemaah-jemaah haji. 
Apabila saya melihat gambar ini, saya terkenang kembali keadaan pada malam tersebut. Di sini, tiada khemah atau sebagainya yang disediakan, hanya bumi Mudzalifah terbentang luas, dipenuhi dengan lautan manusia yang hanya dibaluti oleh 2 helai kain ihram (bagi jemaah haji lelaki) manakala jemaah haji wanita berjubah dan bertelekung/bertudung putih. 

Tiada tempat VIP atau VVIP, tiada yang mempersoalkan siapa anda, apa pangkat anda, samada anda seorang boss besar, datuk, datin puan sri, tan sri, VC, dekan, pensyarah, kerani, hatta walau anda seorang tukang kebun, petani , nelayan tukang kasut, 
anda seorang blogger terkenal, blogger baru...etc,....
SEMUA orang kelihatan sama, serupa sahaja... 
apa yang membezakan antara sesama jemaah haji? hanyalah amalan yang mereka lakukan...

Keadaan ini seolah-olah kita berada di Padang Masyar! menunggu waktu utnuk dihisab segala amal perbuatan kita! (MasyaAllah...semasa menaip ini tegak bulu roma saya apabila mengenangkan suasana ini..) memang sungguh menginsafkan ! 

Dengan berbekalkan tikar plastik yang diberi oleh Lembaga Tabung Haji (LTH), kami bentang di atas padang tersebut yang hanya berlantaikan pasir dan batu-batu kecil..tiada pokok-pokok untuk berlindung, duduklah kami berempat, saya , suami, allahyarhamah ibu mertua saya, dan BIL...
Semakin menghampiri waktu tengah malam, cuaca menjadi semakin sejuk! Aku selimutkan MIL dengan beberapa lapis baju tebal agar dia tidak merasa sejuk, apatah lagi dengan keadaan beliau yang tidak sihat, suhu yang sejuk semakin menambahkan lagi penyakit lelahnya.
 Amalan-amalan sunat yang patut dilakukan ialah, berzikir, berdoa, solat sunat dan mengutip batu (batu kecil utk tujuan melontar di Jamrah)
Alhamdulillah, Allah itu Maha Besar. Sekali lagi bas yang akan membawa kami ke Mina adalah di antara bas-bas yang awal bertolak. Ini mengurangkan kerisauan kami akan keadaan MIL yang semakin tidak sihat kerana suhu semakin sejuk. Allah Maha Besar!
(selepas itu kami menerima berita ada juga jemaah haji - kebanyakannya jemaah yang tua dan uzur- yang jatuh sakit tidak tahan cuaca sejuk kerana bas yang membawa mereka lambat sampai disebabkan kesesakan, dan mereka perlu menunggu lama di Mudzalifah hingga ke dinihari) 
(sedang beratur menunggu bas yang akan membawa kami ke Mina)
(waktu ini juga kita akan melihat berbagai ragam manusia - memang semuanya jemaah haji - tetapi di sini ujian dan dugaan Allah, samada kita dapat bersabar. 
Kadangkala kami mengucap panjang juga melihat jemaah haji ini berebut-rebut hendak menaiki bas, bukannya mereka ini budak-budak, malahan hampir kesemuanya sudah dewasa, malahan ada yang sudah bercucu! 

Ya Allah Ya TUhanku..jauhilah kami dari sifat-sifat kurang elok ini ...apatah lagi kami ini membawa MIL yang sudah tua dengan kerusi roda...kadang kala terfikir saya, sepatutnya jemaah haji yang muda-muda, sihat walafiat ini memberi laluan kepada kami dahulu memandangkan kami membawa orang tua yang uzur, tetapi nampaknya masing-masing hendak mendahulukan diri sendiri.

Mulutku tidak henti-henti beristifar dan sentiasa berdoa, Rabbi Yassir walatu'assir, Ya ALlah permudahkan segala urusan kami, Ya Allah Engkau Permudahkanlah!

 Bermula tengah malam, satu demi satu bas yang membawa jemaah haji ke Mina memulakan perjalanan mereka. Namun bayangkan, keadaan masa itu mengumpulkan hampir 7 JUTA jemaah haji dari seluruh dunia ... maka keadaan memang sesak ... bas-bas beratur, kebanyakan jemaah haji dari negara lain hanya berjalan kaki ke Mina. 
- bersambung di lain entri -
- Mina-Melontar di ketiga-tiga Jamrah- 

Monday, November 15, 2010

Hari ini WUKUF di Arafah

Mengikut pengisytiharan yang dibuat oleh kerajaan Arab Saudi, hari ini adalah hari WUKUF di Arafah.

Bermula dari semalam Ahad 14 Nov 2010, beberapa juta umat Islam telah bergerak keluar secara beramai-ramai dari kota Mekah untuk berhimpun di Padang Arafah sebagai persiapan menghadapi hari paling penting dalam ibadat haji iaitu hari Wukuf. 

Wukuf merupakan kegiatan yang tidak boleh ditinggalkan oleh seseorang yang melakukan ibadah haji, karena ia menjadi rukun, dan rukun merupakan salah satu unsur penting yang sama sekali tidak dapat ditinggalkan, dan kalau ditinggalkan maka haji seseorang menjadi tidak sah. Seseorang yang menderita sakit, meskipun tidak dapat berjalan, atau tidak dapat duduk, maka harus dibawa ke Arafah untuk melakukan wukuf, walau wukufnya dalam keadaan apapun, sedar ataupun tidak sedar.

Pada hari Wukuf, jemaah haji pada mulanya akan berhimpun di Padang Arafah selama separuh hari sebelum ke Muzdalifah. Di Muzdalifah pula, jemaah dikehendaki berada di kawasan itu sekurang-kurangnya beberapa jam termasuk mengutip batu-batu kecil bagi membuat lontaran jamrah di Mina.


Di Mina, jemaah akan tinggal lebih lama iaitu tiga hari pada hari-hari tasriq iaitu 11, 12 dan 13 Zulhijjah.

Apabila memperkatakan mengenai ibadat haji, hari Wukuf dianggap hari-hari paling mencabar bagi menguji daya ketahanan para jemaah sama ada dari mental, fizikal atau spritual.

Nabi Muhammad SAW bersabda, ‘‘Haji itu adalah wukuf.” Hal ini memperlihatkan betapa pentingnya hari wukuf.

Mengimbau kembali pengalaman ku, kami diarahkan bersiap-siap kerana bas yang akan membawa kami ke Arafah akan sampai ke hotel selepas Asar. Aku pun menolong ibu mertua ku bersiap-siap. Dengan keadaan beliau yang kurang sihat, kami hanya menunggu di bilik hotel sehingga diberitahu ketibaan bas. Terdapat 5 buah bas disediakan untuk membawa jemaah haji dari pakej UTAS Travel. Selepas suamiku membawa turun beg ibunya, saya pun memimpin ibu mertua ke bawah. Kelihatan sudah ramai jemaah haji menunggu di lobi hotel. 

Selepas mendapat tempat di atas bas, bas pun bertolak perlahan-lahan menuju ke Arafah. Semua jemaah beramai-ramai berbondong-bondong menuju ke satu arah, iaitu Padang Arafah. Jalan raya penuh sesak, bas, kereta dan kelihatan juga yang berjalan kaki. Sedikit demi sedikit bas berjalan. Alhamdulillah akhirnya kami sampai ke khemah lebih kurang jam 4 pagi. Jaraknya bukanlah jauh, tetapi dalam keadaan sebegitu, ia mengambil masa berjam-jam. Di sini lah kita dapati betapa keadaan ini akan menguji daya ketahanan  mental, spiritual dan juga fizikal kita. Aku sangat kasihan kepada ibu mertua ku yang kurang sihat, tapi  dalam fikiran ku, tiada lain hanya sentiasa berzikir, berdoa ke hadrat ALlah SWT agar diPermudahkan segala urusan.  

Apabila sampai di khemah yang diperuntukkan khas utk pakej UTAS, kami dapati hampir kesemua ruang telah penuh. Ini kerana bas yang kami naiki adalah bas yang terakhir dari 5 buah bas tersebut. Aku pun mencari-cari di celah-celah jemaah haji wanita yang hampir kesemuanya telah pun mengambil tempat masing-masing. Ya Allah, Engkau permudahkan Ya Allah, agar kami mendapat tempat, terutamanya ibu mertuaku. Kasihan aku melihat beliau yang kepenatan setelah berjam-jam berada di atas bas. 

Di sinilah kita akan dapati ujian Allah yang Maha Besar, samada kita dapat bersabar dan bertolak ansur di antara sesama jemaah haji. Perasaan pentingkan diri sendiri hendaklah ditolak tepi. Alhamdulillah akhirnya dapatlah kami menyelit di celah-celah jemaah haji lain yang samada sedang tidur, duduk dan ada juga yang sedang solat. 

Pada hari wukuf, kita disunatkan berada di kawasan wukuf sampai terbenam matahari.
Tetap di tempat, tidak berjalan-jalan.
Menghadap kiblat, dalam keadaan bersuci, menutup aurat.
Lebih afdhal, wukuf tidak di dalam tempat tertutup.
Dalam keadaan tidak berpuasa.
Dalam keadaan khusyu’, tekun berdoa dan lain-lain.
Memperbanyak berdoa, istighfar, dan lain-lain.

Oleh karena itu, wukuf merupakan intipati dari seluruh rangkaian ibadah haji. Begitu pentingnya kegiatan ini, sehingga seseorang yang tidak melakukan wukuf hajinya tidak sah.

Bagaimana pula kita yang berada di tempat lain? Sepatutnya kita ambil peluang ini, sempena hari dan waktu yang sangat mulia dan penting dalam ibadah haji ini untuk turut sama memperuntukkan detik-detik waktu pada hari ini, memperbanyakkan bersolat sunat dan berdoa ke hadrat Allah SWT. 

Bagi pelajar-pelajar tingkatan 5 yang akan menghadapi peperiksaan SPM tidak lama lagi, bagi pelajar2 PMR yang sedang menunggu keputusan peperiksaan, dan juga yang lain-lain..ambillah peluang keemasan ini... berdoalah berdoalah berdoalah !

kurangkan duduk didepan komputer bermain games, berfb berblogging ... mari kita menafaatkan hari ini dengan sebaik-baiknya. Amin.


Saturday, November 13, 2010

Tempat Solat

Suatu hari saya agak lambat ke Mesjidil Haram, namun dalam perjalanan dari hotel ke mesjid, hati dan mulut saya sentiasa berdoa agar ada "tempat" saya di dalam mesjid, walaupun kelihatan mustahil melihatkan padatnya umat Islam dalam MH. Setiap saf kelihatan jemaah haji sudah duduk rapat-rapat. Namun saya tidak putus asa, dalam hati berkata-kata, jika ada "tempat" ku InsyaAllah ada... aku terus berjalan ke depan, menoleh ke kiri dan ke kanan, meninjau-ninjau jika ada walau sedikit ruang ... tiba-tiba di saf sebelah kiri kelihatan seorang jemaah haji wanita (mukanya kelihatan seperti bukan orang Malaysia) melambai-lambaikan tangannya ke arahku.
Aku melihat-lihat sekeliling, mungkin dia melambai tangannya ke arah kawan beliau.. tapi dia terus melambai ke arahku. Aku membuat isyarat ke arah diriku, seolah-olah bertanya adakah dia memanggilku? Dia menganggukkan kepala.. lalu aku terus melalui di celah-celah saf jemaah haji wanita sambil tertunduk-tunduk memohon laluan hinggalah sampai ke sebelah  jemaah haji wanita tersebut. Apabila aku sampai, dia pun mengecikkan silanya sambil menyuruh aku duduk di sebelahnya. Alhamdulillah..ucapku dalam hati sambil melemparkan senyuman kepada beliau.

Ya Allah, syukur Ya Allah walaupun dalam keadaan sesak sebegini, masih ada ruang untuk ku di dalam Mesjid Mu ini Ya Allah. Di hadapan ku tersergam Kaabah di mana aku dapat melihat pancur emas dengan jelas. Melihat Kaabah sahaja membuatkan hati ku merasa sayu. Tidak lama kemudian kedengaran azan menandakan masuk waktu solat fardhu. Alhamdulillah syukur Ya Allah, Engkau Maha Mendengar Ya Allah..    

Akaun Tabung Haji

Apabila tiba musim haji, maka ramailah umat Islam yang pergi menunaikan haji, tidak ketinggalan umat Islam dari Malaysia juga. Alhamdulillah di negara kita, proses menunaikan haji dipermudahkan dengan adanya Tabung Haji Malaysia, yang ditubuhkan untuk menguruskan proses rakyat Malaysia pergi menunaikan rukun Islam kelima itu bermula dari menyimpan wang hinggalah mengurus dan menjaga kebajikan rakyat Malaysia di Mekah dan Madinah, dan sehingga selamat pulang semula ke Malaysia. 
Sungguh bertuah kita... jika dibandingkan dengan rakyat lain-lain negara, yang mana ada yang perlu menguruskannya sendiri dari awal hingga akhir.

Apabila pulang dari mengerjakan haji, semasa sahabat handai dan saudara-mara datang melawatku, dengan bersungguh-sungguh aku menggalakkan mereka pergilah menunaikan haji sewaktu umur masih  muda, sewaktu diri masih sihat-walafiat, kuat bertenaga...janganlah tunggu dah pencen baru hendak menunaikan haji. Sesungguhnya kemanisan menunaikan haji lebih terasa apabila kita dapat menunaikan semasa diri sihat dan bertenaga, InsyaAllah dengan izin Allah jua. 

Ramai yang kata, belum cukup duit, tak ada duit, tak mampu lagi...
Lalu saya cadangkan, perkara pertama sekali, MESTI lah ada keinginan dalam diri kita perasaan hendak menunaikan fardhu haji, kerana ia adalah RUKUN ISLAM kelima! 
Bagaimana? Pertama sekali pergilah membuka akaun Tabung Haji. Jika sudah ada akaun, kita boleh menambah tabungan bila-bila masa yang kita kehendaki. Tidak kisahlah jika sebulan hanya RM10 sahaja, tetapi jika kita konsisten menyimpan, IA lama-kelamaan akan banyak juga... 
Saya masih ingat lagi, sebaik sahaja saya balik ke Malaysia dari menuntut ilmu di luar negara, saya terus pergi membuka akaun Tabung Haji. walaupun pada masa itu saya belum lagi mendapat kerja. Sebaik sahaja mendapat kerja, saya akan pastikan sejumlah wang akan saya asingkan dan deposit dalam akaun TH (walaupun RM10) ..tapi biasalah, pada masa itu baru nak mula hidup, dan sudah ada 2 orang cahayamata... kumpul setiap bulan, bila tiba hujung tahun anak-anak nak masuk sekolah... surut balik akaun saya! sedih juga tapi pada masa itu, gaji pun tidaklah banyak... jadi akaun TH menjadi penyelamat! Begitulah keadaannya setiap tahun, pasang surut pasang surut...sehingga lah keadaan menjadi stabil. 
Namun Allah itu Maha Mengetahui, bila hasrat hati sudah melonjak-lonjak mahu mengerjakan haji, suami pula selalu ditugaskan di luar daerah / sehingga luar negara... terpaksa hasrat hati dipendamkan..namun setiap kali berdoa selepas solat, akan daku mohon ke Hadrat Allah SWT agar mempermudahkan segala urusan, dan melapangkan masa agar suami dapat menunaikan haji...begitulah waktu demi waktu, hari demi hari, tahun demi tahun....

Setiap kali bersalin, walaupun masih dalam hari, saya akan pastikan setiap orang anak saya juga telah ada akaun TH. Selalunya ramai rakan sahabat dan saudara mara datang melawat jika kita melahirkan anak baru, dan kebiasaannya mereka akan memberikan "buah tangan" berupa wang ringgit. Maka eloklah kiranya duit itu kita masukkan dalam akaun TH anak kita itu...

Anda sudah ada akaun TH?

Friday, November 12, 2010

Semakin padat dan sesak

Hari wukuf semakin hampir, tinggal beberapa hari saja lagi. Mengimbau kembali perjalanan daku bersama suami, Allahyarhamah MIL dan abang ipar mengerjakan rukun Islam kelima itu pada akhir tahun 2007...
Penerbangan kami di antara penerbangan terakhir ke Kota Suci Mekah... waktu itu hanya tinggal seminggu lagi hari Wukuf di Arafah... 
sampai sahaja di sana, kami lihat jutaan manusia sudah mula membanjiri ke Kota Mekah. Dalam hati dan mulut kami tidak lepas-lepas sentiasa bertalbiah dan bertakbir. Ya Allah Ya Tuhanku, syukur Alhamdulillah aku dapat menjadi tetamu Mu Ya Allah, di kala umurku belum senja lagi, ketika kudrat ku masih lagi berupaya untuk daku melakukan ibadat kepada Mu Ya Allah. Tanpa disedari airmataku meleleh tatkala dapat melihat Mesjidil Haram di depan mata buat kali pertama dalam hidup ku. 
Namun kuasa Allah SWT siapa boleh menghalang, diri ku di datangi "teman setia" wanita selepas beberapa hari berada di sana.. 
Ya Allah...aku redha Ya Allah jika ini ketentuan Mu.
Setiap kali kedengaran azan masuk waktu solat, aku akan duduk di tepi tingkap hotel melihat ke bawah ke arah jutaan manusia yang berpusu-pusu menuju ke Mesjidil Haram. Ya Allah..ramainya manusia... mereka sudah tidak dapat masuk ke mesjid kerana sudah penuh dan sesak, lalu solatlah mereka di atas jalan menghala ke arah mesjid...
menurut rakan sebilikku, terdapat juga mereka yang bersolat di lobi-lobi hotel.
 Umat Islam yang tidak dapat masuk ke Mesjid kerana sudah penuh. Ini waktu solat Subuh. Kelihatan di hujung jalan Mesjidil Haram, sangat dekat dgn hotel yang kami duduk.(sekarang hotel ini sudah dirobohkan utk pembesaran mesjid)
waktu solat Zuhur.
Lalu aku menanam azam apabila diriku sudah suci dan boleh menunaikan solat, aku mahu ke mesjid seawal mungkin agar mendapat tempat di dalam mesjid. Aku sentiasa berdo'a memohon kepada Allah agar dipermudahkan perjalanan ku dan juga agar sentiasa ada "tempat" ku di dalam mesjid menghadap kaabah. Teringat ceramah dari ustaz dan juga pembacaan dari buku-buku haji, bahawa solat di  mesjidil haram itu pahalanya 100,000 kali dari solat di tempat lain! Siapa yang tidak mahu merebut peluang itu? Bayangkan 5 waktu sehari darab jumlah hari kita berada di Mekah? Ya Allah, Engkau permudahkan lah , Engkau PermudahkanLah! 

Monday, November 8, 2010

Hari Wukuf 15 November 2010

Hari Wukuf 15 November

2010/11/07

MAKKAH: Mahkamah Agung di Riyadh, Arab Saudi mengumumkan bahawa hari wukuf ialah pada 15 November bersamaan 9 Zulhijjah dan hari Raya Aidiladha bagi negara itu adalah pada keesokan harinya, iaitu 16 November 2010.

Menurut Saudi Press Agency, yang dilaporkan oleh akhbar Saudi Gazette, 1 Zulhijjah ialah pada hari ini, 7 November. 

 
Lebih 1.5 juta umat Islam dari seluruh dunia kini berhimpun di tanah suci Makkah dan Madinah untuk menunaikan haji, yang juga perhimpunan tahunan agama yang terbesar di dunia, menurut agensi itu. - BERNAMA

Sunday, November 7, 2010

Aidiladha disambut pada 17hb November 2010

Apabila mendengar pengumuman mengenai Aidiladha di TV tadi malam, terus fikiran ku menerawang ke 3 tahun lalu, 2007.  Di hari dan waktu yang sama, aku berada di kota suci Mekah Al-Mukarramah. Ketika diumumkan hari wukuf, semua umat Islam bersiap sedia mental dan fizikal untuk saat dan ketika yang penting itu. 
Berbeza sekali keadaannya jika di tanahair, terkenang ketika kanak-kanak...pada pandangan kami, Hari Raya AidilAdha, atau lebih dikenali sebagai Hari Raya haji, akan disambut meriah juga seperti Hari Raya Puasa. Malah di sesebuah negeri, seperti Kelantan, Hari Raya Haji disambut lebih meriah dari Hari Raya Puasa. 

Pada fikiranku, adakah sama sambutan Hari Raya Haji di sini (iaitu di Mekah)? Oh...rupanya sangatlah tersimpang jauh ... malahan semasa di Arafah, semua jemaah haji masing-masing diperingat agar tidak membuang masa dengan berbual-bual kosong, menjaga perbuatan, tutur kata dan apa yang diniatkan di dalam hati,  dan berdo'a untuk kebaikan dunia dan akhirat dengan bersungguh-sungguh diwaktu yang sangat utama itu.  

Ketika itu, airmata memang tidak dapat ditahan-tahan lagi, dan bumi Arafah dibasahi dengan airmata keinsafan oleh berjuta-juta umat Islam yang berada di Arafah.

Wukuf di Arafah adalah rukun haji yang kedua tetapi yang paling utama dari rukun-rukun haji itu. Itu adalah berdasarkan kepada sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud : 

"Dari Abdul Rahman bin Ya'mur r.a katanya: Bahawa Rasulullah s.a.w menyuruh seorang penyeru menyerukan : "Haji itu ialah "Arafah". Barang siapa datang pada malam tanggal sepuluh, sebelum terbit fajar, bererti dia telah mendapatkan Arafah" (Riwayat - Ahmad dan Ashabus Sunan)

Hadis Sunan At-Termizi Jilid 4. Hadis Nombor 4058.
Maksudnya : '"Ibnu Abi Umar menceritakan kepada kami, Sufyan bin Uyainah memberitahukan kepada kami, dari Sufyan Ats Tsauri dari Bukhair bin Atha' dari Abdurrahman, Ya'mar, ia berkata : Rasulullah SAW. bersabda : "Haji itu wuquf di Arafah, haji itu wuquf di Arafah, haji itu wuquf di Arafah, tinggal di Mina selama tiga hari, barang siapa yang ingin cepat pulang (dari Mina) sesudah dua hari, maka tiada dosa baginya. Dan barang siapa yang ingin menangguhkan dari kepulangannya dari dua hari itu), maka tiada dosa pula baginya. Dan barang siapa menemui waktu di Arafah sebelum terbit fajar, maka ia tetap menemui waktu haji". Ibnu Abi Umar berkata : Sulyan bin Ayainah berkata : Hadis inilah yang paling baik yang diriwayatkan As Tsauri. Hadis ini hasan sahih.Syu'bah meriwayatkan hadis ini dari Bukhair bin Atha' dan saya tidak mengetahui hadis ini, kecuali dari hadisnya Bukhair bin Atha'.
 
(sumber: Webhadis UiTM)

Thursday, November 6, 2008

Apabila Madinah hujan

Apabila membaca cerita mengenai bandar Madinah banjir, serta merta fikiranku teringat saat-saat kami berada di sana sewaktu musim haji 2007. YaAllah...rinduku serta-merta memuncak, air-air jernih mula bertakung dimataku. Rindu kepada Madinah, rindu kepada Mesjid Nabawi, rindukan Raudhah, berada hampir dengan makam Rasulullah SAW... Ya Allah...mahu rasanya saat ini terbang ke sana, perasaan ini tidak dapat ditahan-tahan.

Suasana hening dinihari di dalam Mesjid Nabawi...Ya Allah.......rindunya....Ya Allah Engkau murahkan rezekiku, panjangkan umurku agar aku dapat lagi menjadi tetamuMu Ya Allah, menjejakkan kaki ke Madinah, ke Mesjid Nabawi dan Mesjidil Haram untuk menunaikan ibadah Ya Allah..........

Kami tidak dapat mengalami pengalaman hujan sewaktu di sana, sewaktu kami hampir bertolak ke Madinah, berita didengar bahawa satu hari Madinah mengalami hujan, apabila kami ke Madinah, bandar Mekah pula mengalami hujan. Sepanjang masa di Mekah dan Madinah, ada beberapa kali solat sunat memohon hujan dilakukan...

Tahun lalu, hotel tempat kami menginap di Madinah sangat hampir dengan pagar Mesjid Nabawi, namun begitu satu pembinaan pengubahsuaian besar-besaran sedang dilakukan untuk membesarkan lagi lapangan mesjid, di mana dibawah lapangan tersebut satu pembinaan sedang dijalankan untuk membuat tempat parking kereta di bawah tanah. Saya anggarkan sudah semestinya pembinaan tersebut sudah siap sekarang, dan apabila mendengar berita bahawa bandar Madinah banjir selepas hujan selama 30 minit, saya terbayangkan tempat parking bawah tanah tersebut. Jika sudah siap pada tahun ini dan kejadian hujan tempohari, adakah kereta2 yang diparking di bawah tanah tersebut akan tenggelam, atau sudah ada sistem saluran air keluar??? Bandar Madinah bukan seperti bandar di Malaysia...di mana terdapat banyak parit atau longkang untuk mengalirkan air kerana keadaan negara kita yang selalu hujan (kita pun tahu walaupun terdapat parit dan longkang/sistem saliran air, namun banjir kilat selalu juga berlaku di Malaysia) Inikan pula di bandar Madinah yang hanya turun hujan setahun sekali, memang tiada parit atau longkang di kiri kanan jalan...walaubagaimanapun mengikut laporan berita semalam, pihak bandar Madinah berjaya menyedut air yang bertakung dijalan2 dengan cepat sekali... maklumlah waktu sekarang jemaah haji yang bertolak awal sudah berbondong-bondong memenuhi bandar Madinah Al-Munawarrah...

Labbaikallahumalabaik..........

Baca berita di sini.

Sunday, January 27, 2008

Ya Allah, mudahkanlah segala urusan......

Rabbi Yassir Walatu'assir. Rabbi Atmim bil khair

"Ya Allah, mudahkanlah segala urusan, jangan lah disusahkan. Ya Allah sempurnakanlah dengan segala kebaikan."

Ini lah do'a yg saya baca setiap kali selepas solat samada solat fardhu atau solat hajat, sebaik sahaja mendapat surat tawaran dari Lembaga Tabung Haji(LTH) utk menjadi tetamu Allah swt.
Do'a ini juga saya baca sepanjang masa berada di Tanah Suci Mekah dan Madinah, dan sehinggalah selamat sampai di Malaysia. (dan saya berazam akan terus mengamalkan sehingga bila2).

Janji Allah itu mmg benar. Walaupun saya berangkat ke Tanah Suci bersama ibu mertua yg sudah tua dan uzur, namun sepanjang masa saya langsung tidak berasa seperti terbeban atau sebagainya. Pesan rakan2 dan saudara yg sudah pernah menjadi tetamu Allah, " IKHLAS dan
SABAR adalah dua perkara yg mesti ada pd diri kita sepanjang masa, terutama jika pergi bersama ibu mertua !"

Banyak cerita yg saya baca dan dengar (diceritakan oleh rakan yg pernah pergi menunaikan fardhu haji).... hurm...cerita antara ibu mertua dan menantu(terutama menantu perempuan)!
Saya masih ingat kata2 Prof MKI sebelum saya berangkat ke Tanah Suci Mekah,
" You pergi bersama siapa?" tanya beliau.
Saya jawab, "suami, ibu mertua dan abang ipar"
Tambah beliau, " InsyaAllah you akan selamat di sana, tapi saya rasa cabaran dan dugaan you yg paling besar ialah ibu mertua you"

Saya faham kata-kata beliau.

Dengan itu saya mempersiapkan diri ini akan segala kemungkinan. Kadang-kala hati berkata-kata,"mampukah aku?, mampu kah aku? mampukah aku menjadi menantu mithali" Setiap kali selepas solat aku berdo'a, " Ya Allah, Engkau kurniakan kpd ku kesabaran
dan keikhlasan yg tinggi, sepanjang masa bersama ibu mertuaku. Engkau kurniakanlah kesihatan yg baik sepanjang masa aku berada di Tanah SuciMu, supaya aku boleh menjaga ibu mertua dgn baik, Engkau kurniakan perasaan kasih-sayang dlm hatiku terhdp ibu mertua sebagaimana aku kasih dan sayang kpd ibuku sendiri. Rabbi Yassir Walatu'assir. Rabbi Atmim bil khair"

Alhamdulillah, Allah Maha Besar..........
Sepanjang masa bermula saat hendak bertolak dari rumah, sehinggalah ke akhir hayat beliau, segala-gala dipermudahkan Allah swt. Walaupun sejak di Mekah sebelum wukuf lagi, ibu mertuaku sudah mula tidak sihat, kerana batuk berkahak sepanjang masa ditambah lagi beliau mmg ada penyakit lelah. Makan perlu bersuap, berjalan perlu dipapah, berwudhuk juga perlu diambilkan, baju perlu dipakaikan, kaki perlu diurut setiap hari, namun sedikit pun aku tidak rasa membebankan...malahan semuanya dilakukan dgn rela hati .... sehingga ada di antara jemaah yg bersama ku berkata, "Ya Allah, awak jaga mak mertua awak macam jaga ibu sendiri. Kalau saya pun saya tak tahu samada saya boleh buat macam tu"

Saya menjawab, "Ibu mertua pun ibu saya juga. InsyaAllah apa yg saya lakukan semuanya saya niatkan kerana Allah SWT. "

Inilah yang paling aku kagum dengan kebesaran dan janji Allah.... kita hanya perlu berdo'a dengan bersungguh hati, InsyaAllah Allah makbulkan.
Dan saya paling bersyukur kerana sayalah antara anak dan menantu yg terpilih utk
bersama-sama ibu mertua sehingga ke akhir hayat beliau, Sehinggakan saya dapat bersama-sama memandikan dan mengapankan jenazah beliau. Dimana ini adalah satu perkara yg sangat mustahil bagi seorang perempuan dinegara Arab ini, utk bersama-sama mengikuti van jenazah ke mesjid utk memandikan dan mengapankan jenazah.

Lazimnya di negara Arab, seorang perempuan tidak dibenarkan mengikuti ke mesjid utk urusan jenazah. Semasa di Hospital Syisyah, selepas doa tahlil dibacakan oleh ustaz LTH, pihak muasasah Arab Saudi sudah bersedia dengan pengusung jenazah utk dibawa menaiki van jenazah. setelah jenazah ibu mertuaku diletakkan di dalam van, suamiku, abang iparku dan
seorang ustaz pakej UTAS terus menaiki van itu bersama.
Tatkala itu, hatiku berkata, "Eh...takkan aku nak tinggal kat hospital ni, nak ikut jugak!"
Aku pun terus bergegas hendak menaiki van tersebut, tiba-tiba.....
driver van jenazah itu (seorang bangsa Arab) terus mengatakan, "La'!" (maksudnya "tidak", saya tidak boleh ikut serta)...terpinga-pinga sekejap.....maklumlah nak cakap Arab tak pandai.....

Namun begitu Alhamdulillah, ustaz LTH beserta seorang petugas LTH yg fasih berbahasa Arab masuk campur.... mereka memohon aku dibenarkan ikut serta.
Dengan kuasa Allah, akhirnya aku dapat ikut serta memandikan dan mengapankan jenazah ibu mertuaku. (berguna juga aku mengikuti kursus pengurusan jenazah yg dianjurkan oleh Pusat
Islam, UiTM beberapa tahun lalu walaupun ingat-ingat lupa)...

Urusan memandi dan mengapankan jenazah dilakukan di sebuah mesjid lain, mesjid Huzaifah, bukan di Mesjidil Haram. Tempat memandikan jenazah perempuan dan lelaki adalah berasingan. Segala-galanya sangat professional dgn kelengkapan yang lengkap. Petugas di mesjid itu juga kelihatan sangat cekap dgn kerja mereka. Maklumlah setiap hari setiap waktu ada sahaja orang meninggal di Mekah...ini berdasarkan pengalaman setiap kali selepas solat fardhu ada sahaja solat jenazah dilakukan di Mesjidil Haram. In fact sewaktu jenazah ibu mertua saya di solatkan selepas solat isya' di Mesjidil Haram, suami memberitahu terdapat 7 lagi jenazah lain yang disolatkan serentak!

Selepas itu, ada juga beberapa orang jemaah yg bertanya kepadaku," Eh, awak tak takut ke semasa tolong mandikan tu, awak tak menangis ke?"
Ya Allah, Ya Tuhanku. Maha Suci Maha Agung Maha Bijaksana Maha Mengasihi......syukur Alhamdulillah....Inilah pengalaman yg akan ku kenang sepanjang hayat ku.

Sememangnya saat itu aku tidak langsung menangis, juga tidak ada sekelumit perasaan takut... walaupun mmg ada perasaan sedih namun kami bersyukur kerana ibu mertuaku meninggal setelah selesai semua rukun dan wajib haji dan dikebumikan di Tanah Suci Tanah Haram Kota Mekah, disolatkan di Mesjidil Haram oleh beribu (mungkin berjuta krn waktu itu baru sahaja pulang dari wukuf dan melontar di Mina, orang masih ramai di Mekah).

Semoga Allah mencucuri Rahmat ke atas ruh ibu mertuaku.Dalam kenangan. Semasa baru tiba di airport Jeddah dari KLIA.

Al-Fatihah.

Saturday, December 1, 2007

Menjadi Tetamu ALLAH

"Dan sempurnakanlah ibadat haji dan umrah kerana Allah"
(Al-Baqarah: 196)

"Allah mewajipkan manusia mengerjakan ibadah haji dengan mengunjungi Baitullah bagi sesiapa yang mampu sampai kepadanya. Dan sesiapa yang kufur (engkarkankewajipan haji), maka sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak berhajat sesuatu daripada sekelian makhluk)."
(Al-Imran: 97)

InsyaAllah, saya, suami, MIL dan BIL akan pergi menunaikan haji pada 7 Disember 2007. Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk memohon ampun maaf sekiranya selama saya berinteraksi dengan saudara-saudari sekelian, terdapat kata-kata saya yang menyinggung atau menyakiti hati saudara-saudari. Doakan kami selamat segalanya dalam perjalanan pergi dan balik, serta sepanjang masa kami beribadah di Tanah Suci Allah. Doakan semoga kami dikurniakan kesihatan yang baik sepanjang masa agar kami dapat menjalankan ibadah haji ini dengan sempurna.

Labbaikallahumma Labbaika
Labbaika Laa Syarikalaka Labbaika
Innalhamda Wal Ni'mata
Laka Wal Mulk Laa Syarikalaka

Pergi haji
Artinya menuju Allah yang esa
Membawa hati dan diri yang hina
Memberi hadiah kepada Allah
Berhati-hatilah menghadapNya

Setiap hamba
Pergi haji dengan segala yang baik
Hati yang baik akhlak yang baik
Harta yang halal hati yang bersih
Niat yang suci amal mulia

Pergi haji
Ilmu tentangnya mestilah ada
Agar syarat dan rukun tepat sempurna
Sah dan batalnya dapat dijaga
Agar amalan hajinya tidak sia-sia

Tata tertib dan akhlak kenalah jaga
Buatlah dengan tenang serta tawadu'
Sabar dan tolak ansur mestilah ada
Jangan berkasar merempuh manusia

Tanah haram jagalah pantang larangnya
Pergi haji bukannya masa untuk membeli belah
Beringatlah betulkanlah niat kita
Moga-moga haji kita diterima

Jagalah pantang larangNya
Yang boleh rusakkan hati
Jauhkan maksiat dan yang sia-sia
Takutkan Allah yang esa
Ingat selalu padaNya
Agar kita senantiasa memiliki jiwa hamba


Berikan sumbangan terbaik anda! Teruskan menyumbang ke Tabung Aqsa2Gaza Emergency Relief sekarang!!! Akaun Maybank Islamic: 5515 7500 4299 Akaun Bank islam : 12 092 01 003490 4 Kemudian sila maklumkan kepada: admin@aqsasyarif.org.my

Nak Baca Entri Lain? Klik Sini....