Monday, November 24, 2008

KAU TETAP DI HATI

MENANGI HADIAH MENARIK

Ulasan pembaca (tuan empunya blog):

Pada mulanya apabila melihat tajuk novel ini, saya berpendapat bahawa novel ini sama seperti novel-novel berkonsep CINTA seperti yang lain, lalu memasang niat tidak mahu membuang masa membacanya, tetapi saya tersilap. Niat di hati hanya ingin membaca awal cerita, tengah dan pengakhiran SAHAJA, tetapi usai membaca beberapa helai yang pertama, mataku terus terlekap membaca novel tersebut, jari-jemari ku terus menyelak sehelai demi sehelai lembar mukasuratnya. Perasaanku makin tenggelam menghayati cerita dalam novel tersebut seakan-akan aku juga berada bersama-sama watak-watak tersebut. Mahukah anda mengetahui dengan lebih lanjut...???


Sempena pelancaran novel terbaru Liza Zahira iaitu, KAU TETAP DI HATI, maka satu peraduan kuiz di adakan untuk memberi peluang kepada anda semua memenangi hadiah-hadiah yang sangat menarik.

Cepat hantarkan penyertaan anda ke email yang tertera!

20 penyertaan paling awal akan menerima Baju T Liza Zahira

Hadiah Pertama: Wang Tunai RM300
Hadiah Kedua : Wang Tunai RM200
Hadiah Ketiga : Wang Tunai RM100
10 Hadiah Saguhati: Senaskah novel Liza Zahira (Pemenang boleh memilih salah satu novel Liza Zahira)

SOALAN-SOALANNYA:

1. Novel Kau Tetap Di Hati (KTH) merupakan novel Liza Zahira yang ke berapa?

2. Selain Malaysia, negara manakah yang menjadi latar cerita KTH?

3. Berikan nama anak-anak saudara Sophia dalam Kau tetap Di hati?

4. Bahtera Kasih (BK) merupakan novel ketiga Liza Zahira. Apakah nama kapal lanun yang menculik Carra Lina dalam novel tersebut?

5. Siapakah lelaki yang akhirnya menjadi pilihan Carra Lina dalam BK?

Lengkapkan kata-kata berikut (tidak lebih dari 20 patah perkataan).
Saya gemarkan novel-novel Liza Zahira kerana ……………………………..

Tuliskan Nama, No.kad pengenalan, Telefon dan Alamat berserta jawapan lengkap anda ke:


liza_ktd@yahoo.com dan cc ke
lizaali@karangkraf.com atau liza_zahira2@yahoo.com.my




TARIKH TUTUP PENYERTAAN ADALAH PADA: 31 DISEMBER 2008

CEPAT! JANGAN LEPASKAN PELUANG ANDA!!!

Thursday, November 20, 2008

19 November 2008

19 November 2008

Hari ini ada 2 perkara penting yang berlaku....

satu perkara sedih dan satu lagi perkara gembira....mana satu nak cerita dahulu?

Cerita Gembira/Kesyukuran

Hari ini adalah hari lahir anak ke-2 iaitu Zaid yang ke-20. Pada 19 November 1988, 20 tahun dahulu di sebuah bandar kecil bernama Athens, Ohio, USA... lahirlah seorang anak lelaki yang comel...sekarang ini dialah yang paling tinggi dalam keluarga... lebih tinggi dari abi. Peminat bolasepak dan suka main futsal...aktiviti utama semasa cuti sekolah, main futsal dan pergi berkelah bersama kawan-kawan...



Cerita Sedih

Dah malam, eh dah pagi sebenarnya... sedang chatting dengan Kak Long di Jordan... (dia kat sana baru pukul 9 malam) tiba-tiba Kak Long memberitahu berita bahawa emak kepada salah seorang rakan yang sama-sama bertolak dari Malaysia semasa mula-mula melanjutkan pelajaran ke Jordan dahulu (satu flight satu bandar tetapi lain pengkhususan dan lain universiti), telah meninggal dunia pagi tadi (disebabkan barah kolon dan telah merebak ke hati )... sebenarnya saya baik dan rapat dengan arwah, tetapi dek kesibukan kerja, memang semenjak Ramadhan dan Raya tidak dapat menghubungi beliau... Ya Allah, perasaan bersalah terasa menghantui hati ini... mengapa aku tidak berusaha menalipon beliau selepas cuti Raya... namun aku yakin bahawa ini adalah qada' dan qadar Allah, takdir yang Allah telah tetapkan, sememangnya sudah tertulis di Lauh Mahfuz, ajal maut di tangan Allah SWT. Lalu aku panjatkan doa buat beliau, semoga roh beliau dicucuri Rahmat dan Hidayah dan ditempatkan bersama-sama orang yang soleh.

Tuesday, November 11, 2008

TDMHE

Sekembalinya dari pejabat petang tadi agak lewat dari biasa kerana perlu berjumpa seorang sahabat dari Universiti Malaya. Masuk sahaja ke rumah terpandang sebuah bungkusan "Pos Laju" di atas meja...dalam hati berkata-kata, "Eh...cepatnya sampai buku yang kupesan???" Efisien betul penulis buku ini yang sememangnya sudah tidak asing lagi bagi pembaca setia buku-buku dari PTS, dan buku pertama beliau Travelog Haji: Mengubah Sempadan Iman (THMSI) telah mencapai jumlah jualan yang tertinggi dalam masa beberapa bulan sahaja selepas dilancarkan pada tahun lepas.

Sememangnya sudah terdetik dalam hati siapakah pengirimnya apabila melihat tulisan tangan dan tandatangan di sampul 'Pos Laju' tersebut. Tersenyum lebar, hilang segala penat dan terus mencapai dan membuka bungkusan tersebut. Selepas solat Maghrib dan berdoa, terus mengadap komputer untuk membayar buku tersebut secara online (...bayar dahulu sebelum membaca!)
"Nurazzah, Moga ada menafaat, Ingat Allah, DIA sangat hampir. Salam."
Ditandatangan oleh: Prof Dr Muhd Kamil Hj Ibrahim.
(Prof terlupa nak tambah angka '8' dihujung nama saya ... atau mungkin terlalu banyak banyak buku yang hendak di tandatangan sehingga Prof terlupa)

Selesai solat Isya' pembacaan pun dimulakan, bermula dari kulit depan hingga ke kulit belakang. lebih kurang 2 jam sahaja! Pukul 10:30malam sudah selesai .... ini memang dapat diagak kerana buku ini agak nipis berbanding buku THMSI, hanya mempunyai 142 halaman sahaja dan beberapa bab di dalamnya telah pun dibaca dalam blog penulis sebelum ini . (nota: ini dapat dilakukan kerana anak-anak sudah faham bahawa mereka tidak boleh mengganggu ummi jika ummi sedang membaca, dan Alhamdulillah suami tiada di rumah kerana ada perjumpaan dengan sahabat beliau selepas pulang dari menunaikan solat Isya' di surau berdekatan )

Perkara pertama yang paling mengujakan ialah apabila membaca halaman dedikasi. Di bawah halaman tersebut tertera perkataan :

Terjemahan ayat-ayat Al-Quran dan hadis dipetik daripada tiga sumber utama iaitu:

http://quran.alislam.com
http://www.tmsk.uitm.edu.my/~ir/sumberutama.php
http://www.tmsk.uitm.edu.my/~ir/webhadis/

ALhamdulillah, syukur ke hadrat Allah SWT kerana usaha saya dan rakan untuk membantu umat Islam khususnya yang boleh membaca dalam bahasa Melayu menyediakan sebuah enjin carian Al-Quran dan Hadis berbahasa Melayu telah dapat dimenafaatkan (walaupun rasanya masih banyak lagi perkara yang perlu diperbaiki pada enjin carian tersebut). Pada masa kami memulakan projek tersebut, tidak terdapat satupun kitab rujukan hadis BERBAHASA MELAYU yang ada dijual dipasaran!!! semuanya berbahasa Indonesia. Lalu di awal perojek, kami perlu mendigitalkan semua hadis-hadis tersebut dan mengalihbahasa ke Bahasa melayu, dengan panduan pakar(ustaz) dalam hadis, kerana kami tidak mahu apabila ditukar ke Bahasa melayu akan berubah maksud hadis tersebut. Sekurang-kurangnya apabila Prof. Muhd Kamil meletakkan rujukan URL tersebut di dalam buku beliau, lebih ramai lagi orang boleh merujuk kepada enjin carian Al-Quran dan Hadis tersebut... Apabila disemak, tertera sudah 11638 kali enjin carian tersebut dirujuk! ALHAMDULILLAH, SYUKUR KE HADRAT ALLAH.

Sebagai seorang ahli akademik dan juga PENGARAH salah sebuah cawangan UiTM di Malaysia, Prof. Dr Hj Muhd Kamil bin Hj Ibrahim telah sanggup mengenepikan ego dan perasaan beliau sendiri demi untuk berdakwah secara penulisan atau perkataan dan dibuktikan dengan amalan beliau sendiri. Jika diikutkan hati, mana mungkin seorang PENGARAH hendak mengaku kejahilan beliau sendiri, tidak tahu membaca Al-Quran hatta mengenal huruf-huruf Al-Quran sehingga usia sudah hampir separuh abad. Namun beliau berjaya memperbaiki diri sehingga boleh membaca Al-Quran berserta terjemahan sewaktu menunaikan ibadah haji dalam masa yang singkat. Inilah yang mesti dilakukan oleh setiap umat Islam, iaitu sentiasa berdoa agar pengakhiran hidup kita akan sentiasa berada dalam Husnul Khatimah, bukannya Suul Khatimah.

Semua ini adalah kerana Allah masih sayangkan hambaNya, tiada istilah sudah terlambat dalam kamus Allah. Walau setua mana usia kita, masih belum terlambat untuk kita menginsafi dan kembali kepada Allah dengan melakukan segala perintahNya dan menjauhi semua laranganNya. Allah lah yang memberi Hidayah kepada hambaNya, kita sebagai hamba Allah hanya perlu berusaha dan berDO'A. Itulah intipati buku TDMHE... segala-galanya bermula dengan DO'A... itulah yang hendak disampaikan oleh penulis buku ini, iaitu dalam apa jua keadaan, kita jangan lupa dan jangan putus untuk berdoa kepada Allah, sesungguhnya Allah itu sangat dekat. Hampir setiap bab mengandungi do'a-do'a yang diucapkan oleh penulis kepada Allah dengan penuh khusyuk dan mengharap.

Sebagai seorang Pengarah kampus, usaha beliau berdakwah secara halus dengan menunjukkan contoh teladan dan amal perbuatan beliau sendiri, mengundang pelbagai persepsi masyarakat, samada masyarakat kampus mahupun masyarakat sekeliling. Ramai yang menyokong, dan tidak kurang juga mungkin ada segelintir yang menyangka bahawa beliau mahu menonjolkan diri sendiri sebagi insan yang lebih mulia dan baik daripada orang lain. Mungkin ada dikalangan mereka yang digelar 'ustaz' juga mengatakan bahawa beliau hanya hendak tunjuk pandai, tunjuk alim, sedangkan ilmu baru sekelumit, baru sekali pergi haji sudah mahu berdakwah! Cabaran yang perlu beliau hadapi bukannya mudah, walaupun hendak mengajak orang melakukan perkara yang sudah diketahui dan sudah dipelajari sejak kecil, yang merupakan salah satu rukun Islam yang lima, yang wajib dilakukan oleh setiap umat Islam iaitu bersolat, apatah lagi bersolat lima waktu berjemaah di mesjid.

Sepanjang penulisan beliau berulang-kali menyatakan tentang kejahilan diri sendiri, tentang ilmu yang sedikit, tentang takut dikatakan riya' , sombong dan angkuh. Namun perasaan itu tidak menghalang beliau untuk terus berdakwah dengan cara beliau sendiri. Dengan membaca buku ini, pembaca seakan dibawa menyelami diri sendiri, melihat ke dalam hati nurani, menilai amal ibadat yang dilakukan samada melakukan secara ikutan, atau sememangnya sebagai ibadah ritual sahaja, tanpa penghayatan sebenar ataupun dengan memahami apa erti ibadat itu sendiri. Apa yang penting sebenarnya setiap amalan kita mestilah dilakukan secara bersungguh-sungguh dan istiqamah, iaitu berterusan sehingga ke akhir hayat di dunia ini diiringi dengan berdo'a kepada Allah SWT.

Astaghfirullah Al-Azim. Subhanallah. Allahuakbar.

Wallahu'alam.

p/s: Selamat Membaca kepada mereka yang belum membaca.
Berikan sumbangan terbaik anda! Teruskan menyumbang ke Tabung Aqsa2Gaza Emergency Relief sekarang!!! Akaun Maybank Islamic: 5515 7500 4299 Akaun Bank islam : 12 092 01 003490 4 Kemudian sila maklumkan kepada: admin@aqsasyarif.org.my

Nak Baca Entri Lain? Klik Sini....