Showing posts with label Zaid. Show all posts
Showing posts with label Zaid. Show all posts

Wednesday, January 14, 2009

A Good Samaritan 2

Tengahari tadi aku balik ke rumah untuk makan tengahari.

Masuk saja rumah terus bibik cakap, "Ibu, tadi ada orang teksi pulangkan dompet Zaid!!"

Terus saja terlontar di bibir ku, "Syukur Alhamdulillah....!!"

Bibik berkata lagi, "Orang tu orang India, besar tinggi pakai rantai emas dan gelang emas, tapi pakai baju macam orang pergi kerja, kemas saja" Ialah pemandu teksi kan sekarang kena pakai uniform.

"Dia kata jumpa dompet tu dalam teksi dia, dua hari lepas, tapi dia tak tahu samada ada duit ke tidak, dia cuma bukak untuk tengok kad pengenalan dan alamat atau nombor telefon ke. tapi tak jumpa nombor telefon, tu yang dia datang hantar ke alamat rumah ni", kata bibik lagi.

Seorang lagi pemandu teksi yang berhati mulia ...sayangnya aku tidak dapat berjumpa dengan dia kerana dia datang sewaktu aku kerja, Zaid juga tiada di rumah kerana menghadiri kelas. Pemandu itu juga tidak meninggalkan sebarang pengenalan diri dan nombor telefon untuk dihubungi. (aku tidak salahkan bibik kerana manalah dia tahu nak mintak nombor orang tuh)

Masih ingat kisah A Good Samaritan yang aku tulis 2 bulan lalu? mengenai dompet Ammar (anak ke-3) yang juga hilang namun dipulangkan oleh seorang pemandu teksi juga.....

Pada hari Ahad yang baru lalu, Zaid (anak ke-2) berkata, "Ummi, dompet Zaid hilang semalam."

Berderau darah mendengar, lagi sekali peristiwa yang sama berlaku...lalu aku bertanya, "hilang di mana? Bgmn boleh hilang? Zaid tak perasan ke?" bertalu-talu soalan aku ajukan kepada Zaid. Manakan tidak, aku tahu dalam dompet Zaid terdapat pelbagai kad (hsshhh..!!! ummi dia ni selalu buat spot check dalam beg/dompet anak-anak!!) duit tak adalah banyak sangat...selalunya ada dalam RM20-RM30 sahaja. Yang aku tahu ada kad ATM CIMB, kad pelajar UiTM, kad pengenalan, kad lesen memandu, kad Sports Planet(ni tempat dia selalu main futsal) dll...
Tiba-tiba teringat...beberapa hari lepas ada beri Zaid duit RM100 untuk dia beli kasut sebab kasut yang selalu dia pakai pergi kelas dah berlubang....

"Zaid dah beli ke kasut? kan ummi ada bagi duit hari tu?" tanya ku.

"belum ummi, tak sempat lagi nak pergi" jawab Zaid.

"Habis tu duit tu ada dalam wallet tu lah?" tanyaku lagi.

"Haah", perlahan saja Zaid menjawab.

"Hurm...tak ada lah rezeki Zaid...tentu duit tu dah hilang juga.." terus aku berkata.

Zaid hanya diam sahaja. Sebenarnya aku tidak kisah sangat duit tu, tetapi mengenangkan kad-kad yang hilang itu, banyaknya kerenah yang perlu dilalui.

"Zaid dah pergi buat report polis semalam juga", Zaid berkata lagi tanpa perlu aku bertanya lebih lanjut.

"Dah call bank? tu kad ATM tu nanti orang keluarkan duit Zaid. Eh! biasiswa dah dapat belum?" terus aku bertanya bila teringatkan tentang biasiswa Zaid.

"Biasiswa belum masuk lagi. dalam akaun tinggal RM100 lebih aje lagi" jawab Zaid.

"Eh...seratus lebih pun duit juga...cepat telefon bank." arah ku kpd Zaid.

"hari ni kan Ahad, bank mana bukak" kata Zaid lagi.

"Eh...kes ni emergency...kita boleh call emergency number... 24 hours... cepat cari dalam internet tu apa nombor bank" arahku lagi.

Ringkaskan cerita selesailah urusan dengan bank. Alhamdulillah sesiapa yang mengambil dompet itu tidak dapat keluarkan duit dari akaun Zaid. Urusan selanjutnya Zaid kena uruskan sendiri...diakan dah besar. Biar dia bertanggungjawab sendiri.

Kembali kepada hari ini, bila tanya Zaid, dia berkata pada hari kehilangan dompet tersebut, dia tidak naik sebarang teksi pun. Dia menemani seorang kawan ke bengkel kereta di Seksyen 25, kemudian pergi minum di sebuah warung...bila nak bayar tengok dompet dah tak ada.

Aku mengagak orang yang mengambil dompet itu mesti sudah ambil duit RM100 tersebut dan meninggalkan yang lain nya di dalam teksi tersebut.

Apapun, kami sangat bersyukur kepada Allah SWT kerana dompet tersebut selamat dikembalikan. Alhamdulillah Zaid tidak perlu lagi berurusan dengan JPN, JPJ dan UiTM sendiri untuk membuat kad baru. Akhirnya aku arahkan Zaid, "Zaid...kena buat sujud syukur ni..."

Thursday, November 20, 2008

19 November 2008

19 November 2008

Hari ini ada 2 perkara penting yang berlaku....

satu perkara sedih dan satu lagi perkara gembira....mana satu nak cerita dahulu?

Cerita Gembira/Kesyukuran

Hari ini adalah hari lahir anak ke-2 iaitu Zaid yang ke-20. Pada 19 November 1988, 20 tahun dahulu di sebuah bandar kecil bernama Athens, Ohio, USA... lahirlah seorang anak lelaki yang comel...sekarang ini dialah yang paling tinggi dalam keluarga... lebih tinggi dari abi. Peminat bolasepak dan suka main futsal...aktiviti utama semasa cuti sekolah, main futsal dan pergi berkelah bersama kawan-kawan...



Cerita Sedih

Dah malam, eh dah pagi sebenarnya... sedang chatting dengan Kak Long di Jordan... (dia kat sana baru pukul 9 malam) tiba-tiba Kak Long memberitahu berita bahawa emak kepada salah seorang rakan yang sama-sama bertolak dari Malaysia semasa mula-mula melanjutkan pelajaran ke Jordan dahulu (satu flight satu bandar tetapi lain pengkhususan dan lain universiti), telah meninggal dunia pagi tadi (disebabkan barah kolon dan telah merebak ke hati )... sebenarnya saya baik dan rapat dengan arwah, tetapi dek kesibukan kerja, memang semenjak Ramadhan dan Raya tidak dapat menghubungi beliau... Ya Allah, perasaan bersalah terasa menghantui hati ini... mengapa aku tidak berusaha menalipon beliau selepas cuti Raya... namun aku yakin bahawa ini adalah qada' dan qadar Allah, takdir yang Allah telah tetapkan, sememangnya sudah tertulis di Lauh Mahfuz, ajal maut di tangan Allah SWT. Lalu aku panjatkan doa buat beliau, semoga roh beliau dicucuri Rahmat dan Hidayah dan ditempatkan bersama-sama orang yang soleh.

Sunday, November 25, 2007

Happy Belated Birthday Zaid

19hb November 1988, anakku yg ke-2 selamat dilahirkan. Waktu itu musim sejuk sudah bermula di Athens, Ohio, USA. Daun-daun kekuningan dan kemerahan sudah gugur dari ranting-rantingnya. Angin sejuk menghembus lembut ke pipi tatkala suami membawaku ke hospital. Pengalaman melahirkan anak ke-2 di Hospital O'Blenes, Athens sungguh mengujakan. Walaupun ketika itu kami jauh dari ibu-bapa dan sanak saudara, namun kami beruntung kerana sahabat seperjuangan menuntut ilmu saling bantu-membantu melebihi saudara sendiri.
19 tahun dahulu............

Staf di hospital juga sangat baik dan melayani kami dengan baik walaupun kami tidak sebangsa dan tidak sama warna kulit dgn mereka. Ini dibuktikan dengan layanan yang tidak berbeza yang diberikan oleh mereka. Masih aku ingat ketika itu waktu hampir tengah malam. Suami sudah menalipon pihak hospital tentang kedatangan kami apabila contraction sudah mula sekerap setiap 3-5 minit. Sesampai di hospital, suami menurunkan aku dihadapan pintu masuk. Apabila aku turun sudah ada seorang nurse menunggu dengan sebuah kerusi roda. Aku berkata tidak apa aku masih boleh berjalan sendiri, tapi nurse tersebut insist juga aku menaiki kerusi roda tersebut. Aku pun duduk dan terus ditolaknya aku masuk.
Zaid bersama Mujahid 1989

Urusan mengisi borang dsb juga berjalan dengan lancar dan cepat. Tiada banyak kerenah. Nurse itu menyatakan aku bernasib baik kerana tatkala itu sebuah bilik khas untuk bersalin dengan suasana seperti di rumah masih kosong. Bilik ini dihias indah dengan wall paper yg cantik dan katil yang tidak kelihatan seperti di hospital. Ini bermakna aku tidak perlu ke labour room dan juga delivery room. Semua urusan di lakukan di bilik ini. Suamiku juga dibenarkan berada di bilik ini sepanjang masa sehingga saat-saat aku melahirkan.

Zaid bersama Asma' , Spring 1989

Jam sudah melepasi pukul 1 pagi. Sakit sudah semakin kerap, namun aku berjaya melepasinya dengan melakukan teknik-teknik pernafasan yang diajar semasa mengikuti kelas latihan untuk melahirkan, disamping tidak lupa mulutku berzikir dan beristighfar sepanjang masa. Apabila bukaan sudah mencapai 8 cm, nurse itu mula menukar katil tempat aku berbaring menjadi tempat delivery. Sebaik sahaja bukaan menjadi 10 cm, nurse pun memanggil doktor. ALhamdulillah, dengan hanya 3 kali 'push' sahaja anak ku sudah dilahirkan... Doktor pun mengumumkan..."it's a boy!" .... sungguh mudah sekali, sehingga aku sendiri pun tidak percaya ....
Hari Sabtu, 19 Nov 1988 bersamaan 10 Rabiul Akhir 1409H jam 2.51 pagi, Zaid dilahirkan seberat 7 lbs 11 oz .....................2004.....................2006..................2007.............

Sekarang seorang mahasiswa kejuruteraan mekanikal di UiTM, Shah Alam

Berikan sumbangan terbaik anda! Teruskan menyumbang ke Tabung Aqsa2Gaza Emergency Relief sekarang!!! Akaun Maybank Islamic: 5515 7500 4299 Akaun Bank islam : 12 092 01 003490 4 Kemudian sila maklumkan kepada: admin@aqsasyarif.org.my

Nak Baca Entri Lain? Klik Sini....