Showing posts with label Ramadhan. Show all posts
Showing posts with label Ramadhan. Show all posts

Thursday, August 23, 2012

Iftar terakhir dalam bulan Ramadhan 2012

Hari terakhir berpuasa, kami telah bertolak pulang ke kampungku di Kpg Rimba Terjun, Pontian , Johor.  Keluarga kakak juga telah pulang sehari lebih awal..keluarga abangku juga ada ..riuh sungguh rumah atok dan Wan.. dengan 17 orang cucu + seorang cucu menantu (anak sedara baru kahwin bulan June 2012) ..
Alhamdulillah, Ramadhan 2012 telah berlalu, dan sekali lagi kami dapat menyambutnya bersama mak dan abah tercinta...umur abah sudah 89 tahun...Wallahu'alam ... entah siapa yang akan pergi dahulu menemui Allah SWT hanyalah dalam pengetahuanNYA ..kali ini dapat bersama-sama anak sulung yang sudah pulang dari Jordan ...3 generasi : wan, atok, ummi dan kak long
 Di hujung meja adalah cucu menantu yg pertama, Ali
 Juadah berbuka  ...
Anak saudara sulung, Firdaus, belanja makan Red Lobster..

Sunday, August 12, 2012

Mesjid Besi

Semalam En Hubby tidak kerja, oleh itu Alhamdulillah kami mempunyai lebih masa untuk berbuka di mesjid yang jauh sedikit dari rumah.  
Syukur Allah izinkan kami semua untuk berbuka puasa, bersolat berjemaah Maghrib, Isya' dan solat sunat Terawikh di Mesjid Sultan Mizan Zainal Abidin atau lebih dikenali sebagai Mesjid Besi, di Putra Jaya. Mesjid ini antara mesjid yang tercantik di Malaysia, dan lebih mesra alam. Kenapa dikatakan mesra alam? Kerana mesjid ini adalah mesjid yang banyak ruang terbuka dengan kolam-kolam air di sekeliling mesjid ini..oleh itu, TIADA air-cond dan kipas angin di syiling..cuma ada kipas berdiri saja di saf hadapan..

 Ada laman dan air pancut dalam mesjid
pemandangan dari sebelah luar
Kami sampai agak awal, dalam pukul 6.30ptg, orang pun belum ramai lagi,
 lalu kami sekeluarga duduk bertadarrus bersama-sama sehingga lah waktu berbuka tiba. Masing-masing diberi sepiring kuih yang mengandungi 3 biji kurma dan sepotong kuih..
 Selepas berbuka dengan kuih dan kurma, semua sama-sama solat berjemaah Maghrib. Selepas itu baharulah makan makanan yg berat sikit seperti nasi dan lauk.  Masing-masing beratur untuk mengambil makanan ...Alhamdulillah ..
 Ramai juga orang yang datang berbuka di mesjid ini..mungkin terdiri dari penduduk PutraJaya sendiri dan juga orang ramai dari tempat-tempat (seperti kami) begitu juga ramai yg terdiri dari bangsa Arab datang berbuka di sini

 sempat juga posing sekejap sebelum azan Isya' berkumandang...

 Kenangan berbuka di Mesjid Besi

 Pemandangan indah PutraJaya di waktu malam dari Mesjid Besi..
Alhamdulillah...suatu pengalaman baru bagi kami ...kami pulang selepas selesai solat sunat Terawikh berjemaah ..

Friday, August 10, 2012

Surau At-Taqwa

Kebanyakan malam yang lain, jika kami tidak ke surau-surau atau mesjid yang lain, kami akan berbuka puasa, bersolat maghrib berjemaah di Surau At-Taqwa yang berdekatan dengan rumah kami.
Alhamdulillah, selepas 20 hari berpuasa, kita akan kenali jemaah yang yang selalu berkunjung dan berbuka di surau yang sama...selain mematuhi syariat agama yang diwajibkan ke atas kita orang Islam, iaitu berpuasa sebulan Ramadhan,  amalan berbuka bersama-sama ini juga mengeratkan ukhuwwah sesama ahli kariah surau...walaupun antara kami tiada talian saudara, tetapi terasa rapat dan bagaikan adik-beradik.
 Berbuka dengan tamar, mee goreng dan kuih-muih (ini selalunya di bawa oleh akhawat)
 Ada budak kecik yang nak interframe,,hehe
Selepas solat Maghrib berjemaah , barulah kami makan makanan berat sikit ..selalunya nasi putih dan lauk-pauk...ada sekali-sekala nasi beriani dan nasi Arab ...makan pun ikut sunnah, makan dalam dulang, satu dulang dalam 4-5 orang.

Alhamdulillah...tetapi rasa sedih juga dalam masa seminggu ini sahaja kami akan dapat menikmati suasana begini... bulan Ramadhan sudah semakin hampir ke penghujungnya ...marilah kita sama-sama memperbanyakkan amalan-amalan di sepuluh malam terakhir ini...mari kita mmencari Lailatul-Qadr..
InsyaAllah

Majlis Khatam Al-Quran

Di bulan Ramadhan ini, kita adalah digalakkan membaca dan khatam Al-Quran demi meraih BONUS yang Allah janjikan kepada semua umat Islam...
Alhamdulillah, program tadarrus Al-Quran di fakulti telah berlangsung sebaik sahaja bulan Ramadhan menjelma, dan petang semalam satu majlis khatam Al-Quran telah diadakan untuk meraikan semua staf yang terlibat.


 Barisan staf lelaki
 Staf perempuan, lebih ramai dari lelaki
 setiap orang dapat bunga telur
 pembahagian sedikit juadah hasil masakan staf secara gotong-royong pada sebelah pagi
  Dr Harun, orang kuat majlis ni..:-)

Monday, August 6, 2012

Surau Mawaddah

Alhamdulillah, hari ini kami berbuka di Surau Mawaddah, Seksyen 8, Shah Alam. 

 Meriah sungguh hari ini di surau Mawaddah kerana rupa-rupanya hari ini ada program di surau tersebut. Mereka menjemput anak-anak yatim dari 2 tempat di kawasan sekitar dan juga pelajar-pelajar Maahad Tahfiz.  
Alhamdulillah, semoga dimurahkan lagi rezeki mereka-mereka dari kariah ini.

(tak sempat nak snap gambar...)

Iftar Keluarga kumpulan Usrah

Alhamdulillah semalam kami iftar bersama-sama keluarga kumpulan usrah kami, di rumah Anizah di Seksyen 8. Hari Isnin Anizah sekeluarga pula akan bertolak ke Makkah kerana mengerjakan umrah sehinggalah menyambut Hari Raya Aidil Fitri di sana.
1/2 jam sebelum berbuka puasa, kami adakan sedikit Tazkirah, diberikan oleh suami Jamilah.  (di sebelah kiri sekali dalam gambar)
 Masing-masing khusyuk mendengar tazkirah (kaum bapa dan anak bujang)
 kaum ibu dan anak dara..
 lagi kaum ibu dan anak dara..

Selepas habis tazkirah, kami terus berbuka dgn tamar dan bubur lambuk Kpg Baru...selepas itu kami solat Maghrib berjemaah ...selepas solat barulah kami berbuka dengan juadah pot luck ..masing2 bawa serba sedikit ...Alhamdulillah ...
 nak makan lauk apa? daging masak kicap, Ikan Siakap steam, Ikan Bawal masak 3 rasa, pecal, salad Arab, Ayam masak kari dll ... Alhamdulillah
 Salad Arab ...dibuat oleh Mak Arab Jordan
 Masing-masing mengambil tempat sambil makan dan beramah mesra ...

Alhamdulillah ... dapat berkumpul semasa iftar di bulan Ramadhan yang mulia ini..kami bagaikan satu keluarga besar...walaupun diantara kami tiada talian darah, tetapi ikatan ukhuwwah sesama Islam itu lah yang terbaik ..

Thursday, August 2, 2012

ABC

ABC - ia suatu istilah yang diguna oleh anak-anak di sekolah mereka.  Pada mulanya saya termanggu-manggu ketika anak bongsu mengatakan ummi ABC..(ingatkan Air Batu Campur ke...mana ada orang jual ABC siang hari bulan Ramadhan ni..) .petang tadi sewaktu balik dari kerja , confirm ummi ABC...saya pun ambil air segelas dan minum..tiba-tiba Hana ternampak dan berkata..."ummi ABC ya...?"  saya pun menganggukkan kepala...
Apa itu ABC?  Allah Bagi Cuti ...
(bagi orang perempuan aje ye...orang lelaki jangan memandai nak cuti-cuti pulak masa Ramadhan ini! hehe)

Reaksi pertama kita, "alaaaa...tak dapat gi solat Terawikh malam ni" barangkali terdetik juga, "terpaksalah tangguh tadarus bersama keluarga..tak dapat baca Al-Quran juga..." barangkali terdetik juga, bahawa pahala puasa kita akan berkurang kerana tidak dapat solat sunat Terawikh dan mengaji Al-Quran, dll....

...Ya Allah...ampunkan dosa-dosa hambaMu yang dhaif ini... berkata begtu ibarat kita mempersoalkan ketentuan Allah SWT ..Ya Allah, Ya Allah Ya Allah ..ampunkan dosaku Ya Allah ...

Teringat pesanan Ustazah Kamariah sewaktu menghadiri Tamrin Ramadhan anjuran akhawat IKRAM Shah Alam minggu lepas, beliau berkata (ringkasannya)
"kita orang perempuan ni, jangan lekas merungut atau mengeluh apabila tidak boleh solat atau mengaji semasa di bulan Ramadhan ini." mungkin kita rasa, tak dapat lah hendak meraih BONUS Ramadhan dengan solat Terawikh dan bertadarrus Al-Quran.. sedangkan pahala yang Allah beri kepada orang perempuan itu lebih banyak lagi dengan melakukan perkara yang lain... sepatutnya masa ini ambillah peluang dengan membaca terjemahan dan tafsir Al-Quran, mungkin masa yang kita ambil membaca terjemahan Al-Quran lebih cepat dari masa yang kita ambil untuk membaca dalam bahasa Arab... malahan itu adalah lebih baik kerana kita faham maksud perkataan dan ayat di dalam Al-Quran, maka lebih faham lagi..apabila kita faham maksud ayat-ayat yang kita baca, maka lebih penghayatan dan meresap ke dalam hati sanubari kita...


hadith Nabi S.A.W. yang bermaksud:


Daripada Zaid bin Khalid al-Juhhani r.a,. daripada Nabi SAW sabdanya, 
“Sesiapa yang memberi makan (berbuka) kepada orang yang berpuasa, ia akan mendapat pahala seperti orang yang berpuasa itu dan pahala orang yang berpuasa itu tidak berkurangan walau sedikitpun”.
(Riwayat At-Tirmidzi)

Jadi dengan memberi makan (walaupun sebiji tamar) dapat memberikan pahala puasa bagi wanita yang tidak boleh berpuasa... kita boleh ambil peluang dengan memberi makan /memasak bagi mereka yg berpuasa, juga dapat memberikan kita pahala..InsyaAllah.

Wednesday, September 1, 2010

Surau Kompleks Pendidikan Hira', Jeram, Kuala Selangor


Salam semua sahabat alam maya... demi untuk memenuh kan tabung kutipan derma untuk Surau sekolah anak saya seperti yang akan saya nyatakan di bawah. Di harap sangat sahabat semua dapat kiranya membantu, apatah lagi sempena kehadiran bulan Ramadhan yang mulia ini, marilah kita sama-sama memperbanyakkan amalan menderma dan bersedeqah.

Alhamdulillah surau ini baharu siap dibina dengan kos sebanyak ~ RM1.7 JUTA. Setakat ini dengan hasil kutipan dari para ibu bapa dan juga alumni Hira' serta orang ramai, sebanyak ~ RM700, 000 telah pun berjaya dikutip dan dibayar kepada pihak kontraktor. Pihak sekolah dan Maahad Tahfiz masih lagi kekurangan sebanyak ~ RM1 JUTA lagi untuk dijelaskan kpd kontraktor.

Oleh itu, sempena kedatangan bulan Ramadhan yang mulia ini, marilah kita rebut peluang ini utk melipat gandakan lagi amalan kita,

Setiap sen yang anda belanjakan, InsyaAllah akan sentiasa dilipat gandakan oleh Allah SWT selama mana surau berkenaan sentiasa digunakan untuk tujuan beribadah dan menuntut ilmu oleh anak-anak tahfiz dari Maahad Tahfiz Qur'an Hira' dan Sek Menengah Islam Hira'.

"Bandingkan derma orang yang membelanjakan hartanya di jalan Allah seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai, setiap tangkai pula mengandungi 100 biji. Dan ingatlah Allah akan melipatkali gandakan pahala bagi setiap yang dikehendaki dan Allah Maha Luas kurniaNya lagi Maha Mengetahui" Al-Baqarah:261

Saya sertakan juga di sini no akaun BIMB JKPKD (Jawatankuasa Pembangunan dan Kutipan Derma) Hira' untuk sesiapa yang mahu menderma terus kepada pihak sekolah:
BIMB 120 100 100 19026
***************************
Serba sedikit sejarah Institusi Pendidikan Hira' (IPH)

IPH telah di asaskan pada tahun 1985 dengan penubuhan Sekolah Rendah Islam Hira' (SRI Hira'). Diikuti pula dengan penubuhan Sekolah Menengah Islam Hira' (SMI Hira') pada tahun 1991 dan seterusnya Maahad Tahfiz AlQuran Hira' (MTQ Hira') patahun 1995. Kini SRI Hira' mempunyai seramai 927 orang murid dan beroperasi di kampung Batu Belah, Klang. SMI Hira' mempunyai jumlah pelajar seramai 420 orang dan MTQ Hira' dengan jumlah pelajar seramai 131 orang dan beroperasi di atas tanah seluas 10 ekar di Kompleks Pendidikan Hira', Jeram, Kuala Selangor.

KPH dianggarkan dapat menampung seramai 1000 orang pelajar apabila siap sepenuhnya. Buat masa ini pengambilan pelajar adalah terhad walaupun permintaan orang ramai adalah tinggi oleh kerana kekangan tempat terutamanya asrama.

Sebelum ini, ruang solat diguna bersama dengan dewan makan. Sehubungan dengan itu, pembinaan surau yang berasingan menjadi satu perkara yang mendesak agar para pelajar di KPH dapat menunaikan solat secara berjemaah dengan selesa dan sempurna

Wednesday, August 11, 2010

Ramadhan Al-Mubarak

Setahun sudah berlalu, Ramadhan muncul kembali. Alhamdulillah semoga segala amalan kita di tahun sudah diterima Allah SWT, di Ramadhan kali ini, marilah kita sama-sama mengambil peluang ini untuk merebut segala peluang yang ada yang dijanjikan oleh Allah SWT untuk menambah amalan kita pada tahun baru ini pula....
Oleh itu, saya mulai dengan memohon ampun maaf di atas segala keterlanjuran kata dalam penulisan saya di blog ini, jika ada yang tersinggung atau terkecil hati harap kiranya dapat dimaafkan dari hujung kaki hingga hujung rambut..
Jika semasa kecil kita sangat menanti kedatangan Ramadhan kerana selepas selesai berpuasa sebulan Ramadhan, kita akan menyambut Hari Raya...memang itu yang dinantikan oleh kanak-kanak ... kedatangan Hari Raya, dapat berjalan ke rumah sanak-saudara disamping dapat mengumpul duit raya sebanyak mungkin...tetapi apabila umur semakin meningkat dan dalam penantian meniti usia ke destinasi yang kekal abadi, keutamaan kita bukan lagi menghias rumah, bukan lagi membelek samada hendak menukar langsir baru atau kusyen baru, bukan lagi mengira berapa banyak baju baru yang hendak dibeli sempena menyambut Hari Raya, bukan lagi mengira berapa jenis kuih raya yang akan kita hidangkan di atas meja kelak,
tetapi keutamaan sekarang ialah berapa banyak amalan yang kita lakukan sepanjang bulan Ramadhan ini, samada kita bersolat terawikh setiap malam disamping amalan fardhu, samada kita dapat menghabiskan membaca Al-Quran dan bertadarus bersama-sama keluarga tersayang dan juga rakan-rakan dipejabat...berapa banyak kita dapat menderma dan bersedeqah sepanjang bulan Ramadhan ini.....samada kita dapat mengejar dan beramal sebanyak mungkin di malam Lailatul Qadr ..dan sepatutnya semakin Ramadhan menghampiri ke penghujungnya, kita menjadi semakin sayu dan sedih ....


Wednesday, September 24, 2008

Rebutlah peluang 10 malam terakhir

Semoga 10 malam terakhir Ramadhan membawa penuh erti bagi diri kita.

Bukan bersuka ria kerana Raya hampir menjelang, bukan sibuk membeli-belah, memasak kuih-muih dsb, tetapi terlalu sedih kerana Ramadhan yang Mulia ini, yang penuh keberkatan dan Rahmat dari Allah swt semakin menghampiri ke hujungnya, semakin hampir meninggalkan kita...

dan nanti kita harus menunggu setahun lagi utk kedatangan Ramadhan berikutnya,

di mana, kita sendiri pun tidak tahu samada kita masih di sini, di bumi Allah ini,

samada umur kita masih panjang lagi untuk berjumpa lagi Ramadhan yang berikutnya...

Marilah kita memperbanyakkan amal-ibadat kita di 10 malam terakhir Ramadhan ini...

banyakkanlah sujud menyembah Allah .....

banyakkan lah membaca ayat-ayat Allah ....

banyakkanlah berdoa kepada Allah ....

semoga segala amal ibadat kita yang kerdil ini diterima olehNya...

Amin.

Friday, September 12, 2008

Kalahiran & kematian

Salam Ramadhan. 12 Ramadhan.

Pagi ini semasa hendak menghantar Hana ke tadika, anakku itu bertanya beberapa soalan yang membuatku kaget dan akhirnya memaksaku memikirkan persoalan tersebut, iaitu tentang kelahiran dan kematian.

"Ummi, baby masa lahir ada nyawa tak ummi, dia hidupkan?" tanya Hana'.

" Nanti bila Hana' dah besar macam ummi, ummi dan abi dah matilah ye?" tanya anakku lagi.

Sambil memandu kereta ke tadika Hana', otakku ligat memikirkan apakah jawapan yang hendak ku jawab dalam bentuk yang sangat mudah untuk seorang anak berumur 6 tahun memahaminya.

..... (sambungan....)

Assalamu'alaikum semua,
Atas permintaan pembaca bloggers sekelian, saya kembali menulis untuk menyambung entri yang tertangguh sekian lama.

Sesungguhnya masa amat mencemburui ku. Sebenarnya bercadang untuk menangguhkan menulis buat sementara waktu, terlalu banyak kerja yang perlu disiapkan, dan juga entah kenapa mood untuk menulis di blog seakan-akan semakin hilang...

ok...kembali semula kepada persoalan yang Hana' utarakan kpd ku ...mengenai kelahiran dan kematian...

Untuk soalan yang pertama:
Jawapan yang aku berikan ialah " Ya Hana', baby ada nyawa semasa dalam perut ibu lagi, sebelum dilahirkan lagi baby dah boleh gerak dlm perut ibu dia" Selepas itu aku mengingatkan dia tentang satu cerita yang kami pernah menonton di TV - documentary mengenai fetus in the womb - suatu masa dulu.

Untuk soalan yang kedua:
Jawapanku: " Ya, Mungkin ummi dan abi sudah meninggal ataupun mungkin belum lagi. "

Hana' bertanya lagi: "Macamana tu ummi?"

Ummi , " Sebab kita tak tahu bila kita akan meninggal (mati) kerana semua tu Allah yang tentukan"

sambungku lagi, " Siapa mak dan abah ummi?"

Hana jawab, " atok dan wan "

"Atok dan Wan hidup lagi ke dah meninggal?" tanya ku.

Hana Jawab, "laaa...atok dan wan kan ada kat kampong .."

"ok...jadi... ummi dah besar tapi mak dengan abah ummi hidup lagikan?" sambungku lagi.

Hana jawab, "ha...ah"

sambungku lagi, " Siapa mak dan abah abi?"

Hana jawab, " nenek, tapi siapa abah abi ya? " (Hana tidak pernah berjumpa arwah bapa suamiku kerana beliau sudah meninggal sebelum Hana dilahirkan lagi)

"Abah abi dah meninggal lama dulu" jawab ku.

"Nenek mana?" tanyaku lagi.

"Nenek...(sambil kelihatan spt sedang berfikir)...eh..kan nenek dulu ikut ummi dgn abi pergi haji, tapi nenek tak ada ikut balik. Ummi kata nenek dah mati kat Mekah.." teragak-agak Hana' mengingati semula peristiwa lalu.

"Meninggal..... untuk orang Islam kita cakap meninggal, bukan mati" kataku lagi.

"Jadi ... abi dah besar tapi mak dengan abah abi dah tak ada lagikan?" kataku lagi.

"Ha...ah" jawab Hana'

"Hana pernah baca dalam suratkhabarkan, ada cerita baby meninggal?" kataku lagi.

"Ha..ah" jawab Hana' pendek.

" Jadi kita tak tahu bila kita akan meninggal dunia, ada orang tua meninggal, ada baby tu pun meninggal juga. Semuanya Allah yang tentukan..." jawab ku.

"Ok...Hana' ... dah sampai sekolah Hana'...nanti kita cerita lagi ya... bye... Assalamu'alaikum" kataku sambil mencium pipi Hana' dan melambai-lambaikan tangan kepadanya yang sudahpun memasuki pagar sekolah tadika Nuh's Ark.



Thursday, September 4, 2008

Berpuasa di perantauan

Sesekali nostalgia berpuasa di perantauan menjelma dalam fikiran. Kali pertama berpuasa di perantauan adalah pada tahun 1984. Ogos 1983 kami berempat (ya, hanya 4 orang dan semuanya perempuan!!!) selamat menjejakkan kaki kami ke bumi USA. Satu tempat yang memang sangat asing bagi kami, remaja hingusan lepasan SPM dan kesemuanya berasal dari kampung.
Entah bagaimana kami tercampak ke situ, sememangnya itu semua adalah perancangan dari Allah swt.
Bandar tersebut dinamakan Tiffin, dalam negeri Ohio. Sebuah bandar yang kecil di baratdaya Ohio. Penduduknya sangat ramah dan baik walaupun pada mulanya memang kami menjadi perhatian mereka di situ. Al-maklumlah rupa kami yang memang tidak berkulit 'putih' seperti mereka.

Kedatangan kami disambut oleh musim luruh di sana. Suasana dan udara begitu nyaman dan kadangkala apabila angin kencang bertiup, menggigil-gigil kami dibuatnya. Kehairanan kerana melihat 'mat saleh dan minah saleh' begitu bersahaja berseluar pendek dan berkemeja-T berjalan-jalan diluar, sedangkan kami sudah mula memakai jaket yang agak tebal.
Kedatatangan musim sejuk bersama salji lebat yang turun menyebabkan kami sangat-sangat rindukan suasana di Malaysia yang sentiasa panas dan hujan.

Beberapa bulan berlalu, datanglah musim panas pada tahun berikutnya. Ditakdirkan bulan Ramadhan juga jatuh pada pertengahan tahun sekitar bulan Jun dan Julai, iaitu ketika musim panas sedang berada di kemuncaknya. Itulah pengalaman pertama kami berpuasa di perantauan dan ia menjadi pengalaman yang sangat menguji tahap keimanan kami.

Apa tidaknya, waktu subuh sekitar jam 4 pagi dan waktu maghrib, iaitu waktu berbuka ialah pada jam 9 - 10 malam. Bayangkan kami berpuasa selama 18 jam sehari!!! Pada waktu yang sama kami terpaksa menghadiri kelas pada semester musim panas. Itulah pengalaman berpuasa yang tidak dapat kulupakan... selepas berbuka kami bersolat dan menunggu waktu isya' untuk sama-sama bersolat berjemaah dan bersolat sunat tarawikh bersama-sama. Selalunya kami habis bersolat apabila hampir tengah malam. Tidur sejam-dua dan bangun pula untuk memasak dan bersahur.... sememangnya kami ketika itu yang pertama kali berpuasa di perantauan, mula merindui keluarga dan kampung halaman masing-masing. Ada yang menangis teresak-esak rindukan masakan emak semasa berbuka dan bersahur, ada yang hanya bersedih tetapi tidak mahu menunjukkan perasaan kepada kawan yang lain.

Namun begitu pengalaman mematangkan kami. Apabila berjauhan dari keluarga, apatah lagi jauh dari suasana masyarakat yang kita biasa, yang seagama dan sebangsa, kami menjadi semakin rapat sesama sendiri. kami berempat sudah menjadi seperti adik-beradik, apatah lagi kami tinggal satu apartment. Kami juga menjadi rapat dengan 'mak Arab' dan pelajar dari Indonesia yang seagama. Terdapat juga beberapa orang pelajar muslim dari benua Afrika seperti Sudan dan Mesir, dan seorang dua dari Pakistan dan Bangladesh. Kadangkala kami menjemput mereka ke apartment kami utk berbuka bersama, kadangkala kami berbuka di rumah mereka pula. Memang benarlah agama Islam agama yang syumul, ia mengikat hati-hati kami walaupun kami dari negara yang berbeza dan bertutur berlainan bahasa.

Walaupun begitu, di sana juga kami melihat mereka-mereka yang mengaku Islam tetapi tidak berpuasa. Mereka mengambil jalan mudah dengan mengatakan bahawa mereka dalam musafir, dibolehkan berbuka, dan ada yang terang-terang meneguk air kencing syaitan itu. Wallahu'alam.

Keadaan sekeliling juga sangat-sangat menguji keimanan kami (nasib baik kami ni perempuan kesemuanya, kalau lah pelajar lelaki, tak tahulah kami.) Musim panas yang panas dan kering, menyebabkan tekak sentiasa haus dan dahaga. Tetapi berkat dan hikmah bulan Ramadhan, kami tidak terasa begitu, cuma kami perlu menjaga hijab pandangan mata kami. Di sana sini, di tengah padang dan di bawah-bawah pokok di sekeliling kawasan kampus universiti, kelihatan bersepah-sepah 'minah-minah saleh' yang hanya berseluar pendek atau berbikini, berbaring di bawah sinar terik matahari. Tujuan mereka ialah supaya kulit mereka menjadi 'tan' atau berwarna coklat sawo matang, seperti warna kulit kita dari benua Asia.

Ya Allah, Engkau peliharalah pandangan kami dari mereka-mereka yang memudaratkan ini, Engkau peliharalah kami semoga sentiasa berada di jalanMu yang lurus dan benar ini.

Bagaimana Menyambut dan Menjalani Ibadat Ramadhan?

Dalam diam sudah masuk hari ke-4 kita menjalani ibadah berpuasa di bulan Ramadhan.
Saya tertarik apabila membaca satu artikel di blog Prof Madya Dr Fauzi Deraman mengenai cara2 kita sepatutnya menyambut dan menjalani ibadat Ramadhan.
Oleh itu saya ingin berkongsi maklumat ini dengan semua pengunjung blog ini, semoga kita sama-sama dapat ingat-mengingati sesama kita dalam mengharungi ibadah puasa sepanjang bulan Ramadhan yang mulia ini.

Dipetik dari http://drfauzee.blogspot.com/

Ramadhan datang lagi. Selamat datang diucapkan kepada tetamu istimewa yang tetap akan berlalu meninggalkan kita. Bulan Ramadhan yang menjanjikan pahala yang berlipat kali ganda. Syaitan dirantai dan dibuka pintu Syorga dan ditutup pintu Neraka. Sesungguhnya Ramadhan adalah bulan kebaikan dan keberkatan.

Selayaknya sebagai Muslim kita bersedia menyambut kedatangannya. Seorang musafir biasanya bersedia sebelum memulakan perjalanan, seorang pekerja bersedia untuk menjalani kursus dan latihan yang berkaitan dengan tugasnya, sebagaimana Syaitan juga – sebelum dirantai – telah mengerah bala tenteranya untuk mempedaya setiap Muslim dengan berbagai cara dan pendekatan.

Dengan itu setiap Muslim sewajarnya berlumba-lumba untuk merebut semua peluang yang tersedia di sepanjang Bulan Ramadhan ini. (Untuk yang demikian itu hendaknya orang berlumba-lumba) (Surah al-Mutaffifin: 26).

Diperturunkan cara yang terbaik bagi menyambut dan menjalani ibadat di bulan Ramadhan.

Pertama: Berdoa supaya berpeluang berada di bulan Ramadhan dalam keadaan yang baik dan dapat melakukan ibadat, dari berpuasa, qiam dan zikir. Anas meriwayatkan yang Rasulullah (s.a.w.) bila memasuki bulan Rejab berkata: Ya Allah berkatilah kami pada bulan Rejab dan Sya`ban dan sampaikanlah kami ke bulan Ramadhan - HR Ahmad dan al-Tabarani).

Para salaf al-salih berdoa agar mereka dapat berada di bulan Ramadhan dan memohon supaya segala amalan yang dikerjakan akan diterima oleh Allah SWT.

Apabila mereka berjaya menjejakkan kaki di bulan Ramadhan dan anak bulan Ramadhan telah kelihatan, mereka berdoa: Allah Maha Besar! Ya Allah! Muncul dan nampakkanlah kepada kami (anak bulan) dengan aman, iman, selamat, sejahtera dan taufik bagi perkara yang Kamu suka dan redha. Tuhan kami dan Tuhanmu adalah Allah - HR Tirmidhi, al-Darimi dan disahihkan oleh Ibn Hibban).

Kedua: Puji dan syukur akan ketibaan Ramadhan. Imam al-Nawawi ada menyebut dalam al-Adhkar: Sesungguhnya sangat digalakkan bagi sesiapa yang berulang ni`mat yang zahir atau tertolak bencana yang zahir untuk bersujud syukur kepada Allah.

Sesungguhnya adalah suatu ni`mat yang besar bagi seseorang hamba jika mendapat petunjuk untuk melakukan ketaatan dan ibadat. Hanya dengan memasuki bulan Ramadhan dalam keadaan yang baik adalah suatu ni`mat yang besar yang melayakkannya bersyukur kepada Allah SWT.

Ketiga: Bergembira dengan kedatangan Ramadhan. Rasulullah (s.a.w.). Rasulullah (s.a.w.) memberikan berita gembira kepada para sahabat dengan kedatangan Ramadhan. Katanya: Telah datang kepada kamu Bulan Ramadhan, Bulan Ramadhan adalah bulan yang penuh keberkatan, Allah memfardhukan kamu berpuasa dan dibuka pintu-pintu syorga dan ditutup pintu-pintu neraka... HR Ahmad.

Para salaf al-salih dari kalangan sahabat dan tabiin cukup mengambilberat dengan bulan Ramadhan. Mereka sangat bergembira dengan kedatangannya. Apakah lagi kegembiraan lebih besar dari perkhabaran hampirnya Ramadhan yang merupakan musim keberkatan dan turunnya berbagai rahmat!!

Keempat: Berazam dan melakukan perancangan awal untuk memanfaatkan Ramadhan. Ramai di kalangan Muslim yang membuat perancangan yang kemas untuk urusan dunia tetapi tidak merancang apa-apa untuk akhirat. Ini berpunca dari sikap memandang sepi akan urusan akhirat dan lupa akan kepentingan kehidupan hari ini untuk bekalan bagi kehidupan yang kekal abadi di akhirat.

Kelima: Menanam azam yang kuat bagi merebut semua peluang dan memakmurkan setiap waktu dengan amal saleh.

Keenam: Mempelajari hukum-hukum yang berkaitan dengan Ramadhan. Selayaknya setiap Muslim beribadat kepada Allah berdasarkan ilmu. Dengan itu, mereka hendaklah mengetahui serba serbi mengenai puasa, agar ia dapat mengerjakannya dengan betul. Ia tidak segan untuk bertanya kepada mereka yang berkelayakan. Firman Allah: (Maka tanyakanlah olehmu kepada orang-orang yang berillmu, jika kamu tidak mengetahuinya.)(Surah al-Anbiya`, 7).

Ketujuh: Menyambut Ramadhan dengan azam untuk meninggalkan dosa dan kejahatan dan bertaubat dari segala dosa dan kejahatan yang lalu. Bulan Ramadhan adalah bulan taubat, jika tidak bertaubat pada bulan ini. Bila lagi mau bertaubat?
Firman Allah: (Dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, agar kamu mendapat kejayaan.)(Surah al-Nur, 31).

Kelapan: Persiapan jiwa dan rohani dengan membaca buku, risalah dan mendengar ceramah dan menghadiri pengajian dan berdiskusi berkaitan Ramadhan supaya setiap orang bersedia dari aspek kejiwaannnya untuk melaksanakan kewajipan yang bakal tiba.

Kesembilan: Menjalankan tugas dakwah dan mengajak kearah kebaikan. Ia boleh dilakukan dengan peringatan (tazkirah) rengkas untuk jamaah di masjid atau surau, membahagikan risalah mengenai Islam, mengagihkan hadiah Ramadhan (Ramadhan Gift) samada dalam bentuk buku, risalah, vcd dan seumpamanya dan sumbangan untuk fakir miskin dan golongan yang memerlukan. Peruntukkanlah dari pendapatan bulanan untuk projek kebajikan Ramadhan.

Kesepuluh: Menyambut Ramadhan dengan lebaran baru.
* Bersama Allah dengan Taubat yang benar.
* Bersama Rasulullah (s.a.w.) dengan mentaati apa yang diperintah dan menjauhi apa yang dilarang.
* Bersama kedua ibubapa, isteri atau suami dan anak-anak, kaum kerabat dengan kebaktian dan hubungan yang baik.
* Bersama masyarakat dengan aktiviti yang baik dan bermanfaat.


Jadual Harian bagi Muslim yang berpuasa:

Sebelum subuh:

1.Tahajjud. Firman Allah: (Apakah kamu wahai orang musyrik yang lebih beruntung) atau orang yang beribadat di waktu malam dengan sujud dan berdiri, sedang ia takut kepada (azab) akhirat dan mengharapkan rahmat Tuhannya? (Surah al-Zumar, 9).
2.Bersahur. Sabda Rasulullah (s.a.w.): Bersahurlah sesungguhnya pada sahur itu ada keberkatannya – HR Bukhari dan Muslim.
3.Beristighfar sehingga azan subuh. Firman Allah: (Dan di akhir-akhir malam mereka beristighfar (memohon keampunan kepada Allah). (Surah Al-Dhariyat: 18).
4.Solat sunat Fajar. Sabda Rasulullah (s.a.w.): Dua rakaat fajar itu lebih baik dari dunia dan seisinya – HR Muslim.

Selepas terbit fajar:

1. Bersegera untuk menunaikan solat subuh berjamaah. Sabda Rasulullah (s.a.w.): Andainya mereka tahu (kelebihan) solat Isya` dan Subuh, nescaya mereka akan datang walaupun merangkak – HR Bukhari dan Muslim.
2. Berzikir dan berdoa sehinggalah iqamat untuk solat Subuh. Sabda Rasulullah (s.a.w.): Doa yang tidak ditolak antara azan dan iqamat – HR Ahmad, Tirmidhi dan Abu Dawud.
3. Duduk di masjid untuk zikir dan membaca al-Quran sehingga terbit matahari. Rasulullah (s.a.w.) terus berada ditempat duduknya sehingga terbit matahari – HR Muslim.
4. Solat sunat dua rekaat. Sabda Rasulullah (s.a.w.): Sesiapa yang melakukan solat subuh berjamaah kemudian duduk berzikir (mengingati Allah) sehingga terbit matahari, kemudian ia bersolat dua rekaat baginya pahala laksana menunaikan haji dan umrah selengkapnya – HR Tirmidhi.
5. Berdoa supaya diberkati sepanjang hari. Sabda Rasulullah (s.a.w.): Ya Allah sesungguhnya aku bermohon darimu kebaikan bagi hari ini, permulaannya, pertolongannya, cahayanya, keberkatannya dan petunjuknya dan aku berlindung dari keburukan yang terdapat padanya dan keburukan sesudahnya – HR Abu Dawud.
6. Keluar untuk belajar atau bekerja. Sabda Rasulullah (s.a.w.): Tidaklah bagi seseorang itu makanan yang lebih baik baginya kecuali dari hasil kerjanya sendiri kerana Nabi Allah Dawud makan hasil kerja tulang empat keratnya – HR Bukhari.
7. Memperbanyakkan zikir untuk sepanjang hari.
8. Infaq atau sedekah harian dengan menghayati doa malaikat: Wahai Tuhan! Kurniakan kepada mereka yang bersedekah itu gantian dari sedekahnya itu.

Dhohor:

1. Solat Dhohor berjemaah pada waktunya dan bersegera padanya. Ibn Mas’ud berkata: Bahawa Rasulullah (s.a.w.) mengajar kami Sunan al-Huda ( sunnah-sunah petunjuk) dan di antara sunan al-huda itu ialah solat di Masjid yang digumandangkan azan padanya – HR Muslim.
2. Berehat seketika dengan niat yang baik. Rasulullah (s.a.w.) bersabda: Bagi badan kamu juga ada haknya.

’Asar:

1. Solat ’Asar berjamaah dan didahului dengan solat sunat empat rekaat sebelumnya. Sabda Rasulullah (s.a.w.) : Allah merahmati orang yang bersolat empat rekaat sebelum solat fardhu ’Asar – HR Abu Dawud dan Tirmidhi.
2. Mendengar tazkirah di Masjid. Sabda Rasulullah (s.a.w.): Sesiapa yang ke masjid tiada niat lain kecuali untuk mempelajari kebaikan atau mengajar orang lain baginya laksana pahala haji yang sempurna pahalanya – HR al-Tabarani.
3. Duduk di masjid. Sabda Rasulullah (s.a.w.): Sesiapa yang berwudu` di rumahnya dan diperelakkan wudu`nya kemudian ke masjid, ia adalah tetamu Allah menjadi hak tuan rumah memuliakan tamunya – HR al-Tabarani.

Maghrib:

1. Berdoa sebelum masuknya waktu solat Maghrib. Sabda Rasulullah (s.a.w.): Tiga golongan yang tidak ditolak doa mereka – antaranya - : Orang yang berpuasa sehingga berbuka.
2. Berbuka dengan juadah berbuka berserta doa.
3. Solat Maghrib berjamaah di rumah atau di masjid.
4. Wirid petang.
5. Bersama keluarga dan melakukan aktiviti yang bermanfaat.
6. Bersedia untuk solat ’Isya` dan solat sunat Terawih.

’Isya`:

1. Solat ’Isya` berjamaah.
2. Solat Terawih sepenuhnya bersama imam. Sabda Rasulullah (s.a.w.): Sesiapa yang melakukan qiam Ramadhan dengan penuh keimanan dan mengharapkan pahala dari Allah akan diampunkan dosanya yang lalu – HR Bukhari dan Muslim.
3. Melewatkan solat witir hingga ke akhir malam. Sabda Rasulullah (s.a.w.): Jadikan witir solat kamu yang terakhir pada waktu malam – Muttafaq ’alayh.


Program terbuka:

- Ziarah kaum kerabat, rakan dan jiran.
- Diskusi (keluarga atau terbuka).
- Hadir program kejiranan.

Tuesday, September 2, 2008

Ramadhan

SELAMAT MENYAMBUT BULAN YANG MULIA
BULAN PENUH RAHMAT DAN KEAMPUNAN DARI ALLAH SWT

RAMADHAN AL-MUBARAK
SEMOGA KITA SAMA-SAMA BERLUMBA-LUMBA
UNTUK MEMPERBANYAKKAN LAGI
AMALAN MULIA
Berikan sumbangan terbaik anda! Teruskan menyumbang ke Tabung Aqsa2Gaza Emergency Relief sekarang!!! Akaun Maybank Islamic: 5515 7500 4299 Akaun Bank islam : 12 092 01 003490 4 Kemudian sila maklumkan kepada: admin@aqsasyarif.org.my

Nak Baca Entri Lain? Klik Sini....