Tuesday, February 24, 2009

Anak Tukang Jahit(1)

Sejak dari kecil ibuku mengambil upah menjahit untuk menambah pendapatan keluarga. Masihku ingat aku suka duduk di sebelah mesin jahit ibu melihat ibu menjahit...ralit sungguh melihat roda mesin berpusing. Waktu itu mesin jahit ibu adalah mesin jenis lama yang menggunakan goyangan kaki untuk menggerakkan gelendong mesin (bukan menggunakan motor elektrik). Ia mempunyai 4 laci kecil, 2 di sebelah kiri dan 2 di sebelah kanan. Aku selalu menolong ibu menyusun benang-benang dan pelbagai alatan jahitan di dalam laci-laci tersebut. Kadang-kala semasa ibu sedang berehat atau memasak, aku akan main pondok-pondok di bawah mesin jahit tersebut. Duduk di tempat goyangan kaki sambil goyang ke depan belakang seperti menaiki buaian. Seronok sungguh, sehingga apabila ibu nampak terus dimarahi ibu.
(Gambar ihsan Muhammad Khairi. 2006,SMK Bukit Jana. 34600 Kamunting, Perak.Nota Kemahiran Hidup
www.freewebs.com/khbsatu/jahitan.htm
)

Sehinggalah tahun 1975, sewaktu aku berada dalam darjah lima, pelanggan ibu sangat ramai. Ini adalah kerana kami duduk di dalam quarters dan ramai jiran tetangga dan rakan-taulan menempah baju dengan ibu.
Masih ku ingat, sehingga malam Hari Raya, ibu masih lagi menjahit menyudahkan jahitan tempahan baju.

Aku, "Mak, bila nak gunting baju Raya Uda?"

Mak, "Nantilah bila mak dah habis jahit baju makcik ni ya, mak gunting baju Uda." Ibu cuba memujukku.

Aku diam sambil memerhati goyangan kaki ibu di mesin jahit dan menggenggam kain untuk membuat baju kurung Hari Raya. Entah bila aku terlelap aku pun tidak sedar.
Esok pagi lagi kakakku sudah mengejutkan aku, "Bangun-bangun, hari ni Hari Raya...bangun mandi nanti boleh pakai baju baru dan pergi jalan rumah kawan" Semasa itu bukannya nak pergi solat sunat Hari Raya, tetapi Hari Raya nak jalan rumah jiran dan kawan untuk kutip duit Raya...

Yae...yae... boleh pakai baju baru...! tiba-tiba aku terdiam apabila teringat tentang baju kurung, lalu terus teringat...

"Ini mesti mak dah gunting dan jahit baju kurung Uda"...

Bila pergi ke bilik ibuku...aku melihat ibuku baharu hendak menggunting kain untuk membuat baju kurung Hari Raya ku...aku terdiam...

Mak berkata, " Tunggu sekejap ya, mak tengah gunting ni, sekejap lagi siaplah,,,Uda pergi mandi dulu wangi-wangi ya."

Al-kisahnya, pagi Raya tersebut, seorang budak sekolah darjah 5 (aku lah tuh..) dengan muka sedih duduk di tepi tingkap rumahku sambil memerhatikan rakan-rakan bergembira memakai baju baru dan berkunjung ke rumah jiran tetangga. Air-mataku meleleh membasahi pipi kerana tidak dapat memakai baju raya pagi-pagi dan bergembira bersama kawan-kawan berkunjung ke rumah jiran tetangga.
Akhirnya aku dapat memakai baju kurung Hari Raya ku sewaktu tengahari dan semua kawan-kawan sudah pulang ke rumah masing-masing...

Hari Raya yang paling tidak dapat ku lupakan sepanjang hidup ku!



Sejak Hari Raya tahun itu, aku menanam azam hendak belajar menjahit dan menjahit sendiri baju Raya ku... hari-hari seterusnya apabila ada masa kelapangan aku akan melihat bagaimana ibu mengambil ukuran badan, bagaimana ibu mengira formula untuk melukis pelan baju, melukis pelan baju di atas kertas, dan seterusnya mempelajari menggunting baju...

Akhirnya pada tahun 1976, aku menggunting dan menjahit sendiri baju kurung Hari Raya ku! Tidak perlu lagi menunggu ibuku menjahitkannya kerana aku tahu kalau hendak menunggu ibu menjahit, alamat peristiwa lama akan berulang kembali...

p/s: Itulah orang kata, tukang rumah, rumah sendiri tidak siap
tukang jahit, baju sendiri dan anak-anak juga tidak dapat dijahit sendiri!

Akhirnya, aku mempelajari melukis pelan dan menggunting pelbagai pattern baju...
Kemahiran menjahit ini aku gunakan sepenuhnya semasa aku melanjutkan pelajaran di USA... (dapat tambah duit poket!)... ramai rakan menempah baju kurung dan baju melayu semasa menjelang Hari Raya (ialah...kat sana mana ada tukang jahit pandai jahit baju kurung Malaysia kan...)
Begitu juga apabila telah berkahwin (jahit sendiri baju kahwinku) dan mempunyai anak (Kak Long lah tu..)... sungguh seronok menjahit baju-baju gown anak perempuan...dengan ruffles, frills, renda, buttons....
Sehinggakan kawan-kawan yang mempunyai anak perempuan juga turut menempah baju gown anak mereka...

Thursday, February 12, 2009

Inikah adab pelajar zaman sekarang?

Inikah adab pelajar zaman sekarang?

Apakah nilai adab seorang pelajar di zaman ini? Bukan budak sekolah rendah dan juga bukan budak sekolah menengah, tetapi pelajar institusi pengajian tinggi di negara ini, pelajar yang bergelar mahasiswa! Kita berusaha untuk mendidik (bukan sahaja mengajar) mereka, tetapi inikah balasan atau adab mereka terhadap seorang pendidik?

Kita diajar bukan sahaja mempelajari apa yang diajar oleh guru di sekolah/ pensyarah di universiti, tetapi mematuhi dan menghormati guru/pensyarah kita.

Menurut Imam al-Ghazali seseorang murid hendaklah:

• Memberikan sepenuh perhatian kepada gurunya.
• Mendiamkan diri sewaktu guru sedang menyampaikan pelajaran.
• Menunjukkan minat terhadap apa yang disampaikan oleh guru.
• Tidak meninggikan suara terhadap guru, sebaliknya memadailah berkata dengan suara yang didengari.
• Sekiranya perlu bertanya, pastikan guru bersedia memberikan jawapan.
• Menghormati guru di hadapan dan belakangnya.
• Menutup kelemahan guru agar tidak didedahkan tanpa keperluan.
• Mendoakan kebaikan baginya.

Kisah 1:
Seorang rakan sekerja saya Dr. KM berkata: "Saya pernah tegur dgn baik pelajar
fakulti *tuuutttt* di parkir lot kita, tapi mereka ajak saya bertumbuk"
Pelajar tersebut berkata, "Encik cakap je bila dan kat mana"

Nampaknya ada segelintir pelajar yang bukan saja biadab tapi samseng.

Kisah 2:
Pada suatu hari di waktu tengahari, seorang mahasiswi (katanya dari Fakulti *tuutt*)
yang menaiki kereta Perodua Viva berwarna putih dengan nombor kereta C*V2**2 telah
berlaku biadap dengan bukan sahaja dengan meninggikan suaranya berkata,
"Where am I going to park my car?", "Why do you need all these parking places for
lecturers only?", malah lebih dari itu.

Lalu rakan saya, Dr. SAA nerkata, "Don't you know how to speak to lecturers?",
lalu beliau meminta kad matriks mahasiswi tersebut utk diambil maklumat peribadi
untuk dibuat laporan kepada Bahagian Keselamatan.
Mahasiswi tersebut tidak benarkan, maka rakan saya cuba mengambil gambarnya dengan
camera hp.
Mahasiswi tersebut menjerit--"This is harassment! I will call the police!"

Dr SAA mencatat nombor kereta dan beredar keluar dengan Mr N menggunakan kereta Mr N.

Ketika di simpang parkir dengan jalanraya, mahasiswi tersebut keluar dari kereta dan
memanggil rakan2nya. Entah apa dikatakan kpd mereka. Bila Dr SAA lalu didepannya,
dia berkata, "F*** OFF". Itulah hadiah agaknya mahasiswi ini boleh berikan kpd
pensyarah yang menegur mereka.

Sebelah petangnya pula semasa Mr N memandu keretanya, dia dapati salah satu
tayarnya bocor. Kebetulan? Ada kesan bocor di tayar tetapi tiada paku, besi, dsb.

Apa lagi, ya selepas ini?

Marilah kita menangani isu ini SESUAI dengan akhlak dan adab mahasiswa
kita. Setakat ini mereka cuma takut bila adanya pengawal keselamatan.
Di beberapa fakulti lain, staf dah serik menegur kerana kereta mereka
mendapat souvenir khas dari mahasiswa kita.

Wednesday, February 11, 2009

La Tahzan

La Tahzan Duhai Anakku

Duhai Anakku
Mengingati Masa Lalu
Bersedih di atas kedukaan dan Kegagalan
Adalah sesuatu tindakan
Yang sia-sia

Duhai Anakku
Kembali ke masa lalu
Ibarat Merasai kembali keresahan
Ibarat Menyalakan kembali
Api Yang Membakar

Duhai Anakku
Renungilah Masa Hadapan
Teruskan ayunan langkah kakimu
Dimulai dengan do'a dan harapan
Dengan berbekal keyakinan dan Semangat
Diiringi usaha dan tawakkal
Kelak ia akan mencorak Kehidupanmu
Akan terbit cahaya di hujung jalan
La Tahzan

"Tiada sesuatu bencana pun yang menimpa di bumi dan (tidak pula) pada dirimu sendiri melainkan telah tertulis di dalam kitab (Lauh Mahfudz) sebelum Kami menciptakannya. Sesungguhnya yang demikian itu adalah mudah bagi Allah. "
Al-Hadid: 22

Berikan sumbangan terbaik anda! Teruskan menyumbang ke Tabung Aqsa2Gaza Emergency Relief sekarang!!! Akaun Maybank Islamic: 5515 7500 4299 Akaun Bank islam : 12 092 01 003490 4 Kemudian sila maklumkan kepada: admin@aqsasyarif.org.my

Nak Baca Entri Lain? Klik Sini....