Jus mangga paling sedap (boleh saya katakan di dunia) yang pernah saya minum adalah jus mangga di kota suci Mekah. Ini mengikut cita rasa tekak sayalah...
Semasa menunaikan fardhu haji pada tahun 2007-2008 (pergi Dis 2007, balik pada Januari 2008), kami tinggal di Hotel Al-Raied (hotel ini memang hotel lama dan kami dimaklumkan selepas beberapa bulan kami kembali ke tanahair, seluruh kawasan hotel tersebut telah diruntuhkan untuk memberi peluang kepada kemajuan, hotel-hotel canggih dan maju akan didirikan di situ) , sangat dekat dengan Bab Al-Madinah, Mesjidil Haram. Lebih kurang 30-50 meter sahaja. Alhamdulillah satu kemudahan yang Allah takdirkan diberikan kepada kami semasa menunaikan fardhu haji. Dan Alhamdulillah sepanjang kami di sana saya dan suami hanya diserang batuk sekali sekala, tidak teruk. Alhamdulillah syukur ke hadrat Allah SWT kerana mengurniakan kesihatan yang boleh dikatakan baik sepanjang masa di sana. Begitu juga selepas kami pulang ke tanahair. Saya menganggap salah satu sebabnya mungkin juga sebab saya selalu minum air zam-zam sepanjang masa.
Beberapa hari selepas berada di kota suci Mekah, dalam perjalanan pulang ke hotel selepas fardhu Isya', kami singgah di sebuah kedai di bawah hotel. Saya minta suami belikan saya air jus. Selepas memilih antara jus-jus yang dijual, suami memilih sebotol jus mangga berjenama RANI. Sampai di bilik hotel saya terus menanggalkan telekung dan terus duduk di birai katil untuk membuka botol jus tersebut. Tanpa berlengah membaca doa dan meminum jus tersebut... MasyaAllah...! ketika itu saya rasakan itulah jus yang paling sedap yang pernah saya minum sepanjang hidup saya!!! Selepas itu kami pasti singgah membeli jus tersebut setiap kali pulang dari solat di Mesjidil Haram.
Semalam, suami dan saya pergi menjamu selera ke sebuah restoren menjual makanan Arab tetapi dengan harga patut di Seksyen 7, Shah Alam. Sambil suami membayar makanan tersebut, saya meninjau ke kedai sebelah... tiba-tiba mata saya terpaku ke rak yang menjual minuman... sungguh tidak percaya bahawa jus yang paling saya suka itu ada dijual di situ! lalu saya minta suami membelikannya... bukan 1 tapi 6 botol!