Balik Kampung - siri 1
Alhamdulillah, rindu kepada kampung halaman terubat jua. Kami sekeluarga pulang ke kampung halaman ku di Pontian, Johor pada hari Ahad sehingga Rabu di awal minggu cuti sekolah minggu lepas. Puas hati sungguh kerana dapt duduk-duduk sahaja mengingat kembali nostalgia semasa kecil dengan mengambil angin dan berjalan-jalan di sekeliling rumah ibubapa ku.
Rasa puas kerana tidak perlu melayan ramai orang (selalunya pulang semasa Hari Raya, kena layan ramai saudara-mara yang bertandang ke rumah) dan dapat meluangkan masa bersama-sama kedua ibu bapaku yang tercinta...
Hatiku sayu melihat bapaku yang sudah semakin tua dan uzur... berjalan perlu memakai tongkat dan berpapah ... kerana mengenangkan tangan itulah yang berusaha keras suatu masa dahulu membanting tulang mencari sesuap rezeki untuk kami adik-beradik... ibu ku juga yang sudah semakin tua dimamah usia...walaupun masih ligat ke sana ke mari menguruskan hal-hal keluarga
Tatkala duduk merenung, airmataku tanpa disedari mengalir laju di pipi...Sedih kerana aku tidak dapat bersama mereka setiap waktu di akhir-akhir usia tua mereka... Pernah aku menyuarakan kepada abah, untuk duduk bersamaku di rumahku di kota..tetapi jawapan abah sudah kuduga, "Tak apalah, abah lebih senang dikampung , dirumah ini"
Aku faham perasaan abah, duduk di kota di rumah teres yang dindingnya batu dari bawah hingga atas, dengan pagar depan dan belakang. Tanah hanya sekangkang kera, hendak dibuat mencangkul pun rasanya tidak cukup nak buat batas, walaupun aku tahu tenaga abah, kudrat abah sudah tidak sekuat dulu.
Terkenang di waktu dulu, siapa yang tidak kenal abah, yang rajin berbakti kepada tanah, tidak kira di mana jua kami tinggal. Kawasan tanah sekeliling rumah penuh dengan pelbagai pokok dan tumbuh-tumbuhan, batas2 sayur2an berbaris, apabila tiba masanya hasil dituai... sayur-sayuran tidak menjadi masalah kepada kami sekeluarga, kerana tidak perlu membeli di pasar, hanya memetiknya dari kebun belakang rumah apabila tiba waktu memasak. Aku masih ingat lagi, betapa segarnya sayur-sayuran abah tanam. Sedap dan manis kerana sayur dipetik dari kebun terus dimasak, apatah lagi tiada bahan-bahan kimia dalam pembajaan dan juga penjagaan.
Waktu itu, aku masih ingat lagi, tidak perlu daging, atau ayam, cukuplah sekadar nasi panas, sambal belacan dan sayur-sayuran dari kebun abah. Boleh bertambah sehingga dua tiga pinggan aku makan! (sememangnya daging atau ayam ialah juadah istimewa sewaktu musim perayaan sahaja, keadaan tidak mengizinkan kami makan mewah seperti sekarang yang selalu dapat merasai masakan daging atau ayam)
Pernah pada suatu waktu semasa musim Raya semakin hampir, sayur-sayuran abah memang menjadi, hendak makan kami sekeluarga memang lebih dari cukup, itupun sudah diagih-agihkan kepada jiran-tetangga. Lalu aku mengikat kacang panjang menjadi seikat-seikat, lalu menjualnya kepada jiran-jiran yang tinggal jauh, mula-mula memang rasa malu, tetapi lama-kelamaan aku seronok kerana jualanku laku dan apatah lagi abah menyuruhku menyimpan hasil jualan tersebut...!
Tetapi sekarang, aku merenung tanah kosong dibelakang rumah ku, yang dipenuhi rumput yang sudah semakin tinggi sama tinggi dengan betisku.. meleleh lagi airmataku... Terbayang-bayang dimata, "Mak, hari ni nak masak sayur apa?" tanyaku kepada emak.
"Petiklah sayur apa yang Uda nak makan", kata emak.
lalu aku pun berjalan dari satu batas ke batas yang lain... sambil mataku melilau-lilau melihat sekeliling dan berkata-kata, " semalam dah makan sayur bendi, hari ni nak makan sawi lah pulak" lalu mencabut beberapa batang pokok sawi. Hari tu emak masak sayur bening saja, tapi itulah masakan kegemaranku. Habis semangkuk kuahnya kuhirup...berpeluh-peluh di dahi..!
Aku berjalan lagi menyusuri denai dicelah-celah pohon-pohon manggis yang tinggal beberapa batang sahaja. Dahulunya terdapat lebih sepuluh batang pokok manggis dibelakang rumahku. Itupun aku lihat buah-buahnya jatuh berguguran tanpa ada sesiapa yang hendak memanjat dan mengait buah nya. Aku mendongak ke atas, "Ah.. ranting-rantingnya sudah terlalu tinggi hendak ku panjat..."
"Wahh...ada hati nak panjat, janganlah berangan, umur kau dan keadaan fizikal engkau bukan lagi seperti dulu, 25 tahun, 30 tahun dahulu", bisik hati ku... tersedar aku dari lamunanku...
Tanpa ku sedari, bibirku menguntum senyum... Siapa tidak kenal Uda? jaguh memanjat pokok manggis dikalangan sepupu-sepupuku... Nostalgia dahulu kembali menerpa ke kepalaku..
Waktu itu musim buah manggis... "mak, tahun ini semua pokok manggis tu Uda punya!"
"Hai... larat ke engkau sorang nak panjat pokok manggis tu semua dan kait buahnya?" tanya emak.
"tak apa mak, Uda nak kumpul duit tahun ni..." sahut ku.
Lalu setiap hari selepas pulang dari sekolah aku pun terus menyalin seluar dan t-shirt dan terus ke belakang rumah mencapai galah dan menunjukkan kemahiran memanjatku...
dup... dup... dap.... dup.... sebiji-sebiji buah manggis yang masak dan hampir masak jatuh ke tanah ...
selepas satu pokok ke satu pokok yang lain ... apabila penat, aku turun dan mula mengumpulkan buah-buah manggis itu ke dalam guni.
Petangnya, "apek, apek.... tu kat belakang ada 2 guni saya sudah kait itu manggis, Lu timbang itu cepat!"
beberapa ketika selepas itu... tersengih memanjang memegang not-not merah di tangan...
(bersambung .............)
Ikutlah resmi padi, semakin berisi semakin tunduk ke bumi! "Maka nikmat Tuhan Kamu yang manakah yang kamu dustakan?" Ar-Rahman
Showing posts with label Pontian. Show all posts
Showing posts with label Pontian. Show all posts
Thursday, August 21, 2008
Subscribe to:
Posts (Atom)
Berikan sumbangan terbaik anda!
Teruskan menyumbang ke Tabung
Aqsa2Gaza Emergency Relief sekarang!!!
Akaun Maybank Islamic: 5515 7500 4299
Akaun Bank islam : 12 092 01 003490 4
Kemudian sila maklumkan kepada:
admin@aqsasyarif.org.my
Nak Baca Entri Lain? Klik Sini....
-
Cucu Sulong. Pada hari Isnin lepas, 10 Februari 2014, jam 11 mlm, menantu saya telah selamat melahirkan seorang bayi perempuan yang co...
-
Salam semua. Sempena menyokong contest yang dianjurkan oleh Kak InaKL , saya telah menjadi salah seorang penaja utama dalam contest tersebu...
-
Hobi 3 - Membaca N3 ini mengisahkan hobi ke-3 iaitu membaca. Sejak dari kecil aku memang suka membaca apa sahaja bahan bacaan yang boleh d...