Saturday, October 27, 2012

Solat Hari Raya

Dulu-dulu semasa kecil saya memang tidak pernah solat Hari Raya ..tak tahu pun bagaimana. Sebab lazimnya hanya kaum lelaki yang pergi solat, kaum perempuan sibuk di rumah menyediakan juadah untuk para jemaah selepas solat Raya dan menyiapkan hal rumah-tangga.
Kali pertama saya solat Hari Raya ialah pada tahun 1984, iaitu semasa kali pertama menyambut Hari Raya di perantauan. Tapi kini apabila kesedaran Islam sudah semakin baik dan kaum wanita telah ramai mengambil peluang untuk sama-sama bersolat Hari Raya di Surau atau Mesjid-mesjid ...
Apakah hukum solat sunat Hari Raya bagi kaum wanita? 

Mengikut pembacaan saya dari mereka yang lebih 'ariff, terdapat dua pendapat: pertama yang mengatakan bahawa Solat Sunat Hari raya ini adalah Sunat Mu'akkad, dan kedua yang mengatakan ianya adalah wajib atau fardhu 'ain bagi yang tiada keuzuran.

Pendapat pertama adalah berdasarkan hadis nabi yang mengatakan solat wajib hanyalah solat lima waktu. (sumber: di sini)

Manakalan pendapat kedua adalah berdasarkan hadis di bawah:
 
Solat hari raya merupakan salah satu lambang syiar Islam yang terbesar dan terpenting, sehinggakan Nabi saw mengarahkan semua wanita yang haid dan kanak-kanak yang tiada kewajipan pada mereka turut keluar beramai-ramai bagi menyaksikan hari kebesaran dan kemenangan Islam ini.

Maka dengan itu, perbahasan di kalangan para Ulama Ahli Sunnah wal Jamaah majoriti mereka dan termasuk perkataan Imam Ibnu Taimiyah akan kewajipan setiap mukallaf yang tiada keuzurann untuk menunaikan solat hari raya ini.

Perkara ini dapat dikuatkan lagi dengan sabda Nabi SAW dari Ummi Atiyah yang bermaksud :

Ummi atiyah berkata : “Rasulullah memerintahkan kami mengeluarkan para wanita merdeka, wanita yang berhaid dan anak-anak gadis pada hari raya aidil fitri dan aidiladha keluar ke musolla (tanah Lapang). Mereka menyaksikan kebaikan dan dakwah kaum muslimin. Aku berkata : “ Wahai RAsulullah, salah seorang dari kami tidak mempunyai tudung? Maka Nabi Saw Berkata : “Suruh agar saudaranya meminjamkan tudungnya!”.(HR Bukhari dan Muslim)

Hal ini juga  diterangkan  oleh al-Allamah Siddiq Hasan Khan katanya :

“Ketahuilah bahawa Nabi saw sentiasa memelihara solat 2 hari raya ini, baginda tidaklah pernah meninggalkan pada suatu hari antara hariraya-hariraya itu, dan beliau menyuruhkan orang ramai supaya keluar ke musalla untuk solat, sehingga beliau memerintahkan supaya orang-orang perempuan yang merdeka, yang keuzuran dan dalam keadaan haid keluar beramai-ramai. Baginda menyuruh perempuan yang berhaid agar tidak solat di mana semua mereka akan menyaksikan kebaikan dan bersama-sama menjalankan seruan untuk orang-orang Islam, sehingga baginda menyuruhkan wanita yang tiada tudung agar diberi pinjam tudung kepadanya. Semua ini menunjukkan bahawa solat ini merupakan suatu kewajipan muakkad ke atas setiap orang, bukan kifayah, sedangkan perintah keluar itu menentukan kewajipan solat bagi  sesiapa yang tiada keuzuran .”


 Jemaah Wanita di Surau At-Taqwa semasa duduk mendengar khutbah Hari Raya. Alhamdulillah, ramai yang datang memenuhi Surau At-Taqwa..sehingga ada yang terpaksa solat di dalam bilik mengaji di belakang kerana ruang ini sudah penuh...

Thursday, October 25, 2012

Hari Raya Aidil Adha 2012

Alhamdulillah, petang tadi dapat masak ketupat (segeralah ...bukan yg anyam pakai daun kelapa tu) + rendang ayam + sambal goreng Jawa ...ingat nak buat sambal kacang dgn lodeh tapi dah tak larat nak berdiri kat dapur...ini pun main telan Paracetamol ajer nak bagi hilang pening dan bisa-bisa badan ...kalau tak terus tak boleh bangun ... kesian pulak hari ni suami dan anak-anak ramai yang puasa ...nanti mereka nak makan buka puasa pulak ...

Buat pertama kali dalam sejarah hidup ku tak balik kampung berhari Raya pada Hari Raya pertama ... kali ini Hari Raya Aidil Adha ni kami sambut di Shah Alam sahaja ...sebab suami kata nak tunggu ibadah korban (since suami ada masuk satu bahagian) ... baru nak balik kampung... lepas tu hari Ahad nak kena balik Parit Raja juga sebab ada anak saudara kenduri kahwin ...
Nampaknya ramai anak-anak tak boleh balik kampung juga sebab mereka kena balik ke sekolah semula selewat-lewatnya pukul 6ptg pada Hari Ahad...takut tak sempat nak hantar mereka semula ke asrama..
 Tapi kesian pula pada ayahanda dan bonda...

SELAMAT HARI RAYA AIDIL ADHA @ HARI RAYA KORBAN ...

Tuesday, October 23, 2012

Lokasi kamera AES dan Balik Kampung Hari Raya Haji

As-Salam...tidak lama lagi Hari Raya Haji atau Hari Raya Korban bakal menjelma.  kebanyakan IPTA juga menjadualkan cuti pertengahan semester bersamaan dengan Cuti Hari Raya Haji ... maka berbondong-bondong lah orang bandar pulang ke kampung halaman masing-masing... 

Dinasihatkan berhati-hati sepanjang pemanduan anda di lebuhraya tidak kira samada anda memandu sendiri atau pun menaiki kenderaan awam... jika kenderaan awam, pemandu nya harusla lebih berhati-hati kerana anda membawa ramai penumpang...hargailah nyawa mereka..

Rata-rata sibuk orang memperkatakan tentang AES.. Apa itu AES? atau Automated Enforcement System ? Ia adalah kamera yang dipasang di jalanraya untuk mengambil gambar kenderaan yang memandu melebihi had pemanduan yang dibenarkan..
Ada yang menyokong dan ada yang membantah..biasalah kan ...mana pernah setiap sesuatu perkata yang di implimentasi itu mendapat persetujuan 100% rakyat Malaysia... 
Tujuan utama AES adalah untuk mengurangkan kadar kemalangan jalanraya. Khabarnya akan terdapat 831 kamera AES yang akan dipasang di seluruh negara...huiii banyakkk tu ... bayangkan jika anda memandu dari Johor Bahru ke utara ... kemungkinan mendapat 'surat Cinta" adalah besar ... dan jumlahnya mungkin melebihi 1 ...kecuali anda memang pemandu berhemah ...

Senarai lokasi kamera ada disenaraikan di website Jabatan pengangkutan Jalan di sini.

Pengantin Baru

Hari Ahad yang lalu kami sekeluarga telah ke Bukit Beruntung Golf and Country Resort di Bukit Beruntung untuk menghadiri perkahwinan anak saudara sepupu. 

Barakallahulakuma wabaraka alaikuma wajama'a bainakuma fikhair
Azalia & Mohd Izali

Sepupu sepapat yang hadir

Mak Ndak & Pak Ndak dan Abah serta sepupu
Kami singgah di SBPI Rawang untuk ambil Wafa' outing dan hantar semula selepas selesai majlis kahwin.
Bila tengok gambar ini baru perasan bahawa Wafa sudah sama tinggi dengan saya ..tak lama lagi mungkin dia akan potong pula saya ...
Mohon doakan untuk Wafa' kerana beliau akan menduduki peperiksaan besar SPM tidak lama lagi ...
Ameen

Monday, October 22, 2012

Tetamu Allah

Malam Jumaat minggu lepas, akhawat surau At-Taqwa telah bersama-sama menziarahi jiran-jiran kami yang akan berangkat Ke Tanah Suci Mekah dan Madinah sebagai Tetamu Allah SWT ..

Pesanan Nabi Muhammad SAW menunjukkan bahawa kehidupan seseorang mukmin tidak akan  sempurna pada kaca mata Islam seandainya hubungan dengan jiran tetangga tidak dipelihara dengan baik serta hidup dalam harmoni.  Tambahan pula zaman sekarang menyebabkan masyarakat khususnya yang tinggal di bandar kurang berinteraksi dengan jiran. Masing-masing sibuk bekerja dengan waktu tidak menentu  telah mendorong melakukan hal masing-masing.

Sabda Baginda SAW bermaksud:
“Sesiapa beriman kepada Allah dan hari kiamat, maka hendaklah ia berbuat baik kepada jirannya. Dan sesiapa beriman kepada Allah dan hari kiamat, maka hendaklah ia menghormati tetamunya. Dan sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari kiamat, maka hendaklah ia berkata yang baik dan hendaklah ia diam.” (Hadis riwayat Muslim)

Insyaallah ..Semoga semua mereka akan mendapat haji yang mabrur ...
Ameen

Yang bertudung biru di tengah adalah jiran SEBELAH RUMAH saya...tetapi dek kesibukan kerja, saya pun jarang dapat berbual dengan beliau...tegur pun sambil keluar masuk rumah semasa hendak pergi dan balik dari kerja ... (hurrmmm.... ) jadi semasa majlis sebegini lah baru dapat duduk berbual bertanyakan khabar masing-masing dengan tenang dan aman ... dan dapat bersalam dan berpelukan untuk mengeratkan ukhuwwah ....

 Bersalaman dan bermaafan
 Semoga Allah memelihara ukhuwwah kami semua di kejiranan ini...
Ameen

Saturday, October 20, 2012

Berjumpa Chef Hanieliza lagi

Alhamdulillah, sekali lagi Allah memberi ku peluang untuk berjumpa Chef Hanieliza kembali ..
Semasa berjumpa Chef Hanieliza buat pertama kali di Mesjid Negeri Shah Alam tempohari, (ada saya buat satu entri di sini) , saya telah membeli buku resepi Chef hanieliza, 365 resepi 1 HARI 1 RESEPI..

Beberapa minggu lepas, semasa majlis usrah di adakan di rumahku, akhawat usrah ku telah berkenan melihat buku resepi tersebut dan berhasrat untuk memelikinya, lalu saya segera menghubungi Kak Hanieliza, samada beliau akan datang ke KL dalam masa terdekat (knowing that she always get invitation to demonstrate her cooking)
 Setelah dikumpul bilangan yang hendak membeli banyak juga, Kak Liza kata beliau akan datang ke Shah Alam/Klang dalam bulan Oktober.. 

Jadi hari Khamis saya mendapat khabar dari Kak Liza bahawa beliau akan berada di Klang hari Jumaat sebab ada masak-masak sedikit untuk membuat penggambaran untuk majalah Saji ...lalu kami pun berjanji hendak berkunjung ke rumah anak beliau di Taman Berkeley, klang..tidak jauh dari rumah saya..

Jom layan gambar ...
Chef Hanieliza bersama 4 jenis nasi, Nasi Dhal, Nasi Serai, Nasi Daging, Nasi Tomato berjagung

Gambar Nasi dari dekat...nak resepi? boleh rujuk di fotopages Chef Hanieliza atau beli terus buku resepi beliau

Lauk-pauk pula...Daging masak lada hitam, acar buah dan 3 jeniskerabu, Kerabu Mangga, Kerabu Daun Selom dan Kerabu Tomato berlada

Apalagi, setelah selesai penggambaran untuk Majalah Saji..(masa kami datang wartawan dan cameraman sudah balik) ..kami pun menjamu selera ...
ALhamdulillah... Terimakasih Daun Keladi Kak Liza...
sedapppp sungguh dan perut pun kenyang ...Alhamdulillah rezeki Allah ..
Semoga Chef Hanieliza terus maju dalam bidang masakan ...
Akhir sekali sebelum pulang, sesi menanda-tangan buku resepi yang kami beli ..
Di tepi itu ialah Hana' (anak bongsu saya bersama cucu Chef Hanieliza)

Friday, October 19, 2012

Bumbung Banglo Runtuh

Semalam balik kerja awal sedikit daripada biasa...
Hampir waktu maghrib, semasa sedang sibuk di dapur menyediakan hidangan buat suami yang akan berbuka berpuasa, mendapat panggilan dari rakan sekerja bertanyakan sesuatu tentang rumah/tanah runtuh di Seksyen 7, Shah Alam... lebih spesifik Jalan Jade 7/5 ...beliau bertanyakan di mana..
membuat sedikit congak di kepala..kawasan perumahan elit berdekatan rumah menteri besar semuanya beralamat 7/1...mesti bukan di situ ...kawasan rumah teres di taman perumahan ku pula bermula 7/12...oleh itu, 7/5 mesti lah kawasan perumahan banglo elit seksyen 7 berdekatan rumah banglo EXCO Negeri Selangor...
Selepas berbuka puasa, anak ke-2 saya, Zaid pula memberitahu terdapat rumah yang sedang direnovate di Seksyen 7 runtuh dan ada para pekerja yang maut dan cedera.



(sumber gambar: BeritaHarian online)

Doa kami agar mereka yang masih hidup dapat segera diselamatkan dari runtuhan tersebut, dan bagi yang maut pula, Innalillahi wainnailaihiraajiuun..

(Dari SinarHarian )


Thursday, October 18, 2012

Nasi Paella (Spanish Rice)


Nasi Paella (Spanish Rice)

Hari Minggu yang lalu saya mencuba resepi Nasi Paella yang Chef Hanieliza masak semasa membuat demo masakan di Mesjid Negeri Shah Alam dulu...tapi bahan-bahan ada yang tak cukup..saya pun mulalah "menderhaka" bak kata Chef Mat Gebu ...pandai-pandailah saya modify nak bagi sedapkan ...
(saya pakai beras Basmathi Moghul Faiza)
(image download from internet)

Bahan-bahannya:
1kg beras basmati (direndam selama 1/2 jam , dibasuh dan ditoskan)
 1 liter stok ayam (boleh ganti dgn 1 kiub pati ayam + 1 liter air)
1 potong ikan tenggiri (saya tak letak sebab tak ada)
200 g isi ayam (di potong kecil2)
200 g isi kupang (saya tak letak)
200 g udang besar 
200 g sotong (dipotong-potong)
1 biji capsicum hijau (Dipotong dadu - saya tak letak)
1 biji capsicum merah (Dipotong dadu - saya tak letak)
1/2 cawan kacang pis
(sayur-sayur di atas saya ganti dgn mixed vege)
2 biji tomato (di cincang)
2 sudu makan margerin
2 sudu makan minyak masak (saya ganti dgn minyak zaitun)
1/2 sudu teh serbuk kunyit
Garam secukup rasa

Bahan menumis
1 labu bawang besar (dipotong dadu)
1 ulas bawang putih (saya suka banyak bawang putih ..jadi saya letak 3 ulas)
2 inci halia (diketuk)

Cara-cara membuatnya:
1. Panaskan minyak dengan margerin
2. Goreng udang dan sotong.  Angkat dan asingkan.
3. Tumiskan bahan tumis sehingga layu.
4. masukkan isi ayam dan isi kupang ..Kacau rata.
5. Masukkan stok ayam dan serbuk kunyit dan garam.
6. Masukkan beras dan capsicum, kacang pis dan tomato.  Biarkan mendidih.
7. Apabila sudah kering, kecilkan api dan masak sebentar..
Taburkan bawang goreng, hirisan daun sup/bawang (saya suka letak sedikit daun ketumbar utk wangi)
Taburkan udang dan sotong yang sudah digoreng ..
8. Hidangkan...

*** Saya masak nasi ini dalam pressure cooker NOXXA (hanya 7-8 min sahaja, Alhamdulillah, nasi masak rata dan tiada kerak)

SELAMAT MENCUBA


Saturday, October 13, 2012

Wan

Wan, begitu lah panggilan cucu-cucu kepada abah saya ... macam orang Perak lah pulak ya ... sedangkan kami orang Johor ... ini kerana emak saya cucu-cucu panggil atok ... jadi nak panggil atok lelaki macam panjang sangat .. sudahnya cucu-cucu memilih WAN, mengikut sedara sebelah Wan di Kedah ..

Sebelum ini saya ada menulis di sini, mengenai abah saya yang membuat pemeriksaan mata dengan Prof Dr Muhaya di prince Court Medical Center.  Di dapati abah ada mempunyai Galukoma, iaitu di mana tekanan ke atas urat saraf mata jika meningkat terlalu tinggi boleh membuat pesakit hilang penglihatan ..Alhamdulillah abah saya tidak lah tinggi sangat tekanan nya .. namun perlu sentiasa membuat rawatan untuk mengurangkan tekanan tersebut. Kerana jika dibiarkan akan membuatkan keadaan semakin teruk dan sukar dan mata akan menjadi buta ..
Sebelum Pembedahan

Pada hari Isnin yang lepas abah telah pun membuat pembedahan menggantikan kanta mata sebelah kanan... dan membuang katarak mata... Alhamdulillah ....

Selepas Pembedahan

Pembedahan mengambil masa hanya 1/2 jam, tetapi persediaan hendak masuk ke dewan bedah, dan post-operation ..yang mengambil masa yang lama ..keluar dari Dewan Bedah lebih kurang pukul 12 tghr...kemudian abah disuruh berehat dan kami menunggu hingga jam 4 ptg baharulah kami dapat berjumpa semula Prof Muhaya di klinik di tingkat 3. 
Sepanjang masa recovering dan berjumpa Prof Muhaya, anak ke-6, Mu'adz Al-Hafiz yang menemankan saya dan atok 
Akhir sekali jam 4 petang Prof Muhaya sekali lagi melakukan follow-up check up terhadap mata abah.  Abah mengadu masih belum nampak lagi, masih kabur mata kanan abah walaupun telah diganti kanta baru.  Prof Muhaya mengatakan pembedahan mata abah menggunakan teknologi terkini. memang jika dilihat, mata abah tiada tanda2 seperti baharu lepas di bedah, tiada luka-luka dan darah ..

Prof Muhaya discharge kami jam 5 petang dan menyuruh kami datang lagi pada hari Jumaat untuk dibuat follow-up check-up...
 Abah bersama Zaid (anak ke-2)

Ini selepas berjumpa Prof Dr Muhaya di Pusat mata dan LASIK, di tingkat 3 juga. Abah tidak buat LASIK kerana faktor umur dan kesihatan.  (Ambil gambar sahaja di sini...hehe)
4 jam juga di sini semasa hari Jumaat, kerana Prof Muhaya hendak membuat banyak pemeriksaan...
Akhirnya, persoalan terungkai ... selepas katarak dibuang dan mata abah diganti kanta baru, baharulah dapat di scan urat saraf mata kanan abah ... sebelum ini tidak nampak apa-apa kerana tidak dapat ditembusi cahaya ..
Sememangnya abah tidak dapat melihat dengan lebih jelas kembali mata kanan, kerana urat saraf dibelakang mata abah telah rosak dan terdapat salur darah dibelakang mata tersumbat disebabkan darah tinggi abah ... namun begitu Prof menasihatkan agar sentiasa dijaga dan diletak ubat untuk mengurangkan tekanan mata ... (glaukoma) ..
Semoga Abah dapat melihat dengan lebih baik, InsyaAllah...walaupun mungkin bukan 90-100% ...mata kiri abah masih elok lagi ...InsyaAllah petang ini nak bawa abah ke kedai cermin mata untuk membuat cermin mata untuk membaca...
Walauapa pun, saya bersyukur kerana semuanya diPermudahkan oleh Allah SWT...
Alhamdulillah ...

Tuesday, October 9, 2012

Mencari Ketenangan Dalam Kesibukan

Menjadi lumrah manusia, maka akan menjadi ingat, berwaspada dan bersiap sedia apabila diberi ingatan atau amaran selagi tiada ingatan yang masuk ke corong telinga, maka akan sentiasa alpa dan leka yang akhirnya tanpa benteng iman ampuh menjerumuskan mereka ke lembah kemurkaan.
        Apabila Allah S.W.T memberi ingatan. Tegahan atau amaran, ia mempunyai maksud disebaliknya. Kita boleh menjadi kafir apabila tidak mempercayainya, munafik apabila kurang yakin dan fasik apabila menganggap mudah lantaran dituruti runtunan hawa nafsu.
        Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud : " Rebutlah lima perkara sebelum datangnya lima perkara. Pertama : masa sihat sebelum sakit. Kedua : masa kaya sebelum datangnya masa sempit (miskin). Ketiga : masa lapang sebelum tiba masa sibuk. Keempat masa mudamu sebelum datang masa tua dan kelima masa hidup sebelum tiba masa mati." (riwayat al-Hakim dan al-Baihaqi).
        Hadis ini memperlihatkan kepada kita betapa Rasulullah s.a.w begitu sekali bersungguh-sungguh tidak mahu umatnya kerugian kerana mengabaikan kelima-lima peluang yang patut mereka bersungguh-sungguh merebutnya sebelum datang lima perkara yang boleh menyebabkan mereka ditimpa penyesalan.
        Sikap mengambil mudah ini menyebabkan begitu banyak orang Islam telah membiarkan kelima-lima masa atau keadaan itu hilang lesap tanpa dimanfaatkan. Dan ianya berlalu dengan pantas pula diisi oleh kelima-lima masa atau suasana yang merupakan lawannya itu.
         Manusia mudah leka apabila mereka dikurniakan nikmat seperti kelapangan hidup sehingga sewaktu mereka bermesra dengan anak-anak dan isteri, seakan-akan mereka tidak lagi didatangi waktu yang sempit yang membuatkan mereka merasa begitu menyiksakan.
         Masa kaya sebelum miskin dengan mengisi masa kaya ialah dengan menggunakan harta kekayaan itu dengan sebaik-baiknya yang dapat memberi keuntungan terutamanya di dalam kehidupan akhirat dengan cara menolong sanak saudara yang berkesempitan, memperbanyakkan sedekah terutama kepada anak-anak yatim, orang-orang miskin, pergi ke Mekah menunaikan ibadat haji dan berzakat apabila telah cukup haul dan nisbahnya.
         Begitu juga cara untuk mengisi masa sihat sebelum datangnya masa sakit. Ketika sihat, seseorang manusia itu seharusnya mengenangi nikmat Allah yang dikurniakan ke atas dirinya dengan cara membandingkan nikmat sihatnya dengan kesengsaraan yang ditanggung oleh orang yang sedang terlantar sakit. Ini pastinya boleh menolong kita atau seseorang itu untuk insaf dan kemudian berusaha mengisi masa sihatnya dengan cara membanyakkan ibadat kepada Allah S.W.T.
         Cuba kita yang sihat ini bayangkan, bagaimana jika sekiranya tiba-tiba sahaja kita ditimpa sakit dan terlantar di katil pada saat-saat kita masih berangan-angan untuk menyimpan ibadat setelah hari tua? Tidakkah kita akan menyesal kerana ditimpa kerugian yang datang tanpa kita sangka-sangka itu?.
        Seterusnya Rasulullah s.a.w menyuruh kita mengisi pula masa lapang sebelum datangnya masa sempit. Kebanyakkan manusia apabila kedapatan masa lapang, akal fikiran mereka terus terarah kepada kegiatan-kegiatan atau aktiviti-aktiviti yang mendatangkan keseronokan semata-mata. Padahal apa yang sepatutnya ialah mereka perlu mengisi masa berharga itu dengan amalan yang boleh menghalakan hati untuk memberi sepenuh perhatian dan tumpuan terhadap Allah S.W.T. Bukan semata-mata melampiaskan dorongan hawa nafsu buas. Jika masa santai mereka itu dengan cara membawa keluarga bersiar-siar mengambil angin, melihat keindahan tumbuhan seperti bunga.
        Sudah tentu perkara terakhir yang merebut masa hidup sebelum tibanya masa mati. Inilah kesudahan yang mana kalau terlepas akan ditindih oleh penyesalan yang tidak akan habis-habis walaupun mata terpaksa bermandi dengan pancaran air darah. Jika sudah didatangi kematian, maka berakhirlah segala-galanya. Malah untuk mengerjakan sembahyang sunat sekadar dua rakaat di dalam kubur yang mana sangat diinginkan oleh setiap mayat tidak lagi diizinkan oleh Allah S.W.T. Kenapa? Kerana di sana bukan lagi tempat untuk beramal ibadat.
        Masa mati adalah masa untuk menerima balasan. Balasan baik akan merasai nikmat kemanisannya. Balasan buruk pula akan merasai azab keperitaannya. Ini kerana masa hidup adalah hidup adalah masa bercucuk tanam, manakala masa mati adalah masa untuk menuai pula.
        Justeru demi memperolehi keselamatan hidup dunia dan akhirat, umat Islam perlu mengambil peringatan terhadap saranan Rasulullah s.a.w yang amat penting seperti yang tersebut di dalam hadith tadi. Marilah kita isikan masa-masa yang lima itu dengan bersungguh-sungguh tenaga kita sebelum datangnya lima perkara yang penuh dengan duri dan ranjau yang mungkin akan menghitamkan muka kita setelah kita bangkit di Mahsyar nanti.
        Allah S.W.T berfirman dalam surah Al-Asr ayat 1-3 yang bermaksud : "Demi masa, sesungguhnya manusia itu dalam kerugian, kecuali mereka yang beriman dan beramal soleh. Mereka berpusu-pusu dengan kebenaran dan berpusu-pusu dengan kesabaran." 

(sumber: Laman Web Rasmi JAIS  http://www.jais.gov.my/)

Sunday, October 7, 2012

Parkir

Semester ini saya mendapat satu kelas di Fakulti Sains Gunaan. Bermakna saya perlu menghadapi masalah parking yang memang kritikal di kawasan Menara.  Strategi saya datang awal dan saya merancang ke tempat parkir bertingkat bersebelahan Pejabat pendaftar dan Dewan Sri Budiman. 
Walaupun kelas saya bermula jam 8:30pg, tetapi seawal jam 7:30pg saya sudah ke kampus dan terus menuju ke fakulti untuk punch-in, dan terus ke parkir bertingkat.  Selalunya saya sudah berada di kawasan parkir jam 7:45pg dan saya membaca buku ataupun Al-Quran terjemahan sementara menunggu jam 8:20pg. 
Minggu ini seusai habis kelas jam 10:30 pg, saya tidak terus kembali ke kereta kerana ramai pula anak murid yang datang bertanya...jadi saya lewat turun...sampai di kereta sudah jam 11:15pg..

Sampai sahaja di kawasan parkir, saya tergamam ! Hurmm...bagaimana saya hendak keluar?
Kelihatan sederetan kereta-kereta yang parkir melintang menghalang kereta saya dari keluar...

Saturday, October 6, 2012

Cuti Awal Bulan

Salam pagi Sabtu.  Alhamdulillah pagi ini di mulai dengan hujan Rahmat.  Hujan renyai mulai turun selepas waktu Subuh.  Sejuk terasa di pagi hari... 
Gembira terasa hari ni kerana anak ke-3, ke-6 dan ke-7 ada balik dari asrama dan kolej.  Kak Long Asma' pula dapat cuti satu hari ni..kerana kawan Kak Long, Syamim dari Terengganu (sama belajar di Jordan dahulu) ada datang dan tidur di rumah. So, pagi-pagi rumah sudah riuh kerana masing-masing kelaparan mencari sarapan ... macam ni nak masak pun bersemangat kerana ramai yang akan makan ..
En Suami pula pagi lagi sudah pergi kerja...jadi pagi-pagi sudah bahagi kerja.  Zubair tolong vacuum ruang tamu dan ruang makan... Mu'adz banyak menolong di dapur...tolong basuh periuk belanga dan pinggan mangkuk..tolong goreng ayam (nak masak kicap sebentar lagi) ..
Ammar tolong basuh dan sidai baju ..
Alhamdulillah, lega rasa bila anak-anak dah balik...

Friday, October 5, 2012

Bibik

Di waktu-waktu sibuk begini, betapa daku mendambakan seorang bibik di rumah yang dapat menolong ku membuat kerja-kerja rutin di rumah.... Awal-awal pagi sudah bangun membuat kerja rumah, kemudian terkejar ke pejabat pula, tengahari perlu pulang semula ke rumah memastikan makanan ada buat anak Bongsuku Hana apabila dia pulang dari sekolah... memastikan baju telah dibasuh dan disidai. jika sudah kering perlu diangkat masuk ke rumah jika tidak mahu basah ditimpa hujan. 
Sekarang pula kedua ibu-bapaku ada di rumah...makan-minum mereka perlu dijaga dan disediakan..kadang-kala daku tidak sempat hendak membuat sarapan, lalu pagi-pagi keluar ke kawasan perumahan di hadapan mencari kakak jual nasi lemak...balik kerja pula harus memikirkan apakah menu yang hendak dimasak...jika tak larat, nampaknya masak di restoren ajelah ... huhu
Rasa seperti tidak cukup 24jam sehari ...tak cukup 2 kaki dan 2 tangan ...
Ya Allah, berilah daku kalapangan dan ketenangan fikiran untuk meneruskan kehidupan ini...Ameen

Wednesday, October 3, 2012

Cantik dan Manisnya Mereka Berhijab

Assalamu'alaikum wahai teman blogger sekelian...minggu ini merupakan minggu yang teramat sibuk..Kelas telahpun bermula dan in full swing...manakala pelbagai due date perlu di penuhi..semuanya minggu ini dan minggu hadapan ...
Oleh itu blog ini mungkin tidak dapat dikemaskini sekerap mungkin. 
Terbaca di blog Kaki Sembang, berita mengenai seorang penyanyi rap wanita Perancis yang telah kembali kepada cahaya kebenaran...sungguh manis melihat beliau berhijab..
penyanyi rap wanita terkenal di Perancia, Diam, mengejutkan peminatnya apabila buat pertama kali tampil memakai hijab selepas memeluk Islam.
(baca lebih lanjut di sini)

Apabila menilhat gambar beliau, saya terkenangkan seseorang...mirip seorang senior sewaktu di STF dahulu, hampir serupakan?
Tengku Puan Pahang Darul Makmur
Tunku Azizah Aminah Maimunah

Ada lagi gambar beliau yang lebih mirip Diam, sewaktu beliau masih belum mengenakan hijab (tetapi saya tidak mahu meletakkan di sini, jika berminat anda boleh tanya Mr Google sendiri...)

Surah AnNuur. Ayat 031.
Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram) dan memelihara kehormatan mereka dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka atau saudara-saudara mereka atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam atau hamba-hamba mereka atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka dan bertaubatlah kamu sekalia n kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya.
Berikan sumbangan terbaik anda! Teruskan menyumbang ke Tabung Aqsa2Gaza Emergency Relief sekarang!!! Akaun Maybank Islamic: 5515 7500 4299 Akaun Bank islam : 12 092 01 003490 4 Kemudian sila maklumkan kepada: admin@aqsasyarif.org.my

Nak Baca Entri Lain? Klik Sini....