Tuesday, August 28, 2012

Ujian Allah : Sejauh Mana Keredhaan Kita?

Ujian Allah iaitu suatu perkara yang telah ditentukan oleh Allah SWT kepada sesiapa saja yang selagi dinamakan manusia (terutama orang-orang yang beriman kepada Allah), maka dia tidak akan sunyi dari dikenakan ujian, cabaran dan rintangan dari Allah SWT. Dalam kehidupan seharian ini, ujian Allah ini bergantung sejauh mana kecintaan kita terhadap yang Maha Pencipta.
Ada orang di uji dengan penyakit, ada yang terpaksa memelihara anak-anak yang cacat, ada yang suami penagih dadah, isteri yang ditinggalkan kerana perempuan lain, panas baran yang menyiksa isteri, malah ujian rumahtangga ini yang paling common sekali. Ada yang masih keci sudah diuji, dimana ibu bapa meninggal dunia, dirogol keluarga sendiri, diseksa ibu tiri dan macam-macam lagi di luar sana.
Andai dirimu di uji dengan kesusahan hidup, tetapkan hatimu dan bersangka baiklah (husnu dzon) pada Allah SWT. Itu tandanya Allah rindu untuk mendengar luahan bicaramu. Allah amat suka mendengar bisikan-bisikan hati yang rindu kasih sayangNya.
Sedang dirimu di uji, Allah sebenarnya ingin memeliharamu dari sejuta keburukan. Ingatlah orang-orang yang dikasihi Allah SWT. Setiap kesusahan itu akan diakhiri dengan kebaikan dan kemuliaan. Maka hendaklah engkau lapangkan dadamu dan bersyukur penuh redha agar kebaikan dunia akhirat itu menjadi penghuni hatimu. Moga kedukaan itu berganti dengan ketenangan, redha dan ikhlas dalam setiap apa yang berlaku lantaran husno dzonnya engkau pada ALLAH SWT.
Ayat 2 Surah al-Ankabut, yang bermaksud,
"Adakah manusia itu mengira, bahwa Kami akan membiarkan sahaja mereka berkata: Kami telah beriman, sedangkan mereka belum diuji oleh Allah swt."
Suatu peristiwa bilamana Saad bin Abi Waqash bertanya kepada Nabi saw, "Ya Rasulullah, siapakah manusia yang paling teruk kena uji?"...Lalu jawab Rasulullah saw, "Yang paling teruk kena uji ialah para nabi dan para rasul, kemudiannya golongan yang mengikut para nabi selepas zaman nabi (tabiin) dan kemudiannya golongan selepas tabiin yang mengikut para tabiin."
Allah s.w.t. berfirman "Tiadalah terjadi sesuatu bencana itu melainkan dengan kehendak Allah, dan siapa yang percaya kepada Allah nescaya dipimpin Allah hatinya" (Surah At-Taghabun:11)
Allah s.w.t. berfirman "Orang-orang yang beriman itu akan menjadi tenteram hati mereka. Ingatlah dengan mengingati Allah itu hati akan menjadi tenteram" (Surah Ar-Rad:28)
Oleh itu dengan mengenal diri, seseorang akan tahu dimana kelemahan dan kelebihan yang ada pada dirinya. Dia juga akan tahu, bagaimana untuk memperbaiki dan meningkatkan mutu ibadahnya kepada Allah SWT. Nabi SAW pernah  berkata "Sampaikan sesuatu, walaupun hanya dengan satu ayat"

Ruh Ramadhan

Ku rindukan suasana dan ruh Ramadhan....
Berusaha meneruskan apa yang dilakukan sewaktu bulan Ramadhan
teruskan berpuasa 6 Syawal, 
Puasa wajib ganti (utk orang perempuan laaa...hehe)
Puasa Isnin Kahmis
Membaca Al-Quran berserta terjemahan
Namun dugaan sangat hebat
Masih bercuti duduk rumah mengadap makanan 24 jam walaupun berpuasa sangat mencabar...
Rindukan suasana berbuka puasa beramai-ramai bersama kariah surau dan mesjid
rindukan suasana bersolat Terawikh di Mesjid Negeri SA
........
....Rindu berada di rumahMU Ya ALLAH ....


Saturday, August 25, 2012

Ipar

Hari Raya kedua kami berkunjung ke rumah kakak ipar di Parit Raja, Batu Pahat. Cuma ada keluarga Kak Yati, keluarga Nan (adik hubby) dan keluarga Kak Zai. Tidak dapat berjumpa keluarga Abang Adol (dari Mersing) dan keluarga Abang Anim (dari Melaka)

Selepas kedua-dua bapa mertua dan emak mertua sudah tiada, keriangan berhari raya di kampung suami sudah berkurangan... Namun, demi mengeratkan hubungan kekeluargaan di antara adik-beradik suami, kami berpakat untuk berkumpul di rumah kak Yati setiap hari Raya kedua atau ketiga. 
Alhamdulillah, kemudahan internet juga telah dapat menyambung tali silaturrahim antara anak-anak kami (antara sepupu) kerana mereka selalu dapat berhubung melalui FB ...

Friday, August 24, 2012

Wan dan Atok

Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah kerana masih lagi dapat menyambut Hari Raya pada tahun ini bersama-sama ayah dan ibu tersayang..

Thursday, August 23, 2012

Iftar terakhir dalam bulan Ramadhan 2012

Hari terakhir berpuasa, kami telah bertolak pulang ke kampungku di Kpg Rimba Terjun, Pontian , Johor.  Keluarga kakak juga telah pulang sehari lebih awal..keluarga abangku juga ada ..riuh sungguh rumah atok dan Wan.. dengan 17 orang cucu + seorang cucu menantu (anak sedara baru kahwin bulan June 2012) ..
Alhamdulillah, Ramadhan 2012 telah berlalu, dan sekali lagi kami dapat menyambutnya bersama mak dan abah tercinta...umur abah sudah 89 tahun...Wallahu'alam ... entah siapa yang akan pergi dahulu menemui Allah SWT hanyalah dalam pengetahuanNYA ..kali ini dapat bersama-sama anak sulung yang sudah pulang dari Jordan ...3 generasi : wan, atok, ummi dan kak long
 Di hujung meja adalah cucu menantu yg pertama, Ali
 Juadah berbuka  ...
Anak saudara sulung, Firdaus, belanja makan Red Lobster..

Tuesday, August 21, 2012

Lengkap

Alhamdulillah pada tahun ini kesemua anak-anak saya seramai 8 orang dapat bersama meraikan Hari Raya.
Ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan SELAMAT HARI RAYA MAAF ZAHIR BATIN kepasa semua sahabat di alam maya ini

Bersama my EIGHT IS ENOUGH

Saturday, August 18, 2012

Eid Mubarak

Eid Mubarak
SELAMAT HARI RAYA AIDIL FITRI

Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Eid mubarak / Selamat Hari Raya Aidil Fitri 
kepada semua pengunjung/pembaca blog ini , samada yang terdiri dari adik-beradik, anak saudara, emak&bapa saudara, sahabat handai , jiran tetangga, dan semua muslimin dan muslimat 
Semoga kedatangan Syawal ini membawa erti yang sebenarnya dalam diri kita semua iaitu menyambut kemenangan kita ALhamdulillah, Syukur dengan Izin Allah SWT dapat berpuasa sebulan Ramadhan...kemenangan kita berpuasa menahan lapar dan dahaga, dan bukan setakat itu sahaja tetapi berjaya menahan segala nafsu yang merosakkan diri kita ..
Semoga kemeriahan kita meraikan kemenangan ini tidaklah disambut dengan kadar yang berlebih-lebihan sehingga membazir pula dengan makanan yang sayup mata memandang (penuh meja!) ... sedangkan kita baharu sahaja mengajar badan dan diri kita menahan lapar dan dahaga, mengajar erti kesusahan , mengajar diri kita bersyukur dengan hidangan yang berpatutan, dengan kadar yang secukupnya sahaja.

Semoga kita dapat mendidik diri agar meneruskan amalan berpuasa selepas Ramadhan ini... banyakkan amalan berpuasa sunat Isnin Khamis, dan puasa sunat yang lain..Insyaallah, semoga apa yang kita lakukan semuanya adalah kerana Allah SWT...

Friday, August 17, 2012

Beratur

ALhamdulillah hampir 90% hari berbuka, kami berbuka samada di surau atau mesjid, kebanyakannya di Surau At-Taqwa di kawasan kejiranan.  Sekali berbuka di Mesjid Sultan Mizan Zainal Abidin@ Mesjid Besi, beberapa kali di Surau Mawaddah dan Surau Ar-Raiyan dan Mesjid Negeri Shah Alam.  Sahur selalunya di rumah, kecuali jika kami pergi Qiamulaill di Mesjid Negeri, maka kami akan terus bersahur di sana sehinggalah Solat Subuh..
Satu perkara yang saya perhatikan sifat orang-orang Malaysia (tak kiralah bangsa apa) - di sini ORANG ISLAM ...semasa beratur hendak mengambil makanan ...tidak kira tua atau muda ...walaupun dikatakan malaysia sudah maju, tetapi  mentaliti penduduknya masih lagi jauh ketinggalan .(nota: jarang berlaku di surau-surau kerana tidak ramai, tetapi di mesjid yang ramai orang)
Tidak lah semua, hanya segelintir sahaja, tetapi yang segelintir itulah yang kita nampak, kerana ianya berlaku ke atas diri saya sendiri ..namun saya tidak faham kenapa mereka perlu berebut2 atau memotong barisan  sedangkan makanan masih banyak tersedia..??
Walaubgmnpun .di bulan Ramadhan yang mulia ini, saya tidak mahu merosakkannya dgn perkara ini.., sudah lama saya maafkan mereka yang memotong barisan itu ...

Thursday, August 16, 2012

LailatulQadr

ALhamdulillah ..sepuluh malam terakhir Ramadhan telahpun berlalu sehingga malam 27Ramadhan ...tahun ini membawa kelainan pada diri ini....
Sejak tahun lepas, beriltizam hendak menghabiskan 10 malam terakhir di Mesjid Negeri Shah Alam... suasana di Mesjid Negeri sungguh menggalakkan sesiapa sahaja yang hendak beriktikaf di mesjid dan juga berTerawikh, berqiamulaill, mengaji Al-Quran dan bermunajat kepada Allah SWT  ...
Namun begitu ketentuan Allah bukanlah dalam pengetahuan kita... diri ini ABC (Allah beri Cuti) selepas 12 hari berpuasa.  Dalam hati berkira-kira, InsyaAllah boleh solat semula pada hari ke-20.  Tetapi, sehingga hari ke-22 masih lagi ABC... Disinilah menguji kekuatan iman dan kesabaran serta keredhaan kita...pasrah dengan perancangan Allah..masuk hari ke-23 baharulah diri ini boleh solat kembali...lalu saya terus mengikut suami ke Mesjid Negeri utk bersolat Terawikh dan berQiamulaill ...dan hari itu juga pihak Mesjid Negeri bersama kerajaan Negeri Selangor mengadakan program Munajat Perdana Peringkat Negeri Selangor (spt yang saya ceritakan dalam entri lepas) ..
Kali pertama (selepas 20 tahun tinggal di Shah Alam) saya melihat begitu ramai orang berada di Mesjid Negeri sehingga penuh dalam suatu masa.  Masing-masing mahu mencari malam Lailatul-Qadr, yang penting masing-masing tidak mahu melepaskan peluang untuk meraih BONUS yang hendak diberi oleh Allah SWT sepanjang malam-malam terakhir Ramadhan...
Tiada kemahuan untuk mengira berapa jeniskah kuih Raya bakal terhidang di atas meja kelak, tidak kisah samada sudah ada baju Raya atau tidak (pakai ajelah apa-apa baju yang terbaik yang kita ada di dalam almari baju itu),  tidak peduli sudah ada kasut Raya atau tidak... yang ada dalam diri ini hanyalah, hendak qhatam kan tadarrus Al-Quran keluarga kami ..hendak qiyamulaill setiap malam-malam terakhir ini...hendak berinfaq sebanyak termampu   ...InsyaAllah... Semoga Allah menerima dan mengampunkan dosa-dosa kami selama ini...

Hadis Sahih Muslim Jilid 2. Hadis Nombor 0736.

Dari 'Abdullah bin Mas'ad r.a., katanya: "Siapa yang melakukan solat malam sepanjang tahun nescaya dia bertemu dengan "Malam Qadar" Jawab Ubay, "Demi Allah! Malam itu sesungguhnya terdapat dalam bulan Ramadhan. Demi Allah! Aku tahu malam itu, di mana Rasulullah saw. menyuruh kami menegakkannya (beribadah pada malam itu), iaitu yang kedua puluh tujuh Ramadhan. Tanda-tandanya ialah, esok pagi matahari kelihatan putih tanpa sinar yang mencorot."
 
Hadis Sahih Muslim Jilid 2. Hadis Nombor 1136.
Dari Salim, dari bapanya r.a., katanya seorang lelaki bermimpi bahawa malam qadar terdapat pada malam kedua puluh tujuh bulan Ramadhan. Maka bersabda Nabi saw., "Aku bermimpi seperti mimpimu, iaitu pada sepuluh yang akhir. Kerana itu carilah dia pada malam-malam yang ganjil."
 



Sunday, August 12, 2012

Munajat Perdana Negeri Selangor

Balik dari Mesjid Besi di Putra Jaya, kami terus kemas-kemas dan tidur, kerana pagi dinihari hendak ke Mesjid Negeri Shah Alam pula ...ada program Munajat Perdana peringkat Negeri Selangor.
Sebenarnya bermula dari solat Terawikh lagi, kali ini pihak Mesjid menjemput imam dari Mesir.
Ramai yang beriktikaf di mesjid negeri, full house... masyaAllah...jika  lah amalan ini boleh dikekalkan sehingga bulan-bulan yang lain selepas Ramadhan, alangkah makmurnya mesjid ini... sentiasa dipenuhi umat Islam...Alhamdulillah..
Bermula pukul 3.30pg, imam memulakan solat-solat sunat: solat sunat tahajjud, solat sunat taubat, solat sunat hajat (dan solat sunat witir bagi mereka yang belum melakukannya pada sebelah malam) ...diselang-selikan dengan zikir-zikir munajat...
Tepat pukul 5.00 pg dimulakan dengan bersahur... kali ini bersahur dengan Nasi Lemak...saya yang kelaparan (kerana balik dari Mesjid Besi semalam tidak menjamah sebarang makanan) makan dengan berselera sekali..ALhamdulillah...rezeki Allah kurniakan..
saya jenguk ke sebelah tingkat bawah, masih banyak lagi bungkusan Nasi Lemak bersusun..
Ya Allah...jangan lah makanan-makanan itu nanti terbuang begitu sahaja ...adalah hamba Allah-hamba Allah yang akan datang mengambil dan memakannya... InsyAAllah... apabila melihat makanan yang terhidang banyak, terus diri teringat kepada saudara-saudara Islam kita di negara Palestin, yang terpaksa berjuang dengan senjata untuk mendapatkan sesuap makanan ...dan juga mereka yang berada di negara miskin yang lain, yang kebuluran dan hampir mati kerana tidak mendapat makanan, sedangkan kita di Malaysia ini ...berlimpah ruah makanan (sehingga ada yang kata, kita di Malaysia ini boleh mati sebab terlampau terlebih makan!) Ya Allah, jauhilah diriku daripada menjadi hambaMU yang tidak bersyukur ... 
 MasyaAllah..kuliah subuh yang FULL HOUSE! ibarat di Mesjidil haram sahaja...suasana seperti inilah yang menggamit diri ini agar selalu datang ke Mesjid Negeri... (daku rindukan Mesjidil Haram, Mesjid Nabawi...!!)
.
 Sebelum kuliah Subuh, sedikit ucapan dari Menteri Besar Selangor
 Ustaz Azhar Idrus, 
(sila abaikan tiang lampu tu... kedudukan saya memang terhalang dek tiang itu..tak dapat nak pindah dah sebab ramai orang ..dah penuh..tak apalah kan..)

Bak kata Ustaz Azhar Idrus semasa kuliah Subuh, selepas solat Subuh... kita janganlah menjadi hamba Allah yang TIDAK TAHU Bersyukur ...berapa banyak nikmat yang kita perolehi...yang jika kita nak kira setiap nikmat yang Allah berikan kpd kita dengan kalkulator, boleh jadi jam kalkulator itu! sebab tak boleh nak kira dah betapa banyakkkkkkk nya nikmat Allah kpd kita yang kita tidak sedari...kita take it for granted..
Apakah yang paling mudah kita lihat? Ust Idrus mengingatkan kita agar cuba imbas kembali nikmat bernafas yang Allah beri... cuba hembus nafas, tarik nafas... cuba bayangkan dan buat jika kita hanya boleh hembus nafas, tapi tak boleh tarik nafas, atau boleh tarik nafas tapi tak boleh hembus nafas.... sudah tentu kita tidak boleh bertahan lama...tetapi disebabkan perkara itu terlambau biasa bagi kita, kita hembus nafas dan tarik nafas tanpa kita sedari, sehinggakan kita LUPA hendak bersyukur / berterimakasih kepada Allah SWT...

Banyak lagi pesanan UAI semasa kuliah Subuh ini..InsyaAllah kita akan reflect di entri2 akan datang...

Mesjid Besi

Semalam En Hubby tidak kerja, oleh itu Alhamdulillah kami mempunyai lebih masa untuk berbuka di mesjid yang jauh sedikit dari rumah.  
Syukur Allah izinkan kami semua untuk berbuka puasa, bersolat berjemaah Maghrib, Isya' dan solat sunat Terawikh di Mesjid Sultan Mizan Zainal Abidin atau lebih dikenali sebagai Mesjid Besi, di Putra Jaya. Mesjid ini antara mesjid yang tercantik di Malaysia, dan lebih mesra alam. Kenapa dikatakan mesra alam? Kerana mesjid ini adalah mesjid yang banyak ruang terbuka dengan kolam-kolam air di sekeliling mesjid ini..oleh itu, TIADA air-cond dan kipas angin di syiling..cuma ada kipas berdiri saja di saf hadapan..

 Ada laman dan air pancut dalam mesjid
pemandangan dari sebelah luar
Kami sampai agak awal, dalam pukul 6.30ptg, orang pun belum ramai lagi,
 lalu kami sekeluarga duduk bertadarrus bersama-sama sehingga lah waktu berbuka tiba. Masing-masing diberi sepiring kuih yang mengandungi 3 biji kurma dan sepotong kuih..
 Selepas berbuka dengan kuih dan kurma, semua sama-sama solat berjemaah Maghrib. Selepas itu baharulah makan makanan yg berat sikit seperti nasi dan lauk.  Masing-masing beratur untuk mengambil makanan ...Alhamdulillah ..
 Ramai juga orang yang datang berbuka di mesjid ini..mungkin terdiri dari penduduk PutraJaya sendiri dan juga orang ramai dari tempat-tempat (seperti kami) begitu juga ramai yg terdiri dari bangsa Arab datang berbuka di sini

 sempat juga posing sekejap sebelum azan Isya' berkumandang...

 Kenangan berbuka di Mesjid Besi

 Pemandangan indah PutraJaya di waktu malam dari Mesjid Besi..
Alhamdulillah...suatu pengalaman baru bagi kami ...kami pulang selepas selesai solat sunat Terawikh berjemaah ..

Friday, August 10, 2012

Surau At-Taqwa

Kebanyakan malam yang lain, jika kami tidak ke surau-surau atau mesjid yang lain, kami akan berbuka puasa, bersolat maghrib berjemaah di Surau At-Taqwa yang berdekatan dengan rumah kami.
Alhamdulillah, selepas 20 hari berpuasa, kita akan kenali jemaah yang yang selalu berkunjung dan berbuka di surau yang sama...selain mematuhi syariat agama yang diwajibkan ke atas kita orang Islam, iaitu berpuasa sebulan Ramadhan,  amalan berbuka bersama-sama ini juga mengeratkan ukhuwwah sesama ahli kariah surau...walaupun antara kami tiada talian saudara, tetapi terasa rapat dan bagaikan adik-beradik.
 Berbuka dengan tamar, mee goreng dan kuih-muih (ini selalunya di bawa oleh akhawat)
 Ada budak kecik yang nak interframe,,hehe
Selepas solat Maghrib berjemaah , barulah kami makan makanan berat sikit ..selalunya nasi putih dan lauk-pauk...ada sekali-sekala nasi beriani dan nasi Arab ...makan pun ikut sunnah, makan dalam dulang, satu dulang dalam 4-5 orang.

Alhamdulillah...tetapi rasa sedih juga dalam masa seminggu ini sahaja kami akan dapat menikmati suasana begini... bulan Ramadhan sudah semakin hampir ke penghujungnya ...marilah kita sama-sama memperbanyakkan amalan-amalan di sepuluh malam terakhir ini...mari kita mmencari Lailatul-Qadr..
InsyaAllah

Majlis Khatam Al-Quran

Di bulan Ramadhan ini, kita adalah digalakkan membaca dan khatam Al-Quran demi meraih BONUS yang Allah janjikan kepada semua umat Islam...
Alhamdulillah, program tadarrus Al-Quran di fakulti telah berlangsung sebaik sahaja bulan Ramadhan menjelma, dan petang semalam satu majlis khatam Al-Quran telah diadakan untuk meraikan semua staf yang terlibat.


 Barisan staf lelaki
 Staf perempuan, lebih ramai dari lelaki
 setiap orang dapat bunga telur
 pembahagian sedikit juadah hasil masakan staf secara gotong-royong pada sebelah pagi
  Dr Harun, orang kuat majlis ni..:-)

Thursday, August 9, 2012

Ragut

Pagi Selasa dapat panggilan dari ibu di kampung.  Seperti biasa ingat itu adalah panggilan yang biasa ibu lakukan...tetapi apbila mendengar suara ibu, kelihatan cemas.  Ibu maklumkan bahawa beliau baharu sahaja diragut rantainya di hadapan rumah ibu di kampung. 
Terus tenteramkan ibu...tanya ibu ok tak? kerana yang penting saya risaukan keadaan ibu. Alhamdulillah ibu kata peragut tu hanya ragut ramtai ibu sahaja..tetapi tidak mengapa-apakan ibu. 
Ibu bercerita, " mula-mula orang tu buat-buat tanya tentang barang-barang construction yang ada di store Hairom (sepupu) yang terletak berdekatan di hadapan rumah.  Ibu pun menyuruh orang itu contact Hairom, tiba-tiba dia terus datang dekat ibu dan tarik rantai ibu yang tersangkut di leher... di tangannya sebenarnya memegang satu besi grill tu .. Alhamdulillah Syukur dia tidak memukul atau mengetuk kepala ibu..Alhamdulillah ..
Saya katakan kepada ibu, tak apalah mak, barang tu kita boleh cari danbeli, tapi nyawa mak yang paling penting. Alhamdulillah ..
Ibu sudahpun di bawa oleh Faizah anak saudara saya membuat laporan polis.

Apabila mendapat tahu berita ini, segera saya teringat peristiwa yang berlaku kepada saya sendiri 8 tahun lepas.  Walaupun sudah lama berlalu, tetapi apabila perkara yang serupa berlaku kepada emak saya, menggigil juga dibuatnya... trauma itu masih bersisa dalam diri ini.
Saya sendiri pernah diragut di hadapan rumah saya sendiri tatkala baru balik dari kerja...turun sahaja kereta terus 2 orang pemuda menaiki motosikal berhenti dan salah seorang memegang pisau besar (macam pisau potong daging tu) menerpa ke arah saya dan cuba menarik beg laptop saya... waktu itu laptop itu baharu sahaja saya beli sebulan umurnya dan mengandungi semua dokumen penting terutama yang berkaitan dengan research PhD saya ...saya peluk beg itu erat-erat di dada..waktu itu saya sudah pun terduduk terjatuh kerana tarik-menarik beg laptop tersebut... apabila pemuda itu tidak dapat beg laptop tu, dia terus tarik tali hand bag yang tergantung di bahu saya...dan dengan sepantas kilat memotong tali handbag tu dengan pisau di tangannya ... waktu itu saya sudah tidak berdaya hendak melawan, apatah lagi melihat pisau di tanganya ..biarlah dia ambil duit saya, asalkan jangan ambil nyawa saya...
Alhamdulillah. ..selepas dapat handbag saya, terus dia lari ke arah kawannya yang seorang lagi yang sedang menunggu di atas motor tersebut dan memecut pergi ...

Sehingga kini saya tidak berani hendak membawa duit cash banyak dalam handbag, kerana saya akan jadi phobia dan menggigil apabila mengenangkan peristiwa ini...


Monday, August 6, 2012

Surau Mawaddah

Alhamdulillah, hari ini kami berbuka di Surau Mawaddah, Seksyen 8, Shah Alam. 

 Meriah sungguh hari ini di surau Mawaddah kerana rupa-rupanya hari ini ada program di surau tersebut. Mereka menjemput anak-anak yatim dari 2 tempat di kawasan sekitar dan juga pelajar-pelajar Maahad Tahfiz.  
Alhamdulillah, semoga dimurahkan lagi rezeki mereka-mereka dari kariah ini.

(tak sempat nak snap gambar...)

IRIS 2012

IRIS - Ijtima' Ramadhan IKRAM Selangor
tempat: Mesjid Negeri Shah Alam

Bermula pagi semalam jam 9pg hingga 9:00pagi ini..
Forum, Ceramah, Iftar, Qiyam dan sahur 
di antara penceramah yang hadir: Ustaz Dr Danial Zainal Abidin program Tanyalah Ustaz - 5/8/12) , Ustaz Abd Basit Abdul Rahman (program Tanyalah Ustaz - 6/8/12) 

Alhamdulillah satu pengisian rohani yang sangat padat di hujung minggu dan sempena cuti Nuzul Al-Quran ...
 

Iftar Keluarga kumpulan Usrah

Alhamdulillah semalam kami iftar bersama-sama keluarga kumpulan usrah kami, di rumah Anizah di Seksyen 8. Hari Isnin Anizah sekeluarga pula akan bertolak ke Makkah kerana mengerjakan umrah sehinggalah menyambut Hari Raya Aidil Fitri di sana.
1/2 jam sebelum berbuka puasa, kami adakan sedikit Tazkirah, diberikan oleh suami Jamilah.  (di sebelah kiri sekali dalam gambar)
 Masing-masing khusyuk mendengar tazkirah (kaum bapa dan anak bujang)
 kaum ibu dan anak dara..
 lagi kaum ibu dan anak dara..

Selepas habis tazkirah, kami terus berbuka dgn tamar dan bubur lambuk Kpg Baru...selepas itu kami solat Maghrib berjemaah ...selepas solat barulah kami berbuka dengan juadah pot luck ..masing2 bawa serba sedikit ...Alhamdulillah ...
 nak makan lauk apa? daging masak kicap, Ikan Siakap steam, Ikan Bawal masak 3 rasa, pecal, salad Arab, Ayam masak kari dll ... Alhamdulillah
 Salad Arab ...dibuat oleh Mak Arab Jordan
 Masing-masing mengambil tempat sambil makan dan beramah mesra ...

Alhamdulillah ... dapat berkumpul semasa iftar di bulan Ramadhan yang mulia ini..kami bagaikan satu keluarga besar...walaupun diantara kami tiada talian darah, tetapi ikatan ukhuwwah sesama Islam itu lah yang terbaik ..

Saturday, August 4, 2012

SEPINTAR

Alhamdulillah , semalam kami berbuka di Sekolah Berasrama Penuh Integrasi SBPI) Rawang,  atau lebih dikenali sebagai SEPINTAR sempena Iftar Jamai'e di sekolah Wafa'.  Ibu-bapa dijemput sama, untuk sama-sama bersolat Hajat utk anak-anak yang akan menghadapi peperiksaan PMR dan SPM.

 Kami sampai agak awal tetapi tempat di dalam surau sudah penuh, jadi kami tunggu di bangku dan kerusi yang ada di belakang surau
 Selepas berbuka dengan tamar dan air, kami solat maghrib dahulu. dalam surau sudah penuh, di bawah khemah yang disediakan juga sudah penuh ..
Selepas solat , pelajar dan ibu bapa tingkatan 3 dan 5 beredar ke Dewan besar sekolah ... manakala ibu bapa dan pelajar tingkatan lain makan di tempat lain ..

Friday, August 3, 2012

Tidak wajib jawab salam

Tidak wajib jawab salam ?
Dalam rancangan "Pesan Atok" pagi ini di TV9, Ustaz Hassan Din Al-Hafiz, mengatakan bahawa para ulama' berkata terdapat 4 situasi di mana kita tidak wajib menjawab salam yang diberikan.

1. Jika orang yang memberi salam itu ada orang bukan Islam.

2. Orang yang dalam solat berjemaah.

3. Salam yang diberikan semasa ucapan, apabila salam itu diucapkan SELEPAS ucapan diberikan.  Maksudnya penceramah itu mendahulukan UCAPAN daripada SALAM. maka salam itu tidak perlu di jawab. Tetapi apabila penceramah itu memberi salam terlebih dahulu, maka wajib di jawab salamnya itu.

4. Orang yang mengucapkan salam secara main-main atau mempermainkan salam.

Puasa Ramadhan & Sya'ban

Hadis Sahih Muslim Jilid 2. Hadis Nombor 1125.

Dari 'Aisyah,Ummul Mukminin r.a., katanya: "Rasulullah saw. sering puasa sehinga kami mengira bahawa beliau akan puasa seterusnya. Dan beliau sering berbuka sehingga kami mengira beliau akan berbuka terus. Dan aku tidak pernah melihat beliau puasa terus sebulan penuh kecuali bulan Ramadhan. Dan aku juga tidak pernah melihat beliau puasa sunat dalam sebulan yang lebih banyak daripada puasanya di bulan Sya'ban."

Hadis Sahih Muslim Jilid 2. Hadis Nombor 1118.

Dari Abu Hurairah r.a., katanya Rasulullah saw. bersabda : "Setiap amal anak Adam dilipatgandakan pahalanya. Satu macam kebaikan diberi pahala sepuluh sampai tujuh ratus kali. Allah Azza wa Jalla berfirman: "Selain puasa kerana puasa itu untuk-Ku. Aku akan memberi pahala bagi orang yang puasa, kerana dia meninggalkan nafsu syahwat dan nafsu makannya keranaKu, Dan bagi orang yang puasa ada dua macam kegembiraan: pertama ketika dia berbuka dan kedua ketika dia bertemu dengan Tuhannya. Sesungguhnya bau mulut orang puasa lebih harum di sisi Allah daripada bau kasturi."

Thursday, August 2, 2012

ABC

ABC - ia suatu istilah yang diguna oleh anak-anak di sekolah mereka.  Pada mulanya saya termanggu-manggu ketika anak bongsu mengatakan ummi ABC..(ingatkan Air Batu Campur ke...mana ada orang jual ABC siang hari bulan Ramadhan ni..) .petang tadi sewaktu balik dari kerja , confirm ummi ABC...saya pun ambil air segelas dan minum..tiba-tiba Hana ternampak dan berkata..."ummi ABC ya...?"  saya pun menganggukkan kepala...
Apa itu ABC?  Allah Bagi Cuti ...
(bagi orang perempuan aje ye...orang lelaki jangan memandai nak cuti-cuti pulak masa Ramadhan ini! hehe)

Reaksi pertama kita, "alaaaa...tak dapat gi solat Terawikh malam ni" barangkali terdetik juga, "terpaksalah tangguh tadarus bersama keluarga..tak dapat baca Al-Quran juga..." barangkali terdetik juga, bahawa pahala puasa kita akan berkurang kerana tidak dapat solat sunat Terawikh dan mengaji Al-Quran, dll....

...Ya Allah...ampunkan dosa-dosa hambaMu yang dhaif ini... berkata begtu ibarat kita mempersoalkan ketentuan Allah SWT ..Ya Allah, Ya Allah Ya Allah ..ampunkan dosaku Ya Allah ...

Teringat pesanan Ustazah Kamariah sewaktu menghadiri Tamrin Ramadhan anjuran akhawat IKRAM Shah Alam minggu lepas, beliau berkata (ringkasannya)
"kita orang perempuan ni, jangan lekas merungut atau mengeluh apabila tidak boleh solat atau mengaji semasa di bulan Ramadhan ini." mungkin kita rasa, tak dapat lah hendak meraih BONUS Ramadhan dengan solat Terawikh dan bertadarrus Al-Quran.. sedangkan pahala yang Allah beri kepada orang perempuan itu lebih banyak lagi dengan melakukan perkara yang lain... sepatutnya masa ini ambillah peluang dengan membaca terjemahan dan tafsir Al-Quran, mungkin masa yang kita ambil membaca terjemahan Al-Quran lebih cepat dari masa yang kita ambil untuk membaca dalam bahasa Arab... malahan itu adalah lebih baik kerana kita faham maksud perkataan dan ayat di dalam Al-Quran, maka lebih faham lagi..apabila kita faham maksud ayat-ayat yang kita baca, maka lebih penghayatan dan meresap ke dalam hati sanubari kita...


hadith Nabi S.A.W. yang bermaksud:


Daripada Zaid bin Khalid al-Juhhani r.a,. daripada Nabi SAW sabdanya, 
“Sesiapa yang memberi makan (berbuka) kepada orang yang berpuasa, ia akan mendapat pahala seperti orang yang berpuasa itu dan pahala orang yang berpuasa itu tidak berkurangan walau sedikitpun”.
(Riwayat At-Tirmidzi)

Jadi dengan memberi makan (walaupun sebiji tamar) dapat memberikan pahala puasa bagi wanita yang tidak boleh berpuasa... kita boleh ambil peluang dengan memberi makan /memasak bagi mereka yg berpuasa, juga dapat memberikan kita pahala..InsyaAllah.

Berikan sumbangan terbaik anda! Teruskan menyumbang ke Tabung Aqsa2Gaza Emergency Relief sekarang!!! Akaun Maybank Islamic: 5515 7500 4299 Akaun Bank islam : 12 092 01 003490 4 Kemudian sila maklumkan kepada: admin@aqsasyarif.org.my

Nak Baca Entri Lain? Klik Sini....