Friday, January 23, 2009

Confident

Ini kisah Hana'. Pertama kali selepas masuk ke sekolah darjah satu, semalam Hana' kena balik seorang (naik bas lah)...Kedua-dua orang abang Hana', iaitu Mu'adz dan Zubair kena stay-back kat sekolah sebab ada program ko-kurikulum... suspen juga ummi dia nih..

Ummi: "Hana' nanti balik Hana' balik seorang tau, abang Muadz dan abg Zubair balik lambat"
Hana' : "Hana dah tau, abang dah cakap tadi"
Ummi : "okay ke? Hana' tak nangis ke? "
Hana' : "taklah.." (menjawab dengan confident)
Ummi: "okay..nanti dah habis sekolah, Hana' terus pergi beratur kat tempat tunggu bas tau. Jangan merayau-rayau kat sekolah tu atau pergi kantin, nanti tak nampak bas dah datang. Nanti kena tinggal bas pulak" (bersungguh-sungguh ummi pesan)
Hana' : "ya..ya...Hana' tau..."

so, semasa bas datang, aku pun berpesan kepada pakcik bas tu, mintak tolong tengokkan si Hana' nih semasa balik nanti...risau juga kot pakcik bas tu tak perasankan dia. Al-maklumlah Hana' ni kecik sangat, bas tu pulak besar... bila naik bas tu rasa tak nampak pun dia...hehehe...

Sebelum pergi mengajar, aku berpesan kepada bibik,

Ummi: "bibik, pukul 3:30ptg nanti tunggu Hana' balik kat depan gate tu"
Bibik : "ok"
Ummi : " bik, tunggu Hana' turun bas tau..takut jatuh nanti.. dah lah tangga bas tu tinggi, si Hana' tu kecik, bawa beg sekolah lagik ..." (heee..risau betul ummi dia nih!)

Bila petang aku bertanya kepada Hana' :

Ummi: "Hana' tadi balik sekolah ok..? Tak nangis? "
Hana' menjawab dengan gaya yang meyakinkan: "Ummi...Hana' kan dah besar...(ewahhh)... buat apa nak nangis...kat dalam bas tu ramai lagi kawan Hana' yang lain.."

....begitulah ceritanya...dah besar rupanya anak bongsuku ini......

Tuesday, January 20, 2009

Jalinan Ukhwah

ALhamdulillah pada hari Ahad yang lalu, satu pertemuan antara bloggers telah selamat diadakan di sebuah premis restoren di Shah Alam...
Pada mulanya hati seperti berbelah-bahagi samada hendak pergi atau tidak kerana segan/malu yang teramat sangat. Ini adalah kerana diriku hanya mengenali seorang sahaja blogger yang akan hadir...yang lainnya memang tidak pernah pun masuk atau tinggalkan jejak di blog mereka. Namun akhirnya setelah mendapat keizinan dari hubby, maka bertolaklah daku dengan anak daraku, Wafa'. Bukan jauh sangatpun, cuma di sebelah museum negeri Shah Alam,di belakang Mesjid Negeri.
Kami sampai agak lewat, pB, kak Wear@Alex Lacey, Intan, Yan bersama anak-anak masing-masing sudahpun sampai. Pada mulanya agak kekok juga kerana malu, tapi lama-kelamaan masing-masing rancak berbual sambil menjamu selera...selepas beberapa ketika Ina @wss79 pula muncul dengan baby comelnya.........
Alhamdulillah akhirnya satu lagi jalinan ukhuwah yang bermula di alam cyber terjalin .....

Kepada pB: Terimakasih kerana berusaha menjadikan pertemuan ini satu kenyataan....

kepada Kak Wear@Alex Lacey : Lepas ni bolehlah selalu berbincang kerana bidang pekerjaan yang sama (kak Wear yang sebenarnya lebih muda dari saya)

kepada Intan: Nice knowing you ..lepas ni boleh selalu gi makan coklat...hehehe

kepada Yan : Insyaallah bertemu lagi di alam Cyber untuk berkenalan lebih lanjut...

kepada Ina@wss79 : Seorang yang peramah. Macam pernah jumpa somewhere else, masih lagi dok fikir kat mana ya...atau muka Ina sama seperti seseorang yang saya kenali...your baby is so cute....macam emaknya........juga bekerja dalam bidang yang sama dengan saya....


(duduk atas kerusi, dari kiri): Wafa', Nurazzah8, Alex Lacey, pB, Yan, Intan dan Ina
(gambar ni di ambil dari blog pB~camera saya dah habis bateri...
tak sempat nak tangkap banyak gambar)

Monday, January 19, 2009

Firman Allah SWT Mengenai Yahudi



Surah AnNisaa'. Ayat 046.

Di antara orang-orang Yahudi itu ada yang mengubah perkataan-perkataan dari tempatnya, sambil mengatakan: "Kami dengar, tetapi tidak kami turuti, dan dengarlah dengan tidak didengarkan dan Raaina (peliharalah kami)"; mereka memutar-mutar (perkataan) dengan lidahnya dan mencela agama. Dan kalau mereka mengatakan: "Kami dengar dan kami turut, dan dengarkanlah dan perhatikanlah kami", sesungguhnya itulah yang lebih baik dan lebih betul untuk mereka. Tetapi Allah mengutuki mereka kerana kekafirannya. Hanya sedikit saja mereka beriman.

Surah AlBaqarah. Ayat 120.

Orang Yahudi tidak akan senang kepada engkau, begitupun orang Kristian, hanyalah jika engkau mengikut agama mereka. Katakan: Sesungguhnya pimpinan Allah itulah pimpinan yang benar, dan kalau engkau turut kemahuan mereka, sesudah pengetahuan datang kepadamu, tentulah Allah tidak lagi menjadi Pelindung dan Penolong bagimu.

Sumber: http://www.tmsk.uitm.edu.my/~ir/sumberutama.php

Saturday, January 17, 2009

Hadis berkenaan Yahudi

Hadis Sahih Bukhari Jilid 3. Hadis Nombor 1326.
Dari Abu Hurairah r.a., dari Nabi s.a.w., beliau bersabda: "Sebelum kiamat terjadi kamu akan memerangi orang Yahudi, sampai sebuah batu di mana orang Yahudi bersembunyi di baliknya, berkata: "Hai orang Islam! Inilah orang Yahudi di balikku! Bunuhlah dia!"

Hadis Sahih Bukhari Jilid 4. Hadis Nombor 1822.
Dari Abdullah bin Umar r.a. sesungguhnya dia mengatakan, bahawa ada beberapa orang Yahudi datang kepada Rasulullah saw. Mereka memberitakan kepada beliau tentang seorang laki-laki dan seorang perempuan melakukan perzinaan. Lalu Rasulullah saw. menanyakan kepada mereka: "Apakah yang kamu dapati dalam Taurat tentang soal rejam?" Mereka menjawab: "Orang berzina itu kami beri malu dan dipukul." Kata Abdullah bin Salam (kepada orang Yahudi): "Kamu dusta! Dalam Taurat ada hukuman rejam." Lalu mereka kemukakan Kitab Taurat dan dibuka. Ada seorang di antara mereka meletakkan tangannya untuk menutup ayat rejam itu dan dibacanya hanya yang sebelum dan yang sesudah ayat rejam itu. Lalu Abdullah bin Salam menyuruh orang itu mengangkat tangannya dan kebetulan di situ ada ayat berkenaan dengan rejam. Orang Yahudi tadi berkata: "Benar dia, Ya Muhammad! Di situ ada ayat tentang hukuman rejam." Rasulullah memerintahkan supaya kedua orang yang berzina itu direjam. Saya melihat laki-laki melindungi perempuan supaya jangan kena batu.

Sumber: http://www.tmsk.uitm.edu.my/~ir/webhadis

Wednesday, January 14, 2009

A Good Samaritan 2

Tengahari tadi aku balik ke rumah untuk makan tengahari.

Masuk saja rumah terus bibik cakap, "Ibu, tadi ada orang teksi pulangkan dompet Zaid!!"

Terus saja terlontar di bibir ku, "Syukur Alhamdulillah....!!"

Bibik berkata lagi, "Orang tu orang India, besar tinggi pakai rantai emas dan gelang emas, tapi pakai baju macam orang pergi kerja, kemas saja" Ialah pemandu teksi kan sekarang kena pakai uniform.

"Dia kata jumpa dompet tu dalam teksi dia, dua hari lepas, tapi dia tak tahu samada ada duit ke tidak, dia cuma bukak untuk tengok kad pengenalan dan alamat atau nombor telefon ke. tapi tak jumpa nombor telefon, tu yang dia datang hantar ke alamat rumah ni", kata bibik lagi.

Seorang lagi pemandu teksi yang berhati mulia ...sayangnya aku tidak dapat berjumpa dengan dia kerana dia datang sewaktu aku kerja, Zaid juga tiada di rumah kerana menghadiri kelas. Pemandu itu juga tidak meninggalkan sebarang pengenalan diri dan nombor telefon untuk dihubungi. (aku tidak salahkan bibik kerana manalah dia tahu nak mintak nombor orang tuh)

Masih ingat kisah A Good Samaritan yang aku tulis 2 bulan lalu? mengenai dompet Ammar (anak ke-3) yang juga hilang namun dipulangkan oleh seorang pemandu teksi juga.....

Pada hari Ahad yang baru lalu, Zaid (anak ke-2) berkata, "Ummi, dompet Zaid hilang semalam."

Berderau darah mendengar, lagi sekali peristiwa yang sama berlaku...lalu aku bertanya, "hilang di mana? Bgmn boleh hilang? Zaid tak perasan ke?" bertalu-talu soalan aku ajukan kepada Zaid. Manakan tidak, aku tahu dalam dompet Zaid terdapat pelbagai kad (hsshhh..!!! ummi dia ni selalu buat spot check dalam beg/dompet anak-anak!!) duit tak adalah banyak sangat...selalunya ada dalam RM20-RM30 sahaja. Yang aku tahu ada kad ATM CIMB, kad pelajar UiTM, kad pengenalan, kad lesen memandu, kad Sports Planet(ni tempat dia selalu main futsal) dll...
Tiba-tiba teringat...beberapa hari lepas ada beri Zaid duit RM100 untuk dia beli kasut sebab kasut yang selalu dia pakai pergi kelas dah berlubang....

"Zaid dah beli ke kasut? kan ummi ada bagi duit hari tu?" tanya ku.

"belum ummi, tak sempat lagi nak pergi" jawab Zaid.

"Habis tu duit tu ada dalam wallet tu lah?" tanyaku lagi.

"Haah", perlahan saja Zaid menjawab.

"Hurm...tak ada lah rezeki Zaid...tentu duit tu dah hilang juga.." terus aku berkata.

Zaid hanya diam sahaja. Sebenarnya aku tidak kisah sangat duit tu, tetapi mengenangkan kad-kad yang hilang itu, banyaknya kerenah yang perlu dilalui.

"Zaid dah pergi buat report polis semalam juga", Zaid berkata lagi tanpa perlu aku bertanya lebih lanjut.

"Dah call bank? tu kad ATM tu nanti orang keluarkan duit Zaid. Eh! biasiswa dah dapat belum?" terus aku bertanya bila teringatkan tentang biasiswa Zaid.

"Biasiswa belum masuk lagi. dalam akaun tinggal RM100 lebih aje lagi" jawab Zaid.

"Eh...seratus lebih pun duit juga...cepat telefon bank." arah ku kpd Zaid.

"hari ni kan Ahad, bank mana bukak" kata Zaid lagi.

"Eh...kes ni emergency...kita boleh call emergency number... 24 hours... cepat cari dalam internet tu apa nombor bank" arahku lagi.

Ringkaskan cerita selesailah urusan dengan bank. Alhamdulillah sesiapa yang mengambil dompet itu tidak dapat keluarkan duit dari akaun Zaid. Urusan selanjutnya Zaid kena uruskan sendiri...diakan dah besar. Biar dia bertanggungjawab sendiri.

Kembali kepada hari ini, bila tanya Zaid, dia berkata pada hari kehilangan dompet tersebut, dia tidak naik sebarang teksi pun. Dia menemani seorang kawan ke bengkel kereta di Seksyen 25, kemudian pergi minum di sebuah warung...bila nak bayar tengok dompet dah tak ada.

Aku mengagak orang yang mengambil dompet itu mesti sudah ambil duit RM100 tersebut dan meninggalkan yang lain nya di dalam teksi tersebut.

Apapun, kami sangat bersyukur kepada Allah SWT kerana dompet tersebut selamat dikembalikan. Alhamdulillah Zaid tidak perlu lagi berurusan dengan JPN, JPJ dan UiTM sendiri untuk membuat kad baru. Akhirnya aku arahkan Zaid, "Zaid...kena buat sujud syukur ni..."

Monday, January 12, 2009

Kuliah Maghrib

Malam semalam kuliah Maghrib di surau taman perumahan ku, Surau At-Taqwa, telah menjemput Ustaz Farid Ravi untuk memberi sedikit tazkirah. Rasanya ramai yang kenal siapa Ustaz Farid Ravi, beliau ialah seorang ustaz yang selalu memberi ceramah atau mengendalikan program-program di kaca TV (contohnya Quran Interaktif - TV9), Forum Perdana TV1, dan lain-lain. Selain memberi ceramah kerjaya tetap beliau ialah sebagai seorang pensyarah di Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS) yang terletak di Bangi...

Kali pertama saya mendengar ceramah beliau ialah semasa menghadiri Kursus Haji Perdana di Mesjid Negeri Shah Alam, sebelum saya dan suami menunaikan ibadah haji pada tahun 2007. Masih saya ingat betapa berkesannya ceramah yang beliau sampaikan menusuk di sanubari sehinggakan walaupun ceramah tersebut diadakan pada malam hari dan selesai hampir lewat malam, saya tidak dibuai rasa mengantuk walau sesaat pun...Alhamdulillah..

Untuk pengetahuan mereka yang belum mengenali Ustaz Farid Ravi, ustaz ialah seorang muallaf, iaitu beliau hanya memeluk Islam pada umur 18 tahun (mengikut cerita beliau sebenarnya beliau hendak memeluk Islam pada umur 16 tahun lagi, tetapi apabila pergi ke pejabat PERKIM, telah diberitahu bahawa beliau masih di bawah umur), lalu secara rasminya beliau telah memeluk Islam pada umur 18 tahun...

Ustaz Farid Ravi Abdullah pada zaman persekolahannya mempunyai ramai kawan orang melayu. Dari situlah dia mula mengetahui tentang Islam iaitu puasa dan sembahyang 5 waktu.

Kisah nabi Ibrahim memecah berhala-berhala kecil merupakan kisah nabi yang membuka mindanya tentang agama dulunya yang banyak menyembah patung dan berhala. Baginya patung dan berhala yang disembah sebagai Tuhan sebagai sesuatu yang tidak boleh diterima oleh mereka yang mahu berfikir iaitu menyembah sesuatu yang tidak hidup,tidak mendengar dan melihat.
Pada akhirnya kisah nabi Ibrahim bagaimana nabi Ibrahim ditangkap oleh pengawal Raja Namrud kerana didapati memecah berhala.
Baginda dijatuhi hukuman mati iaitu dibakar tapi dengan sifat Allah yang maha besar maka api yang membakar tubuh nabi Ibrahim menjadi sejuk disitulah terbitnya satu kebenaran.

Beliau seorang berbangsa India, kulitnya memang hitam tetapi wajahnya cukup "bersih" dan tampan. Tutur katanya sangat teratur dan lancar tidak kira samada beliau berbahasa Melayu atau Arab, sehinggakan jika kita hanya mendengar tanpa melihat muka beliau, kita boleh katakan bahawa beliau berbangsa Melayu...ayat-ayat Al-Quran berserta terjemahan lengkap bagaikan air keluar dari mulut beliau...MasyaAllah...SubhanAllah...hinggakan terasa malu kita yang sememangnya dilahirkan dalam Islam berbanding beliau yang hanya baru memeluk Islam beberapa tahun sahaja, tetapi kita sejak kecil dahulu hanya pandai mengaji, tetapi kita tidak menghayati maksud-maksud ayat Al-Quran yang kita baca, kita hanya pentingkan tajwid dan lagu(tarranum) sahaja .... sungguh sedih... dan itulah yang beliau beritahu ... semasa beliau menjadi hakim Musabaqah Al-Quran peringkat antarabangsa, semasa qari dan qariah Malaysia membaca..salah seorang hakim (ulama' Arab terkenal) telah menangis...lalu beliau bertanya mengapa? ulama' tersebut berkata, beliau bersedih kerana qari/ah Malaysia memang sangat pandai mengaji, semua bagus, tajwid, tarranum etc... tetapi tidak faham maksud ayat yang di baca...

Dalam kuliah beliau malam semalam, beliau menerangkan tentang betapa pentingnya kesempurnaan iman ..... berapa ramai daripada kita solat, tetapi adakah solat kita itu sempurna? berapa ramai daripada kita mengaji, tetapi adakah kita mengaji dengan SEMPURNA? berapa ramai daripada kita berpuasa, tetapi adakah puasa kita sempurna? Dari segi zahirnya memang kelihatan kita telah selesai solat, tetapi adakah solat kita sempurna? Solat kita tidak akan sempurna jika semasa solat ada unsur-unsur lain yang memesongkan tumpuan solat kita. Kita tidak khusyuk... ... lalu jadilah solat kita berlubang-lubang.... Beliau juga mengupas tentang persoalan iman dan taqwa. Pengertian iman iaitu kepercayaan yang dilafazkan dengan lisan, dibenarkan oleh hati dan diterjemah/dilaksanakan dengan perbuatan. Begitu juga dengan makna TAQWA itu sendiri...

Kesimpulannya, keseluruhan isi ceramah beliau sangat bermakna bagi setiap insan yang mengaku Islam agar kembali menghayati perkara asas , iaitu iman dan taqwa. Yang paling penting, apa sahaja yang kita baca, hendak lah kita fahami maksudnya...baharulah kita dapat menghayati setiap ibadah yang kita lakukan...InsyaAllah...

Thursday, January 8, 2009

Apakah Perasaan Anda?

Apakah Perasaan Anda?

MENYAYAT HATI..!!! Mayat seorang kanak-kanak perempuan yang hanya
nampak kepala ditemui di bawah runtuhan rumahnya yang musnah

akibat serangan tentera Zionis di Gaza

Seorang bapa meratapi kematian anak-anak beliau dalam
serangan tentera Israel Laknatullah! (gambar dari Utusan Malaysia)


RAPAT UMUM SELAMATKAN GAZA

Marilah kita Beramai-ramai ke sini....dan jangan lupa membawa bersama anda apa sahaja yang boleh disumbangkan...
Apalagi yang kita boleh boleh lakukan selain memberi bantuan kewangan... kerana jika anda di tawarkan tiket penerbangan percuma ke Palestin SEKARANG sebagai seorang Islam untuk memperjuangkan agamanya dan saudara seIslam kita, adakah anda sanggup pergi??? Tanyalah diri anda sendiri.....


Rakyat Malaysia di jemput hadir dalam Rapat Umum Selamatkan Gaza bagi menyatakan sokongan terhadap rakyat Palestin di Gaza dan mengutuk kezaliman yang dilakukan olah rejim Zionis ke atas mereka.

Anjuran: Aman Palestin (sebuah pertubuhan NGO)
Tarikh: 10 Januari 2009m/13 Muharram 1430h
Masa: 10 pagi hingga 12 tengahari.
Tempat: Stadium Melawati, Shah Alam (depan TESCO)

Objektif:
1- Menyatakan kebersamaan rakyat Malaysia dalam menghadapi penderitaan yang dialami oleh rakyat Palestin di Gaza.
2- Memberi sokongan dan kepedulian rakyat Malaysia terhadap saudara mereka di Gaza.
3- Megutuk kezaliman yang dilakukan oleh rejim Zionis Yahudi ke atas rakyat Palestin di Gaza.

Aktiviti: Tayangan multimedia, deklamasi sajak, perasmian kempen Selamatkan Gaza, ucapan khas isu Gaza, doa dan lain-lain.

Tuesday, January 6, 2009

Tudung Comel

Anak bongsuku Hana' memang sejak kecil tidak tahan panas, sentiasa hendak tidur dalam bilik berhawa dingin. Kadang-kala apabila sudah dinihari dan suhu menjadi terlalu sejuk, aku akan tutup hawa-dingin tersebut. Sekejapan Hana' akan terjaga dan menangis, meminta hawa-dingin di pasang semula. Begitulah Hana' sejak kecil, dan apabila balik ke kampung juga meminta tidur di bilik berhawa-dingin, tetapi manakan dapat kupenuhi kerana rumah atuk di kampung tiada hawa-dingin. Berjaya memujuknya kerana di kampung, cuaca menjadi sejuk di malam hari kerana banyaknya pokok disekeliling rumah atuk dan dinding rumah diperbuat daripada papan dan mempunyai lubang-lubang udara di dinding.

Kami berusaha menjadikan Hana' seorang anak yang solehah. Sejak kecil kami sentiasa mengingatkan tentang aurat dan bertudung (walaupun kami tahu Hana masih kecil dan belum wajib menutup aurat kerana belum baligh)... Hana' faham tetapi sehinggalah ke sekolah tadika Nuh's Ark Montessorri Islamic School, Hana' hanya bertudung ketika ke sekolah sahaja...malah menurut bibik semasa diambil dari sekolah tadika, keluar sahaja dari kawasan sekolah Hana' akan terus membuka tudung, kerana 'panas' katanya. Memang tudung Hana' habis lembab dibasahi peluh. Lalu aku mengingatkan Hana apabila dia ke sekolah darjah 1 nanti mesti pakai tudung sampai balik (pukul 3 ptg) dan tak boleh buka tudung di sekolah...Hana' hanya diam sahaja...

Suatu hari rakan blogger ku SilverSarina telah menulis mengenai "tudung comel". Sememangnya aku telah menyedari sejak beberapa entri yang ditulis yang disertakan dengan gambar anak beliau Mimi yang kelihatan sungguh comel bertudung pelbagai warna.... lalu aku mendapat idea...mungkin bagus jika aku tunjukkan kepada anakku Hana'... lalu bila ada masa lapang aku pun membuka blog silversarina dan menunjukkan gambar2 Mimi memakai tudung comel... sambil itu berkata, "cantikkan Mimi pakai tudung, tutup aurat.... Mimi pun sebaya Hana' 6 tahun, tahun depan nak sekolah darjah 1, kalau Hana' pun pakai tudung macam Mimi mesti cantik dan comel..." .... sambil melihat gambar Mimi.... Hana' menganggukkan kepala...
terus Hana' berkata, " okay lah ummi...Hana' pun nak pakai tudung macam Mimi, tapi ummi mesti beli tudung yang sama macam Mimi pakai tu..."
"Alamak..." dalam hati berkata...bgmn hendak ku cari tudung yang sama dengan Mimi....lalu dalam komen entri silversarina, aku menulis komen memohon beliau membelikannya di Kemaman kerana menurut beliau di sana banyak dan murah... tidak sampai beberapa jam aku telah mendapat sms dari silversarina mengatakan bahawa beliau telah pun pergi membeli beberapa helai tudung untuk Hana' dan akan mengirimkannya secepat mungkin.
bungkusan kiriman dari auntie silversarina

Dengan itu minggu lepas, Hana' telah mendapat kiriman di atas, yang mengandungi 2 bungkusan di bawah:

Apabila di buka, .....
"Thank You auntie Silversarina" ucap Hana' ...
kerana auntie silversarina menghadiahkan tudung2 tersebut
kepada Hana' tanpa perlu aku membayarnya....



terdapat 6 helai tudung comel berbagai warna untuk Hana'.....dan terdapat 2 helai yang sama warna dengan baju yang sedia ada. Yang lain nampak gaya kena belilah pulak baju warna sama tudung, kerana dia hendak pakai tudung yang 'matching' warna baju sahaja...hehehe...macam orang besar jugak...pakai tudung hendak matching dengan baju!



Sunday, January 4, 2009

Hari Terakhir Cuti Persekolahan 2008

Hari ini Ahad 4 hb Jan 2009 ialah hari terakhir cuti persekolahan sebelum penggal baru sesi 2009 bermula esok di negeri-negeri yang hari persekolahan ialah hari Isnin.
Pukul 10 pagi mula bertolak ke Jeram, Selangor untuk menghantar anak ke-3 ku Ammar balik semula ke asrama SMI Hira'. Alhamdulillah Ammar sudah pun selamat 2 tahun menjalani kursus tahfiz di Maahad Tahfiz Al-Quran Hira' dan 2 minggu sudah telah menerima sijil tamat pelajaran tahfiz. Alhamdulillah syukur kerana salah seorang anakku telah pun berjaya menjadi seorang Al-Hafiz... namun begitu aku selalu mengingatkan Ammar supaya tidak riya' dan lupa diri, kerana ini bukan lah tiket untuk segala-galanya, sebenarnya bak kata mudir MTAQ Hira', seorang pelahar tahfiz yang baru tamat diibaratkan seperti baru diberi 'anak kunci' untuk membuka gedung ilmu Allah yang luas ini... terpulanglah kepada anak2 itu sendiri untuk memantapkan dan istiqamah dalam perjuangan mencari ilmu Allah yang Maha Luas .. dan menggunakannya dengan bijaksana.

Sekarang Ammar akan masuk semula ke ting 4 untuk meneruskan pembelajaran akademik beliau sehingga ke ting 5 kelak dan mengambil SPM.
Sampai di sana sudah ramai ibu-bapa yang tiba, parking kereta juga hampir penuh...

Sambil menunggu Ammar selesai mendaftar etc, ternampak seorang blogger yang pernah kutemui. Blogger ini adalah seorang yang sangat aktif dalam aktiviti2 memperjuangkan nasib keluarga mangsa2 IS* ... beliau ialah Ummuasiah
UmmuAsiah bersama anak2 sedang menjamu selera setelah selesai urusan pendaftaran anak

Esok Isnin, semua anak2 ku akan mula bersekolah .... hurm...macam tak percaya aje... menandakan juga bahawa umurku semakin meningkat setahun lagi...


Saturday, January 3, 2009

Hari Orientasi Darjah 1

Hari ini pagi-pagi lagi Hana' dah bangun dan bersiap-siap dengan pakaian lengkap seragam sekolah. Hari ini juga adalah hari Orientasi bagi pelajar yang akan memasuki darjah 1 di Sek Ren Islam Hira', Klang.

Kain sekolah baru siap ku jahit pagi tadi! ..Saiz badan Hana yang kecil menyebabkan dia tidak muat baju saiz paling kecil yang dijual di kedai sekolah!!! ...terpaksa lah ummi jahit sendiri...

Pengalaman bersekolah yang pertama bagi anak bongsu ku....
Apabila di tanya, "Seronok tak?"
Hana jawab, "Seronok!!!... nanti hari Isnin minggu depan cikgu suruh datang sekolah lagi....tapi tak payah bawak buku lagi...nanti cikgu bagi jadual baru bawak buku"

wah...wah...wah...dah bersemangat nak belajar...
Pelajar Lelaki
Pelajar Perempuan (Hana' yang ke-5 dari hadapan)


psstttt.... ini rahsia Hana....dia kata dia nak belajar rajin2 nak dapat nombor satu bila periksa nanti....Alhamdulillah.....

Thursday, January 1, 2009

Low Haemoglobin / Anemia


Semalam mendapat keputusan ujian darah yang ku jalani....

paras Haemoglobin ku TERSANGAT rendah! Bacaan nya hanya 6, berbanding bacaan normal ialah 11.5 (female) dan 13(male)

Patutlah sejak 2-3 minggu lepas aku merasa kurang bermaya, cepat penat, tercungap-cungap macam orang baru lepas berlari tak cukup oksigen...dan aku tak boleh bangun daripada menunduk dengan serta-merta, kerana jika aku bangun dari duduk atau baring dengan cepat, kepalaku akan nampak "bintang-bintang bergermelapan"!!! dan terasa macam hendak pitam...

Doktor sudah bagi ubat tambah darah, kalsium dan vitamin...doktor suruh rehat secukupnya... memang hajat di hati begitu, tapi semester baru sudah bermula, esok Jumaat ada kelas pertama yang perlu aku hadiri.... lecture preparation sudah dibuat..tetapi tidak tahu adakah aku cukup tenaga hendak memanjat tangga ke kelas dan berdiri selama 2 jam memberi kuliah??? Memanjat tangga seperti satu kerja yang tersangat berat... selepas menaiki tangga ke tingkat 2 di fakulti, aku terpaksa berhenti dan duduk dahulu. Aku tercungap-cungap.... seperti tidak cukup oksigen!!!

Apakah diet yang perlu aku makan untuk cepat menambah sel-sel darah merah???
Berikan sumbangan terbaik anda! Teruskan menyumbang ke Tabung Aqsa2Gaza Emergency Relief sekarang!!! Akaun Maybank Islamic: 5515 7500 4299 Akaun Bank islam : 12 092 01 003490 4 Kemudian sila maklumkan kepada: admin@aqsasyarif.org.my

Nak Baca Entri Lain? Klik Sini....