Monday, November 24, 2008

KAU TETAP DI HATI

MENANGI HADIAH MENARIK

Ulasan pembaca (tuan empunya blog):

Pada mulanya apabila melihat tajuk novel ini, saya berpendapat bahawa novel ini sama seperti novel-novel berkonsep CINTA seperti yang lain, lalu memasang niat tidak mahu membuang masa membacanya, tetapi saya tersilap. Niat di hati hanya ingin membaca awal cerita, tengah dan pengakhiran SAHAJA, tetapi usai membaca beberapa helai yang pertama, mataku terus terlekap membaca novel tersebut, jari-jemari ku terus menyelak sehelai demi sehelai lembar mukasuratnya. Perasaanku makin tenggelam menghayati cerita dalam novel tersebut seakan-akan aku juga berada bersama-sama watak-watak tersebut. Mahukah anda mengetahui dengan lebih lanjut...???


Sempena pelancaran novel terbaru Liza Zahira iaitu, KAU TETAP DI HATI, maka satu peraduan kuiz di adakan untuk memberi peluang kepada anda semua memenangi hadiah-hadiah yang sangat menarik.

Cepat hantarkan penyertaan anda ke email yang tertera!

20 penyertaan paling awal akan menerima Baju T Liza Zahira

Hadiah Pertama: Wang Tunai RM300
Hadiah Kedua : Wang Tunai RM200
Hadiah Ketiga : Wang Tunai RM100
10 Hadiah Saguhati: Senaskah novel Liza Zahira (Pemenang boleh memilih salah satu novel Liza Zahira)

SOALAN-SOALANNYA:

1. Novel Kau Tetap Di Hati (KTH) merupakan novel Liza Zahira yang ke berapa?

2. Selain Malaysia, negara manakah yang menjadi latar cerita KTH?

3. Berikan nama anak-anak saudara Sophia dalam Kau tetap Di hati?

4. Bahtera Kasih (BK) merupakan novel ketiga Liza Zahira. Apakah nama kapal lanun yang menculik Carra Lina dalam novel tersebut?

5. Siapakah lelaki yang akhirnya menjadi pilihan Carra Lina dalam BK?

Lengkapkan kata-kata berikut (tidak lebih dari 20 patah perkataan).
Saya gemarkan novel-novel Liza Zahira kerana ……………………………..

Tuliskan Nama, No.kad pengenalan, Telefon dan Alamat berserta jawapan lengkap anda ke:


liza_ktd@yahoo.com dan cc ke
lizaali@karangkraf.com atau liza_zahira2@yahoo.com.my




TARIKH TUTUP PENYERTAAN ADALAH PADA: 31 DISEMBER 2008

CEPAT! JANGAN LEPASKAN PELUANG ANDA!!!

Thursday, November 20, 2008

19 November 2008

19 November 2008

Hari ini ada 2 perkara penting yang berlaku....

satu perkara sedih dan satu lagi perkara gembira....mana satu nak cerita dahulu?

Cerita Gembira/Kesyukuran

Hari ini adalah hari lahir anak ke-2 iaitu Zaid yang ke-20. Pada 19 November 1988, 20 tahun dahulu di sebuah bandar kecil bernama Athens, Ohio, USA... lahirlah seorang anak lelaki yang comel...sekarang ini dialah yang paling tinggi dalam keluarga... lebih tinggi dari abi. Peminat bolasepak dan suka main futsal...aktiviti utama semasa cuti sekolah, main futsal dan pergi berkelah bersama kawan-kawan...



Cerita Sedih

Dah malam, eh dah pagi sebenarnya... sedang chatting dengan Kak Long di Jordan... (dia kat sana baru pukul 9 malam) tiba-tiba Kak Long memberitahu berita bahawa emak kepada salah seorang rakan yang sama-sama bertolak dari Malaysia semasa mula-mula melanjutkan pelajaran ke Jordan dahulu (satu flight satu bandar tetapi lain pengkhususan dan lain universiti), telah meninggal dunia pagi tadi (disebabkan barah kolon dan telah merebak ke hati )... sebenarnya saya baik dan rapat dengan arwah, tetapi dek kesibukan kerja, memang semenjak Ramadhan dan Raya tidak dapat menghubungi beliau... Ya Allah, perasaan bersalah terasa menghantui hati ini... mengapa aku tidak berusaha menalipon beliau selepas cuti Raya... namun aku yakin bahawa ini adalah qada' dan qadar Allah, takdir yang Allah telah tetapkan, sememangnya sudah tertulis di Lauh Mahfuz, ajal maut di tangan Allah SWT. Lalu aku panjatkan doa buat beliau, semoga roh beliau dicucuri Rahmat dan Hidayah dan ditempatkan bersama-sama orang yang soleh.

Monday, November 17, 2008

A Good Samaritan

Salam...Ya ALlah ...semalam dan hari ini sungguh terharu dan bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana tidak ku menyangka masih ada orang yang berhati mulia dan baik di kala ekonomi dunia semakin merudum dan ramai orang mengambil kesempatan di atas kelemahan dan kesusahan orang lain.

Al-kisah pada hari sabtu yang lalu, anakku Ammar balik dari asrama, singgah sebentar di rumah untuk makan tengahari. Selepas solat zohor, semasa hendak menghantar Wafa' dan Anas ke stensen komuter, Ammar juga hendak mengikut, katanya hendak ke rumah kawan di Subang Jaya. lalu aku terus menghantar mereka bertiga menaiki komuter.

Semalam Ahad tghr, dapat sms dari Ammar, mengatakan dompet beliau hilang, tertinggal dalam teksi, dan bila sedar sudah lambat... bila patah balik teksi dah tak ada. sebenarnya Ammar baru sahaja membeli kad sim yg baru (prepaid) dan terdapat RM50.00 dalam dompet itu. Kad sim yg baharu itu masih disimpan dalam dompet tersebut.

Sebenarnya aku tak kisah sangat jika kehilangan wang tersebut, tetapi yang aku paling runsing ialah kad pengenalan Ammar yang ada di dalam dompet... banyaknya kerenah yang perlu dilalui jika hilang kad pengenalan... kena buat report polis terlebih dahulu. Kemudian kena pergi Penajabt pendafataran.. etc...

dipendekkan cerita, apabila Ammar menalipon nombor kad simnya yang baharu itu, pemandu teksi itu mengangkat... maka beliau pun memberitahu, selepas itu beliau cuba berpatah balik mencari anakku Ammar tapi tak berjumpa, lalu beliau memasang kad sim itu dengan harapan ada sesiapa yang akan menalipon nombor tersebut...

lalu tengahari sebentar tadi beliau telah datang ke rumahku memulangkan dompet tersebut bersama-sama kad pengenalan Ammar...ALHAMDULILLAH....

Syukur sangat-sangat....

Thursday, November 13, 2008

Cuti Sekolah

Saat-saat yang dinantikan oleh semua pelajar sekolah...............

yea...yea..... cuti sekolah dah bermula ........ apalagi cuti sekolah hujung tahun ...lama ni.... hampir 2 bulan.........

yang hendak menghadapi peperiksaan besar SPM..... berdebar-debar! Diucapkan SELAMAT MAJU JAYA, semoga tenang menghadapi peperiksaan dan dapat menjawab dengan lancar dan baik dan mendapat keputusan cemerlang.

Saat-saat yang memeningkan semua ibu-bapa.....

Apa nak masak hari ni? ...jangan tak tahu...cuti sekolah makanan kat rumah kena stok banyak-banyak.... bila masak cepat betul habis...macam biskut...sekejap ada...sekejap dah tak ada....

Nak pergi bercuti di mana? ...dah mula selak-selak atau surfing kat internet tempat-tempat percutian yang sesuai dengan budget dan masa... kalau banyak duit boleh gi cuti kat oversea... kalau tak bercuti dalam Malaysia aje..tapi tempat percutian dalam Malaysia pun apa kurang nya... rasanya tak semua tempat dalam malaysia dah habis jalan dan tengok.... Any idea kat mana tempat peranginan/percutian yang best kat Malaysia ni?

Hana dah sibuk dari minggu lepas lagi nak ajak pergi mandi di Wet World... bukan jauh pun...di Shah Alam juga...tapi itupun tak sempat-sempat nak pergi...

Apa program yang ada masa cuti ni nak suruh anak2 hadiri?
takkan nak berjalan aje sepanjang 2 bulan ni ye tak? paling lama bercuti pun seminggu.... lepas tu waktu lain? .... cepat...tengok flyers atau apa2 ....kat rumah tu dah banyak flyers dapat, bermacam-macam program .... tapi yang tak tahannya ongkosnya buk! ... satu program paling murah Rm70 - Rm150 .... darab dengan 4 atau 5 orang anak....aduish.... tapi takpe...takpe... bila pikir balik.... program ni semua untuk pembangunan insan, pendidikan anak2 .... mesti sanggup berkorban demi pendidikan anak2.... (hish...kalau nak beli barang perhiasan atau lain2 sanggup keluar duit...nak beli gadget2 elektronik beribu-ribu sanggup...tapi nak hantar anak program RM100 pun berkira!!! ...)

Wafa' dan Ammar dah ada program setiap hari Sabtu... mereka sudah mendaftar untuk mengikuti kelas TARANNUM BERSAMA RABBANI yang akan diadakan di Muzium Kesenian Islan, KL.
Mu'adz pula sudah mendafatar utk join program perkhemahan di Bukit Cerakah minggu hadapan = RM110
Zubair sedang memilih mana program perkhemahan yang sesuai utk dia.
Anas...sudah merancang mengambil kelas tuisyen... tahun hadapan dia akan naik Form 5...perlu bersedia awal utk SPM...terutama kelas2 sains yang dia masih lemah...

Balik kampung?
Yaaa.... ini sudah mesti..... kena selalu balik kampung, jadi anak2 kenal saudara-mara..... dan anak2 tahu erti kehidupan kampung selain dari hidup di kota... kat kampung boleh main kejar-kejar ayam, kena kejar angsa!! boleh panjat pokok manggis, pokok rambutan....tangkap pepatung ... terpijak tahi ayam!!! ... pengalaman yang tidak boleh didapati di bandar....kat kampung lah kenal apa sebenar 'ayam' tu...kalau tak kat kota tengok ayam dah togel, dah siap masak atas meja... jangan nanti suatu hari anak2 tengok ayam, kata itu 'kambing'

Persiapan untuk sekolah tahun depan?

haaaa....yang ini belum siap apa-apa lagi........... nanti nak kena sort out baju2 sekolah tu, mana yang boleh dipakai lagi, mana yang boleh di'pass down' ke adik2 dan yang mana dah koyak2 kat kocek, kat lutut etc... kasut sekolah? ...entah dah berapa puluh pasang kasut sekolah dibeli sepanjang tahun... awal tahun tak payah lah beli banyak2 sebab kaki budak cepat membesar... nanti selang beberapa bulan dah mintak kasut baru, sebab kasut dah ketat...atau dah jadi mulut buaya! atau yang paling selalu terjadi.... kasut hilang ...haa.. ini yang pening kepala...

Apa-apa pun, SELAMAT BERCUTI kepada semua pelajar-pelajar sekolah rendah dan menengah. Pelajar U pula mungkin ada yang sudah habis exam atau sedang menghadapi peperiksaan akhir semester...
Kepada ibu-bapa semua, SELAMAT SEMUANYA dalam menghadapi hari-hari yang mendatang ... ingatlah anak-anak adalah AMANAH ALLAH kepada kita, kitalah yang mencorakkan mereka yang dilahirkan ibarat kain putih bersih...

Tuesday, November 11, 2008

TDMHE

Sekembalinya dari pejabat petang tadi agak lewat dari biasa kerana perlu berjumpa seorang sahabat dari Universiti Malaya. Masuk sahaja ke rumah terpandang sebuah bungkusan "Pos Laju" di atas meja...dalam hati berkata-kata, "Eh...cepatnya sampai buku yang kupesan???" Efisien betul penulis buku ini yang sememangnya sudah tidak asing lagi bagi pembaca setia buku-buku dari PTS, dan buku pertama beliau Travelog Haji: Mengubah Sempadan Iman (THMSI) telah mencapai jumlah jualan yang tertinggi dalam masa beberapa bulan sahaja selepas dilancarkan pada tahun lepas.

Sememangnya sudah terdetik dalam hati siapakah pengirimnya apabila melihat tulisan tangan dan tandatangan di sampul 'Pos Laju' tersebut. Tersenyum lebar, hilang segala penat dan terus mencapai dan membuka bungkusan tersebut. Selepas solat Maghrib dan berdoa, terus mengadap komputer untuk membayar buku tersebut secara online (...bayar dahulu sebelum membaca!)
"Nurazzah, Moga ada menafaat, Ingat Allah, DIA sangat hampir. Salam."
Ditandatangan oleh: Prof Dr Muhd Kamil Hj Ibrahim.
(Prof terlupa nak tambah angka '8' dihujung nama saya ... atau mungkin terlalu banyak banyak buku yang hendak di tandatangan sehingga Prof terlupa)

Selesai solat Isya' pembacaan pun dimulakan, bermula dari kulit depan hingga ke kulit belakang. lebih kurang 2 jam sahaja! Pukul 10:30malam sudah selesai .... ini memang dapat diagak kerana buku ini agak nipis berbanding buku THMSI, hanya mempunyai 142 halaman sahaja dan beberapa bab di dalamnya telah pun dibaca dalam blog penulis sebelum ini . (nota: ini dapat dilakukan kerana anak-anak sudah faham bahawa mereka tidak boleh mengganggu ummi jika ummi sedang membaca, dan Alhamdulillah suami tiada di rumah kerana ada perjumpaan dengan sahabat beliau selepas pulang dari menunaikan solat Isya' di surau berdekatan )

Perkara pertama yang paling mengujakan ialah apabila membaca halaman dedikasi. Di bawah halaman tersebut tertera perkataan :

Terjemahan ayat-ayat Al-Quran dan hadis dipetik daripada tiga sumber utama iaitu:

http://quran.alislam.com
http://www.tmsk.uitm.edu.my/~ir/sumberutama.php
http://www.tmsk.uitm.edu.my/~ir/webhadis/

ALhamdulillah, syukur ke hadrat Allah SWT kerana usaha saya dan rakan untuk membantu umat Islam khususnya yang boleh membaca dalam bahasa Melayu menyediakan sebuah enjin carian Al-Quran dan Hadis berbahasa Melayu telah dapat dimenafaatkan (walaupun rasanya masih banyak lagi perkara yang perlu diperbaiki pada enjin carian tersebut). Pada masa kami memulakan projek tersebut, tidak terdapat satupun kitab rujukan hadis BERBAHASA MELAYU yang ada dijual dipasaran!!! semuanya berbahasa Indonesia. Lalu di awal perojek, kami perlu mendigitalkan semua hadis-hadis tersebut dan mengalihbahasa ke Bahasa melayu, dengan panduan pakar(ustaz) dalam hadis, kerana kami tidak mahu apabila ditukar ke Bahasa melayu akan berubah maksud hadis tersebut. Sekurang-kurangnya apabila Prof. Muhd Kamil meletakkan rujukan URL tersebut di dalam buku beliau, lebih ramai lagi orang boleh merujuk kepada enjin carian Al-Quran dan Hadis tersebut... Apabila disemak, tertera sudah 11638 kali enjin carian tersebut dirujuk! ALHAMDULILLAH, SYUKUR KE HADRAT ALLAH.

Sebagai seorang ahli akademik dan juga PENGARAH salah sebuah cawangan UiTM di Malaysia, Prof. Dr Hj Muhd Kamil bin Hj Ibrahim telah sanggup mengenepikan ego dan perasaan beliau sendiri demi untuk berdakwah secara penulisan atau perkataan dan dibuktikan dengan amalan beliau sendiri. Jika diikutkan hati, mana mungkin seorang PENGARAH hendak mengaku kejahilan beliau sendiri, tidak tahu membaca Al-Quran hatta mengenal huruf-huruf Al-Quran sehingga usia sudah hampir separuh abad. Namun beliau berjaya memperbaiki diri sehingga boleh membaca Al-Quran berserta terjemahan sewaktu menunaikan ibadah haji dalam masa yang singkat. Inilah yang mesti dilakukan oleh setiap umat Islam, iaitu sentiasa berdoa agar pengakhiran hidup kita akan sentiasa berada dalam Husnul Khatimah, bukannya Suul Khatimah.

Semua ini adalah kerana Allah masih sayangkan hambaNya, tiada istilah sudah terlambat dalam kamus Allah. Walau setua mana usia kita, masih belum terlambat untuk kita menginsafi dan kembali kepada Allah dengan melakukan segala perintahNya dan menjauhi semua laranganNya. Allah lah yang memberi Hidayah kepada hambaNya, kita sebagai hamba Allah hanya perlu berusaha dan berDO'A. Itulah intipati buku TDMHE... segala-galanya bermula dengan DO'A... itulah yang hendak disampaikan oleh penulis buku ini, iaitu dalam apa jua keadaan, kita jangan lupa dan jangan putus untuk berdoa kepada Allah, sesungguhnya Allah itu sangat dekat. Hampir setiap bab mengandungi do'a-do'a yang diucapkan oleh penulis kepada Allah dengan penuh khusyuk dan mengharap.

Sebagai seorang Pengarah kampus, usaha beliau berdakwah secara halus dengan menunjukkan contoh teladan dan amal perbuatan beliau sendiri, mengundang pelbagai persepsi masyarakat, samada masyarakat kampus mahupun masyarakat sekeliling. Ramai yang menyokong, dan tidak kurang juga mungkin ada segelintir yang menyangka bahawa beliau mahu menonjolkan diri sendiri sebagi insan yang lebih mulia dan baik daripada orang lain. Mungkin ada dikalangan mereka yang digelar 'ustaz' juga mengatakan bahawa beliau hanya hendak tunjuk pandai, tunjuk alim, sedangkan ilmu baru sekelumit, baru sekali pergi haji sudah mahu berdakwah! Cabaran yang perlu beliau hadapi bukannya mudah, walaupun hendak mengajak orang melakukan perkara yang sudah diketahui dan sudah dipelajari sejak kecil, yang merupakan salah satu rukun Islam yang lima, yang wajib dilakukan oleh setiap umat Islam iaitu bersolat, apatah lagi bersolat lima waktu berjemaah di mesjid.

Sepanjang penulisan beliau berulang-kali menyatakan tentang kejahilan diri sendiri, tentang ilmu yang sedikit, tentang takut dikatakan riya' , sombong dan angkuh. Namun perasaan itu tidak menghalang beliau untuk terus berdakwah dengan cara beliau sendiri. Dengan membaca buku ini, pembaca seakan dibawa menyelami diri sendiri, melihat ke dalam hati nurani, menilai amal ibadat yang dilakukan samada melakukan secara ikutan, atau sememangnya sebagai ibadah ritual sahaja, tanpa penghayatan sebenar ataupun dengan memahami apa erti ibadat itu sendiri. Apa yang penting sebenarnya setiap amalan kita mestilah dilakukan secara bersungguh-sungguh dan istiqamah, iaitu berterusan sehingga ke akhir hayat di dunia ini diiringi dengan berdo'a kepada Allah SWT.

Astaghfirullah Al-Azim. Subhanallah. Allahuakbar.

Wallahu'alam.

p/s: Selamat Membaca kepada mereka yang belum membaca.

Sunday, November 9, 2008

Bersabarlah

Lewat malam tadi mendapat panggilan dari seseorang yang kukenali dialam maya. Terkejut juga mendapat panggilan dari beliau di malam hari. "Mesti ada sesuatu yang penting hendak diberitakan kepadaku", bisikku di dalam hati.

Lalu aku menjadi pendengar setia, itulah yang mampu kulakukan saat ini. Hati sungguh merasa sedih kerana tidak dapat menolong dengan sepenuhnya. Hendak berkata banyak, takut dikata, " dia tak kena, tak rasa...bolehlah cakap macam tu... "

Namun aku hendak dia faham bahawa aku sentiasa mendoakan dirinya dan keluarga sentiasa berada di bawah lindungan Allah SWT, dan semoga dia terlepas dari sengsara itu dengan segera.
InsyaAllah, doaku sentiasa untukmu di dalam tahajjudku.

Thursday, November 6, 2008

Apabila Madinah hujan

Apabila membaca cerita mengenai bandar Madinah banjir, serta merta fikiranku teringat saat-saat kami berada di sana sewaktu musim haji 2007. YaAllah...rinduku serta-merta memuncak, air-air jernih mula bertakung dimataku. Rindu kepada Madinah, rindu kepada Mesjid Nabawi, rindukan Raudhah, berada hampir dengan makam Rasulullah SAW... Ya Allah...mahu rasanya saat ini terbang ke sana, perasaan ini tidak dapat ditahan-tahan.

Suasana hening dinihari di dalam Mesjid Nabawi...Ya Allah.......rindunya....Ya Allah Engkau murahkan rezekiku, panjangkan umurku agar aku dapat lagi menjadi tetamuMu Ya Allah, menjejakkan kaki ke Madinah, ke Mesjid Nabawi dan Mesjidil Haram untuk menunaikan ibadah Ya Allah..........

Kami tidak dapat mengalami pengalaman hujan sewaktu di sana, sewaktu kami hampir bertolak ke Madinah, berita didengar bahawa satu hari Madinah mengalami hujan, apabila kami ke Madinah, bandar Mekah pula mengalami hujan. Sepanjang masa di Mekah dan Madinah, ada beberapa kali solat sunat memohon hujan dilakukan...

Tahun lalu, hotel tempat kami menginap di Madinah sangat hampir dengan pagar Mesjid Nabawi, namun begitu satu pembinaan pengubahsuaian besar-besaran sedang dilakukan untuk membesarkan lagi lapangan mesjid, di mana dibawah lapangan tersebut satu pembinaan sedang dijalankan untuk membuat tempat parking kereta di bawah tanah. Saya anggarkan sudah semestinya pembinaan tersebut sudah siap sekarang, dan apabila mendengar berita bahawa bandar Madinah banjir selepas hujan selama 30 minit, saya terbayangkan tempat parking bawah tanah tersebut. Jika sudah siap pada tahun ini dan kejadian hujan tempohari, adakah kereta2 yang diparking di bawah tanah tersebut akan tenggelam, atau sudah ada sistem saluran air keluar??? Bandar Madinah bukan seperti bandar di Malaysia...di mana terdapat banyak parit atau longkang untuk mengalirkan air kerana keadaan negara kita yang selalu hujan (kita pun tahu walaupun terdapat parit dan longkang/sistem saliran air, namun banjir kilat selalu juga berlaku di Malaysia) Inikan pula di bandar Madinah yang hanya turun hujan setahun sekali, memang tiada parit atau longkang di kiri kanan jalan...walaubagaimanapun mengikut laporan berita semalam, pihak bandar Madinah berjaya menyedut air yang bertakung dijalan2 dengan cepat sekali... maklumlah waktu sekarang jemaah haji yang bertolak awal sudah berbondong-bondong memenuhi bandar Madinah Al-Munawarrah...

Labbaikallahumalabaik..........

Baca berita di sini.

Sunday, November 2, 2008

Nuh's Ark Graduation Day

Nuh's Ark Graduation Day - 2nd November 2008

Wah...bergaya sungguh anak2 cilik ini...bergaya dengan jubah graduasi..
mengalahkan abang-abang dan kakak-kakak yang konvo di Universiti..!!!

Alhamdulillah, selesai sudah majlis Hari Konvokesyen untuk Nuh's Ark Montessori Islamic kindergarden hari ini. Ini adalah majlis seumpama ini yang dihadiri oleh diriku dan suami buat kali terakhir, InsyaAllah, untuk anakku yang ke-8 dan bongsu, Hana'.

Hana mendapat sijil "Honors" kerana menjadi salah seorang dari 10 orang
pelajar paling cemerlang di tadika Nuh's Ark.


Pelbagai perasaan yang kurasa, gembira dan lega... kerana selepas ini tiada lagi majlis untuk tadika yang perlu kami hadiri... bayangkan sejak tahun 1991, apabila anakku yang sulung, Asma' , memasuki tadika, sehingga kini ... setiap kali menjelang hujung tahun kami perlu menghadiri majlis seumpama ini.Recitation of Quranic Verses

Sedih juga kerana selepas ini tiada lagi anak yang bersekolah tadika... semuanya telah memasuki era persekolahan, yang perlu dihadapi dan ditangani kerenah mereka dengan kaedah yang berlainan....The Pilgrimage

Bayangkan rasanya pagi tadi kami adalah pasangan yang paling berusia!!! hehehe... Semua ibu-bapa yang lain masih muda belaka.... masing2 memegang dan mendukung anak kecil... anak2 mereka yang menghadiri tadika samada anak pertama, kedua atau ketiga...
Apabila tanya pasangan disebelah kanan, itu adalah satu satunya anak mereka. Tanya pula pasangan disebelah kiri, itu adalah anak mereka yang kedua.

Dalam hati berdoa, "Jangan lah mereka tanya anakku ini anak ke berapa!"..

tetapi mereka bertanya juga... sambil tersenyum-senyum malu aku menjawab, "Hana' adalah anak akak yang ke-8 dan bongsu sekali !!!!"

Jawab pasangan tersebut, "MasyaAllah.... bestnya... ramainya anak akak....bertuah akak ada anak ramai!"

hehehe... bangga pula rasanya... kemudian tersedar kembali... aku tak sepatutnya riak...
sepatutnya aku mengucapkan SYUKUR kehadrat ALlah kerana dengan limpah KurniaNya lah rezekiku (anak) ramai.

Tema pada tahun ini ialah "Truly Asia". Mempersembahkan acara2 yang mewakili adat dan budaya negara2 di benua Asia.

Sebelum acara terakhir dan kemuncak iaitu acara penganugerahan Sijil Persekolahan dan tamat Persekolahan Tadika, setiap kelas membuat persembahan masing-masing.
Hana' berada di kelas Al-Pharabins pada tahun ini. Kelas Hana' membuat persembahan untuk negara Malaysia iaitu "Planting Rice and Coconut Dance".

Akhir sekali mereka beramai-ramai menyanyikan lagu "Children of Yesterday's Dream" - Saya tidak tahu siapa penyanyi sebenar ....

Lirik lagunya seperti berikut:


We are the children of yesterday's dream
We are the promise of the future we bring
Waving the banners of love to all
To every nation, the rich and the poor

Refrain:
We are the world of the restless and young
And we need a hand to guide us
Helping each other Build each other
As long as we"re together you and me

Chorus:
For together we stand, divided we fall
Together we climb to the top of the world
We can be what we want for the world to see
We are the children of yesterday"s dream

We have the yearning to do what is best
Be someone special from all the rest
Nation and brothers in unity
Building tomorrow for you and for me

Repeat refrain
Repeat chorus (2x)
Berikan sumbangan terbaik anda! Teruskan menyumbang ke Tabung Aqsa2Gaza Emergency Relief sekarang!!! Akaun Maybank Islamic: 5515 7500 4299 Akaun Bank islam : 12 092 01 003490 4 Kemudian sila maklumkan kepada: admin@aqsasyarif.org.my

Nak Baca Entri Lain? Klik Sini....