Wednesday, September 24, 2008

Rebutlah peluang 10 malam terakhir

Semoga 10 malam terakhir Ramadhan membawa penuh erti bagi diri kita.

Bukan bersuka ria kerana Raya hampir menjelang, bukan sibuk membeli-belah, memasak kuih-muih dsb, tetapi terlalu sedih kerana Ramadhan yang Mulia ini, yang penuh keberkatan dan Rahmat dari Allah swt semakin menghampiri ke hujungnya, semakin hampir meninggalkan kita...

dan nanti kita harus menunggu setahun lagi utk kedatangan Ramadhan berikutnya,

di mana, kita sendiri pun tidak tahu samada kita masih di sini, di bumi Allah ini,

samada umur kita masih panjang lagi untuk berjumpa lagi Ramadhan yang berikutnya...

Marilah kita memperbanyakkan amal-ibadat kita di 10 malam terakhir Ramadhan ini...

banyakkanlah sujud menyembah Allah .....

banyakkan lah membaca ayat-ayat Allah ....

banyakkanlah berdoa kepada Allah ....

semoga segala amal ibadat kita yang kerdil ini diterima olehNya...

Amin.

Friday, September 12, 2008

Kalahiran & kematian

Salam Ramadhan. 12 Ramadhan.

Pagi ini semasa hendak menghantar Hana ke tadika, anakku itu bertanya beberapa soalan yang membuatku kaget dan akhirnya memaksaku memikirkan persoalan tersebut, iaitu tentang kelahiran dan kematian.

"Ummi, baby masa lahir ada nyawa tak ummi, dia hidupkan?" tanya Hana'.

" Nanti bila Hana' dah besar macam ummi, ummi dan abi dah matilah ye?" tanya anakku lagi.

Sambil memandu kereta ke tadika Hana', otakku ligat memikirkan apakah jawapan yang hendak ku jawab dalam bentuk yang sangat mudah untuk seorang anak berumur 6 tahun memahaminya.

..... (sambungan....)

Assalamu'alaikum semua,
Atas permintaan pembaca bloggers sekelian, saya kembali menulis untuk menyambung entri yang tertangguh sekian lama.

Sesungguhnya masa amat mencemburui ku. Sebenarnya bercadang untuk menangguhkan menulis buat sementara waktu, terlalu banyak kerja yang perlu disiapkan, dan juga entah kenapa mood untuk menulis di blog seakan-akan semakin hilang...

ok...kembali semula kepada persoalan yang Hana' utarakan kpd ku ...mengenai kelahiran dan kematian...

Untuk soalan yang pertama:
Jawapan yang aku berikan ialah " Ya Hana', baby ada nyawa semasa dalam perut ibu lagi, sebelum dilahirkan lagi baby dah boleh gerak dlm perut ibu dia" Selepas itu aku mengingatkan dia tentang satu cerita yang kami pernah menonton di TV - documentary mengenai fetus in the womb - suatu masa dulu.

Untuk soalan yang kedua:
Jawapanku: " Ya, Mungkin ummi dan abi sudah meninggal ataupun mungkin belum lagi. "

Hana' bertanya lagi: "Macamana tu ummi?"

Ummi , " Sebab kita tak tahu bila kita akan meninggal (mati) kerana semua tu Allah yang tentukan"

sambungku lagi, " Siapa mak dan abah ummi?"

Hana jawab, " atok dan wan "

"Atok dan Wan hidup lagi ke dah meninggal?" tanya ku.

Hana Jawab, "laaa...atok dan wan kan ada kat kampong .."

"ok...jadi... ummi dah besar tapi mak dengan abah ummi hidup lagikan?" sambungku lagi.

Hana jawab, "ha...ah"

sambungku lagi, " Siapa mak dan abah abi?"

Hana jawab, " nenek, tapi siapa abah abi ya? " (Hana tidak pernah berjumpa arwah bapa suamiku kerana beliau sudah meninggal sebelum Hana dilahirkan lagi)

"Abah abi dah meninggal lama dulu" jawab ku.

"Nenek mana?" tanyaku lagi.

"Nenek...(sambil kelihatan spt sedang berfikir)...eh..kan nenek dulu ikut ummi dgn abi pergi haji, tapi nenek tak ada ikut balik. Ummi kata nenek dah mati kat Mekah.." teragak-agak Hana' mengingati semula peristiwa lalu.

"Meninggal..... untuk orang Islam kita cakap meninggal, bukan mati" kataku lagi.

"Jadi ... abi dah besar tapi mak dengan abah abi dah tak ada lagikan?" kataku lagi.

"Ha...ah" jawab Hana'

"Hana pernah baca dalam suratkhabarkan, ada cerita baby meninggal?" kataku lagi.

"Ha..ah" jawab Hana' pendek.

" Jadi kita tak tahu bila kita akan meninggal dunia, ada orang tua meninggal, ada baby tu pun meninggal juga. Semuanya Allah yang tentukan..." jawab ku.

"Ok...Hana' ... dah sampai sekolah Hana'...nanti kita cerita lagi ya... bye... Assalamu'alaikum" kataku sambil mencium pipi Hana' dan melambai-lambaikan tangan kepadanya yang sudahpun memasuki pagar sekolah tadika Nuh's Ark.



Thursday, September 4, 2008

Berpuasa di perantauan

Sesekali nostalgia berpuasa di perantauan menjelma dalam fikiran. Kali pertama berpuasa di perantauan adalah pada tahun 1984. Ogos 1983 kami berempat (ya, hanya 4 orang dan semuanya perempuan!!!) selamat menjejakkan kaki kami ke bumi USA. Satu tempat yang memang sangat asing bagi kami, remaja hingusan lepasan SPM dan kesemuanya berasal dari kampung.
Entah bagaimana kami tercampak ke situ, sememangnya itu semua adalah perancangan dari Allah swt.
Bandar tersebut dinamakan Tiffin, dalam negeri Ohio. Sebuah bandar yang kecil di baratdaya Ohio. Penduduknya sangat ramah dan baik walaupun pada mulanya memang kami menjadi perhatian mereka di situ. Al-maklumlah rupa kami yang memang tidak berkulit 'putih' seperti mereka.

Kedatangan kami disambut oleh musim luruh di sana. Suasana dan udara begitu nyaman dan kadangkala apabila angin kencang bertiup, menggigil-gigil kami dibuatnya. Kehairanan kerana melihat 'mat saleh dan minah saleh' begitu bersahaja berseluar pendek dan berkemeja-T berjalan-jalan diluar, sedangkan kami sudah mula memakai jaket yang agak tebal.
Kedatatangan musim sejuk bersama salji lebat yang turun menyebabkan kami sangat-sangat rindukan suasana di Malaysia yang sentiasa panas dan hujan.

Beberapa bulan berlalu, datanglah musim panas pada tahun berikutnya. Ditakdirkan bulan Ramadhan juga jatuh pada pertengahan tahun sekitar bulan Jun dan Julai, iaitu ketika musim panas sedang berada di kemuncaknya. Itulah pengalaman pertama kami berpuasa di perantauan dan ia menjadi pengalaman yang sangat menguji tahap keimanan kami.

Apa tidaknya, waktu subuh sekitar jam 4 pagi dan waktu maghrib, iaitu waktu berbuka ialah pada jam 9 - 10 malam. Bayangkan kami berpuasa selama 18 jam sehari!!! Pada waktu yang sama kami terpaksa menghadiri kelas pada semester musim panas. Itulah pengalaman berpuasa yang tidak dapat kulupakan... selepas berbuka kami bersolat dan menunggu waktu isya' untuk sama-sama bersolat berjemaah dan bersolat sunat tarawikh bersama-sama. Selalunya kami habis bersolat apabila hampir tengah malam. Tidur sejam-dua dan bangun pula untuk memasak dan bersahur.... sememangnya kami ketika itu yang pertama kali berpuasa di perantauan, mula merindui keluarga dan kampung halaman masing-masing. Ada yang menangis teresak-esak rindukan masakan emak semasa berbuka dan bersahur, ada yang hanya bersedih tetapi tidak mahu menunjukkan perasaan kepada kawan yang lain.

Namun begitu pengalaman mematangkan kami. Apabila berjauhan dari keluarga, apatah lagi jauh dari suasana masyarakat yang kita biasa, yang seagama dan sebangsa, kami menjadi semakin rapat sesama sendiri. kami berempat sudah menjadi seperti adik-beradik, apatah lagi kami tinggal satu apartment. Kami juga menjadi rapat dengan 'mak Arab' dan pelajar dari Indonesia yang seagama. Terdapat juga beberapa orang pelajar muslim dari benua Afrika seperti Sudan dan Mesir, dan seorang dua dari Pakistan dan Bangladesh. Kadangkala kami menjemput mereka ke apartment kami utk berbuka bersama, kadangkala kami berbuka di rumah mereka pula. Memang benarlah agama Islam agama yang syumul, ia mengikat hati-hati kami walaupun kami dari negara yang berbeza dan bertutur berlainan bahasa.

Walaupun begitu, di sana juga kami melihat mereka-mereka yang mengaku Islam tetapi tidak berpuasa. Mereka mengambil jalan mudah dengan mengatakan bahawa mereka dalam musafir, dibolehkan berbuka, dan ada yang terang-terang meneguk air kencing syaitan itu. Wallahu'alam.

Keadaan sekeliling juga sangat-sangat menguji keimanan kami (nasib baik kami ni perempuan kesemuanya, kalau lah pelajar lelaki, tak tahulah kami.) Musim panas yang panas dan kering, menyebabkan tekak sentiasa haus dan dahaga. Tetapi berkat dan hikmah bulan Ramadhan, kami tidak terasa begitu, cuma kami perlu menjaga hijab pandangan mata kami. Di sana sini, di tengah padang dan di bawah-bawah pokok di sekeliling kawasan kampus universiti, kelihatan bersepah-sepah 'minah-minah saleh' yang hanya berseluar pendek atau berbikini, berbaring di bawah sinar terik matahari. Tujuan mereka ialah supaya kulit mereka menjadi 'tan' atau berwarna coklat sawo matang, seperti warna kulit kita dari benua Asia.

Ya Allah, Engkau peliharalah pandangan kami dari mereka-mereka yang memudaratkan ini, Engkau peliharalah kami semoga sentiasa berada di jalanMu yang lurus dan benar ini.

Bagaimana Menyambut dan Menjalani Ibadat Ramadhan?

Dalam diam sudah masuk hari ke-4 kita menjalani ibadah berpuasa di bulan Ramadhan.
Saya tertarik apabila membaca satu artikel di blog Prof Madya Dr Fauzi Deraman mengenai cara2 kita sepatutnya menyambut dan menjalani ibadat Ramadhan.
Oleh itu saya ingin berkongsi maklumat ini dengan semua pengunjung blog ini, semoga kita sama-sama dapat ingat-mengingati sesama kita dalam mengharungi ibadah puasa sepanjang bulan Ramadhan yang mulia ini.

Dipetik dari http://drfauzee.blogspot.com/

Ramadhan datang lagi. Selamat datang diucapkan kepada tetamu istimewa yang tetap akan berlalu meninggalkan kita. Bulan Ramadhan yang menjanjikan pahala yang berlipat kali ganda. Syaitan dirantai dan dibuka pintu Syorga dan ditutup pintu Neraka. Sesungguhnya Ramadhan adalah bulan kebaikan dan keberkatan.

Selayaknya sebagai Muslim kita bersedia menyambut kedatangannya. Seorang musafir biasanya bersedia sebelum memulakan perjalanan, seorang pekerja bersedia untuk menjalani kursus dan latihan yang berkaitan dengan tugasnya, sebagaimana Syaitan juga – sebelum dirantai – telah mengerah bala tenteranya untuk mempedaya setiap Muslim dengan berbagai cara dan pendekatan.

Dengan itu setiap Muslim sewajarnya berlumba-lumba untuk merebut semua peluang yang tersedia di sepanjang Bulan Ramadhan ini. (Untuk yang demikian itu hendaknya orang berlumba-lumba) (Surah al-Mutaffifin: 26).

Diperturunkan cara yang terbaik bagi menyambut dan menjalani ibadat di bulan Ramadhan.

Pertama: Berdoa supaya berpeluang berada di bulan Ramadhan dalam keadaan yang baik dan dapat melakukan ibadat, dari berpuasa, qiam dan zikir. Anas meriwayatkan yang Rasulullah (s.a.w.) bila memasuki bulan Rejab berkata: Ya Allah berkatilah kami pada bulan Rejab dan Sya`ban dan sampaikanlah kami ke bulan Ramadhan - HR Ahmad dan al-Tabarani).

Para salaf al-salih berdoa agar mereka dapat berada di bulan Ramadhan dan memohon supaya segala amalan yang dikerjakan akan diterima oleh Allah SWT.

Apabila mereka berjaya menjejakkan kaki di bulan Ramadhan dan anak bulan Ramadhan telah kelihatan, mereka berdoa: Allah Maha Besar! Ya Allah! Muncul dan nampakkanlah kepada kami (anak bulan) dengan aman, iman, selamat, sejahtera dan taufik bagi perkara yang Kamu suka dan redha. Tuhan kami dan Tuhanmu adalah Allah - HR Tirmidhi, al-Darimi dan disahihkan oleh Ibn Hibban).

Kedua: Puji dan syukur akan ketibaan Ramadhan. Imam al-Nawawi ada menyebut dalam al-Adhkar: Sesungguhnya sangat digalakkan bagi sesiapa yang berulang ni`mat yang zahir atau tertolak bencana yang zahir untuk bersujud syukur kepada Allah.

Sesungguhnya adalah suatu ni`mat yang besar bagi seseorang hamba jika mendapat petunjuk untuk melakukan ketaatan dan ibadat. Hanya dengan memasuki bulan Ramadhan dalam keadaan yang baik adalah suatu ni`mat yang besar yang melayakkannya bersyukur kepada Allah SWT.

Ketiga: Bergembira dengan kedatangan Ramadhan. Rasulullah (s.a.w.). Rasulullah (s.a.w.) memberikan berita gembira kepada para sahabat dengan kedatangan Ramadhan. Katanya: Telah datang kepada kamu Bulan Ramadhan, Bulan Ramadhan adalah bulan yang penuh keberkatan, Allah memfardhukan kamu berpuasa dan dibuka pintu-pintu syorga dan ditutup pintu-pintu neraka... HR Ahmad.

Para salaf al-salih dari kalangan sahabat dan tabiin cukup mengambilberat dengan bulan Ramadhan. Mereka sangat bergembira dengan kedatangannya. Apakah lagi kegembiraan lebih besar dari perkhabaran hampirnya Ramadhan yang merupakan musim keberkatan dan turunnya berbagai rahmat!!

Keempat: Berazam dan melakukan perancangan awal untuk memanfaatkan Ramadhan. Ramai di kalangan Muslim yang membuat perancangan yang kemas untuk urusan dunia tetapi tidak merancang apa-apa untuk akhirat. Ini berpunca dari sikap memandang sepi akan urusan akhirat dan lupa akan kepentingan kehidupan hari ini untuk bekalan bagi kehidupan yang kekal abadi di akhirat.

Kelima: Menanam azam yang kuat bagi merebut semua peluang dan memakmurkan setiap waktu dengan amal saleh.

Keenam: Mempelajari hukum-hukum yang berkaitan dengan Ramadhan. Selayaknya setiap Muslim beribadat kepada Allah berdasarkan ilmu. Dengan itu, mereka hendaklah mengetahui serba serbi mengenai puasa, agar ia dapat mengerjakannya dengan betul. Ia tidak segan untuk bertanya kepada mereka yang berkelayakan. Firman Allah: (Maka tanyakanlah olehmu kepada orang-orang yang berillmu, jika kamu tidak mengetahuinya.)(Surah al-Anbiya`, 7).

Ketujuh: Menyambut Ramadhan dengan azam untuk meninggalkan dosa dan kejahatan dan bertaubat dari segala dosa dan kejahatan yang lalu. Bulan Ramadhan adalah bulan taubat, jika tidak bertaubat pada bulan ini. Bila lagi mau bertaubat?
Firman Allah: (Dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, agar kamu mendapat kejayaan.)(Surah al-Nur, 31).

Kelapan: Persiapan jiwa dan rohani dengan membaca buku, risalah dan mendengar ceramah dan menghadiri pengajian dan berdiskusi berkaitan Ramadhan supaya setiap orang bersedia dari aspek kejiwaannnya untuk melaksanakan kewajipan yang bakal tiba.

Kesembilan: Menjalankan tugas dakwah dan mengajak kearah kebaikan. Ia boleh dilakukan dengan peringatan (tazkirah) rengkas untuk jamaah di masjid atau surau, membahagikan risalah mengenai Islam, mengagihkan hadiah Ramadhan (Ramadhan Gift) samada dalam bentuk buku, risalah, vcd dan seumpamanya dan sumbangan untuk fakir miskin dan golongan yang memerlukan. Peruntukkanlah dari pendapatan bulanan untuk projek kebajikan Ramadhan.

Kesepuluh: Menyambut Ramadhan dengan lebaran baru.
* Bersama Allah dengan Taubat yang benar.
* Bersama Rasulullah (s.a.w.) dengan mentaati apa yang diperintah dan menjauhi apa yang dilarang.
* Bersama kedua ibubapa, isteri atau suami dan anak-anak, kaum kerabat dengan kebaktian dan hubungan yang baik.
* Bersama masyarakat dengan aktiviti yang baik dan bermanfaat.


Jadual Harian bagi Muslim yang berpuasa:

Sebelum subuh:

1.Tahajjud. Firman Allah: (Apakah kamu wahai orang musyrik yang lebih beruntung) atau orang yang beribadat di waktu malam dengan sujud dan berdiri, sedang ia takut kepada (azab) akhirat dan mengharapkan rahmat Tuhannya? (Surah al-Zumar, 9).
2.Bersahur. Sabda Rasulullah (s.a.w.): Bersahurlah sesungguhnya pada sahur itu ada keberkatannya – HR Bukhari dan Muslim.
3.Beristighfar sehingga azan subuh. Firman Allah: (Dan di akhir-akhir malam mereka beristighfar (memohon keampunan kepada Allah). (Surah Al-Dhariyat: 18).
4.Solat sunat Fajar. Sabda Rasulullah (s.a.w.): Dua rakaat fajar itu lebih baik dari dunia dan seisinya – HR Muslim.

Selepas terbit fajar:

1. Bersegera untuk menunaikan solat subuh berjamaah. Sabda Rasulullah (s.a.w.): Andainya mereka tahu (kelebihan) solat Isya` dan Subuh, nescaya mereka akan datang walaupun merangkak – HR Bukhari dan Muslim.
2. Berzikir dan berdoa sehinggalah iqamat untuk solat Subuh. Sabda Rasulullah (s.a.w.): Doa yang tidak ditolak antara azan dan iqamat – HR Ahmad, Tirmidhi dan Abu Dawud.
3. Duduk di masjid untuk zikir dan membaca al-Quran sehingga terbit matahari. Rasulullah (s.a.w.) terus berada ditempat duduknya sehingga terbit matahari – HR Muslim.
4. Solat sunat dua rekaat. Sabda Rasulullah (s.a.w.): Sesiapa yang melakukan solat subuh berjamaah kemudian duduk berzikir (mengingati Allah) sehingga terbit matahari, kemudian ia bersolat dua rekaat baginya pahala laksana menunaikan haji dan umrah selengkapnya – HR Tirmidhi.
5. Berdoa supaya diberkati sepanjang hari. Sabda Rasulullah (s.a.w.): Ya Allah sesungguhnya aku bermohon darimu kebaikan bagi hari ini, permulaannya, pertolongannya, cahayanya, keberkatannya dan petunjuknya dan aku berlindung dari keburukan yang terdapat padanya dan keburukan sesudahnya – HR Abu Dawud.
6. Keluar untuk belajar atau bekerja. Sabda Rasulullah (s.a.w.): Tidaklah bagi seseorang itu makanan yang lebih baik baginya kecuali dari hasil kerjanya sendiri kerana Nabi Allah Dawud makan hasil kerja tulang empat keratnya – HR Bukhari.
7. Memperbanyakkan zikir untuk sepanjang hari.
8. Infaq atau sedekah harian dengan menghayati doa malaikat: Wahai Tuhan! Kurniakan kepada mereka yang bersedekah itu gantian dari sedekahnya itu.

Dhohor:

1. Solat Dhohor berjemaah pada waktunya dan bersegera padanya. Ibn Mas’ud berkata: Bahawa Rasulullah (s.a.w.) mengajar kami Sunan al-Huda ( sunnah-sunah petunjuk) dan di antara sunan al-huda itu ialah solat di Masjid yang digumandangkan azan padanya – HR Muslim.
2. Berehat seketika dengan niat yang baik. Rasulullah (s.a.w.) bersabda: Bagi badan kamu juga ada haknya.

’Asar:

1. Solat ’Asar berjamaah dan didahului dengan solat sunat empat rekaat sebelumnya. Sabda Rasulullah (s.a.w.) : Allah merahmati orang yang bersolat empat rekaat sebelum solat fardhu ’Asar – HR Abu Dawud dan Tirmidhi.
2. Mendengar tazkirah di Masjid. Sabda Rasulullah (s.a.w.): Sesiapa yang ke masjid tiada niat lain kecuali untuk mempelajari kebaikan atau mengajar orang lain baginya laksana pahala haji yang sempurna pahalanya – HR al-Tabarani.
3. Duduk di masjid. Sabda Rasulullah (s.a.w.): Sesiapa yang berwudu` di rumahnya dan diperelakkan wudu`nya kemudian ke masjid, ia adalah tetamu Allah menjadi hak tuan rumah memuliakan tamunya – HR al-Tabarani.

Maghrib:

1. Berdoa sebelum masuknya waktu solat Maghrib. Sabda Rasulullah (s.a.w.): Tiga golongan yang tidak ditolak doa mereka – antaranya - : Orang yang berpuasa sehingga berbuka.
2. Berbuka dengan juadah berbuka berserta doa.
3. Solat Maghrib berjamaah di rumah atau di masjid.
4. Wirid petang.
5. Bersama keluarga dan melakukan aktiviti yang bermanfaat.
6. Bersedia untuk solat ’Isya` dan solat sunat Terawih.

’Isya`:

1. Solat ’Isya` berjamaah.
2. Solat Terawih sepenuhnya bersama imam. Sabda Rasulullah (s.a.w.): Sesiapa yang melakukan qiam Ramadhan dengan penuh keimanan dan mengharapkan pahala dari Allah akan diampunkan dosanya yang lalu – HR Bukhari dan Muslim.
3. Melewatkan solat witir hingga ke akhir malam. Sabda Rasulullah (s.a.w.): Jadikan witir solat kamu yang terakhir pada waktu malam – Muttafaq ’alayh.


Program terbuka:

- Ziarah kaum kerabat, rakan dan jiran.
- Diskusi (keluarga atau terbuka).
- Hadir program kejiranan.

Tuesday, September 2, 2008

Ramadhan

SELAMAT MENYAMBUT BULAN YANG MULIA
BULAN PENUH RAHMAT DAN KEAMPUNAN DARI ALLAH SWT

RAMADHAN AL-MUBARAK
SEMOGA KITA SAMA-SAMA BERLUMBA-LUMBA
UNTUK MEMPERBANYAKKAN LAGI
AMALAN MULIA
Berikan sumbangan terbaik anda! Teruskan menyumbang ke Tabung Aqsa2Gaza Emergency Relief sekarang!!! Akaun Maybank Islamic: 5515 7500 4299 Akaun Bank islam : 12 092 01 003490 4 Kemudian sila maklumkan kepada: admin@aqsasyarif.org.my

Nak Baca Entri Lain? Klik Sini....