Thursday, August 21, 2008

Balik Kampung - siri 1

Balik Kampung - siri 1

Alhamdulillah, rindu kepada kampung halaman terubat jua. Kami sekeluarga pulang ke kampung halaman ku di Pontian, Johor pada hari Ahad sehingga Rabu di awal minggu cuti sekolah minggu lepas. Puas hati sungguh kerana dapt duduk-duduk sahaja mengingat kembali nostalgia semasa kecil dengan mengambil angin dan berjalan-jalan di sekeliling rumah ibubapa ku.

Rasa puas kerana tidak perlu melayan ramai orang (selalunya pulang semasa Hari Raya, kena layan ramai saudara-mara yang bertandang ke rumah) dan dapat meluangkan masa bersama-sama kedua ibu bapaku yang tercinta...

Hatiku sayu melihat bapaku yang sudah semakin tua dan uzur... berjalan perlu memakai tongkat dan berpapah ... kerana mengenangkan tangan itulah yang berusaha keras suatu masa dahulu membanting tulang mencari sesuap rezeki untuk kami adik-beradik... ibu ku juga yang sudah semakin tua dimamah usia...walaupun masih ligat ke sana ke mari menguruskan hal-hal keluarga

Tatkala duduk merenung, airmataku tanpa disedari mengalir laju di pipi...Sedih kerana aku tidak dapat bersama mereka setiap waktu di akhir-akhir usia tua mereka... Pernah aku menyuarakan kepada abah, untuk duduk bersamaku di rumahku di kota..tetapi jawapan abah sudah kuduga, "Tak apalah, abah lebih senang dikampung , dirumah ini"
Aku faham perasaan abah, duduk di kota di rumah teres yang dindingnya batu dari bawah hingga atas, dengan pagar depan dan belakang. Tanah hanya sekangkang kera, hendak dibuat mencangkul pun rasanya tidak cukup nak buat batas, walaupun aku tahu tenaga abah, kudrat abah sudah tidak sekuat dulu.
Terkenang di waktu dulu, siapa yang tidak kenal abah, yang rajin berbakti kepada tanah, tidak kira di mana jua kami tinggal. Kawasan tanah sekeliling rumah penuh dengan pelbagai pokok dan tumbuh-tumbuhan, batas2 sayur2an berbaris, apabila tiba masanya hasil dituai... sayur-sayuran tidak menjadi masalah kepada kami sekeluarga, kerana tidak perlu membeli di pasar, hanya memetiknya dari kebun belakang rumah apabila tiba waktu memasak. Aku masih ingat lagi, betapa segarnya sayur-sayuran abah tanam. Sedap dan manis kerana sayur dipetik dari kebun terus dimasak, apatah lagi tiada bahan-bahan kimia dalam pembajaan dan juga penjagaan.
Waktu itu, aku masih ingat lagi, tidak perlu daging, atau ayam, cukuplah sekadar nasi panas, sambal belacan dan sayur-sayuran dari kebun abah. Boleh bertambah sehingga dua tiga pinggan aku makan! (sememangnya daging atau ayam ialah juadah istimewa sewaktu musim perayaan sahaja, keadaan tidak mengizinkan kami makan mewah seperti sekarang yang selalu dapat merasai masakan daging atau ayam)
Pernah pada suatu waktu semasa musim Raya semakin hampir, sayur-sayuran abah memang menjadi, hendak makan kami sekeluarga memang lebih dari cukup, itupun sudah diagih-agihkan kepada jiran-tetangga. Lalu aku mengikat kacang panjang menjadi seikat-seikat, lalu menjualnya kepada jiran-jiran yang tinggal jauh, mula-mula memang rasa malu, tetapi lama-kelamaan aku seronok kerana jualanku laku dan apatah lagi abah menyuruhku menyimpan hasil jualan tersebut...!

Tetapi sekarang, aku merenung tanah kosong dibelakang rumah ku, yang dipenuhi rumput yang sudah semakin tinggi sama tinggi dengan betisku.. meleleh lagi airmataku... Terbayang-bayang dimata, "Mak, hari ni nak masak sayur apa?" tanyaku kepada emak.

"Petiklah sayur apa yang Uda nak makan", kata emak.

lalu aku pun berjalan dari satu batas ke batas yang lain... sambil mataku melilau-lilau melihat sekeliling dan berkata-kata, " semalam dah makan sayur bendi, hari ni nak makan sawi lah pulak" lalu mencabut beberapa batang pokok sawi. Hari tu emak masak sayur bening saja, tapi itulah masakan kegemaranku. Habis semangkuk kuahnya kuhirup...berpeluh-peluh di dahi..!

Aku berjalan lagi menyusuri denai dicelah-celah pohon-pohon manggis yang tinggal beberapa batang sahaja. Dahulunya terdapat lebih sepuluh batang pokok manggis dibelakang rumahku. Itupun aku lihat buah-buahnya jatuh berguguran tanpa ada sesiapa yang hendak memanjat dan mengait buah nya. Aku mendongak ke atas, "Ah.. ranting-rantingnya sudah terlalu tinggi hendak ku panjat..."

"Wahh...ada hati nak panjat, janganlah berangan, umur kau dan keadaan fizikal engkau bukan lagi seperti dulu, 25 tahun, 30 tahun dahulu", bisik hati ku... tersedar aku dari lamunanku...
Tanpa ku sedari, bibirku menguntum senyum... Siapa tidak kenal Uda? jaguh memanjat pokok manggis dikalangan sepupu-sepupuku... Nostalgia dahulu kembali menerpa ke kepalaku..

Waktu itu musim buah manggis... "mak, tahun ini semua pokok manggis tu Uda punya!"
"Hai... larat ke engkau sorang nak panjat pokok manggis tu semua dan kait buahnya?" tanya emak.
"tak apa mak, Uda nak kumpul duit tahun ni..." sahut ku.
Lalu setiap hari selepas pulang dari sekolah aku pun terus menyalin seluar dan t-shirt dan terus ke belakang rumah mencapai galah dan menunjukkan kemahiran memanjatku...
dup... dup... dap.... dup.... sebiji-sebiji buah manggis yang masak dan hampir masak jatuh ke tanah ...
selepas satu pokok ke satu pokok yang lain ... apabila penat, aku turun dan mula mengumpulkan buah-buah manggis itu ke dalam guni.
Petangnya, "apek, apek.... tu kat belakang ada 2 guni saya sudah kait itu manggis, Lu timbang itu cepat!"
beberapa ketika selepas itu... tersengih memanjang memegang not-not merah di tangan...

(bersambung .............)

8 comments:

  1. Salam Che Uda,
    Oh... this is very touching.... Bergenang airmata bila teringatkan Pak Chaq & Mak Chaq yg jarang-jarang sekali dapat berjumpa.

    We were supposed to go to Pontian everytime balik Kluang, tapi last year sebab my kids dpt chicken pox, tu yg tak pi tu, duduk dlm bilik hotel saja. This year balik Kedah, so tak ada chance la nak ke Pontian.

    Ja selalu update Mak pasal Pak/Mak Chaq - birthday Pak Chaq lah, Mak Chaq kat Shah Alam lah... and it showed in her voice yg Mak pun rindu kat depa...

    Pls kirim salam kat Pak/Mak Chaq. teringat makan pulun masa Mak Chaq masak!

    ReplyDelete
  2. Salam dari Klang,
    Bila baca tulisan you ni,lantas teringat abah dan arwah mak. Teringat masa kecik dulu maacmana abah melayan kami adik beradik,kerja kuat untuk menyara keluarga,selau tiada rumah sebab pergi outstation beberapa minggu, sebulan kekadang tu cuma 4 hari je kat rumah..Mak pulak bersaorangan menjaga kami berenam beradik
    Mak rajin berniaga kueh. Setiap pagi mengayuh basikal ke pasar untuk membeli bekalan dan lauk harian. Hai dah lama tak jenguk abah..walau pun dekat saja,kat KL saje tapi di sebab kan kesibukan menjaga anak anak kekadang terlupa juga...Tapi selepas solat selalu ku titip kan doa untuk abah dan arwah mak...Aminnnn

    ReplyDelete
  3. Assalamualaikum Nurazzah,

    Pengalaman hidup ini seharusnya di abadikan, ditulis, dibukukan dan dikongsi bersama...

    Catatan yang dapat memberi pengajaran kepada generasi muda, anak cucu....catatan bernilai budaya yang tinggi..yang sekiranyat hayat kita tiada lagi, maka tidak mungkin akan dapat dibayangkan oleh generasi semasa ini...dalam keadaan hidup mereka yang serba mewah ini...

    Mengapa tidak mula sahaja menulis dalam bentuk manuskrip buku? (Seperti yang digalakkan oleh Puan Ainon pada saya sehingga lahirnya Seungu Lavendar).

    Hanya sekadar melontarkan pandangan...

    Wasalam..

    ReplyDelete
  4. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  5. betol tu kak azzah.. nak ajak mak duduk sekali pun, dia tak nak. dah la sorang2, ayah dah takde. dia kata tak puas duduk rumah lain, nak duduk rumah dia jugak.. alhamdulillah kami di kerteh, dia di kuantan. almost every weekend kami balik kuantan..

    ReplyDelete
  6. sedih saya baca..memang entry ni membuatkan saya terfikir......

    salam ramadhan dari kami sekeluarga di sini..

    ReplyDelete
  7. wah, mengapekah begitu melankolik sekali ?

    ReplyDelete
  8. Abiet G. Ade ~aku ingin pulang~
    kuasa jazzabah famili!!!

    ReplyDelete

Berikan sumbangan terbaik anda! Teruskan menyumbang ke Tabung Aqsa2Gaza Emergency Relief sekarang!!! Akaun Maybank Islamic: 5515 7500 4299 Akaun Bank islam : 12 092 01 003490 4 Kemudian sila maklumkan kepada: admin@aqsasyarif.org.my

Nak Baca Entri Lain? Klik Sini....